Sunday, March 28, 2010

Kek Pisang




Kali ni buat kek pisang lagi, tapi resepinya aku amik dari FP Maklang, sumber dari yatie'cooking. Memang gebu, bau harum masa bakar dan naik cantik jer kek pisang ni. Tapi aku ada tambah sedikit coklat urai kat adunan kek pisang ni. Resepi yang lain masih sama tak berani aku nak ubah2 resepi orang kang lain lak jadi nya. Masa dah siap adun aku tengok macam sikit jadi aku guna loyang empat segi 6 x 6 inci jer. Terima kasih buat Maklang dan juga Yatie'cooking.


Kek Pisang
Sumber dari yatie'cooking

Bahan-bahan:
2 cawan tepung naik sendiri
1/2 sudu teh soda bikarbonat
3/4 cawan gula (CTguna gula castor)
2 biji telur
1 1/2 cawan pisang emas dilenyek (CT guna pisang berangan)
1/2 cawan minyak masak (bole guna butter cair juga)
sedikit esen pisang
50 gm coklat urai (CT tambah yang ini)

Cara-cara:
1. Pukul telur & gula hingga kembang.
2. Kemudian masukkan pisang yang dilecek halus & esen perasa pisang.
3. Masukkan minyak masak / butter cair.
4. Akhir sekali masukkan tepung & soda bikarbonat.
5. Bakar / kukus (CT bakar 175 C selama 1 jam atau hingga masak).


Friday, March 26, 2010

Ayam Bakar Blackpepper Bermayonis




Ayam bakar ni aku buat untuk makan dengan nasi ayam tu haaa... Ingat ayam ni aku nak masak sup pas tu goreng macam biasa jer. Tapi macam nak tukar selera lak tekak ni, aku terus buat ayam bakar jer. Dah banyak kali buat ayam bakar kat rumah ni. Cuma malas nak tayang kat Dapur CT, sebab memang tak sempat nak tayang dah licin pun hehehe. Kat rumah anak2 dan my laling CM pun memang suka makan dan ratah ayam bakar ni. Jadi kerja aku pun senang, hati pun manyak suka sampai keluar itu bunga2 sebab suma suka makan lorrr.. hehehe. Terima kasih pada Ros kerana berkongsi resepi ayam bakar bermayonis ni. Memang sedap hingga menjilat jari. Yum.. yum.. yumm..!


Ayam Bakar Blackpepper Bermayonis
Resepi dari Ros@Jintanmanis

Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam ( bersihkan dan cucuk dengan garpu)
1 sudu kecil blackpaper
2 cm halia ( agak-agak je)
2 biji bawang putih
1/4 biji bawang besar
1 sudu besar madu
1 sudu besar gula
1 sudu kecil kicap manis
1/2 sudu kecil garam
2 sudu besar mayonis
sedikit lada sulah

Cara-cara:
1. Blender bawang besar, halia, bawang putih dengan sedikit air sehingga hancur, kemudian curah di dalam bekas dan campur gula, lada sulah, garam, madu dan lada hitam.
2. Masukkan ayam dan akhir sekali letakkan mayonis, gaul sebati dan perap di dalam peti ais selama 2 atau 3 jam, bakar pada suhu 190 darjah selama 40 minit, sedia untuk dihidangkan, Selamat Mencuba. ( kalau perap lagi lama lagi sedap ayam bakar ni, dan bakar biar perang sikit permukaan ayam tu).


Nasi Ayam




Hari ni tekak aku terasa macam nak makan nasi ayam lak pulak, mula2 tu ingat nak beli jer. Tapi bila ingat insan2 tersayang kat rumah... baik ler buat sendiri. Terjamin kebersihan dan kelazatannya dan jimat pula ongkosnya betul tak...! hahaha. Buat nasi ayam ni tak ler payah mana pun. Semua geng masak2 handal belaka, tambah lagi kalau dapat makan dari hasil tangan sendiri kan. Tapi aku teringin nak merasa nasi ayam dari seseorang sebenarnya. Tapi tak leh cakap siapa lah insan 'bertuah' tu kat sini hehehe. Kang dah tau nama dia yang naik terus dia tak nak bukak pintu kalau aku kata nak datang rumah ekekeke. Siapakah dia..?? Kena undi nama siapa yang naik dulu ler. Emm... tungguuuu..! hehehe.


