Assalamualaikum. Salam ceria dan salam sayang buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT. Hari ni CT tak publish resepi macam selalu ye. Sebaliknya, seperti yang CT janjikan minggu lepas, hari ni CT kongsikan tips fotografi cara CT menghasilkan gambar-gambar masakan CT dalam blog ini. Perkongsian ini juga sebagai menjawab pertanyaan yang CT terima dalam mesejbox FB yang CT terima dan CT harap semua persoalan tersebut terjawab dan sedikit sebanyak membantu mereka yang berminat dan ingin mengguna-pakai teknik yang CT gunakan.
Ruang Kerja
Perkara paling asas bila kita nak ambik gambar ni adalah keselesaan bekerja. Kalau tak selesa, kita akan kurang tumpuan dan lepas tu semuanya serba tak jadi. Posing sini tak kena, posing sana tak kena. Bila jadi macam tu, mood nak ambik gambar pun merudum dan pastinya hasil foto kita jadi hambar. Kalau nak cakap pasal ruang kerja ambik gambar yang selesa, tak payah cakap lagi, memang studio lah jawapannya. Tapi kita bukannya profesional yang kerjanya ambik gambar untuk cari makan. Kita ambik gambar cuma untuk kepuasan sendiri. Jadi kalau dapat satu bilik kosong yang kita boleh guna sepenuhnya untuk buat keje ambik gambar kita, itu dah lebih dari cukup. Malangnya, rumah CT tak ada bilik kosong dah, jadi CT terpaksalah cari ruang kerja lain yang selesa untuk CT gunakan. Yang tinggal untuk CT gunakan cumalah balkoni je huhu. Cuma bila cuaca terlalu panas, CT tak shoot kat situ tapi shoot kat tepi tingkap kat dalam rumah je, bergantung pada keadaan. Balkoni rumah CT iaitu gambar kat bawah ni, memang menepati apa yang CT perlukan. cuma masalahnya adalah cahayanya mencakup segala ruang. Jadi bagaimana caranya CT mengatasi masalah tu? Teruskan membaca ye hehe.
Latar Belakang
Perkara asas kedua adalah Latar Belakang atau dalam istilah fotografinya, Backdrop. Trend terkini yang amat popular semenjak dua menjak ni adalah latar belakang berunsur kayu. Seperkara lagi tentang backdrop kayu ni ialah jika kayunya lebih buruk, lebih usang dan lebih rosak akan nampak lebih menyerlahkan gambar makanan yang kita tonjolkan. Tahu tak kenapa? Rupanya konsep 'rustic' ni menonjolkan gambar makanan kita sebab prinsipnya dalam minda luar sedar adalah seperti 'beauty and the beast'. Untuk pemahaman yang lebih mudah, bila si cantik digandingkan dengan si buruk, si cantik akan lebih menyerlah. Jadi bila konsep ini digunapakai dalam gambar masakan kita, yang tertonjol dalam gambar itu adalah makanan kita. Sebab tu jugalah, sekarang ni trend guna periuk yang bontotnya hitam berkaratlah, sudu garpu kesan kotorlah, pinggan mangkuk ayan yang sumpik dan cat dah tertanggallah dan macam-macam lagilah. Semuanya disebabkan konsep ini.
Cuma satu je masalah CT bila pakai backdrop kayu ni iaitu ruang. CT dah tak cukup ruang nak simpan backdrop kayu banyak-banyak. Nak pakai satu dua jenis je nanti bosan pulak, asyik-asyik guna jenis dan warna yang sama berulang-ulang. Jadi apa yang CT buat adalah, CT buat 3 jenis backdrop kayu. Dan untuk ketiga-tiga backdrop ni, CT warnakan 3 warna yang berlainan dibahagian atasnya. Lepas tu CT warnakan 3 warna yang lain pulak di bahagian bawahnya seperti kat gambar bawah ni. Dengan cara tu, CT dapat 6 backdrop berlainan dari 3 backdrop je. Pandai tak? hehehe.
Kawalan Cahaya
Perkara asas ketiga yang sangat penting adalah Kawalan Cahaya. Yang ni pada mulanya menimbulkan masalah bila CT gunakan balkoni sebagai ruang kerja untuk ambik gambar. Bila ambik gambar kat situ, hasilnya adalah gambar yang terang dan jelas dari depan, belakang dan tepi. Walaupun nampak sempurna, tapi itu bukanlah hasil gambar yang CT mahukan sebab gambar yang terang macam tu tak ada kreativiti seninya. Ini adalah sesuatu yang CT pelajari dari hubby CT. Untuk gambar yang berseni perlukan objek yang kita ambil gambarnya itu mempunyai tona bayang-bayangnya. Ada kawasan yang terang sebab terkena cahaya dan ada kawasan yang gelap dan berbayang. Hasil tona yang macam tu akan menyerlahkan dimensi objek tersebut supaya nampak timbul dalam gambar.
Untuk menyelesaikan masalah tu, CT pasang bidai buluh kat bahagian tepi dan juga bahagian belakang sudut yang CT nak ambik gambar tu seperti gambar kat bawah ni. Dengan cara itu, cahaya yang CT perlukan akan masuk dari sedikit ruang dari sebelah kiri tu yang sengaja CT kosongkan sedikit bila CT pasang bidai tu. Dengan cara ni, CT senang nak kawal cahaya yang masuk. Bila nak ambik gambar je CT turunkan bidai. Bila dah siap je, CT naikkan semula supaya tak mengganggu mata bila nak relaks ambik angin kat balkoni tu. Senangkan, hehehe.
