Friday, March 30, 2012

Kuih Bingka Cracker



Assalamualaikum... Salam manis, salam ceria dan selamat pagi untuk pengunjung setia Dari Dapur CT. Kebelakangan ni CT suka pulak buat kuih tradisional. Jika nak dikatakan mengidam tu, tidaklah ya. cuma resepi kali ini gara-gara dah ternampak dalam blog Yatie. Sekarang ni bermacam-macam resipi yang dah diolah dan dipelbagaikan, baik rupa dan juga bahannya. Sangat inovatif orang yang menghasilkan resipi ni. Memang sedap dan tidak dinafikan CT juga suka. Nak membuatnya pun tidaklah lama sangat. Penyediaan nya pun sangat mudah aje. Hanya kita kena tunggu 1 jam masa membakar tapi nak menyejukkan ajelah yang lama sedikit. Tapi tak kisahlah kalau dah suka lama pun CT sanggup tunggu sebab nak sangat merasa bingka cracker ni... hehehe.



Ramai juga yang CT lihat dah membuatnya, rata-rata yang CT baca mengatakan sedap. Tapi CT cuba buat dulu 1/2 adunan dari resipi asal, sebab nak tahu rasa dan kesedapan bingka ni dulu. Kalau sedap bolehlah ulang buat lagi lain kali. Alhamdulillah memang sedap, lain kali CT pasti buat lagi... hehehe. Kuih ni resipi asalnya dari Kh267tm dari MyResipi dan CT ambil dari blog Yatie Memories. Terima kasih untuk tuan punya resipi dan teman-teman yang baik hati ni diatas resipi ini juga.



Teman teman yang lain buit kuih ni berperisa pandan, tapi CT pulak gantikan dengan pewarna kuning. Dan CT juga tak menggunakan santan dalam adunan ni. Sebaliknya CT gantikan dengan susu cair. Emm... memang sedap lemak-lemak jugalah rasanya. Dan lebih sihat digantikan santan tu dengan susu ya tak. Tapi biskut tu CT blend dahulu bersama tepung gandum sampai halus agar tiada terjadi macam yang Yatie kata, ada berminyak sedikit pada biskut tu masa Yatie blend. Tak kisahlah ikut mana-mana dan cara masing-masing nak buat macamana, yang penting bingka ni sedap itu yang kita nak... hehehe.



Jika ada sesiapa yang nak mencuba dan lihat resipi asal tu bolehlah klik pada nama Kh267tm tu ya. Yang CT buat ini sukatan dari 1/2 adunan, banyak jugalah CT dapat. Memang sesuai untuk keluarga CT yang sederhana banyaknya ni. Kalau buat 1 adunan tu dah boleh jamu keluarga yang besar kot. Masa dah siap adunan ni CT tengok memang banyak jugalah. Terpulang ikut masing-masinglah ya, kalau suka Bingka Cracker ni bolehlah mencubanya. CT jamin memang sedap dan tak rugi jika kita mencubanya lebih-lebih lagi sesuatu yang baru, betul tak.



Okey jika ada yang ingin mencuba silakan. Kita panjang-panjangkan lagi resipi yang mudah dan sedap ni ya. Sampai jumpa nanti, salam manis dari CT. Daaa....


Kuih Bingka Cracker
Resipi asal : Kh267tm
Di Olah : Che CT


Bahan-bahan :
140 gm biskut cracker (biskut lemak)
85 gm tepung gandum
1 cawan gula castor
3 biji telur B
710 ml susu cair - 700 ml susu cair + 10 ml air biasa
1 sudu besar butter
1 sudu kecil pewarna kuning
1/2 sudu kecil esen vanila
Secubit garam

Hiasan :
Sedikit bijan untuk tabur

Cara-Cara :
1. Panaskan oven suhu 180' C selama 10 minit. Lengserkan loyang dengan minyak masak dan masukkan loyang dalam oven 5 minit masa terakhir.
2. Blend biskut cream cracker bersama tepung dalam blender hingga halus, ketepikan.
3. Blend telur, gula, susu cair, pewarna kuning, sedikit esen vanila dan secubit garam hingga gula larut. Masukan tepung yang telah diblender bersama biskut sedikit-sedikit dan blender lagi hingga sebati kecuali bijan.
4. Tuang ke dalam loyang yang dipanaskan sebentar dalam oven dan taburkan bijan rata-rata diatasnya jika suka.
5. Bakar selama 1jam atau sehingga atasnya keperangan.
6. Sejukkan betul-betul dahulu baru dipotong.




