Showing posts with label Recipe Book. Show all posts
Showing posts with label Recipe Book. Show all posts

Tuesday, March 25, 2014

Siri Blogger Masakan - Nusantara Series


Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT yang tersayang. Alhamdulillah, seperti yang CT khabarkan pada minggu lepas, akhirnya selesai sudah upacara pelancaran 3 buku resepi CT yang diterbitkan oleh pihak MPH di Putrajaya International Convention Centre pada hari Ahad, 23 Mac 2014 yang lepas.

Sebaik saja selesai upacara pelancaran tersebut dan sebaik selesai acara menandatangani autograf, terasa seperti beban yang sangat berat terangkat terus dari bahu CT hehehe. Terasa lega yang teramat sangat. Walaupun peluang yang diberi oleh pihak MPH kepada CT dengan menganjurkan majlis pelancaran rasmi seperti ini sesuatu yang CT memang sangat-sangat hargai, tetapi dalam masa yang sama juga ianya turut menghantui CT terlebih-lebih lagi di hari-hari yang terakhir sebelumnya, sampai CT susah nak tidur malam.

Walaupun CT sudah sepaya-upaya untuk mengawal perasaan gemuruh, tetapi perasaan itu tetap datang juga. Namun demikian, Alhamdulillah sebab CT tak pitam atas pentas tu semasa sesi soal-jawab bersama pengacara dan tetamu yang hadir hehehe. Terus-terang memang CT terasa tidak fokus dan ada ketikanya rasa blank sekejap. Itu yang kadang-kadang soalan yang ditanya CT tak jawab dengan tepat dan sepenuhnya. Pada yang bertanya tu CT minta maaf banyak-banyak ye. Maklumlah CT ni terlalu banyak kekurangannya. Tapi jika ada yang bertanya tu terbaca entri ini dan merasakan soalan mereka tidak terjawab sepenuhnya, bolehlah ajukan soalan tu lagi di sini dan insyaAllah CT akan menjawabnya.

Berbalik pada 3 buku resepi CT tu iaitu LAUK PAUK Nusantara, KUIH-MUIH Nusantara dan PEMANIS MULUT Nusantara, pada yang berminat untuk mendapatkannya bolehlah dapatkannya di kedai-kedai buku MPH dan juga kedai-kedai buku utama yang berdekatan ye. Menurut pihak MPH lagi, buku ini akan turut diedarkan di Singapura dan Brunei, jadi pada teman-teman yang berada di kedua-dua negara tersebut diharap bersabar menunggu pengedarannya di sana jika berminat untuk mendapatkan buku CT tu ye.

Sebelum CT mengundur diri, CT ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima-kasih kepada pihak MPH yang telah memberi kepercayaan kepada CT dengan menerbitkan buku resepi ini, terutamanya kepada Miss Lillian Ng dan En. Md Hisamudin yang telah terlibat secara langsung dalam urusan penerbitan buku ini dari mula hinggalah akhir. Tidak lupa juga ucapan penghargaan CT kepada teman-teman rapat yang tidak henti-henti memberikan sokongan moral, dan juga kepada keluarga CT yang tersayang, yang merupakan sumber inspirasi utama kepada CT dalam menjayakan semua ini. Dan sudah pastinya juga, ucapan jutaan terima-kasih kepada geng-geng masak CT dan geng Dapur CT yang turut menyumbangkan idea samada secara langsung atau secara tidak langsung dalam CT mencuba sesuatu resipi, dan juga teman-teman lainnya yang rajin singgah di Dapur maya CT ini yang tidak henti-henti memberikan komen-komen yang membina untuk CT terus meningkatkan keupayaan CT dan memberikan peransang untuk CT terus berdiri di aliran Food Blogging ini seadanya. CT berdoa semoga CT terus di beri kekuatan untuk terus berkongsi kepada semua dan berjaya menyiapkan satu lagi projek bersama pihak MPH yang kini masih lagi dalam peringkat permulaan. Akhir kata, salam manis buat semua dan sampai kita berjumpa lagi. InsyaAllah.