Nasi Ayam
Resepi dari Suejoshua

Bahan Nasi:
5 beras wangi - dibersihkan dan toskan
4 cm halia - diketuk #
4 ulas bawang putih #
2 ketul kiub pati ayam
2 helai daun pandan - disimpul
2 sudu besar mentega - ct guna minyak jagung jer
Rempah 4 beradik (rempah tumis)
Garam
Air mengikut sukatan beras
(Bahan bertanda# CT tumbuk halus)

Cara-cara:
1. Panaskan mentega/minyak didalam periuk rice cooker dan tumiskan halia, rempah tumis dan daun pandan hingga wangi, kemudian masukkan beras dan air secukupnya mengikut sukatan, kacau rata dan biarkan hingga mendidih, masukkan kiub pati ayam dan garam, kacau rata dan alihkan periuk kedalam rice cooker dan teruskan masak sehingga nasi masak sepenuhnya.
2. Bila nasi masak bolehlah dihidangkan bersama ayam goreng bercili. (CT hidangkan bersama ayam bakar mayonis :D ).


Thursday, March 25, 2010

Kuih Bakar Jagung




Yuhuuuu...! Cak cak cakkk..!! minta maaf ler pada kawan2 yang setia pada Dapur CT ni. Tiada apa yang dapat aku ucapkan selain terima kasih banyak2 kerana masih sudi singgah Dapur CT ni. Bukan aku sepi malas nak duk kat dapur, tapi sepi x der mood nak update jer ekekeke. Lagi pun baru jer dapat khabar yang menyedihkan dari kampung, pakcik aku meninggal dunia semalam. Jadi mood merundum ler sekejap, sekarang ni dah okey balik. Berbalik dari resepi lak ya... aku buat kuih bakar jagung lagi. Ni kes kuih ulang tayang lah ya, tapi kali ni aku buat double dari adunan dibawah. rasanya adunan kat resepi tu macam sikit bagi keluarga besar macam aku ni hehehe. Dah pernah buat tapi buat lagi sebab sedappp..! Resepi dari Zana dan MyResepi juga. terima kasih daun keladi ya. Lain kali buat ikut resepi ni jer, senang nak ingat hehehe.


Kuih Bakar Jagung
Sumber dari MyResepi

Bahan-bahan:
1 cawan tepung gandum
1 cawan santan
1 cawan susu sejat
3/4 cawan gula
2 biji telur
1 tin jagung manis ala krim
sedikit pewarna kuning
sedikit bijan jika suka

Cara-cara:
1. "Blender" semua bahan hingga sebati kecuali jagung dan bijan
2. Masukkan jagung dan "blender" sebentar.
3. Tuangkan dalam loyang dan taburkan bijan jika suka.
4. Bakar pada suhu 160 C selama 1 jam (CT bakar 1 jam 30 minit sebab nak berkerak sikit atas kuih).


Wednesday, March 17, 2010

Muffin Pandan




Lama gak tak buat muffin kat umah ni, rasanya ini yang pertama dalam tahun ni kot hehehe. Saja buat utk anak2 time cuti-cuti sekolah ni. Resepi ni aku amik dari FB RinnChan dan sumbernya dari Cari.com, terima kasih banyak2. Oleh kerana stok paperliners dah abis, aku guna lah papercup yang besor2 tu, hasilnya dapatlah angaran dalam 10 biji. Topping lak guna bahan yang sedia ada kat dapur, aku tabur kismis jer buat bunga atas dia ekekeke. Banyak harum bila bakar muffin ni, harum bau pandan emm...wangi jer :D


Muffin Pandan
Sumber dari Cari.com

Bahan-bahan:
200 gm tepung gandum
1 1/2 susu kecil baking powder
1/2 susu kecil soda bikabonat
1/2 susu kecil garam halus
120 gm gula castor
200 ml santan kelapa (CT guna santan dalam kotak)
100 ml minyak jagung
2 biji telur
*1 susu kecil pandan paste (Boleh bubuh extra kalau nak lebih hijau)
*1/2 sudu kecil pandan essence
Bahan topping ikut selera - Almond slices, kismis, ceri etc.