Wednesday, March 28, 2012

Buah Melaka



Assalamualaikum... Salam ceria dan salam manis dari CT buat teman-teman semua. Semoga kita semua dikurniakan kebahagiaan setiap masa dikelilingi insan-insan tersayang. Buat sarapan apa pagi ni kita ye? Jika tak buat menu sarapan yang berat, sarapan yang ringan pun tidak mengapa. Lagipun yang paling penting adalah kesederhanaan dan keikhlasan. Walaupun makanan yang di sediakan sangat sederhana tapi jika disediakan dengan seikhlas hati kerana anak-anak dan suami maka rezeki yang sedikit tetapi berkat itu bolehlah diumpamakan seperti sebutir permata kecil yang mahal harganya berbanding seguni kaca yang tidak memberi nilai apa-apa. Dan jangan juga lupa untuk sentiasa bersyukur untuk rezeki yang kita dapat, walaupun cuma sedikit asal saja mencukupi kadarnya malah tiada berlebih-lebihan pula, itulah yang sebaik-baiknya. Hehehe.. maaflah CT seperti bertazkirah pulak pagi-pagi ni. Bukannya apa, sekadar bermuhasabah untuk diri sendiri saja.



Sebelum berbicara tentang resepi hari ini, terlebih dahulu CT ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih diatas ucapan tahniah dan kata-kata semangat dari teman-teman semua. Alhamdulillah... CT ni hanyalah insan biasa, yang masih banyak kekurangan dan masih banyak perkara yang CT masih ingin pelajari. Jika ada yang terkurang atau terlebih dalam setiap resipi yang CT kongsikan di sini, mintak dimaafkan lah ye.. Seperti yang CT kata, CT anggap mendapat peluang untuk resepi kita disiarkan dalam majalah sebegitu adalah sebagai peransang untuk CT memberikan yang lebih baik dalam perkongsian CT dalam blog ini untuk semua. Dan CT juga anggap ianya sebagai saguhati untuk segala usaha yang CT curahkan dalam blog ini. Dan kata-kata semangat dari teman-teman semua tak akan CT lupakan. Semoga selepas ini akan ada teman-teman yang lain yang belum pernah mendapat peluang sebegini akan turut mendapat peluang yang sama seperti CT juga. Pastinya giliran itu akan tiba juga. Insya'Allah.



Seperti kebiasaannya, CT suka buat resepi yang CT dah tahu ianya digemari insan-insan dirumah. Jadinya kuih yang menjadi pilihan pagi ni ialah Kuih Buah Melaka. Ini antara resepi kuih yang senang, simple dan sedap dan sangat digemari anak-anak CT dan juga suami. CT mula buat kuih ni semenjak CT di zaman anak dara dulu. Duduk ramai-ramai dengan kakak-kakak CT dan gentel buat kuih ni sebab arwah mak kata buat sendiri lagi sedap dari beli... hehehe. Disebabkan suka pada kuih ni dan nak makan punya pasal, rajin semualah kami waktu tu.



Masa dulu kalau buat kuih buah melaka ni arwah mak CT akan campur dengan sedikit keledek yang dilecek halus dalam adunan tu supaya kuih rasa lebih sedap. Sekarang ni dah jarang orang nak buat macam tu, sebab nak cepat kerja dan mudah. Tapi CT pun tak letak juga dalam resepi ni sebab stok keledek dah habis, kalau tidak pasti CT dah letak. Lain kali CT akan buat dan share resipinya lagi, Insya'Allah.



Tidak berbicara lebih panjang lagi, kita terus pada resipi yang mudah ni ya. Kalau membebel lebih panjang lagi, kesian kat teman-teman yang datang menjenguk resepi, tapi jangankan kata kuih, air pun tak ada. Jangan marah ya... hehehe. Jumpa lagi nanti, Insya'Allah. Salam manis dari CT. Daaa....

Kuih Buah Melaka

Resipi : Che CT

Bahan-bahan:
2 cawan tepung pulut + 2 sudu besar tepung gandum
1 1/4 cawan air - tambah juka perlu
Sedikit pewarna hijau
1/2 sudu kecil pandan emulco
Gula kabung/Gula melaka - dipotong kecil-kecil untuk inti
1 biji kelapa parut putih
sedikit garam halus
Air secukupnya untuk merebus

Cara-cara:
1. Didihkan air dalam periuk untuk merebus buah melaka.
2. Air dicampur dengan pewarna hijau dan pandan emulco, kacau rata.
3. Tuang air kedalam tepung pulut dan gaul tepung pulut sehingga adunan boleh digentel. Tuang air sedikit demi sedikit, secukupnya.
4. Ambil sedikit adunan, leperkan atas tapak tangan dan bubuh inti. Tutup rapat dan bentukkan bulat.
5. Rebus dalam air mendidih sehingga buah melaka timbul. Angkat dan toskan.
6. Salut buah melaka dengan kelapa parut yang telah dikukus dahulu dan di campur dengan sedikit garam, gaul rata. Hidangkan.




