Tuesday, March 25, 2014

Siri Blogger Masakan - Nusantara Series


Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT yang tersayang. Alhamdulillah, seperti yang CT khabarkan pada minggu lepas, akhirnya selesai sudah upacara pelancaran 3 buku resepi CT yang diterbitkan oleh pihak MPH di Putrajaya International Convention Centre pada hari Ahad, 23 Mac 2014 yang lepas.

Sebaik saja selesai upacara pelancaran tersebut dan sebaik selesai acara menandatangani autograf, terasa seperti beban yang sangat berat terangkat terus dari bahu CT hehehe. Terasa lega yang teramat sangat. Walaupun peluang yang diberi oleh pihak MPH kepada CT dengan menganjurkan majlis pelancaran rasmi seperti ini sesuatu yang CT memang sangat-sangat hargai, tetapi dalam masa yang sama juga ianya turut menghantui CT terlebih-lebih lagi di hari-hari yang terakhir sebelumnya, sampai CT susah nak tidur malam.

Walaupun CT sudah sepaya-upaya untuk mengawal perasaan gemuruh, tetapi perasaan itu tetap datang juga. Namun demikian, Alhamdulillah sebab CT tak pitam atas pentas tu semasa sesi soal-jawab bersama pengacara dan tetamu yang hadir hehehe. Terus-terang memang CT terasa tidak fokus dan ada ketikanya rasa blank sekejap. Itu yang kadang-kadang soalan yang ditanya CT tak jawab dengan tepat dan sepenuhnya. Pada yang bertanya tu CT minta maaf banyak-banyak ye. Maklumlah CT ni terlalu banyak kekurangannya. Tapi jika ada yang bertanya tu terbaca entri ini dan merasakan soalan mereka tidak terjawab sepenuhnya, bolehlah ajukan soalan tu lagi di sini dan insyaAllah CT akan menjawabnya.

Berbalik pada 3 buku resepi CT tu iaitu LAUK PAUK Nusantara, KUIH-MUIH Nusantara dan PEMANIS MULUT Nusantara, pada yang berminat untuk mendapatkannya bolehlah dapatkannya di kedai-kedai buku MPH dan juga kedai-kedai buku utama yang berdekatan ye. Menurut pihak MPH lagi, buku ini akan turut diedarkan di Singapura dan Brunei, jadi pada teman-teman yang berada di kedua-dua negara tersebut diharap bersabar menunggu pengedarannya di sana jika berminat untuk mendapatkan buku CT tu ye.

Sebelum CT mengundur diri, CT ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima-kasih kepada pihak MPH yang telah memberi kepercayaan kepada CT dengan menerbitkan buku resepi ini, terutamanya kepada Miss Lillian Ng dan En. Md Hisamudin yang telah terlibat secara langsung dalam urusan penerbitan buku ini dari mula hinggalah akhir. Tidak lupa juga ucapan penghargaan CT kepada teman-teman rapat yang tidak henti-henti memberikan sokongan moral, dan juga kepada keluarga CT yang tersayang, yang merupakan sumber inspirasi utama kepada CT dalam menjayakan semua ini. Dan sudah pastinya juga, ucapan jutaan terima-kasih kepada geng-geng masak CT dan geng Dapur CT yang turut menyumbangkan idea samada secara langsung atau secara tidak langsung dalam CT mencuba sesuatu resipi, dan juga teman-teman lainnya yang rajin singgah di Dapur maya CT ini yang tidak henti-henti memberikan komen-komen yang membina untuk CT terus meningkatkan keupayaan CT dan memberikan peransang untuk CT terus berdiri di aliran Food Blogging ini seadanya. CT berdoa semoga CT terus di beri kekuatan untuk terus berkongsi kepada semua dan berjaya menyiapkan satu lagi projek bersama pihak MPH yang kini masih lagi dalam peringkat permulaan. Akhir kata, salam manis buat semua dan sampai kita berjumpa lagi. InsyaAllah.






Monday, March 17, 2014

Kek Pisang Lembab | PIBF 2014


Assalamualaikum... Salam manis dan salam rindu buat semua pengunjung setia Dapur CT dan teman-teman CT semuanya. CT doakan semoga kita semua beroleh kesejahteraan di setiap masa. Sebelum CT bercakap lebih panjang, terlebih dulu CT ingin mengambil kesempatan memohon maaf sekiranya CT membuatkan teman-teman semua tertanya-tanya ke mana menghilangnya CT meninggalkan blog ini tidak berupdate. Sebenarnya CT agak sibuk sedikit disebabkan kekangan masa. Dan, banner di atas tu adalah salah satu juga penyebabnya. CT akan berada di Book Fair tersebut untuk pelancaran buku resepi CT bersama pihak MPH pada hari Ahad hujung minggu ini, 23 March 2014, daripada pukul 6 hingga 7 malam. Pada yang berkesempatan, bolehlah kita bersua muka disamping memberi sokongan moral untuk CT di sana nanti ye. InsyaAllah.


