Monday, April 30, 2012

AROMA Mei 2012 - Sempena Hari Ibu


Assalamualaikum dan salam sayang buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT. Sebelum CT berbicara lebih lanjut, terlebih dahulu CT ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dengan ucapan Syukur Alhamdulillah. Syukur sangat-sangat kerana CT sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa dilimpahi dengan nikmat kebahagiaan. Dan dengan nikmat kesihatan yang baik dan berterusan ini, CT dapat terus untuk berbakti kepada keluarga selain daripada melakukan perkara baik yang lain yang dapat memberi manfaat bukan saja kepada diri CT tetapi juga kepada insan yang lain seperti berkongsi minat memasak ini yang dapat CT kongsikan kepada semua melalui penulisan blog masakan ini.

Masuk hari ini, genap 3 tahun, 4 bulan, 18 hari usia blog Dari Dapur CT ini. Dan sepanjang tempoh itu jugalah, blog ini telah melalui pelbagai perkara dan rentetan dalam mencapai usia kematangannya. Tarikh 12/11/2008 adalah tarikh mula-mula CT menulis dalam blog ini. Untuk beberapa entri yang mula-mula tu, CT hanya berkongsikan gambar masakan CT sahaja dan tiada resepi yang dikongsikan. Maklumlah CT masih jahil lagi tentang berblog dan masih tidak cukup keyakinan untuk berkongsi sesuatu yang mungkin akan dicuba oleh orang lain sedangkan CT masih lagi dalam proses mencuba-cuba.

Resepi yang pertama sekali CT kongsikan adalah pada 24/2/2009 iaitu selepas 3 bulan CT membuka blog ini. Bila CT tengok semula entri tersebut, CT tersenyum simpul sendiri. Rupanya telah jauh juga perjalanan yang telah CT tempuh dalam blogging masakan ini. Dalam awal-awal pembabitan dulu, CT ambik gambar pun main tangkap muat aje. Kamera yang CT guna pada masa tu pun dah rosak dah sekarang ni. Tapi CT masih simpan lagi dengan baik dan letakkan pada tripod mini dan display atas cabinet sebelah TV walaupun dah rosak sebab itulah kamera yang telah banyak berjasa kepada CT untuk blog ini. Kadang-kadang tu memang perlu untuk kita melihat kembali kebelakang apabila kita sudah jauh berada dihadapan. Mengimbau sesuatu seperti itu akan memberi kita ruang untuk bermusabahah dan juga melihat dengan lebih jelas perkara-perkara yang kurang baik yang boleh kita perelokkan lagi dan memperbaiki lagi segala kekurangan yang ada. InsyaAllah.


Nampaknya CT dah jauh menyimpang dari tajuk post CT hari ni. Yang sebenarnya CT sekadar ingin berkongsi kegembiraan dihati tapi terlebih taip pulak. Maafkan CT ye.. hehe. Mood ceria CT ni disebabkan oleh 14 dari resepi yang pernah CT kongsikan dalam blog ini telah diterbitkan lagi oleh Majalah AROMA keluaran bulan Mei 2012. Pada mulanya, pihak AROMA cuma meminta 10 entri lauk-pauk. Bila CT selak-selak entri yang lepas-lepas, CT mula sedar yang entri lauk-pauk yang CT buat tak banyak sangat jadi bila nak memilih tu CT jadi kurang pasti nak memilih yang mana satu. Disebabkan itu, CT hantar aje 14 buah resepi supaya pihak AROMA dapat memilih 10 darinya seperti yang diminta. Tapi selepas CT tengok majalah tu semalam, rupanya kesemua 14 resepi yang CT hantar telah diterbitkan sekaligus.


CT tak dapat berkata apa lagi, sekadar CT ingin merakamkan rasa penghargaan kepada pihak AROMA yang telah memberi ruang terbitan mereka sekali lagi kepada CT. Dan sudah tentunya rasa perhargaan itu juga ingin CT kongsikan kepada semua pemilik asal resepi yang resepinya telah CT cuba sendiri dan kongsikan untuk tatapan semua dalam blog Dari Dapur CT ini. Kesemua resepi-resepi CT yang terpapar dalam Majalah AROMA keluaran bulan Mei tersebut adalah sebanyak 7 mukasurat iaitu dari halaman 58 hingga halaman 64. Jika berminat untuk melihat dan ingin menatap dengan lebih jelas, kenalah dapatkan senaskah majalah tersebut ye.