Monday, March 26, 2012

CT bersama AROMA


Assalamualaikum. Salam sejahtera dan salam sayang buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT. Hari ni CT tak update entri masakan ye. Sebab hari ni CT nak berkongsi kegembiraan CT kerana 8 daripada resepi yang pernah CT publish telah di paparkan dalam 6 muka surat di majalah AROMA keluaran bulan April 2012.


CT masih lagi ingat, ketika CT mula-mula berblog dalam blog masakan ini pada tahun 2009 dulu, blog masakan adalah salah satu aliran blog yang terpencil dalam dunia dan kelompoknya sendiri. Kitarannya agak terasing dan hanya berkisar di kalangan kepompongnya saja. Namun kini, blog masakan sudah mula menonjolkan diri dan menjadi salah satu aliran penulisan blog yang tak kurang popularnya. Dan kini, bukan sekadar golongan chef, atau golongan wanita yang season di dapur. Tetapi kini golongan anak muda, malahan tidak terkecuali golongan anak muda yang lelaki turut sama memeriahkan dunia masakan. Semuanya gara-gara kehangatan rancangan masakan realiti TV yang sedikit sebanyak turut menambahkan lagi tempiasnya dalam mempopularkan aliran blog masakan.


Fenomena ini amat menggembirakan CT sebab masakan adalah satu-satunya aliran blogging yang sehati dan sejiwa dengan minat CT. Maklum sajalah, untuk suri rumah sepenuh masa seperti CT, blogging masakan adalah salah satu hobi yang dapat memberikan manfaat bukan saja untuk CT dan keluarga tetapi juga kepada semua yang membaca blog CT. Dengan blogging ini, CT dapat mencuba pelbagai variasi masakan yang bukan saja dapat dinikmati oleh keluarga tersayang malah dapat juga dikongsikan kepada semua pembaca blog CT yang berminat untuk mencubanya.


CT ingin merakamkan ribuan terima-kasih kepada pihak AROMA terutamanya Cik Nur Aziera Ridzuan yang telah menghubungi CT mula-mula sekali dan memberi peluang untuk resepi Dapur CT dipaparkan dalam Majalah AROMA bulan April 2012 ini. Juga kepada Ketua wartawannya iaitu Akmar Jamaludin yang juga kemudiannya telah juga menghubungi CT untuk membuat penggambaran di rumah, tetapi terpaksa CT tolak. InsyaAllah dimasa yang lain lagi jika berpeluang. Dan tak lupa juga, ucapan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua penyumbang-penyumbang asal resepi yang antara resepinya telah CT cuba dan kongsikan dan telah kini terpapar untuk tatapan semua dalam majalah tersebut.


CT amat gembira diberi peluang sebegitu kerana bukan lagi sekadar dikitaran dunia cyber, tetapi dengan diberi peluang untuk muncul dalam media cetak seperti ini dapat memberi peluang untuk CT berkongsi resepi kepada mereka yang tidak melayari dunia internet. CT anggap ini adalah penyuntik semangat untuk CT untuk membuat dan memberi yang lebih baik lagi dimasa hadapan. Akhir-kata, pastinya ucapan yang paling tinggi adalah buat suami tersayang yang memberi sepenuh sokongan dan tunjuk ajar, baik dari cara untuk mengambil gambar sehinggalah kepada cara penulisan CT di blog ini. Tanpa sokongan insan tersayang, tak mungkin CT akan pergi sejauh ini. Apa yang pasti, jalan ini masih jauh dan semoga CT terus diberi kesihatan yang baik supaya CT dapat terus menulis dan berkongsi lebih banyak lagi dan lebih baik lagi untuk semua pembaca blog CT yang tersayang dimasa yang mendatang, InsyaAllah. Akhirkata, salam sayang dari CT untuk semua. Muahss!

Sunday, March 25, 2012

CT di RASA Online


Assalamualaikum. Salam sayang buat semua teman-teman CT. Rasanya hari ni buat kali pertama CT publish entry pada waktu malam, dan hampir waktu tengah malam pulak tu. Cuti hujung minggu ni CT sangat sibuk. Bukan sibuk apa, sibuk berjalan memanjang ke sini ke sana sampai tak ada masa langsung nak jeling tenet pun hehe. Dan bila dah free sikit, tu yang CT duduk depan laptop sekejap sambil update entri ni.

