Pages - Menu

Tuesday, October 22, 2013

Asam Pedas Ayam Aroma


Assalamualaikum.. Salam sejahtera dan salam penuh keceriaan buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT. Apa khabar teman-teman semua? CT harap dan CT doakan semoga teman-teman semua di dalam keadaan yang  terbaik pada setiap masa dan sentiasa berbahagia disamping keluarga tercinta. Maklumlah, sekarang ni keadaan cuaca tak menentu. Sekejap-sekejap panas tapi kemudian tu hujan berserta ribut petir lagi. Sesetengah tempat tu sampai banjir pula. Jadi, hendaklah kita semua menjaga diri dan kesihatan sebaik-baiknya ye.


Dalam diam, kita sudah menghampiri penghujung bukan Oktober, cuma tinggal berbaki dua bulan saja lagi untuk kita menghampiri tabir tahun 2013. Terasa sekejap aje masa yang berlalu. Bulan Oktober pula adalah bulan yang penting dalam diari CT sebab terdapat 2 tarikh yang penting dalam bulan Oktober ini. Yang pertamanya adalah 19 haribulan yang sudah pun berlalu 2 hari yang lepas. 19 haribulan Oktober adalah hari ulangtahun kelahiran suami CT, tapi tahun ni CT tak buat kek, cuma beli aje dari Secret Recipe hehehe. Satu tarikh lagi adalah 26 haribulan yang bakal menjelang hujung minggu ini. 26 haribulan ni adalah hari ulangtahun perkahwinan CT yang ke 22 tahun. Setinggi-tinggi kesyukuran CT panjatkan kepada ilahi untuk anugerah kebahagiaan rumahtangga yang CT kecapi sepanjang 22 tahun ini bersama suami dan keluarga yang tercinta. Syukur alhamdulillah.


Berbalik kepada perkongsian resepi CT untuk hari ini yang CT namakan Asam Pedas Ayam Aroma, nampak merah menyala mata memandang resepi CT ni kan. Kalau terasa nak cilikan sesiapa, bolehlah masak resepi ni dan beri pada sipolan yang berkenaan tu ye hehehe. Sebenarnya, resepi ni nampak aje merah menyala tapi taklah sampai ke tahap untuk mencili mulut hehe. Pada penggemar asam pedas, pasti tak cukup syarat kalau kuahnya tidak merah menyala betul tak. Dan jika dilihat pada bahannya pula, banyak bahan rempahan yang membuatkan kuahnya harum beraroma menusuk selera. Pada penggemar asam pedas, bolehlah mencuba resepi CT ni nanti ye. CT jamin pasti akan menambat selera.


Okeylah, nampaknya CT terpaksa berhenti sampai di sini dulu. Jika ada kelapangan, CT akan cuba update satu lagi resepi sebelum hujung minggu berakhir. Tapi kalau tak berkesempatan, minggu berikutnya pula baru CT muncul lagi nanti. Sementara itu, CT mohon berundur diri dulu ye. Dan sampai kita berjumpa lagi nanti, salam sayang dari CT dan ceria-ceriakan diri selalu ye... Daaaaa..



Asam Pedas Ayam Aroma

Bahan-bahan :
1 ekor ayam - potong 12
1/2 cawan lada kisar
2 batang bunga kantan - dibelah dua
1 ikat daun kesum
4 biji tomato - dibelah dua
Air secukupnya
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Bahan kisar halus :
4 biji cili merah
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
1 inci belacan  - dibakar sekejap
1 sudu kecil rata ketumbar biji - disangai sekejap
1/2 sudu kecil rata jintan halus - disangai sekejap
1 sudu kecil lada hitam biji
1 batang serai  - dihiris
2 helai daun limau purut - disiat buang uratnya


Cara-cara :
1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk dan tumis bahan kisar hingga naik bau.
2. Masukkan cili kisar dan goreng lagi hingga pecah minyak.
3. Bila dah pecah minyak masukkan air dan kacau sebentar kemudian masukkan ayam,  biarkan hingga mendidih dan ayam masak.
4. Bila dah mendidih masukkan bunga kantan, daun kesum, asam gelugor, garam dan sedikit gula kacau rata dan masak dalam 2 minit.
5. Kemudian masukkan tomato, kacau rata perasakan dan bolehlah diangkat. Sedia untuk dihidang bersama nasi putih.



13 comments:

  1. warna kuah yang kemerahan terlihat sangat cantik kak ct...
    semoga keluarga kak ct selalu dilimpahi kebahagiaan, sakinah mawadah warahmah sampai akhir nanti...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah.. Aammin. terima kasih Rina mendoakan kesejahteraan kak ct, moga Rina juga dilimpahi rahmat Allah jua. Suka nggak sama asam pedas :-D

      Delete
  2. waaaa....sedap tu kak...
    baru ni mimie tengok asam pedas ayam..biasa tu emak masak ikan je...
    keranjang/nampan tu canteeekkkkk lah kak .... ^_^

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dulu2 memang masak asam pedas ikan. Tapi bila anak2 lebih mengemari ayam, terus kak ct mengolah kepada ayam, yok cuba Mimie ;-)

      suka ya sama keranjang nya, cantik tapi lupa dimana belinya..lupa hehehe

      Delete
  3. salam Ct...lama tak berupdate akhirnya. Semuga Ct sihat sihat je. Saya pun peminat asam pedas tapi setakat ini belum berjaya lg menghasilkan asam pedas yang uumph ..ikut resepi tapi airtangan juga jadi dan tak menjadi ...apapun akan ku cuba dan cuba sampai ada uummph . Apapun sempena ulangtahun perkahwinan saya doakan agar keluarga Ct bebahagia selalu dan sentiada di rahmahti Allah....Aminnnn
    p/s....saya suka lihat pinggan warna biru camnie......cantik sgt tapi susah nak cari.

    ReplyDelete
    Replies
    1. wasalam Noor..Alhamdulillah terima kasih syukur semoga nikmat kebahagian kami kekal selamanya, Insya Allah. Yalah setiap resipi yang dicuba semuanya sama, hanya hasilnya aje yang berbeza kan.

      Delete
  4. terlior tgk, pandai masak gambar pun cantek. wah this blog gonna be one of my fav , really like it!
    saya baru kawen tahun ni and kena byk belajar memasak. terima kasih atas ilmu yang dikongsi :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hai Chenta, terima kasih meninggalkan jejak yang manis. moga Dapur CT sentiasa memberikan yang terbaik buat pengunggung setianya, Tahniah..semoga menjadi isteri yang solehah dan pandai memasak ;-)

      Delete
  5. Assalamualaikum CT mmg menambat selera...sedap kaalu dapt hirup panas-panas...yumyummm

    ReplyDelete
    Replies
    1. wasalam Umie, asam pedas memang tidak pernah jemu. Lagi2 kalau ada ikan pari lagi tertambat rasanya Umie hehehe

      Delete