Akhirkata, terima kasih tidak terhingga kepada semua yang menyokong CT untuk terus mengemudikan blog ini dan semoga kita semua akan terus mendapat manfaat dan berjaya bersama-sama. Sekian, salam sayang dari CT. Daaaa...

Friday, April 27, 2012

CT bersama Mingguan Wanita

 

Assalamualaikum dan salam sayang buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT. Alhamdulillah dah sampai kita dipenghujung minggu yang terakhir untuk bulan April. Hari Selasa minggu depan dah pun masuk bulan Mei. Sekejap sungguh masa berlalu kan.

Hari ni CT tak update entri masakan ye. Dan izinkan CT menyelinapkan entri tentang paparan seseorang berbaju merah hitam dan memegang sudip seperti hendak mengetuk seseorang yang dipaparkan dalam Mingguan Wanita keluaran 27 April - 3 Mei 2012. Siapa lagi yang pakai baju merah pegang sudip macam tu kalau bukan Che CT hehehe.

Sebenarnya CT telah ditemu-ramah oleh wakil Majalah Mingguan Wanita pada hari Ahad dua minggu yang lepas. Dalam temu-ramah tersebut CT diajukan beberapa soalan yang meminta pendapat CT tentang perkembangan dunia blogging secara keseluruhannya dan juga serba-sedikit kisah penglibatan CT dalam blogging masakan secara khususnya. Kemudian penemuramah tu tanya kat CT mana dia boleh dapatkan gambar CT, jadi CT jawablah mungkin dia boleh ambik dari blog ni.

Mulanya CT ingat penemuramah tu cuma sekadar membuat kaji selidik dan CT tak terlintas langsung pun yang dia sebenarnya betul-betul nak terbitkan dalam Majalah Mingguan Wanita, hinggalah Hari Selasa yang lepas bila salah seorang teman rapat bagitau dia ternampak gambar CT kat dalam tu. Apalagi, terus tepon my laling mintak dia belikan kat tempat kerja dia. Dan bila suami CT balik keje dan CT mula membelek majalah tu nak tengok halaman yang ada muka CT tu, rasa nak tergelak pulak bila tengok gambar CT pegang sudip tu yang dimuatkan dalam majalah tu hehehe. Tapi tak apalah sebab memang itupun trademark CT. Tapi yang buat CT betul-betul nak tergelak bila CT dipetik sebagai berkata "Selain melayari blog masakan, saya juga tidak ketinggalan membaca blog hiburan dan politik". Tang politik tu yang CT tak tahan tu hehehehehe. Rasanya CT tak sebut pun pasal politik. Ini mesti kes kata-kata CT telah disalah tafsir hehehe. Tapi tak apalah, tak ada hal pun.

Apa pun, CT nak ucapkan terima-kasih buat Majalah Mingguan Wanita kerana sudi memuatkan sedikit kisah blogging masakan CT dalam majalah tersebut. Okeylah, setakat ini dulu CT berceloteh. Sampai kita berjumpa lagi nanti ye, salam sayang dari CT.. daaaaa..


 

Wednesday, April 25, 2012

Popia Kentang


Assalamualaikum... Salam ceria dan salam manis buat semua pengunjung Dapur CT. Doa CT buat semua teman-teman CT semoga semuanya sihat sejahtera dan berbahagia selalu tidak kira walau dimana pun berada, dan semoga kurniaan kesihatan yang baik akan membuat kita semua merasa gembira setiap masa, Insya'Allah.


Untuk resepi yang CT kongsikan hari ini iaitu Popia Kentang yang simple aje resipi nya ini, CT percaya dah ramai dah yang pernah membuat popiah yang mudah dan cepat nak disediakan ni kan. Dok main gulung-gulung dah pun siap. Tapi tak adalah sekelip mata aje dah boleh siap ya tak. Kenalah rebus kentangnya dulu dan buat sedikit rencah untuk menjadikan intinya sesedap rasa, kemudian barulah boleh digoreng sebelum boleh di ngappp! Untuk resepi popia kentang ni, banyak juga CT membuatnya. CT buat lebih-lebih dan simpan beku dalam peti sejuk, jadi bila nak makan tinggal ambil dan goreng aje, tak payah menunggu lama.