CT tak tahu pulak yang RASA dah keluarkan majalah versi online sehinggalah wakil majalah RASA online menghubungi CT untuk publish salah satu resepi yang CT kongsikan dalam blog CT iaitu Kek Yogurt Mangga dalam laman online diorang. Alhamdulillah semoga perkongsian resepi tersebut akan dapat dipanjangkan kepada golongan sasaran yang lain. Apapun, CT ucapkan terima kasih kepada wakil majalah tersebut.


Okeylah, CT mintak diri dulu untuk masuk beradu ye. Sampai jumpa lagi pukul 6:30 pagi esok. Sweet Dream untuk semua! :)

Thursday, March 22, 2012

Kuih Seri Muka Keledek



Assalamualaikum... Salam manis penuh keceriaan untuk pengunjung setia Dari Dapur CT. Berikan senyuman yang manis dan seikhlasnya dipagi hari buat insan-insan disekeliling kita semoga suasana keceriaan dipagi hari Khamis ni akan kekal berpanjangan sepanjang waktu hingga tirai malam berlabuh. Minta maaflah ya sebab Dapur CT ni asyik tayang kuih muih aje, lauk pauk jarang-jarang sekali.. hehehe. Sebenarnya nak masak macam-macam ni kena tengok selera anak-anak juga. Sebab yang banyak makan pun anak-anak berbanding suami dan CT. Kalau masak yang bukan kegemaran mereka nanti siapa pulak yang nak habiskan semua tu. Dan jika terbazir rezeki yang ada, terkilan pulak rasanya kan. Untuk resepi hari ini, inilah pertama kalinya CT mencuba buat Kuih Serimuka menggunakan Keledek. Sebelum-sebelum ni CT buat serimuka pulut dengan perasa pandan aje atasnya. Memang terasa kelainan dan sedap jugalah kuih ni. Memang lembut sangat-sangat. Dan resepi kuih Serimuka ni asalnya adalah kuih serimuka pisang dari blog Yatie Memories, tapi kemudiannya ditukar jadi serimuka keledek oleh blog Nazrah Bakery. Apa pun, terima kasih untuk kedua-dua teman CT diatas resepi tersebut.



CT buat kuih Seri Muka Keledek ni dalam loyang bulat 5 inci dan adunan selebihnya CT tuang dalam 2 acuan agar-agar. Masa nak keluarkan kuih ni dari acuan agar-agar tu dia melekat sikit pada acuan tu, emm... tu yang kejadiannya tak berapa cantik. Dan mood nak ambil gambarnya pun sedikit terganggu... hehehe. Nanti CT nak ulang buat lagi sebab kuih ni memang sedap dan lembut betul. Untuk resepi ni, CT blend keledek tu sampai halus dan letak sedikit pewarna oren. Untuk lapisan warna hijaunya pulak CT letak perasa pandan emulco, jadilah kuih serimuka keledek oren dan perasa pandan... hehehe.



Sebenarnya masa CT amik gambar kuih ni, adalah kejadian yang tak disengajakan berlaku. Tengah syok-syok amik gambar, papan yang CT letak untuk latar belakang tu tumbang dan hampir-hampir menghempap kuih CT tu, nasib baik tangan ni cepat dan tangkas. Kalau jatuh papan tu atas kuih, terus jadi leperlah kuih serimuka tu... dan terpaksalah tukar namanya kepada Kuih Seri Muka Penyet pulak hehehe. Dah jadi gitu, CT terus makan kuih tu kat situ dan tak jadi nak sambung shoot bagai... hehehe. Lain kali kena lebih berhati-hati dan ikat papan latarbelakang tu supaya kejadian macam ni tak berulang lagi hehehe.



Untuk teman-teman yang nak mencuba resepi ni pulak, dipersilakan dan kalau nak lihat resipi yang asal iaitu kuih serimuka pisang boleh lihat di blog Yatie ya. Salam manis dari CT, sampai jumpa lagi. Daaa....


Kuih Seri Muka Keledek
Sumber : Nadzrah

Bahan Lapisan Bawah :
1 cawan tepung beras

2 cawan santan
2 cawan Keledek lenyek
1/2 cawan gula
2 sudu tepung kastad
sedikit pewarna oren

Cara-cara :
1. Campurkan semua bahan kecuali keledek. Dan masak sebentar dalam periuk hingga naik wap barulah masukkan keledek yang di lecek.
2. Alas loyang dengan plastik dan sapukan sedikit minyak.
3. Tuang adunan dan kukus selama 20 minit.