Nota :
*Sekiranya tiada pandan paste atau pandan essence, boleh blend 5-7 helai daun pandan bersama 200 ml santan di atas dan tapis ya .

Cara-cara:
1. Panaskan oven pada suhu 190 darj cel. Sediakan loyang muffin dan paperliners.
2. Ayak tepung, baking powder, soda bikabonat dan garam halus. Masukkan ke dalam sebuah mangkuk besar. Campurkan gula halus dan kacau rata menggunakan whisker.
3. Campurkan ke semua bahan basah ke bahan kering. Kaup balikkan sekadar kesemua bahan bercampur. Adunan akan kelihatan seakan berketul2 sedikit (lumpy).
4. Isikan adunan ke dalam paperliners dan taburkan kepingan almond di atasnya.
5. Bakar selama 20minit.

Monday, March 15, 2010

Roti Jala




Siapa suka makan roti jala, meh kita menjala sama2 cepat sikit habis ekekeke. Siapa yang tak suka makan mesti rugi, macam aku lah. Tapi roti jalanya aku makan, cuma kuah kari jer aku tolak tepi. Masih bole makan dengan kuah lain pun kan hehehe. Buat roti jala ni haritu lagi cuma tak kesempatan nak masukkan dalam Dapur CT ni jer. Masa tu dok sibuk dengan anak dara yang nak amik result SPM dia. Jadi sumenya tergendala nak buat, baru ni lah ada masa nak masukkannya. Sori bebanyaklah ya, dah abis pun roti jala ni, tak yah mintaklah erk hehehe.


Roti Jala
Sumber dari MyResipi

Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum
2 cawan air
5 sudu besar susu tepung
1 biji telur
2 sudu besar minyak masak (CT tambah)
beberapa titik pewarna kuning
1 sudu teh garam

Cara-cara:
1. Masukkan semua bahan dalam blender. Blend hingga semua sebati.
2. Perap dalam 1/2 jam. Sediakan kuali & acuan roti jala untuk menjala di atas kuali leper.
3. Jala dengan api perlahan lebih kurang seminit. Sedap dimakan bersama kari ayam.


Sunday, March 14, 2010

Bubur Putih Bubur Merah




Sebenarnya aku buat bubur putih bubur merah ni sempena anak aku Lily yang dah lulus dalam exam SPM nya. Ni pun kira niat aku sebenarnya, jika anak aku lulus aku memang nak buat. Tapi aku buat pun tak lah banyak mana. Cukup lah untuk makan sendiri dan anto kat rumah adik jer. Kebetulan hari ni pun harijadi anak adik aku. Nak bagi kat jiran2 melayu, ada yang balik kampung. Dan selebihnya bukan orang melayu, takut dia orang ni tak biasa nak makan. Kalau kat kampung dulu2 arwah mak mesti buat bila anak2 perempuan mak masuk alam remaja. Dan juga jika ada sesuatu majlis kesyukuran mesti ada buat bubur merah bubur putih ni. Sekarang dah kurang dah orang nak buat kan. Bila majlis harijadi atau apa2 majlis jer ada yang beli kek dan sebagainya. Zaman telah berubah macam2 cara untuk menunjukkan rasa kesyukuran. Buat bubur ni pun main agak2 jer sukatan tadi, dan semestinya kawan2 pun dah tahu membuatnya. Tapi aku letak lah juga resepi ni, jangan tidak kata orang kan.