Sebenarnya CT agak rasa kurang mood dikala CT menaip entri ini. Malahan CT rasa gambar popia yang CT ambik ni pun macam kurang menarik di mata CT. Itulah jadinya bila kita buat kerja dengan mood dan emosi yang terganggu. Semuanya gara-gara pencurian gambar-gambar di blog CT oleh individu tidak bertanggung-jawab dan tidak mempunyai rasa malu dan menidakkan etika hak cipta intelek yang didedahkan kepada CT kelmarin. Walaupun CT cuba untuk tidak merasa marah dan cuba memberi sebanyak mungkin kemaafan kepada pencuri karya gambar CT  yang tidak perlu CT nyatakan pengenalan dirinya di sini, namun sedikit sebanyak hati dan emosi CT masih terkesan juga. Untuk mereka-mereka yang tersebut, CT doakan semoga mereka diberikan hidayah supaya tahu menggunakan otak untuk berfikir mana yang betul dan mana yang salah. Dan semoga kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi kepada mana-mana individu yang lain di masa hadapan. 


Okeylah kita lupakan hal tersebut dan berbalik kepada popia goreng ni. CT suka dengan resepi ni yang rangup diluar dan sedap didalamnya. Mula-mula tu, CT ingat resipi inti tu CT nak gunaka daging cincang, tapi dok selongkar dalam peti sejuk tu tak jumpa entah mana hilangnya daging cincang tu. Entahkan dah habis atau mungkin CT terbuang masa mengemas isi peti sejuk tu agaknya. Akhirnya adalah tinggal 4 keping ayam burger Ramly dalam peti sejuk tu, tup-tup idea datang, terus aje CT gantikan guna daging burger ayam tu aje. Dan hasilnya, sedap juga rasanya. Kesimpulannya, terpulanglah kalau ada teman-teman yang ingin mencuba resepi ini nanti samada nak letak isi ayam atau daging yang dicincang atau guna 'daging segera' macam yang CT buat ni. Atau boleh juga kalau nak gantikan dengan ikan sardin ke, manalah tahu lagi sedap kan. Tak salah mencuba sesuatu yang baru mengikut selera kita masing-masing betul tak. Asal saja kena dengan selera kita dan juga keluarga, apa salahnya mencuba ye tak. Hasil yang kita dapat terserah pada cara kita memasak. Lain tangan yang membuatnya, lainlah pula kejadian akhirnya.


Okeylah rasanya dah panjang lebar CT berceloteh dalam takde takde mood ni. Sebelum hilang mood yang dah sedikit okey ni, apa kata kita terus aje pada resipi dibawah ni ye. dan sekiranya ada yang ingin mencuba silakan. Sampai jumpa lagi, salam manis dari CT untuk teman-teman semua. Daaa....

Popia Kentang
Resipi : Che CT

Bahan inti :
5 biji ubi kentang direbus empuk - dibuang kulit dan dilecek halus
1 biji bawang besar - dicincang halus
2 biji bawang putih - dicincang halus
1/2 sudu teh serbuk lada putih
Secubit serbuk lada hitam kasar
3 keping daging ayam burger - suhu bilik dan cincang kasar
3 tangkai daun sup - dicincang halus
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit minyak masak untuk menumis

Kulit popia secukupnya
Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:
1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang besar dan bawang putih sehingga layu. Masukkan lada putih dan lada hitam. Kacau seketika.
2. Masukkan daging buger yang dicincang. Masak sehingga air daging kering. Perasakan dengan sedikit garam.
3. Masukkan kentang lecek. Kecilkan api dan gaul rata semua dan tutup api.
4. Akhir sekali masukkan daun sup. Gaul rata. Sejukkan seketika.
5. Sediakan kulit popia, isikan inti ditengahnya dan gulung kemas. Goreng dengan api sederhana panas hingga perang keemasan. Angkat dan toskan atas paper towel.
6. Hidangkan dan boleh dimakan begitu sahaja atau dicicah bersama sos pilihan.

Sos Popia :
5 biji cili merah - belah dua buang biji
1 ulas bawang putih
1 sudu kecil cuka
Secubit garam
gula secukupnya
sedikit air masak - untuk blend

Cara-cara :
1. Masukkan kesemua bahan diatas ke dalam blender dan kisar halus
2. Boleh juga jika ingin dimasak atas api sebentar hingga mendidih sedikit.
3. Letak sedikit garam dan gula sesedap rasa, kacau sebentar dan angkat.
4. Hidangkan bersama popia goreng ketika masih panas.

