Wednesday, July 24, 2013

Daging Tetel Lemak Pucuk Bebuas


Assalamualaikum... Salam ceria buat teman-teman semua. Masih setia di Dapur CT, Alhamdulillah. Terima kasih bagi yang tidak pernah jemu meninggalkan jejak berserta komen yang manis yang sememangnya memberikan inspirasi dan penyuntik semangat untuk CT terus berkongsi resepi di dapur maya ini.


Setelah seminggu lebih resepi terakhir yang CT kongsikan pada 10 Julai yang lepas, hari ini CT bermula kembali dengan resepi yang ke 5 pula iaitu Daging Tetel Lemak Pucuk Bebuas yang telah disiarkan dalam Majalah RASA keluaran bulan Julai 2013. Pada pembaca setia blog CT dan pernah menyelongkar resepi-resepi CT yang terdahulu pasti pernah ternampak atau ingat yang dulu CT pernah kongsikan satu lauk berasaskan dari daun pucuk bebuas.


Resipi ini adalah resepi turun temurun dari ibu mertua CT dan menjadi salah satu hidangan kegemaran keluarga tersayang juga. Pada kebanyakan masa, CT memasak lauk ini menggunakan ayam walaupun jika digunakan daging tetel rasanya lebih sedap. Bukannya apa. Daging tetel ni banyak lemaknya jadi tak bolehlah masak selalu sebab kadar kolesterolnya tinggi. kalau sesekali tu bolehlah hehe.


Untuk resepi yang CT kongsikan kepada pembaca Majalah RASA, CT gunakan daging tetel seperti resepi asal mak mertua CT. Rasa kenyal-kenyal dari daging tetel tu bila digigit dan dikunyah memang sedap sungguh! kalau tak percaya bolehlah cuba sendiri ye. Untuk pucuk bebuas tu pulak, boleh di cari di gerai pasar tani yang menjual daun ulam-ulaman. Kalau tak kenal bagaimana rupa pucuk bebuas ni tanya aje pada penjual tu, mesti dia akan bagi tahu punya.


Dulu CT memang tak reti nak makan pucuk bebuas ni, setakat pucuk ubi, betik, mengkudu, ulam raja, pegaga tu biasalah juga makan. Bila dah berkahwin dengan suami barulah CT tahu bagaimana rasanya pucuk bebuas ni sebab IBU mertua pernah masak hehehe. Selalunya makan benda baru macam itulah, nak kena rasa baru kita dapat menerimanya. Pucuk bebuas ni setakat yang CT tahu banyak juga kelebihan lainnya selain sedap dibuat ulam atau dicampur dalam masakan.Orang tua-tua kata pucuk bebuas ni boleh juga dibuat ubat untuk penghapus bau badan. Bagaimana cara penggunaannya, jangan tanya kat CT ye. Sebab CT cuma tahu pakai deodoran aje hehehe.


Okeylah, rasanya cukuplah CT berceloteh sampai di sini dulu. Buat teman-teman yang ingin bertukar selera menikmati hidangan daun ulam-ulaman yang dicampur kedalam masakan bolehlah mencuba resepi ini ye. CT mohon berundur diri dulu. Selamat mencuba dan sampai jumpa lagi nanti. Salam manisss dari CT, daaa....


Daging Tetel Lemak Pucuk Bebuas

Bahan-bahan :
450 gm daging tetel
2 ikat pucuk daun bebuas - disiat daun dan buang uratnya
1 keping asam gelugor
3 1/2 cawan air
200 ml santan pekat
Garam dan gula secukup rasa
1/3 cawan minyak masak

Bahan kisar halus :
6 biji bawang kecil
2 ulas bawang putih
1 sudu kecil ketumbar biji - ditumbuk
1 sudu kecil jintan halus - ditumbuk
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci lengkuas
1 batang serai
2 helai daun limau purut - buang uratnya
2 helai daun cekur
3 tangkai lada kering - buang biji

Cara-cara :
1. Daging tetel dibersihkan dan tos airnya. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak, tumis bahan kisar hingga naik minyak. Kemudian masukkan daging tetel dan gaul rata.
3. Masukkan air dan gaul lagi. Tutup periuk dan biar hingga daging tetel lembut masak dengan api sederhana.
4. Setelah daging tetel lembut, masukkan daun berbuas, asam gelugur dan masak lagi sehingga mendidih. Kemudian masukkan santan, garam dan sedikit gula.
5. Tunggu hingga mendidih dengan api sederhana, perasakan dan bolehlah diangkat.

