Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT yang tersayang. Alhamdulillah, seperti yang CT khabarkan pada minggu lepas, akhirnya selesai sudah upacara pelancaran 3 buku resepi CT yang diterbitkan oleh pihak MPH di Putrajaya International Convention Centre pada hari Ahad, 23 Mac 2014 yang lepas.
Sebaik saja selesai upacara pelancaran tersebut dan sebaik selesai acara menandatangani autograf, terasa seperti beban yang sangat berat terangkat terus dari bahu CT hehehe. Terasa lega yang teramat sangat. Walaupun peluang yang diberi oleh pihak MPH kepada CT dengan menganjurkan majlis pelancaran rasmi seperti ini sesuatu yang CT memang sangat-sangat hargai, tetapi dalam masa yang sama juga ianya turut menghantui CT terlebih-lebih lagi di hari-hari yang terakhir sebelumnya, sampai CT susah nak tidur malam.
Walaupun CT sudah sepaya-upaya untuk mengawal perasaan gemuruh, tetapi perasaan itu tetap datang juga. Namun demikian, Alhamdulillah sebab CT tak pitam atas pentas tu semasa sesi soal-jawab bersama pengacara dan tetamu yang hadir hehehe. Terus-terang memang CT terasa tidak fokus dan ada ketikanya rasa blank sekejap. Itu yang kadang-kadang soalan yang ditanya CT tak jawab dengan tepat dan sepenuhnya. Pada yang bertanya tu CT minta maaf banyak-banyak ye. Maklumlah CT ni terlalu banyak kekurangannya. Tapi jika ada yang bertanya tu terbaca entri ini dan merasakan soalan mereka tidak terjawab sepenuhnya, bolehlah ajukan soalan tu lagi di sini dan insyaAllah CT akan menjawabnya.
Berbalik pada 3 buku resepi CT tu iaitu LAUK PAUK Nusantara, KUIH-MUIH Nusantara dan PEMANIS MULUT Nusantara, pada yang berminat untuk mendapatkannya bolehlah dapatkannya di kedai-kedai buku MPH dan juga kedai-kedai buku utama yang berdekatan ye. Menurut pihak MPH lagi, buku ini akan turut diedarkan di Singapura dan Brunei, jadi pada teman-teman yang berada di kedua-dua negara tersebut diharap bersabar menunggu pengedarannya di sana jika berminat untuk mendapatkan buku CT tu ye.
Sebelum CT mengundur diri, CT ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima-kasih kepada pihak MPH yang telah memberi kepercayaan kepada CT dengan menerbitkan buku resepi ini, terutamanya kepada Miss Lillian Ng dan En. Md Hisamudin yang telah terlibat secara langsung dalam urusan penerbitan buku ini dari mula hinggalah akhir. Tidak lupa juga ucapan penghargaan CT kepada teman-teman rapat yang tidak henti-henti memberikan sokongan moral, dan juga kepada keluarga CT yang tersayang, yang merupakan sumber inspirasi utama kepada CT dalam menjayakan semua ini. Dan sudah pastinya juga, ucapan jutaan terima-kasih kepada geng-geng masak CT dan geng Dapur CT yang turut menyumbangkan idea samada secara langsung atau secara tidak langsung dalam CT mencuba sesuatu resipi, dan juga teman-teman lainnya yang rajin singgah di Dapur maya CT ini yang tidak henti-henti memberikan komen-komen yang membina untuk CT terus meningkatkan keupayaan CT dan memberikan peransang untuk CT terus berdiri di aliran Food Blogging ini seadanya. CT berdoa semoga CT terus di beri kekuatan untuk terus berkongsi kepada semua dan berjaya menyiapkan satu lagi projek bersama pihak MPH yang kini masih lagi dalam peringkat permulaan. Akhir kata, salam manis buat semua dan sampai kita berjumpa lagi. InsyaAllah.