 
 

Monday, April 23, 2012

Ayam Masak Kuzi



Assalamualaikum... Salam mesra dan salam ceria untuk semua pengunjung setia Dapur CT.  Bertemu lagi kita di pagi hari Isnin ini. Dan untuk resepi hari ini seperti tajuk entri yang sudah tertulis, resepi yang CT kongsikan bukanlah menu untuk sarapan pagi ya, tapi hidangan untuk makan tengahari merangkap ke malam juga ni, tapi dah bersih dah jangan tanya ada lagi atau tidak ya. CT masak menu ni gunakan seekor ayam yang dipotong kecil-kecil. Bila ayam di potong kecil-kecil, macam banyak jugalah dapatnya kan. CT buat menu ni gara-gara terpandang kat blog Nor Secubit Garam. Masa tu dok memikir nak masak apa ayam kat dalam peti sejuk tu, jadi bila nampak resepi tu terus ajelah tak pikir panjang dan panjangkan terus langkah ke dapur hehehe.


Kalau tak silap CT resipi asal menu ni dari Kak Hanieliza. Lepas CT nampak Nor buat, terus aje CT simpan resipi Ayam Kuzi ni. Tapi CT ada juga ambil resipi rempah kuzi dari blog Yatie. Dan untuk versi yang CT buat ni, CT gabungkan dua resipi Nor dan juga Yatie. Kiranya resipi yang CT buat ni, versi 2 dalam 1 lah ni ya hehehe. Terima kasih untuk kedua-dua teman CT yang sudi berkongsi resipi ayam kuzi yang sangat sedap ni. Begitu juga dengan penyumbang resipi asalnya Kak Liza juga.


Hidangan Ayam Kuzi ni CT gandingkan bersama nasi ketumbar, sebab gandingan keduanya amat sesuai sekali. Pada mulanya CT ingat nak gandingkan bersama nasi tomato, tapi bila selongkar peti sejuk ternampak pula sedikit daun ketumbar dalam simpanan. sebelum layu tak digunakan, lebih baik CT guna untuk buat nasi ketumbar.  Lagipun, rasanya dah lama sangat CT tak buat nasi ketumbar ni.  Hasilnya memang sedap dan CT lebihkan rempah ayam tu supaya jadi berkuah sedikit dan jadi tak kering sangat.


Seingat CT, dah banyak juga CT mencuba resipi ayam dari teman-teman dan semua resepi tu sedap-sedap belaka. Tapi kebiasaannya bila CT mencubanya, CT membuat sedikit pengubahan dengan menambah sikit situ dan sini mengikut selera CT dan keluarga. Begitulah bagusnya bila kita ada simpanan resepi yang pelbagai ni kan. Kalau dah buntu nak masak apa, bolehlah CT ulang-ulang resipi tu untuk anak-anak bujang CT yang 3 orang CT tu. Tapi kalau dah malas pikir nak dimasak lauk apa ayam tu, CT dok goreng kunyit aje lah, tu lagi sedap hehehe.


Okeylah, kita terus pada resipilah ya, jika ada yang berkenan dan ingin mencuba, dipersilakan. Selamat mencuba dan salam manis dari CT. Daaa....

Ayam Masak Kuzi
sumber : Nor SecubitGaram / Yatie Memories
Di Olah : Che CT

Bahan-bahan :
1 ekor ayam -potong kecil
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan santan
5 biji cili merah
6 biji tomato - belah 4
1 labu bawang besar - hiris kasar
1 cawan sos tomato
1 sudu besar gula merah
2 batang carrot - potong 1 inci
Garam
2 sudu besar minyak + 1 sudu besar minyak sapi

Bahan Mesin :
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
5 cm halia
2 biji buah keras
1 cawan cili kisar

Rempah Kuzi :
2 sudu makan ketumbar #
1 sudu makan jintan manis #
1 sudu makan jintan putih # - # di sangai dan kisar kering
1 sudu makan serbuk lada hitam
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
3 tangkai bunga cengkih

Cara-cara :
1. Ayam dibersihkan dan gaulkan bersama garam dan kunyit. Goreng ayam 3/4 masak. Ketepikan.
2. Panaskan minyak serta minyak sapi dan tumiskan bahan mesin sehingga wangi dan naik minyak.
3. Masukkan rempah kuzi dan sos tomato. Kacau rata.
4. Masukkan ayam, susu cair, santan, carrot, buah tomato , bawang besar dan cili merah.
5. Tutupkan periuk dan dengan mengunakan api sederhana biar ayam empuk dan kuah pekat sedikit. Masukkan garam dan gula merah, kacau rata, perasakan dan bolehlah dimatikan api.
6. Hidangkan bersama nasi ketumbar atau nasi kegemaran.