Bahan Lapisan Atas :
60 gm tepung gandum
100 gm gula pasir
250 gm santan
50 gm jus pandan + 1 sudu kecil pandan emulco + 50 gm santan
1/2 sudu tepung jagung
2 biji telur
Sedikit garam
Sedikit pewarna hijau

Cara-cara :
1. Pukul telur dengan gula. Kemudian campurkan dengan bahan-bahan lain. Tapis dan curah perlahan atas kukusan lapisan bawah tadi.
2. Sebelum tuang adunan di atas lapisan bawah, cakar-cakarkan sedikit permukaannya dengan menggunakan garpu. Kemudian kukus lagi selama 20 minit.
3. Tunggu sehingga kuih betul-betul sejuk sebelum dipotong.



Di sini juga CT nak ambik kesempatan untuk berkata sesuatu buat anak bujang CT yang tersayang, Mohamad Azree Rahmat. Hari ini, tanggal 22hb Mac 2012 adalah hari ulang tahun anak bujang CT yang ke 15 tahun. Selamat hari ulang tahun buat Azree anak Mama. Mama mohon maaf kerana tidak ada kek yang indah dan tak sempat belikan hadiah untuk diberikan di hari lahir mu sayang. Hanya yang dapat Mama berikan hanyalah sekalung doa dan harapan di setiap waktu selepas solat, semoga anak Mama Mohamad Azree menjadi anak yang berjaya, anak yang taat pada suruhan agama dan sentiasa mengingati Allah setiap masa. Dan tidak melupakan jasa kedua ibubapa mu serta orang disekeliling mu. Mama, Ayah, kakak dan adik-adik mendoakan semoga Azree mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR dan berjaya dalam kehidupan serta mendapat keberkatan dariNYA didunia dan di akhirat, Insya'Allah... Amin Ya Allah Ya Rabbal Alamin.


Wednesday, March 21, 2012

Kuih Dadar Pandan



Assalamualaikum... Salam manis dan salam ceria untuk pengunjung setia Dapur CT. Di kesempatan ini CT ingin mengucapkan selamat berjaya untuk anak-anak diluar sana yang sedang menanti dengan penuh debaran untuk mengambil keputusan SPM 2011. Bukan anak-anak saja, ibubapa juga ada yang tak lena tidur sama. Bagi semua pelajar lepasan SPM semoga berjaya dan bergembira dengan keputusan masing-masing ya semoga mendapat keputusan yang cemerlang dan terbaik. Berbalik kepada menu CT dipagi Rabu ini, Kuih Dadar Pandan. Ini satu lagi menu yang mudah nak disediakan, cepat serta sedap dan tak lapuk di telan zaman. Kuih ala-ala kampung macam ni memang tak jemu dimakan, cuma kejadiannya ada lain-lain sedikit. Ada yang licin kulitnya ada yang tergaring sedikit, dan macam-macam lagilah kan.



Lama dulu CT pernah beli kuih dadar ni dekat gerai berdekatan rumah CT. Tapi maaflah sebab terpaksa cakap yang inti kelapanya tu tak rasa apa dan dah tengit baunya. Ini pandangan jujur dan bukan nak mengata pada penjual kuih tu sebab lihat pada luaran nampak sedap dengan inti yang banyak membulat, tapi sayangnya rasa tak seindah rupa. Jadi kita sebagai pembeli walaupun cuba tak nak mengata apa, tapi terlepas juga terkata dalam hati sebab rasa kurang puas hati. Kalau kuih yang dijual tu sedap pasti kita akan datang membeli lagi di lain kali betul tak. Lepas dari kejadian tu, CT tak pernah beli lagi dari gerai tu dan dah jarang juga membeli kuih-kuih kat luar lagi. Kalau terasa nak makan, banyak ke sikit ke, CT akan buat sendiri aje. Sebab tak mahu menambah dosa dibelakang 'penjual kuih' tu sebab takut termengumpat nanti, menambah dosa pulak. Tak mahulah, mintak dijauhkan.




Kuih dadar pandan boleh di pelbagaikan rupa kulitnya. Sebelum ni CT pernah juga buat kuih dadar yang CT dot-dot kan pada kulit nya. Biasalah sesekali ingin mengubah rupanya sedikit mengikut idea yang datang secara tiba-tiba. Nampak cantik pulak dimata. Tapi mula-mula tu anak CT tanya juga kuih apa ni. Bila dah cakap kuih dadar barulah dia nak makan dan terus masuk mulut... hehehe. Biasalah kalau nampak pelik aje, anak-anak ni mesti tanya dan siasat dulu sebelum nak makan.