Friday, July 20, 2012

Istimewa Pemanis Mulut Siti Delima

 
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sayang untuk semua teman setia dan pengunjung setia Dapur CT yang CT kasihi. Sebelum CT berbicara lebih lanjut, terlebih dahulu CT ingin merakamkan jutaan ucapan terima-kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua teman-teman yang sentiasa menyokong kehadiran CT dalam arena food blogging ini. Tanpa sokongan teman-teman dan juga pengikut-pengikut setia Dapur CT yang tidak putus-putus memberi kata-kata semangat, dorongan dan juga komen-komen yang membina untuk setiap resepi yang CT kongsikan, tidak mungkin CT akan terus bertahan dan melangkah sejauh ini dalam food blogging. Tidak terkecuali, pastinya kredit juga harus CT berikan kepada semua penyumbang-penyumbang resepi yang telah CT cuba resepi-resepi mereka dan seterusnya CT kongsikan pula di blog ini untuk manfaat yang lainnya.

Ketika CT mula-mula memberikan perhatian yang serius kepada blog ini, suami CT memberikan cabaran supaya CT bersungguh-sungguh dan memberikan yang terbaik untuk setiap resepi yang ingin CT kongsikan kepada umum. Selain dari itu, suami juga meminta supaya CT sentiasa berpandangan jauh kehadapan dan menanamkan matlamat supaya apa yang CT kongsikan di blog ini bukan setakat dapat diterbitkan dalam majalah sekali-sekala tetap juga dapat di abadikan didalam buku masakan sendiri pada suatu hari nanti.

Alhamdulillah ternyata doa CT akhirnya terjawab juga. Hati mana yang tidak berbunga apabila hasil penat-lelah perkongsian resepi di dalam blog CT selama ini akhirnya mencuri hati penerbit buku masakan apabila beliau menawarkan untuk menerbitkan sebuah buku masakan khas daripada gabungan resepi kek, muffin, apam dan juga kuih-muih yang telah dipaparkan dalam blog ini. Dan impian ini tidak mungkin akan menjadi kenyataan jika tidak kerana seseorang yang telah mencadangkan nama CT dan membuka laluan tersebut kepada CT. Individu yang CT maksudkan tersebut adalah Siti Dimiati iaitu editor kepada Majalah AROMA yang telah berhubungan secara langsung dengan CT dan tidak pernah mengeluh penat walaupun terpaksa berulang-alik ke rumah CT beberapa kali semasa proses pengumpulan bahan untuk dimuatkan ke dalam buku masakan tersebut. Selain daripada buku masakan "Istimewa Pemanis Mulut" solo ini, ada resepi perkongsian CT yang lain yang turut dimuatkan di dalam 2 buah buku masakan yang berasingan bertajuk "Agar-agar dan Puding" dan "Variasi Koleksi Biskut Raya" dimana resepi-resepi yang dimuatkan didalam buku tersebut adalah gabungan resepi daripada 5 orang blogger. Untuk kedua-dua buku kompilasi tersebut, resepi CT telah menjadi penghias kulit muka depan. CT ingin mengucapkan ribuan terima-kasih kepada Siti Dimiati. Tanpa kamu, impian CT masih tetap kekal sebagai impian.


Bersempena Ramadhan yang akan menjelang tinggal sehari saja lagi, CT ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada semua teman-teman dan juga pengunjung setia Dapur CT yang beragama Islam tidak kira jauh atau dekat. Semoga Ramadhan kali ini membawa bersamanya barakah dan raudhah dan semoga kita semua akan dapat menjalani ibadah puasa ini dengan sebaik-baiknya dan beroleh kemenangan dan keredhaan Allah didunia dan akhirat.

Sebelum CT menutup bicara, CT ingin meminta maaf sekiranya selama CT berblog ini, CT ada menyinggung atau mengguris hati teman-teman samada dengan gurauan, komen-komen atau penulisan yang menyentuh perkara yang tidak disenangi. Selain itu, CT minta dihalalkan juga untuk semua resepi teman-teman yang dikongsikan di blog, FB dan media lainnya dan kemudiannya telah CT cuba dan olah mengikut cara dan citarasa CT dan CT kongsikan pula untuk manfaat pembaca dan pengunjung blog Dapur CT ini. CT berdoa semoga apa yang telah dikongsikan oleh teman-teman tersebut akan mendapat imbalan yang terbaik dari Allah. Akhirkata, salam sayang dari CT dan semoga CT akan terus diberi kesihatan yang baik supaya CT akan dapat terus mengemudikan blog Dapur CT ini yang matlamat asalnya sejak mula-mula CT berblog lagi malah masih tetap matlamat yang sama hingga ke hari ini iaitu supaya hasil usaha perkongsian CT ini dapat memberikan manfaat kepada semua, InsyaAllah.



Kompilasi resepi bersama 4 rakan blogger

Kompilasi resepi bersama 3 rakan blogger

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...