Friday, April 20, 2012

Kek Kukus Lapis Biskut Merry


Assalamualaikum... Salam manis dan salam ceria buat teman-teman CT semuanya. Hari ni CT nak letak entri kek pulak setelah sekian hari asik menu kuih muih aje memanjang kan. Sebab apa tayang kek pulak pagi ni, haaa...kesian kat mixer CT tu lama dah dok terperap kat hujung dapur tak dipedulikan... hehehe. Kiranya lama jugalah CT tak membaking kek atau muffin ni kan. Niat hati tu nak juga buat, tapi takut bila buat tak habis pulak dimakan oleh insan-insan tersayang dirumah ni. Kalau kuih muih tu sekejap aje habis sebab kuih muih ni tak jemu dimakan. Kalau kek-kek ni memang cepat aje muaknya.


Untuk resipi Kek Kukus Lapis Biskut Merry ni idea datang sepontan aje. CT dok singgah blog teman-teman dan CT terpandang seorang teman tu buat kek kukus hawflake. Memandangkan anak-anak CT tak suka hawflake sebab masam, CT pun selongkarlah apa yang ada diceruk dapur CT untuk gantikan hawflake. Mula-mula ingat nak letak kismis aje, tapi ada juga yang tak berapa gemar. Lepas tu terpandang pulak biskut merry yang masih tersimpan dalam peti sejuk tu. Apa lagi idea pun datang lah... hehehe.


Cuma CT terpakai loyang yang rendah sedikit jadinya sukatan warna kuning tu tak dapat diletak semuanya, tu yang lapisan kuning untuk biskut tu dok nipis aje. Tak kisahlah janji kek ni memang sedap, lembut dan tak berapa manis okeylah tu kan. Resipi asalnya dari Fida MyResipi, tapi CT olah dengan gantikannya dengan biskut merry perasa kopi. Dulu pun CT ada buat kek ni tapi kurang laku sebab masam kata anak-anak. Tu yang lama tak buat lagi dan tak nak bubuh asam bulat tu lagi, kena lupakan terus sebab anak-anak tak suka... hehehe.


Kadang-kadang kalau kita rajin tu idea boleh datang secara sepontan aje kan. Cuba kalau malas, idea pun susah sangat nak muncul. Nak sentuh mixer pun rasa malassss jer... hehehe. Apa pun kek ni CT buat 1/2 adunan dari resipi asal. Cukuplah untuk CT anak beranak makan. Tak membazir dan tak ada yang terbuang... Alhamdulillah. Kalau nak buat kek atau kuih selalunya CT akan tengok sukatan tu dulu, jika tengok macam banyak sangat CT pasti akan buat 1/2 adunan aje. Itu lebih selamat dan jimat betul tak.


Okeylah, kita terus pada resipilah ya, jika ada yang ingin mencuba silakan. Sampai jumpa lagi, salam manis dari CT. Daaa....

Kek Kukus Lapis Biskut Merry
Di Olah : Che CT

Bahan-bahan :
3 biji telur grade A
110 gm gula kastor
110 gm tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1/2 sudu besar ovalette
75 ml susu cair
1/2 sudu kecilk garam
50 ml minyak jagung/masak
1 sudu kecil esen vanilla
Pewarna merah, kuning dan oren - ikut suka
Biskut merry secukupnya - perasa kopi

Cara-Cara :
1. Didihkan air dalam periuk kukusan. Ayak tepung gandum dan baking powder kedalam manggkuk adunan.
2. Kemudian campur kesemua bahan-bahan lain ke dalam mangkuk adunan kecuali minyak, biskut merry dan pewarna.
3. Pukul adunan dengan kelajuan tinggi selama 5 minit hingga sebati dan gebu. Masukkan minyak jagung/masak dan digaul dengan spatula hingga sebati.
4. Alas loyang dengan kertas minyak dan glis dengan sedikit butter.
5. Bahagiakan adunan kepada 3 bahagian sama banyak dan diletak pewarna yang digemari dan dikacau rata.
6. Ratakan adunan pertama dan susun biskut merry diatasnya dan kukus selama 5 minit dengan api sederhana kecil dalam kukusan yang telah dipanaskan dulu.
7. Buat lagi dengan adunan kedua dan susun biskut diatasnya kukus lagi 5 minit. Dan buat lagi dengan adunan terakhir dan kukus lagi selama 10 minit.
8. Setelah kek masak, biarkan di dalam loyang selama 10 minit kemudian baru diterbalikkan di atas rak dawai supaya sejuk.