Kebiasannya kalau buat kuih-kuih yang mudah dan senang ni CT jarang jugalah nak sukat-sukat bagai. Sebab dah tahu banyak mana kita nak letak bahan-bahan tu semuakan. Dulu-dulu pun bila tengok arwah mak CT buat kuih dadar pun tak ada sukat bagai. Main curah aje tepung tu dalam 'besen' tuang air daun pandan, garam kacau-kacau dan terus aje golek dalam kuali sedap juga, habis kami adik beradik makan... hehehe. Tapi untuk dikongsikan dalam blog ni tak bolehlah buat macam tu, kenalah sukat, nanti susah pulak untuk yang nak mencuba resepi ni. Tapi CT rasa dah ramai juga yang buat kuih dadar tak ada sukat-sukat, betul tak... hehehe. Atau cuma CT aja yang macam tu, yalah buat apa nak bohong cakap jujur aje apa salahnya kannn... :)



Okeylah jika ada yang teringin nak makan atau dah lama tergerak nak buat kuih dadar ni tapi tak terbuat-buat tu, bolehlah cuba ya. Yang ni CT sukat betul-betul tak main tuang-tuang bagai ya, kalau rasa macam sikit bagi keluarga besar bolehlah digandakan sukatan dari resipi dibawah. Salam manis dari CT, sampai jumpa nanti. Daaa....


Kuih Dadar Pandan
Resipi : Che CT

Bahan-bahan :
1 cawan tepung gandum
1 biji telur gred A
1 cawan santan
1/2 cawan air *
8 helai daun pandan - * kerat kecil dan kisar dengan 1/2 cawan air. Tapis dan ambil airnya.
1/2 sudu teh garam
Sedikit pewarna hijau


Inti :
1 biji kelapa parut putih
1/2 cawan gula merah
2 sudu besar gula pasir
1/2 cawan air
secubit garam
1 helai daun pandan - di simpul
1 sudu besar tepung jagung

Cara membuat inti :
1. Untuk inti: Masukkan air, kelapa parut, gula merah, gula pasir dan secubit garam serta sehelai daun pandan dalam kuali.
2. Masak hingga agak pekat dan taburkan sedikit tepung untuk kentalkan intinya.
3. Kacau sehingga sebati sehingga tepung jagung tadi bercampur rata. Bila inti betukar warna keperangan. Angkat dan ketepikan daun pandan tadi.

Cara membuat kulit dadar :
1. Satukan semua bahan dalam mangkuk dan kacau dengan whisk hingga rata dan tapiskan dalam mangkuk lain. Biarkan sekejap dalam 10 minit.
2. Panaskan kuali / non stik pan, leser dengan sedikit minyak dan ambil 1/2 senduk adunan tadi dan layangkan atas kuali / non stik pan agar adunan jadi bulat.
3. Masak anggaran 2-3 minit dan angkat. Setelah angkat, sudukan inti keatasnya dan gulung kemas.
4. Ulangi proses yang sama sehingga adunan tadi habis.





Tuesday, March 20, 2012

Bubur Pulut Hitam



Assalamualaikum... Salam manis dan salam ceria buat teman-teman semua. Alhamdulillah, entri untuk hari Selasa dapat ke udara. Mudah-mudahan keadaan kesihatan CT akan bertambah baik. Sebagai surirumah kita sentiasa mengharapkan supaya kita sentiasa sihat. Kalau badan tak sihat, banyak kerja rumah yang akan tertangguh. Maklumlah hanya kita seorang saja yang buat kerja rumah, dan anak-anak yang ada kat rumah ni pun semuanya lelaki. Kalau nak harapkan dorang membantu CT sedikit sebanyak waktu CT kurang sihat pun tak boleh juga. Tahu ajelah budak lelaki. Jadi kerahkan ajelah keringat dan tulang empat kerat ni... hehehe



Untuk entri Bubur Pulut Hitam ni, kira macam mengidam nak makan macam-macamlah ni. Semua nak makan, sebab masa tak sihat nak makan maggi pun macam tak selera nak telan. Pada hal menu tulah yang CT suka makan kalau demam, lagi pedas lagi selera aje masuk dalam mulut... hehehe. Jadi bila dah sihat sikit ni, teringin pulak nak makan bubur pulut hitam ni. Lagi pun macam dah lama sangat rasanya CT tak buat bubur pulut hitam ni. Tapi CT buat taklah banyak mana pun, setakat cukup untuk kami 5 beranak dirumah sekali hadap. Anak dara CT dah balik semula kekampus, jadinya tukang makan dah kurang satu. Lepas habis exam 29hb ni nanti dia balik cuti dalam sebulan gitu kot, haa... tengoklah macam-macam akan di mintak suruh Mama dia masak nanti.



Bubur pulut hitam ni, CT gemar makan dengan biskut lemak. CT patah-patahkan biskut lemak dalam tu dulu kemudian barulah makan... hehehe. Kalau bubur jenis pengat pulak, CT suka makan dengan roti yang juga dikoyak dicebis-cebis masuk kat dalamnya. Ada yang makan macam tu juga tak? Memang dari dulu CT suka makan bubur dan pengat cara macam tu, sedapppp!