Monday, July 22, 2013

CT bersama Seri Dewi dan KELUARGA


Assalamualaikum. Salam manis dan selamat bertemu kembali buat semua teman-teman dan pengunjung Dapur CT. Semoga teman-teman semua berada dalam keadaan sihat-sihat saja ye. Dalam diam sudah 13 hari kita berpuasa rupanya, sudah hampir di pertengahan Ramadhan. Cuma tinggal separuh bahagian lagi untuk menyempurnakan ibadah puasa kita pada tahun ini. Dan itu juga bermakna, Syawal semakin menghampiri kita. CT pasti ramai juga yang sudah mula sibuk dengan persiapan menyambut Syawal. Dan mungkin juga ada yang sudah mula membuat kuih dan biskut untuk menghiasi meja tetamu di hari lebaran nanti.

Bagi yang meminati biskut raya tradisional dan biskut-biskut jenis lama, CT harap semoga apa yang CT kongsikan kepada Majalah Seri Dewi dan Keluarga keluaran bulan Ogos 2013 dapat memberi sedikit idea kepada teman-teman. Terdapat 8 resepi CT di dalam majalah tersebut yang CT harap sedikit sebanyak dapat memberikan idea kepada teman-teman yang sedang tercari-cari resepi biskut-biskut lama ini dan seterusnya mencubanya nanti ye.

CT ucapkan terima kasih kepada pihak Kumpulan Majalah Karangkraf kerana sekali lagi sudi menghubungi CT dan menampilkan resepi CT dalam satu lagi majalah terbitan kumpulan penerbitan mereka (selain MIDI dan RASA). InsyaAllah, selepas aidilfitri nanti CT akan cuba merealisasikan projek terbaru dengan pihak Karangkraf. Doa kan semoga semuanya berjalan lancar ye.

Tidak berbicara lebih panjang lagi, CT mohon berundur diri dulu dan sebelum menutup bicara, terlebih dulu CT minta maaf sebab CT tidak muncul sepanjang minggu yang lepas disebabkan kesempitan masa. Bagaimanapun, CT akan cuba untuk menghabiskan baki entri yang masih tertunggak secepat mungkin ye. Sehingga kita berjumpa lagi nanti, salam sayang dari CT... daaaa..



Friday, July 12, 2013

OKI May 2013 & Vege Rotini Pasta


Assalamualaikum dan salam Jumaat buat semua teman-teman dan pengunjung Dapur CT. Sekejap aje dah 3 hari rupanya kita berpuasa kan. Alhamdulillah nampaknya cuaca sepanjang 3 hari ni tidaklah terlalu menduga sangat. Ada kala panas tetapi berselang juga dengan hujan. Kalau berterusan macam ni, tidaklah rasa terduga sangat kan.


Sebenarnya hari ni CT nak sambung perkongsian resepi lauk-pauk CT yang telah disiarkan dalam Majalah RASA tapi CT break kan dulu untuk memberi laluan kepada resepi di atas sebab dah lama sangat tertangguh untuk dikongsikan. Lagipun resepi western ni sesuai juga untuk dijadikan juadah iftar kalau sesekali nak bertukar selera untuk juadah berbuka.


Resepi yang CT beri nama Vege Rotini Pasta ni adalah menu sihat yang CT telah kongsikan kepada Majalah Open Kitchen Italy keluaran bulan May 2013. Kalau nak rujuk versi online nye, resepi CT ni terletak di halaman 98-99. Kalau terasa malas nak masak yang berat-berat dan tekak terasa nak makan hidangan barat, resepi ni sesuai untuk dipertimbangkan sebab penyediaannya yang cepat dan mudah. 


Tidak berbicara lebih panjang lagi, kita terus kepada resepinya seperti dibawah tu ye. Tapi CT mintak maaf sebab tak sempat CT nak translatekan kepada bahasa melayu. Pada teman-teman yang berminat bolehlah mencubanya nanti ye. CT berhenti di sini dulu dan semoga kita bertemu kembali minggu depan, salam manis dari CT dan selamat berhujung minggu.. daaaa...