Bubur Putih Bubur Merah
Resepi Dari CT

Bahan-bahan:
2 'pot' beras + 1/2 'pot' beras pulut
300 ml santan pekat
Daun pandan
Garam secukupnya
Gula pasir - ikut kemanisan lah nya
Gula merah (bancuh dengan sedikit air & tapis)
Air (sukatan seperti nak buat bubur nasi)
(Nota: "Pot" ni ukuran dia lebih kurang sebesar 1 tin susu manis saiz kecil)

Cara-cara:
1. Bersihkan beras dan beras pulut. Masukkan daun pandan dan sedikit garam dan masak seperti nak memasak bubur nasi.
2. Bila beras sudah kembang, masukkan santan dan tunggu sehingga mendidih.
3. Asingkan separuh daripada bubur ini dalam bekas yang lain.
4. Kemudian masukkan bancuhan gula merah dan kacau sehingga sebati.
5. Siap untuk dihidangkan


Ayam Masak Lemak Hijau Cilipadi




Kalau lauk ayam memang dah menjadi menu utama kat rumah ni. Dalam seminggu, dua tiga kali tak bole tinggal mesti ada aje, anak2 pun memang suka makan ayam. Tapi kali ni ayam masak lemak hijau cilipadi jer. Kenapa hijau? selalunya masak kale kuning tapi kali ni kale hijau hehehe. Saje jer nak tukar kale nasib baik tak leh kale merah atau biru erk ekekeke. Ini pun tak der sukatan main sukat2 sendiri jer. Mesti kawan2 lagi terror masak lomak cilipadi berbanding aku ni kan hehehe. Tak der ramuan lain dalam tu cuma bahan2 biasa jer. Layan jer lah lauk yang simple ni ya :)


Ayam Masak Lemak Hijau Cilipadi
Resepi dari CT

Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam - dipotong, dibersihkan dan ditos.
1 cawan santan pekat - dari santan kotak
4 ulas bawang merah #
2 ulas bawang putih #
15 batang cili padi #
2 batang cili hijau #
1 inci kuntit hidup #
1 inci halia #
1 sudu kecil ketumbar biji #
1 biji buah keras #
2 batang serai - dititik
1 helai daun kunyit - disiat
Sedikit air
Garam dan gula pasir secukup rasa
Sedikit minyak
(Bahan bertanda # - dikisar halus)

Cara-cara:
1. Tumis bahan yang dikisar hingga naik bau. Masukkan serai yang dititik dan kacau sebati.
2. Masukkan ayam dan sedikit air gaul sebentar.
3. Masukkan daun kunyit, masukkan santan dan api dikecilkan sedikit dan gaul rata. Biarkan sehingga kuahnya meresap kedalam ayam dan mendidih.
4. Selalu dikacau jadi tidak pecah minyak kuahnya. Tunggu hingga ayam masak anggaran 10 minit atas api sederhana kecil. Tutup api dan hidangkan.


Tuesday, March 9, 2010

Kailan Ikan Masin




Mula2 nak mintak maaf sebab sayur ni dah abis kena ratah yek. Tak sempat nak letak kat Dapur CT semalam, ada banyak benda nak buat. Jadinya ni entri tertunggaklah ya hehehe. Sayur kailan ni memang aku suka makan, lebih2 lagi kalau digoreng bersama ikan masin, memang sedap. Menu yang simple tapi sungguh menyelerakan. Tapi tak bole makan selalu kang tak pasal2 naik balik darah tinggi aku asik makan masin jer ekekeke. Jom tengok resepi ya...


Kailan Ikan Masin
Resepi dari Buku "Masakan Gerai"

Bahan-bahan:
200 gm sayur kailan
2 keping ikan kurau masin
2 ulas bawang putih - ditumbuk halus
4 ulas bawang merah - ditumbuk halus
1 biji cili merah - dihiris
1/2 labu bawang besar - dimayang kasar
1 sudu besar sos tiram
minyak untuk mengoreng

Cara-cara:
1. Sayur kailan dibersihkan dan dipotong.
2. Ikan kurau digoreng hingga masak dan ketepikan
3. Tumiskan bahan tumbuk hingga berbau. Masukkan sayur dan sos tiram.
4. Goreng hingga sayur separuh masak.
5. Masukkan ikan masin, cili merah dan goreng lagi hingga sayur layu.