Esok nak makan apa pulak, tak tahu lagi. Harap-harap tak terasa nak makan makanan yang susah nak membuatnya sudah ler. Tak larat nak duduk lama-lama kat dapur tu. Tapi kalau ada yang sudi nak tolong masak untuk CT, bolehlah juga CT order aje nanti... hehehe. Salam manis dari CT, sampai jumpa lagi esok, Insya'Allah. Daaa....

Bubur Pulut Hitam
Resepi : Che CT

Bahan-Bahan:
1 cawan pulut hitam - cuci bersih dan rendam sebentar dalam 30 minit
3/4 cawan gula pasir
2 helai daun pandan - disimpul
1 1/2 cawan santan cair
1/2 cawan santan pekat
Secubit garam

Cara-cara:
1. Rebus pulut hitam dengan air secukupnya hingga betul-betul kembang.
2. Bila pulut hitam dah kembang, tuangkan santan cair. Masukkan gula pasir, daun pandan dan secubit garam. Masak hingga mendidih sambil terus dikacau hingga masak. Matikan api dan angkat.
3. Masukan santan pekat dalam periuk kecil bersama sedikit garam. Masak sebentar tak perlu sampai mendidih, agak-agak dah naik wap tutup api dan angkat.
4. Ceduk bubur pulut hitam dalam mangkuk, kemudian tuang satu camca besar pati santan pekat sebelum menghidang.


Monday, March 19, 2012

Pau Gebu Dan Lembut II



Assalamualaikum... Salam manis, salam ceria buat semua teman-teman dan bertemu kembali setelah seminggu Blog Dari Dapur CT tak ber update selepas sekembalinya CT dari kampung dan keadaan kesihatan yang tidak berapa baik. Sekarang ini pun badan masih lagi rasa seram sejuk dengan sakit tekak yang masih tak hilang dan batuk sedikit. Sepanjang CT berehat, ada ke yang tertunggu-tunggu apa entri seterusnya dari "Blog 6.30 pagi" ni. Mungkin ada yang tersenyum-senyum tu... hehehe. Ada juga yang bertanya pada CT kenapa entri CT semuanya diupdate pada pukul 6.30 pagi. Untuk menjawab persoalan tersebut, sebenarnya CT siapkan gambarnya, edit sikit, letak watermark, bubuh resepinya dan save dalam posting dulu pada waktu malam. Jadi selepas subuh tu CT terus siapkan menaip teks nya pula dan publish dengan masanya disetkan kepada 6:30 pagi. Memang dah menjadi kebiasaan CT buat macam tu sebab nak siapkan teks tu lebih mudah kalau CT buat fresh awal pagi, senang dapat idea apa nak tulis. Kecuali hari Sabtu dan Ahad je CT tak update sebab pejabat buruh suruh CT cuti 2 hari dalam seminggu... hehehe. Jadi, itulah sebabnya tepat jam 6.30 pagi blog Dari Dapur CT akan publish entrinya kecuali ada hal-hal tertentu yang menghalang seperti tenet slow atau lain-lainnya. Okeylah kita kembali semula pada resipi untuk hari Isnin ni dulu ya.



Resepi Pau Gebu Dan Lembut ni yang kedua kalinya CT buat, sebelum ni CT pernah buat tapi resepi orang lain. Yang kedua ni, memang betul-betul lembut tak tipu punya. mungkin sebab letak bread softener tu kot. Kiranya ini adalah kuih kegemaran yang paling digemari oleh anak-anak dan suami begitu juga dengan CT. Makan pau ni kalau hari-hari pun CT tak kisah, tapi intinya kenalah diubah-ubah. Kalau setiap hari intinya sama, tak masuk juga hehe. Untuk resepi pau ini CT letak inti daging dicampur keledek dan CT sumbat intinya banyak-banyak. Kalau letak sikit-sikit macam dok celah gigi aje tak cukup... hehehe.



Pau kali ini CT cuba resipi dari Ton MyResipi, yang ternyata memang lembut dan gebu. Walau disimpan semalaman ia masih lagi lembut hingga keesokan harinya. lain kali kalau nak buat pau lagi, nak guna resipi dari Ton ni lagi. Terima kasih banyak-banyak pada yang empunya resipi ni, memang sangat sedap, lembut seakan kapas aje bila dikoyak kulitnya. Pau ni CT lapik dengan daun pisang jadi paunya jadi macam kekuningan sikit. Mula-mula tu tanya juga kat My laling CM kenapa pau ni tak putih macam selalu. Laling CT bagitau kalau guna daun pisang, memang pau akan jadi kuning sikit disebabkan warna dari daun pisang tu diwapkan dan meresap ke pau semasa dikukus. Macam tu rupanya, tapi tak kisahlah janji pau tu sedap dan lembut CT tak kisah pun... hehehe. Cuma sampai sekarang CT masih lagi tak pandai nak buat bunjut atas pau tu macam yang jual kat kedai tu... hehehe. Kalau ada sesiapa yang tahu bolehlah kongsi dengan CT nanti ya :)