Sesuaikan Fungsi Kamera
Perkara yang terakhir sekali adalah, kita mesti tahu apa yang kamera kita ada dan gunakan fungsi yang kamera kita ada sepenuhnya untuk memudahkan dan menyempurnakan kerja kita. Kamera yang CT gunakan adalah Canon EOS 40D. Kamera ni kepunyaan my laling tapi nampaknya sekarang ni macam dah jadi CT punya sebab cuma CT aje yang pakai hehe. CT ada 2 lens iaitu Canon 28-70 dan yang lagi satu Canon 50mm. Kebanyakan masa, CT cuma pakai yang 50mm tu aje sebab lebih ringan dan Aperture nya yang besar iaitu 1.8 Yang 28-70 CT jarang guna sebab terlalu berat. Hubby kata lens tu berat sebab itu lens Canon jenis L.
Berbalik kepada fungsi kamera, CT letakkan dua perkara asas yang CT dah pelajari yang boleh memberi panduan tentang penyelesaian dan penyesuaian kepada masalah bila kita ambik gambar.
APERTURE
Aperture merujuk kepada jumlah cahaya yang boleh memasuki kamera. Semakin besar aperture nya (iaitu nombornya semakin mengecil, contohnya F1.8) semakin banyaklah cahaya yang boleh masuk. Jika aperturenya kecil (iaitu nombornya semakin besar, contohnya F16) semakin kuranglah cahaya yang boleh masuk. Tapi, jumlah aperture yang boleh diset pada kamera bergantung pada lens yang digunakan. Tentang aperture ni lagi, semakin besar aperturenya, semakin bertambah tahap blur pada gambar iaitu bahagian depan dan bahagian belakang objek akan jadi kabur dan cuma objek saja yang jelas kelihatannya, dan begitu jugalah sebaliknya. Dan satu perkara lagi tentang aperture adalah, semakin besar aperture yang kita gunakan, semakin bertambah kelajuan shutter pada kamera.
ISO
Yang ni mula-mulanya CT tak tahu. Tapi bila hubby ingatkan CT semula macamana masa zaman filem dulu-dulu filem yang dijual ada yang berlabel 100, 200, 400, 800 dan 1,600 barulah CT ingat. Dulu-dulu masa zaman kamera guna filem, kalau kita nak ambik gambar aksi laju atau tempat yang kurang cahaya, kita kena guna filem 400 atau 800. Kalau tempat terang bawah cahaya matahari, guna yang 100 pun dah cukup. Untuk kamera digital pulak, ISO ni pun merujuk kepada perkara yang sama. Semakin kurang bercahaya objek yang kita nak ambik gambarnya tu, kita kena guna ISO yang lebih tinggi nombornya jika gambar yang kita ambik tu, kameranya kita pegang dengan tangan. Dengan menaikkan ISO, speed kamera akan bertambah laju jadi ia akan mengurangkan gambar bergoyang. Walaupun menaikkan ISO menyelesaikan masalah gambar bergoyang, tapi masalah yang lain pulak akan timbul iaitu semakin tinggi ISO, bintik-bintik dalam gambar ataupun noise nya akan bertambah ketara. Jadi kalau nak kan gambar yang licin dan kurang noise dengan menggunakan ISO yang rendah tapi cahaya pada objek tak cukup, penyelesaiannya adalah gunakan Tripod. Kebanyakan masa memang CT gunakan tripod sebab kamera tu berat sangat macam batu bata, lenguh tangan CT nak maintain tak bagi goyang. Selain guna tripod, CT juga guna shutter remote jadi memang langsung tak goyanglah hehe. Tapi kadang-kadang tu bila cahaya cukup dan CT tengok speed pun cukup dan CT perlu ambik gambar dari sudut tinggi, CT ambik pakai tangan juga, tak guna tripod. Terpulang pada keadaannya macam mana.
Kesimpulan yang dapat CT buat dari perkongsian ini adalah hasil yang ingin kita dapat dari gambar yang kita ambil bergantung kepada banyak faktor, contohnya seperti faktor asas yang CT katakan sedikit sebanyak kat atas tu iaitu Ruang Kerja, Latar Belakang, Kawalan Cahaya dan Kesesuaian Fungsi Kamera kita. CT tak nak sentuh bab Komposisi, penggunaan Props, penyesuaian Warna, Food Plating dan Food Styling sebab yang itu CT masih lagi banyak nak belajar, jadi CT rasa yang itu kena tunggu sampai CT jadi sifu dulu ye.
Bagaimanapun CT harap apa yang CT kongsikan kali ini sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat dan boleh memberikan sedikit idea atau dijadikan panduan untuk yang berminat untuk menghasilkan gambar yang lebih baik dalam blog masakan mereka. Dan CT sentiasa percaya bahawa tak rugi untuk kita berkongsi apa yang kita tahu dengan orang lain sebab lebih banyak ilmu yang kita beri, lebih banyak lagi ilmu yang kita dapat. Dan ilmu yang kita ajarkan jika dimanfaatkan oleh orang lain, berganda-ganda kebaikan yang Allah balas kepada kita. Insyallah. Sampai jumpa lagi dan salam sayang untuk semua. Daaa..
Nota: Di kesempatan ini, CT juga ingin memaklumkan bahawa Dapur CT akan berehat selama 2 hari mulai esok kerana CT terpaksa memberi laluan kepada suatu Projek yang CT terpaksa beri keutamaan dulu buat masa ini. InsyaAllah, Dapur CT akan kembali bersiaran seperti biasa pada hari berikutnya.