Wednesday, April 18, 2012

Kuih Cucur Badak


Assalamualaikum... Salam manis, Salam mesra dan Selamat pagi. Tiga S untuk pagi ni ya... hehehe. CT harap semoga teman-teman CT semuanya sihat-sihat dan sentiasa ceria seperti CT di pagi ni, dan semoga keceriaan dan kesihatan yang baik buat kita kekal berpanjangan selamanya... Aminnn. Apa menu yang dihidang atas meja untuk insan-insan dirumah hari ni ye? Untuk CT, kuih Cucur Badak yang rasanya dah lama betul CT tak buat. Macam dipanggil-panggil pulak untuk CT buat kuih ni. Nak kata mengidam tu tidaklah. Entah macam tekak ni teringin sangat nak makan. Tambah pulak keledek yang dibeli tu masih ada berbaki, sayang pulak bila dibiar nanti sampai masuk angin dah tak sedap pulak.


Bila dah ada gesa nak makan sesuatu macam ni, baik jangan ditangguh, mesti nanti terbantut nak buat jika ditangguh-tangguh. Jadi, terus aje jalankan projek tak tunggu lagi dah... hehehe. Semua bahan ada diceruk Dapur CT. Kelapa parut pun memang sentiasa ada dalam peti sejuk beku tu. Jadi bila nak guna, hanya keluarkan dan biarkan diluar beberapa jam, lepas tu terus boleh diguna. Kalau nak kekedai tu malas sebab kena jalan kaki jauh tuuu hehehe. Jadinya beli lebih dan simpan dalam bekas dan letak dalam peti sejuk beku, senang.


CT suka kuih cucur badak ni. Dulu-dulu tak reti nak buat jadinya kita dok beli ajelah. Bila dah pandai buat sendiri ni lebih baik buat, untung dan banyak pula dapatnya. Tapi kalau setakat nak makan seorang aje tak payahlah buat, beli RM2 aje dah cukup kot... hehehe. Masa anak-anak CT makan, CT tanya juga kat anak-anak, kenal tak kuih apa ni. Semuanya geleng kepala aje, ye lah anak  zaman sekarang ni mana ada yang kenal kuih-kuih lama ni kalau bukan kita yang beritahu ya tak. Kiranya anak-anak CT baru sekali ni CT buatkan kuih cucur badak ni kot, kesiannnn... hehehe


Kalau dulu semua kuih muih satu biji dalam 20sen satu, sekarang mana nak dapat dengan harga macam tu. Bahan masakan pun semuanya dah naik. Jadi janganlah mengeluh kalau ada penjual yang jual kuih dengan harga yang tinggi ya. Kita kena tahu juga harga bahan-bahan masak sekarang semuanya dah naik harga. Jadi jangan cari alasan untuk malas nak buat kuih sendiri dilain kali, termasuk juga pada yang bercakap ni... hehehe.


Okeylah jangan buang masa dengan cakap-cakap kosong ya, kita terus pada resipi dibawah. Jika ada yang sudi untuk mencuba silakan, CT hargai sangat-sangat. Sampai jumpa lagi, salam manis dari CT. Daaa....

Kuih Cucur Badak
Resipi : Che CT

Inti Serunding Kelapa :
1/2 biji kelapa parut putih
4 biji bawang merah #
2 ulas bawang putih #
1 batang serai - hiris nipis #
6 tangkai cili kering - rendam seketika dalam air panas  - toskan #
1/2 inci kunyit hidup #
1/4 cawan udang kering - rendam sekejap dan toskan #
bahan bertanda # dikisar halus dengan sedikit air
Garam dan sedikit gula secukupnya

Untuk Kulit :
700 gm ubi keledek kuning
1 1/4 cawan tepung gandum
1/4 cawan tepung beras
Sedikit garam

Cara-cara :
1. Inti : Dalam kuali panaskan 1 1/2 sudu besar minyak masak dan masukkan semua bahan kisar kacau sebentar. Kemudian masukkan kelapa parut kacau lagi dan masak sehingga kering. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Sejukkan seketika.
2. Untuk Kuih - rebus keledek yang dibuang kulitnya sehingga 1/2 empuk bersama sedikit garam. Toskan dan lecek hingga lumat semasa panas. Ketepikan biar sejuk seketika.
3. Kemudian masukkan tepung yang telah diayak sedikit-sedikit dahulu kedalam keledek yang dilecek sehingga menjadi doh yang lembut.
4. Ambil doh sebesar bola ping pong kemudian leperkan dan masukkan 1 sudu kecil inti serunding. Kemudian tutup dengan kemas dan tekan sedikit ditelapak tangan untuk bentukkan kuih menjadi sedikit leper.
5. Kalau adunan lembik sikit, tak apa sapukan sedikit tangan dengan tepung.
6. Susun kuih dalam bekas yang dialas dengan plastik agar kuih tidak melekat dan buat sampai habis.
7. Panaskan minyak dalam kuali dengan api sederhana dan goreng sambil dibalik-balik sekali sekala sehingga kuih sedikit perang keemasan dikedua-dua belah. Angkat dan toskan atas paper towel.