Berbalik pada apa yang ingin CT kongsikan kali ini. Resipi Kek Pisang Lembab atau nama omputehnya Banana Bread yang CT mengexplorasinya dari website allrecipe.com dan CT ubahnye mengikut citarasa CT. Gambar resepi yang CT kongsikan di sini adalah percubaan CT yang kedua kalinya dalam masa seminggu. Jika sudah diulang buat dua kali dalam seminggu maknanya memang menambat citarasa kami sekeluarga lah tu. Ditambah pula memang CT menggemari kek yang ber asaskan pisang. Agak banyak juga resipi kek pisang yang CT simpan dan telah di cuba tetapi resepi yang ini adalah antara resepi kek pisang yang paling CT gemari.


Kek pisang ni memang sedang-sedang aje manisnya, bertepatan dengan selera CT yang memang tidak suka pada kek yang terlalu manis. Dan tekstur kek ini kekal lembut walaupun setelah dibiarkan semalaman didalam bekas yang bertutup rapat. Walaubagaimanapun, pastikan kek betul-betul sejuk dulu, barulah disimpan di dalam bekas ye. CT tambahkan Choc Chips dalam resepi kek ini sebagai penambat selera buat anak-anak untuk lebih menikmati kek pisang ini. 


Dalam resipi asal tidak menggunakan serbuk koko serta esen pisang. Untuk resepi yang CT eksplorasi ini, CT telah mengurangkan 2 sudu besar tepung gandum dari jumlah adunan tepung gandumnya dan menggantikannya dengan 2 sudu besar serbuk koko. Esen pisang pula CT tambahkan sebagai penambah aroma pada kek pisang ini. Bagaimanapun, terpulanglah pada teman-teman jika mahu mengikut resepi asal atau mengikut cara CT. Bagaimanapun, pastikan sukatan gula perang tu padat semasa kita menyukatnya di dalam cawan ya.


Okeylah, rasanya cukuplah CT berhenti sampai di sini dulu. Buat teman-teman yang bertanyakan resipi kek ini semasa CT postkan di Instagram dan facebook sebelum ini, CT dah kongsikan diblog kesayangan CT ini ye. Cuma CT minta maaf sebab terlambat sikit untuk CT kongsikannya. Maklumlah, sibuk kan. hehehe.


Sampai kita berjumpa lagi nanti dan InsyaAllah pada yang berkesempatan untuk bertemu CT di Putrajaya International Book Fair, hujung minggu ini nanti, CT ucapkan selamat mencuba dan sampai kita berjumpa lagi nanti ye. Salam manisss teramat manisss dari CT buat semua. Daaa...


Kek Pisang Lembab (Banana Bread)
Resepi diolah daripada: allrecipes.com

Bahan-bahan :
2 cawan tepung gandum - (kurangkan sebanyak 2 sudu besar)
2 sudu besar serbuk koko
1 sudu teh baking soda
¼ sudu teh garam
½ cawan mentega - suhu bilik
¾ cawan gula perang
2 biji telur gred A - dipukul perlahan
½ cawan pisang masak - dilecek kasar
1 sudu teh esen pisang - jika suka
sedikit chocolate chips - untuk hiasan

Cara-cara membuatnya :
  1. Panaskan oven pada suhu 175°C. Gris loyang loaf pan ukuran 9" x 5" dan lapik dasar loyang dengan kertas minyak. Ketepikan.
  2. Dalam mangkuk besar, ayakkan tepung, baking soda, garam dan serbuk koko. Kacau rata dengan whisk dan ketepikan.
  3. Dalam mangkuk yang berasingan, pukul mentega bersama gula perang sehingga berkrim (anggaran 2 minit) kemudian masukkan telur yang telah dipukul bersama pisang lecek, kacau rata.
  4. Masukkan adunan telur dan pisang kedalam campuran tepung dan kacau rata (setakat untuk sebati sahaja, tidak perlu lama).
  5. Tuang adunan ke dalam loyang, kemudian taburkan choc chips diatasnya. Kemudian angkat loyang sedikit dan hentaknya jatuh sebanyak dua kali. Tujuannya supaya gelembong udara dapat dikeluarkan.
  6. Bakar selama 60 minit atau sehingga masak (uji dengan mencucukkan lidi)
  7. Setelah kek masak, keluarkan kek dari oven dan biar didalam loyang selama 10 minit sebelum dikeluarkan kek sejuk sepenuhnya atas rak dawai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...