Monday, March 8, 2010

Bahulu Lapis Pandan




Salam untuk semua yang masih sudi singgah di Dapur CT. Petang tadi aku buat bahulu lapis ni, dah makan separuh pun hehehe. Sememangnya dah lama nak mencuba buat bahulu lapis ni. Masa mat gebu buat aku hanya pendamkan dulu niat dihati ni. Tapi bila aku ke dapur DJ (DayangJack) ada lagi bahulu lapis ni. Memang seru tu dah meluap2 dan hampir meletus, apalagi aku terus buatlah. Bahan2 pun tak lah susah mana dan agak mudah juga nak menyediakannya. Hari ni dengan kerajinan wonder women ku terjadi lah bahulu lapis idaman kalbu hehehe. Tapi aku buat versi pandan, amik resepi dari dapur DayangJack. Terima kasih ya Dayang harap lain kali ada lagi resepi yang sedap2 dari Dayang untuk K.CT cuba lagi :D


Bahulu Lapis Pandan
Resepi dari Dayang Jack

Bahan-bahan:
75 gm tepung gandum + 25 gm susu tepung (diayak)
90 gm gula pasir (dikisar halus)
1/2 sudu kecil baking powder
3 biji telur gred A (CT guna 4 biji telur gred B)
1 sudu kecil pandan emulco / pandan paste
jem secukupnya untuk melapis

Cara-cara:
1. Sediakan loyang yang bersesuaian (nak guna loyang bulat pun boleh). Lengserkan dengan mentega dan alaskan dengan kertas minyak. Lengserkan lagi dengan mentega pada kertas minyak dan taburkan sedikit tepung. Panaskan suhu oven pada suhu 180C.
2. Satukan gula dan telur di dalam mangkuk adunan. Putar hingga kembang. (high speed).
3. Masukkan pandan emulco dan baking powder. Putar lagi hingga kembang dan gebu.
4. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil dikacau dengan senduk kayu. Gunakan kaedah kaup balik.
5. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan bakarlah selama 20 minit atau sehingga perang menyeluruh.
6. Setelah masak, keluarkan bahulu dari oven. Biar sejuk dahulu baru boleh dipotong.
7. Potong kepada beberapa bahagian dan lapiskan dengan jem yang disukai.

Sunday, March 7, 2010

Rendang Ayam Malaysia




Ini hidangan Rendang Ayam Malaysia untuk suami dan anak-anak. Aku buat berkuah sedikit, kang kalau kering kesian lak kat anak-anak, susah nak makan kalau tak berkuah. Resepi kali ni aku cuba dari Majalah Saji tahun 1997, selera hotel dan restoranlah ni. Resepi asalnya guna daging, tapi aku tukar jadi ayam. Saje jer tukar ayam sebab anak2 ni kurang sikit nak makan daging. Kali ni tak der nak CnP jadi kena rajinlah menaip hehehe.


Rendang Ayam Malaysia
Sumber dari Majalah Saji

Bahan-bahan:
1 ekor ayam - dipotong dan dibersihkan.
8 biji bawang merah / 2 labu bawang besar #
5 ulas bawang putih #
1 inci halia #
1 inci kunyit hidup #
4 batang serai #
1 inci lengkuas #
15 batang cili kering #
1 sudu besar ketumbar biji #
1 susu kecil jintan manis #
1 susu kecil jintan putih #
3 biji buah keras #
1 mangkuk santan dari 1 biji kelapa
3 susu besar kerisik
garam, gula dan perasa secukup rasa
daun kunyit dan daun limau purut - di mayang halus
1 keping asam gelugur (CT tambah)
minyak untuk menumis
(Bahan bertanda # : kisar semua hingga halus)

Cara-cara:
1. Tumis bahan2 yang dikisar halus hingga perang dan garing.
2. Kemudian masukkan ayam dan di gaul rata.
3. Masukkan santan dan biarkan ia mendidih buat seketika. Masukkan daun kunyit, daun limau purut, kerisik, asam gelugur dan perasa.
4. Biarkan di atas api hingga ayam empuk dan kuah sebati. Perasakan garam dan bila telah pekat boleh hidangkan. Selamat mencuba.