 



Monday, April 16, 2012

Udang Rencah Goreng Cili Padi


Assalamualaikum... Salam pagi Isnin dan salam ceria buat semua teman-teman CT semuanya,  Alhamdulillah. Hari ni CT tak update hidangan kuih muih seperti selalu tapi CT update hidangan campak-campak dalam kuali aje hehe. Macam kurang sesuai untuk resepi ni diupdate pada pukul 6:30 pagi ni ek. Tapi tak apa lah ye, sebab bukan selalu CT dapat update lauk pauk yang CT masak setiap hari di Dapur CT, lebih-lebih lagi lauk yang berprofil rendah macam ni hehe. Tapi sekali-sekali tu apa salahnya CT kongsikan aje ye tak. Kot-kot ada yang malas nak masak hidangan berat-berat dan takde idea nak masak apa untuk lunch nanti, bolehlah juga buat hidangan campak-campak aje dalam kuali macam CT ni hehehe.  Lauk Udang Rencah Goreng Cili Padi ni kalau dihidangkan dengan nasi panas dan digandingkan bersama ikan goreng dan lauk kegemaran yang lain pasti sedap dan dapat dinikmati dengan berselera sekali.


Resipi ini mudah aje, bahan-bahan pun sentiasa ada di dapur kita, namun terpulang pada selera masing-masing untuk mencampur dan menambah mengikut seleralah ya. Ini pun CT masak apa yang ada didalam peti sejuk CT aje. Namun bila dicampur itu dan ini nampak banyak pula ramuannya... hehehe. CT suka buat udang rencah goreng yang sedikit pedas dan CT lebihkan cili padi di dalamnya. Dan untuk hidangan pula, CT gandingkan bersama lauk lemak kobis yang juga dicampurkan kacang panjang dan tauhu di dalamnya.


Kalau makan beramai-ramai lauk yang simple macam ni pun boleh bertambah nasi berpinggan-pinggan tau. Kalau tak caye, ha cubalah... hehehe. Ini lauk permintaan dari My laling CM ni sebab dah lama tak makan udang rencah ni katanya. Kalau udang yang besar-besar tu suami CT dah kurang sikit gemarnya, tapi kalau udang yang kecik-kecik macam ni dia suka. Okeylah, tanpa membuang masa lagi, kita terus aje pada resipi yang mudah dan simple ni ya. Salam manis dari CT, sampai jumpa lagi. Daaa....

Udang Rencah Goreng Cili Padi
Resipi : Che CT

Bahan-bahan :
300 gm udang rencah - buang kepala saja dan cuci bersih
3 keping tauhu - dadu kecil dan goreng, ketepikan.
5 biji bawang merah - di hiris
2 ulas bawang putih - di hiris
5 batang lada hijau - dihiris
15 batang cili padi - di hiris (dikurangkan jika tak nak terlalu pedas)
1/4 sudu kecil serbuk lada hitam
1/2 inci belacan - bakar sekejap
1 sudu kecil pes asam jawa + 1/2 cawan air - kacau rata
Sedikit garam dan sedikit gula

Cara-cara :
1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, goreng sebentar udang rencah. Bila setengah masak angkat dan ketepikan.
2. Dengan minyak lebihan udang tadi, tumiskan bawang, lada hijau, cili padi dan belacan hingga naik baunya. Kemudian, masukkan udang tadi dan goreng lagi hingga udang masak.
3. Masukkan air asam jawa dan tauhu goreng. Kacau lagi hingga rata. Masukkan serbuk lada hitam, secubit garam dan sedikit gula, kacau lagi dan perasakan. Jika ada yang kurang bolehlah ditambah mengikut selera. Enak dihidang ketika masih panas.