Vegetables Rotini Pasta

servings: 6
time: 30 minutes

Ingredients :
1 package rotini pasta
2 garlic cloves - sliced thinly
1 small onion - sliced thinly
2 carrots - sliced thinly
1 zucchini - sliced thinly
½ sliced cabbage purple
3/4 cup mussels
2 tbs. olive oil
juice of 1 lemon
1 tsp. thyme       
salt to taste
1 tsp pepper or as needed 


Directions :
1. In a large bowl, bring water to boil adding a tsp of salt.  Add pasta and cook for about 7 to 8 minutes or until done.  Drain in a strainer and keep it covered until required.
2. In a large saucepan, heat olive oil and add onions and garlic. let it cook for about 3 minutes.
3. Add carrot, zucchini and mussels. stir and cook for 3 minutes.
4. Put cabbage, lemon juice, salt, pepper and thyme. Mix well.
5. Add the cooked pasta and stir. Taste to check if needs more salt. Serve.







Wednesday, July 10, 2013

Salam Ramadhan dan Opor Daging Dengan Nenas


Assalamualaikum... Salam manis dan selamat bertemu kembali buat semua teman-teman dan pengunjung blog Dapur CT yang tersayang. Alhamdulillah, Ramadhan bertamu lagi dan syukur kita dapat sekali lagi menjalani dan menyempurnakan ibadah puasa untuk yang kesekian kalinya lagi tahun ini. Semoga kita semua dapat melalui Ramadhan ini dengan rahmat dan barakah dan semoga ibadah kita diterima oleh Allah s.w.t. Aamiin Ya Rabbal Alamin


Anak-anak CT memang sentiasa ternanti-nanti akan kedatangan Ramadhan pada setiap tahun. Mereka rasa seronok sangat bila Ramadhan tiba. Dorang kata keseronokannya berlainan dari bulan-bulan yang lain. Yang pasti, sebelum menjelang bulan puasa tiba lagi anak-anak dah mula meng order lauk-pauk untuk bersahur dan kuih muih serta puding untuk berbuka hehehe. CT rasa gembira melayan permintaan tersebut. Rasa bahagia dan syukur sebab dapat menyediakan hidangan untuk anak-anak yang berpuasa ni.


Maaf ya teman-teman sebab diawal hari berpuasa CT dah update menu lauk-pauk ni. Tapi CT harap dengan resepi lauk-pauk yang CT update ni dapat memberi idea untuk menu iftar nanti. Resepi Opor Daging Dengan Nenas ini adalah resepi keempat dari 10 resepi CT yang telah disiarkan dalam Majalah RASA keluaran bulan Julai 2013. Resipi ini iinspirasikan dari resepi asal yang bernama Opor Daging Palembang yang CT rujuk dari salah satu website dari Indonesia. Namun seperti kebiasaannya, CT telah olah resepi tersebut mengikut citarasa CT dan begitulah terhasilnya resepi ini yang CT namakan sebagai Opor Daging Dengan Nenas.


Dalam resipi asal tidak menggunakan nenas tetapi CT memasukkan nenas untuk memberikan rasa masam manis. Selain itu, resepi ini juga menggunakan bawang merah yang nampak agak banyak, tapi bawang merah yang CT guna bersaiz kecil comel-lote tu. Itu yang jumlahnya jadi 10 biji tu. Tapi kalau teman-teman nak gantikan dengan bawang besar pun boleh juga. Letak dalam 2 biji pun dah cukup rasanya. Untuk bawang putih pulak, cuma 4 ulas aje. Untuk teman-teman yang tak berapa suka dengan bau bawang putih dalam masakan, ada petua untuk mengurangkan bau tersebut. Bila kita belah bawang putih tu akan nampak ada sedikit warna kehijauan ditengahnya. Itulah yang membuat bawang putih tu kuat baunya. Jadi buangkan bahagian tu untuk mengurangkan bau yang terlalu kuat. Petua ni CT dapat dari sorang chef mat saleh tau hehehe.


Okeylah CT tak nak cakap panjang lebar takut mengganggu puasa sebab terlalu lama tengok gambar lauk-pauk disiang hari hehehe. Jika ada yang ingin mencuba resipi Opor Daging ni silakan ye. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT, daaa....