Tuesday, March 2, 2010

Kuih Rengas @ Gendang Kasturi




Kemarin aku jalan2 ke pasar malam Taman Melati dengan anak2 dan suami. Adalah nampak orang jual kuih rengas a.k.a gendang kasturi atau kacang hijau ni. Banyaknya nama kuih ni tu yang istimewa kot, apa2 lah asal semuanya dah disebut hehehe. Cakap kat suami lamanya tak buat kuih ni. Orang Johor panggil kuih ni gendang kasturi, memang aku dan suami suka kuih ni. Aku suka buat kecik2 nampak comel jer macam orang yang membuatnya hehehe. Bukan apa, kalau buat besar2 susah pulak nak sekali ngap masuk mulut hehehe. Resepi kuih ni aku ambil dari FB chef hanieliza. Mintak izin ya kak liza, CT nak CnP kat sini, terima kasih :D


Kuih Rengas @ Kasturi
Resepi dari Chef Hanileza

Bahan-bahan:
1 cawan kacang hijau - rendamkan beberapa jam (CT rendam 2 jam)
Air secukupnya untuk merebus
1/2 cawan gula pasir (ikut suka manisnya)
3 sudu besar kelapa parut muda (ambil putihnya saja)
3 sudu besar tepung gandum

Bahan Batter (Tepung Utk Menggoreng)
1 cawan tepung beras
1 sudu besar tepung jagung
1 sudu kecik kunyit serbuk
1/2 sudu kecik air kapur
air secukupnya
sedikit garam
minyak untuk menggoreng

Cara-cara:
1. Kacang hijau direbuskan sehingga kacang hijau tu pecah/lembut dan kering airnya. (Jangan sampai hangus..nanti tak sedap)
2. Masukkan kelapa, gula dan tepung gandum. Kacau sebati dan sejukkan.
3. Ambil adunan sedikit dan bentukkan saperti bebola. Leperkan.
4. Bancuhkan bahan batter (gorengan) untuk celupkan adunan kueh kacang.
5. Panaskan minyak dan gorengkan kueh kacang yg telah dicelupkan dgn bahan batter (gorengan) sehingga kuning keemasan.
6. Sejukkan dan hidangkan.


Puding Roti Pandan Kukus




Bersua lagi di awal bulan Mac ni dengan resepi puding roti pandan kukus. Resepi yang dah lama sangat aku tak membuatnya. Kalau kat rumah ni memang tak akan cukup walau buat seloyang besar hehehe. Sebelum ni aku letak kismis tapi kali ni buat tak bubuh apa2 pun bior plain aje. My laling CM memang suka roti kukus ni, ya lah resepi dari mak dia kannn. Okey resepi ada di senarai resepi tu. Tapi tak apa lah aku letak lagi disini lagi untuk kemudahan kawan2 yang ingin untuk mencubanya. Selamat mencuba ya....


Puding Roti Pandan Kukus
Resepi dari CT

Bahan-bahan:
12-14 keping roti putih/gardenia (tak perlu buang kulit tepi)
15 helai daun pandan
1 biji kelapa parut (CT guna santan kotak 100 ml)
5 cawan air
2 biji telur (dipukul ringan)
1 cawan gula pasir (sukatan manis ikut selera masing2)
1/2 sudu teh esen vanila
sedikit pewarna hijau
sedikit garam

Cara-cara:
1. Bersihkan daun pandan, kerat kecil2 dan blend dengan kelapa parut dan air. Tapis untuk mendapatkan santan yang kini berperisa pandan.
2. Dalam mangkuk besar, masukkan telur, gula pasir, santan dan sedikit garam tersebut. Kacau sekejap untuk melarutkan gula.
3. Masukkan esen vanila dan sedikit pewarna hijau, kacau lagi hingga rata.
4. Celupkan roti dalam campuran santan tersebut hingga serap sepenuhnya dan susun dalam loyang. Buat sampai habis dan tuang sedikit lebihan santan atas roti tadi. (CT letak plastik dalam loyang supaya mudah untuk dikeluarkan nanti).
5. Kukus roti tadi selama 15 - 20 minit. Sejukkan dahulu baru di potong. Selamat mencuba ....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...