Assalamualaikum dan salam paling manis buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT. Semoga kita semua diberi kesihatan yang baik dan sentiasa berbahagia di samping insan dan keluarga yang tersayang. Untuk teman-teman yang bekerja sebagai pengurus besar jabatan rumah-tangga seperti CT, pastinya sudah mula sibuk diwaktu-waktu begini, memerah idea memikirkan menu apakah yang hendak disediakan untuk hidangan waktu makan tengahari nanti. Betul tak... Tapi untuk ibu-ibu dan isteri yang bekerja pula, apa kurangnya juga kan.. kadangkala tetap juga sibuk mencari idea untuk menu makan malam, jika berkesempatan untuk menyibukkan diri di dapur setelah pulang dari bekerja.
Untuk resepi hari ini, CT ingin kongsikan resepi berasaskan daging yang di inspirasikan dari negara seberang tapi CT sesuaikan mengikut citarasa kita di sini, resepi yang di beri nama Daging Sapi Gongso. Bagi yang sudah biasa dengan cara masakan negara jiran kita iaitu Indonesia yang CT cuba resepinya ini pasti tahu yang cara penyediaan masakan mereka amat mudah dan ringkas. Tidak terkecuali resepi yang CT kongsikan ini juga. Jadi untuk teman-teman yang terkejar-kejar dengan masa tetapi pada masa yang sama ingin menyediakan menu yang sedap dan berkhasiat, bolehlah mencuba resepi yang CT kongsikan ini ye.
Tapi ada sesetengah orang kurang gemar dengan daging lembu dan ada juga yang turut alah dengan daging lembu. Oleh itu, jika kurang gemar atau elergi dengan daging lembu, boleh saja digantikan dengan daging yang lain, kambing contohnya atau boleh juga digantikan dengan daging ayam yang dipotong kecil. Yang penting, diri sendiri dan insan-insan yang tersayang suka.. betul tak.
Tanpa membuang masa teman-teman dengan CT berceloteh lebih lama lagi, CT mohon berundur diri sampai di sini dulu ye. Bagi yang berminat untuk mencuba resepi yang ringkas tetapi sedap ini, bolehlah semak resepi di bawah tu dan bookmark dulu untuk dicuba nanti ye. Dah cuba nanti, bolehlah beri maklum-balas kepada CT nanti.
Okeylah, semoga kita berjumpa lagi nanti untuk resepi yang lain pula nanti, salam sayang dari CT dan selamat mencuba ye!... daaaaaa..
DAGING SAPI GONGSO
Bahan-bahan:
600 gram daging batang pinang – dipotong kecil
1 helai daun salam
2 cm halia – diketuk
2 helai daun limau purut – disiat dan buang tulangnya
1 sudu teh gula merah
½ sudu teh serbuk perencah maggi
1 sudu besar kicap manis
Garam – secukup rasa
Bahan Tumbuk Kasar:
8 batang lada merah
3 biji cili padi merah
2 ulas bawang putih
1 sudu teh belacan serbuk
Cara-cara membuatnya:
- Panaskan sedikit minyak, tumis bahan tumbuk kasar hingga harum dan sedikit layu.
- Masukkan air, daging dan kesemua bahan-bahan yang lain. Kacau rata dan masak hingga kuah sedikit meresap.
- Akhir sekali, masukkan kicap manis dan garam secukup rasa. Biarkan sekejap dan angkat.