Opor Daging Dengan Nenas

Bahan-bahan :
600 gm daging lembut
3 biji kentang - potong wedges
1000 ml santan - dari 1½ biji kelapa
1/2 biji nenas masak - potong segitiga
1 potong lengkuas - diketuk
Minyak masak secukupnya

Bahan kisar halus :
10 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 sudu teh ketumbar - disangrai
1 sudu makan cuka
1 sudu teh belacan

1/4 cawan air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara :
1. Goreng kentang hingga setengah masak, angkat dan tos minyaknya.
2. Hiris daging sedikit nipis. Bersihkan dan tos airnya.
3. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, lalu tumis bahan kisar sampai harum.
4. Masukkan potongan daging, nenas dan kacau rata.Tuangkan santan lalu masak sampai daging empuk dan santan berminyak.
5. Kemudian, masukkan kentang dan air asam jawa . Masak lagi dalam 2-3 minit, jangan sampai kentang terlalu lembut. Angkat dan siap dihidangkan.



Friday, July 5, 2013

Gulai Darat Udang Kertas dan Nenas


Assalamualaikum... salam hari Jumaat yang mulia dan salam manis buat teman-teman semua. Semoga semuanya sihat dan baik-baik saja hendaknya. Sekejap aje dah sampai ke hujung minggu. Pada yang hendak berkemas dan membersihkan rumah, rasanya eloklah buat pada hujung minggu ni ye. Maklumlah minggu depan dah puasa. Nanti bila bulan puasa tak larat sangat nak buat kerja yang berat-berat betul tak. Ke itu cuma alasan... hehehe.


Berbalik pada resepi yang CT ingin kongsikan hari ini iaitu resepi ketiga dari 10 resepi CT yang telah disiarkan dalam Majalah RASA keluaran bulan Julai 2013. Resepi Gulai Darat Udang Kertas dan Nenas ni memang sesuai dan sedap dihidangkan ketika masih panas. Tak perlu banyak-banyak lauk, menu ni sesaje dimakan bersama nasi panas aje pun dah sedap. Boleh lah cuba resepi ni nanti ye.


Ilham untuk menghasilkan resepi ini adalah berdasarkan dari hasil skodeng CT di blog JO Ayie lama dulu. CT sudah sering memasak menu ni tetapi menggunakan ayam sebagai bahan asasnya tetapi kali ini CT gantikannya dengan udang pula. Maklumlah dah naik jemu asyik makan ayam aje.


CT gunakan udang kertas bersaiz besar untuk resepi ini. Tapi kalau nak ganti dengan udang harimau pun boleh juga, tapi kebiasaannya CT lebih suka memilih udang kertas sebab kulitnya yang lembut dan nipis. Kalau malas nak kupas, makan aje terus dengan kulitnya. Tapi kenalah kunyah sampai betul-betul lumat. Kalau tidak pasti tersedak atau tercekik bila ditelan hehehe. Suami CT kalau CT masak udang, dia akan mintak dibuang kulitnya, kalau tidak dia tak nak makan sebab leceh katanya. Kalau dah buang kulit udang tu tinggal nak masuk mulut dan kunyah aje. Hmmm.. sabar aje lah kan.


Jika teman-teman diluar sana tercari-cari idea nak memasak apa hari ni, atau nak bookmark dulu untuk menu iftar di bulan Ramadhan nanti, bolehlah mencuba resepi ni nanti ye. Cari udang yang besar-besar bersaiz tapak tangan tu. Memang mahal sikit tapi berbaloi sesekali menikmati hidangan udang macam ni. Apapun, CT ucapkan terima kasih kepada penyumbang resipi asal.

Okeylah CT mohon berundur diri dulu. Selamat berhujung minggu dan sampai jumpa lagi nanti. Salam manisss dari CT, daaa....

Gulai Darat Udang Kertas dan Nenas

Bahan-bahan :
6 ekor udang kertas yang besar - dibersihkan
1/2 biji buah nenas masak - potong segitiga
250 ml santan - dari sebiji kelapa
1 cawan air
2 sudu besar rempah kari ikan
1 sudu besar cili kisar
1 sudu kecil ketumbar - ditumbuk
3 tangkai daun kesum
Garam dan gula secukup rasa

Bahan kisar halus :
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup

Cara-cara :
1. Satukan bahan kisar, santan, air, daun kesum, ketumbar tumbuk, rempah kari dan cili kisar dalam kuali.
2. Kacau sentiasa sehingga mendidih dengan api sederhana.
3. Masukkan nenas dan udang, masukkan garam dan gula secukup rasa. Kacau lagi sehingga udang masak.
4. Angkat dan sajikan bersama nasi putih.