Thursday, April 12, 2012

Kuih Kaswi Pandan Berlapis


Assalamualaikum... Salam manis semanis madu buat semua pengunjung setia Dari Dapur CT. Alhamdulillah hari ini CT dapat bersua kembali menemui teman-teman dengan menu kuih kaswi yang sedap yang resipi asalnya dari Ciku Hafi MyResipi tetapi CT ambil resepinya dari blog Puan Izah Muffin Lover. CT olah resepi kuih ni menjadi dua lapisan dengan perisa berlainan dan jadilah resepi ni menjadi Kuih Kaswi Pandan berlapis Gula merah. Resepi asalnya kuih kaswi pandan saja. Biasalah CT ni suka mencuba sesuatu yang baru, dan membuat pengubahan sedikit dari segi rasa dan rupanya.


Kuih Kaswi ni antara kuih kegemaran CT sekeluarga yang CT suka ulang buat banyak-banyak kali. Mestilah CT nak buat menu yang anak-anak dan suami CT suka betul tak. Sebab merekalah  pelangan tetap CT dirumah... hehehe. Kalau bukan suami dan anak-anak, siapa lagi yang akan habiskan hasil masakan kita ya tak... hehehe. Dan untuk sebab itu jugalah kalau dilihat dalam senarai Dapur CT pasti ternampak beberapa resepi kuih-muih yang seperti di ulang buat, tapi selalunya untuk resepi yang di ulang buat, CT akan ubah sana dan ubah sini sedikit resepinya untuk memberi kelainan. CT harap, jangan jemulah ye hehe.


Kuih kaswi pandan ini dah ramai jugalah yang mencubanya. Tapi untuk resepi yang CT buat ni, CT ubahnya menjadi kaswi pandan berlapis gula merah. Kalau ada yang ingin mencuba versi yang CT buat ni, silakan lah ye. CT gunakan gula merah yang warnanya agak gelap kehitaman sikit yang CT beli masa CT balik JB dulu. Gula merah yang dijual kat KL ni warnanya cerah keperangan dan kurang manis berbanding yang CT gunakan tu. Dan kalau rasa sukatan gula merah yang CT guna tu macam banyak sangat, bolehlah dikurangkan mengikut selera masing-masing.


Okeylah, kita terus pada resipi dibawah ni ya. CT letakkan resepi untuk kedua-dua adunan yang berbeza tu. Kalau ada yang ingin buat versi pandan aja pun boleh, nak buat dua adunan yang berlapis pun boleh, ikut selera masing-masing ye. Sampai jumpa nanti, salam manis dari CT. Daaa....

Kaswi Pandan Berlapis Gula Merah
Resipi : Ciku Hafi MyResipi
Di Olah : Che CT

Adunan Pandan :
1 cawan tepung gandum
1 cawan gula pasir
1 sudu besar tepung ubi
1 sudu besar tepung beras
2 cawan air
1/2 sudu kecil pandan emulco
1/2 sudu kecil pewarna hijau
1 sudu kecil air kapur

Adunan Gula Merah :
1 cawan tepung gandum
1 sudu besar tepung ubi
1 sudu besar tepung beras
1/2 cawan gula merah #
1/3 cawan gula pasir #
2 cawan air # -  # masak hingga gula larut dan tapis. Sejukkan sebentar.
1 susu kecil air kapur

1/2 biji kelapa parut putih
sedikit garam

Cara-cara :
1. Didihkan air dalam periuk kukusan. Sapu sedikit minyak pada loyang dan alas dengan plastik bersih dan lebihkan sedikit untuk memudahkan kuih dikeluarkan nanti. Panaskan loyang sebentar dalam 5 minit.

2. Satukan semua adunan pandan dalam mangkuk kacau rata dengan whisk atau boleh juga diblend hingga halus kemudian tapis. Buat adunan gula merah juga seperti adunan pandan dan ketepikan dahulu.

3. Tuang adunan pandan dalam loyang 7 inci dan kukus selama 15 minit dengan api sederhana. Bila adunan dah masak, cakar sedikit dengan garfu atasnya dan tuang adunan gula merah perlahan-lahan diatas adunan pandan tadi.

4. Balut penutup kukusan dengan kain bersih agar air tidak menitik atas kuih nanti. Dan Kukus lagi selama 15 minit. Bila dah cukup 15 minit buka tutup kukusan dan biarkan adunan dalam 2 minit lagi. Matikan api, angkat dan sejukkan sepenuhnya sebelum dipotong dengan mengunakan pisau plastik.

5. Kukus sebentar kelapa parut dan gaulkan bersama garam sehingga rata. Kemudian bolehlah dihidangkan bersama kuih kaswi tadi. Selamat mencuba :)




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...