Wednesday, July 3, 2013

Sotong Masak Hitam


Assalamualaikum... Salam manisss dan salam penuh keceriaan untuk semua. Awal pagi lagi CT dah tayang menu lauk-pauk hehe. Ye lah, kot-kot awal pagi lagi ada yang dah mula mencari idea menu apa untuk di masak hari ini. Haa.. inilah satu menu yang sangat ringkas dan mudah penyediaannya. Selain mudah, sesuai pula digandingkan dengan lauk-pauk lain seperti sayur goreng contohnya. Hmmm... terus jadi lapar dan tak sanggup nak tunggu sampai waktu makan tengahari hehehe.

Resepi ni adalah salah satu dari 10 resepi CT yang telah disiarkan dalam Majalah RASA keluaran bulan Julai 2013. Untuk sepanjang minggu ni dan minggu-minggu berikutnya, CT akan kongsikan semua resepi tersebut di sini secara marathon ye. Kemudian CT akan turutkan pula 8 resepi biskut tradisional yang telah di sunting oleh Majalah KELUARGA yang mana sama seperti Majalah RASA juga adalah merupakan anak syarikat Kumpulan Karangkraf.


Menu Sotong Masak Hitam ni adalah salah satu dari hidangan lauk pauk yang menjadi kegemaran CT sekeluarga. Sebenarnya lauk sotong ni biasanya CT masak kering. Tapi idea untuk menjadikannya berkuah timbul bila majalah RASA meminta resepi lauk-pauk yang berkuah. Jadi CT lebihkanlah sedikit bahannya dari biasa dan tambah sedikit air untuk menjadikannya berkuah. Tapi letak sikit je sebab sotong akan mengeluarkan air bila di masak.



Bercerita tentang lauk berasaskan sotong ni, waktu CT budak-budak dulu, jarang dapat makan lauk-pauk seafood macam ni. Maklumlah, CT ni berasal dari keluarga susah dan adik-beradik pula ramai iaitu 11 orang. Kalau arwah mak masak lauk sotong dan terpaksa dikongsikan pula dengan 11 adik-beradik, dapatlah seorang 3 atau 4 potong. Itupun potongan kecik-kecik. Perangai CT pulak masa kecik-kecik dulu bila makan sotong ni suka masukkan daging sotong tu dalam jari buat macam cincin, sebab CT suka makan sotong tu last sekali. Sambil menyuap nasi, CT akan gigit sikit-sikit je dan baki yang besar akan dimakan last sekali. Kenangan sungguh... hehehe

Jika CT masak resepi berasaskan sotong, CT lebih suka memilih sotong yang bersaiz kecil atau sederhana besar sebab CT kurang menggemari sotong yang bersaiz besar. Sebab yang besar tu CT rasa kalau masak macam tawar dan rasa lain pulak kat tekak hehehe. Tapi janganlah ikut macam CT ye, sebab selera masing-masing tak sama kan. Jadi ikutlah selera sendiri sebab bila dimasak tu akan masuk perut sendiri kan. Okeylah, CT berhenti sampai di sini dulu. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT, daaa....


Sotong Masak Hitam

Bahan-bahan :
600 gram sotong saiz sederhana besar
1 labu bawang besar - hiris bulat
2 ulas bawng putih - diketuk
7 batang cili padi - diketuk
1/2 inci lengkuas - diketuk
3 batang cili hijau - dihiris
1 sudu besar kunyit serbuk
7 batang kacang buncis - potong 2 inci
Garam secukup rasa.
Sedikit air jika perlu
Minyak masak - untuk menumis

Cara-cara :
1. Bersihkan sotong. Jangan dibuang dakwat hitamnya. Lumur sotong dengan serbuk kunyit dan biarkan sebentar dalam 5 minit.
2. Panaskan minyak masak dalam kuali, tumis bawang besar dan bawang putih hingga layu.
3. Masukkan cili padi, lengkuas, sotong dan kacang buncis kacau rata. Biarkan sebentar 5 minit dengan api sederhana. Kacau sekejap-sekejap.
4. Masukkan cili hijau, garam secukup rasa. Perasakan dan matikan api. Angkat, sedia dihidang.

Monday, July 1, 2013

Kari Berapi Ikan Jenahak


Assalamualaikum... Salam manis dan salam penuh keceriaan buat pengunjung setia dan teman-teman semua. Sebelum CT memulakan bicara, terlebih dulu CT ingin meminta maaf sebab CT tidak dapat muncul dengan perkongsian resepi sepanjang minggu lepas seperti yang dijanjikan. Bukan disengajakan tetapi disebabkan oleh sebab-sebab teknikal yang tidak dapat dielakkan yang juga hampir membuatkan CT hampir mengambil keputusan seperti hendak bersara terus dari food blogging.

Sepanjang dua minggu kebelakangan ini juga, CT dihujani oleh Facebook message dan SMS yang menanyakan apa sudah terjadi kepada website sitidelima.com kerana bila di klik bukan blog dapur CT yang keluar tapi blog 'perompak domain' yang beralamat di Spain. Sepanjang dua minggu ini jugalah suami CT berusaha untuk mendapatkan kembali domain sitidelima.com tetapi tidak berhasil. Itulah natijahnya bila CT terlupa untuk memperbaharui yuran tahunan domain tersebut. Maklumlah dalam kesibukan harian, CT betul-betul terlupa untuk buat renewal. Tetapi apa yang hendak diperkatakan lagi sebab benda dah berlaku, akhirnya CT terpaksa buat keputusan dan berpuashati dengan domain baru www.sitidelima.net Walaubagaimanapun CT tetap akan berusaha untuk terus mendapatkan semula domain yang lama tu jika berpeluang nanti, InsyaAllah.


Okeylah, cukuplah kisah dukalara CT perihal kehilangan domain yang terrsayang tu, CT teruskan dengan resepi yang CT ingin kongsikan di sini hari ini iaitu Kari Berapi Ikan Jenahak yang merupakan salah satu daripada sepuluh resepi CT yang telah disiarkan dalam Majalah RASA keluaran bulan Julai 2013. Untuk keluaran bulan Julai ini, Majalah RASA menampilkan 250 aneka hidangan yang menarik dan menepati selera Ramadan dan memang berbaloi untuk memilikinya sebagai rujukan dibulan Ramadhan yang bakal menjelang 10 hari saja lagi nanti.


Untuk rerepi ini, jika nak gantikan ikannya menggunakan ikan yang lain pun boleh juga, terpulang pada selera masing-masing. Mungkin ada yang lebih menggemari ikan merah atau ikan lainnya. CT gunakan ikan jenahak sebab suami CT kebelakangan ni suka pulak pada rasanya. Dulu-dulu CT lebih suka menggunakan ikan merah tetapi setelah pertama kali CT memasak ikan jenahak ni rasanya 3 atau 4 bulan yang lepas, bermula dari situ CT dan suami seperti terpaut pulak pada rasanya. Sebelum ni CT tak pernah rasa ikan jenahak ni.


Okeylah, CT mohon berundur sampai di sini dulu ye. Pada yang berminat untuk mencuba resepi ni nanti bolehlah bookmark dulu ye. maklumlah bulan Ramadhan dah dekat. Jadi bolehlah tulis dulu mana-mana yang patut hehe. Sampai kita berjumpa lagi nanti dengan resipi yang lain pula, salam manisss dari CT, daaa....


Kari Berapi Ikan Jenahak

Bahan-bahan :
2 keping ikan jenahak - dibersihkan
2 sudu besar rempah kari ikan
1 sudu besar rempah kari daging
2 cawan santan cair
1/2 cawan santan pekat
Sedikit air asam jawa
1 sudu besar cili kisar
2 tangkai daun kari
4 biji tomato - belah 2
6 batang kacang bendi
1 1/2 inci kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga

Bahan kisar :
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 cm halia
1/2 sudu kecil ketumbar - tumbuk

Cara-cara :
1. Panaskan sedikit minyak masukkan kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan daun kari. Masukkan bahan kisar dan kacau rata hingga terbit bau.
2. Masukkan rempah kari ikan dan rempah kari daging yang dilarutkan dengan sedikit air dan cili kisar. Kacau rata dan biarkan hingga terbit minyak.
3. Masukkan santan cair dan air asam jawa dan biarkan hingga mendidih. Masukkan ikan dan kacang bendi. Masak lagi dalam 2 minit.
4. Akhir masukkan tomato dan perasakan dengan garam secukup rasa. Kacau rata dan angkat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...