Okeylah, CT tak nak cakap panjang berjela lagi, kita terus pada resepi dibawah ni ye. Jika ada yang suka makan pau dan nak cuba resipi dibawah ni, silakanlah mencuba. Dan kalau makan tu nanti ingat-ingatlah CT sama okey. Sampai jumpa lagi, salam manis dari CT. Daaa....


Pau Gebu Dan Lembut II
Resipi : Ton MyResipi
Sumber : Che CT


Bahan-bahan :
250 gm (2 1/2 cawan ) tepung pau diayak (pakai tepung gandum pun boleh)
3 gm (3/4 sudu teh) yis kering
2 gm (1/2 sudu teh) baking powder
50 gm (4 sudu makan) gula castor
20 gm (1 sudu makan) lemak sayuran
2 gm (1 sudu teh) bread softener
1/2 cawan air suam

Cara-cara :
1. Satukan tepung, yis, baking powder, bread softener didalam mangkuk adunan.
2. Uli sebati dengan memasukkan air suam sedikit demi sedikit.
3. Masukkan lemak sayuran, uli lagi sehingga doh tidak melekat/licin. (Jika menggunakan Bread Maker, masukkan mengikut turutan, air suam, yis, tepung pau, baking powder, gula castor, bread softener dan lemak sayuran kemudian pilih menu dough dan tekan start)
4. Biarkan doh selama 10 minit pada suhu suam. (Jika menggunakan Bread maker, biarkan doh didalam bread maker selama 10 minit sahaja, tak perlu tunggu sehingga masa tamat (1 1/2 jam)
5. Bahagikan doh kepada 10 bahagian
6. Masukkan inti dan tutup kemas.
7. Letakkan setiap pau diatas kertas empat segi yang dipotong 2" x 2 " dan susun didalam pengukus.
8. Rehatkan pau selama 45 minit didalam kukusan.
9. Didihkan air didalam periuk pengukus. Bila air mendidih, barulah diletakkan kukusan yang berisi pau tadi. Kukus pau selama 10 minit.

Tips : Air perlu lah betul2 panas/mendidih untuk mengukus pau bagi mendapatkan pau yang lembut dan gebu.




Tuesday, March 13, 2012

Sepetang Bersama Ita "Masam Manis"



Assalamualaikum... Salam ceria dan salam rindu buat semua teman-teman CT. Harap maaf sebab untuk 2-3 hari ni CT tak dapat nak update entri masakan. Penat balik kampung masih tak hilang lagi, jadi nampaknya tak dapatlah dapur CT nak berasap. CT balik kampung ke JB pada pagi hari Sabtu lepas dan pulang semula ke KL semalam. Cuma 3 hari 2 malam aje. Dah macam pakej menginap di hotel pulak kan hehe. Untuk 2 - 3 hari ni CT nak rehatkan badan sambil menyelesaikan kerja mendobi. Itu baru 3 hari 2 malam tu. Kalau lagi lama, lagi menimbunlah kerja mendobi kan. Lagi pun sekarang ni kan cuti sekolah, jadi CT pun nak ambik kesempatan bercuti jugaklah. Alah, tak lama pun, 2-3 hari aje hehehe

Berbalik pada entri CT hari ini.. se petang bersama Azlita Aziz, pemilik blog masakan Masam Manis. Tak payah di perkenalkan lagi, pasti ramai yang dah kenal Ita kan. Mungkin ada yang tertanya-tanya di mana agaknya pertemuan antara 2 blogger masakan ni erk...? Hehehe... inilah pertemuan tanpa dirancang. CT balik kampung tu memang tak ada tujuan lain. Sebab utamanya kerana nak ziarah suami kakak CT yang terlantar di ICU selepas kemalangan jalan-raya. Dan selain dari itu, sebab dah lama jugak tak balik bertemu dengan adik-beradik, ibu mertua dan anak-anak saudara semuanya. Rasa rindu lama sangat tak jumpa.



Sehari sebelum balik semula ke KL, CT ke pasar SMART membeli barang. dan masa nak balik tu, suami CT bukak mulut "Nak jumpa Ita tak?" Apa lagi CT angguk aje lah. Dah orang nak tolong hantar, kita mesti lah suka hehe. Apalagi, terus aje CT call kot-kot ada jodoh CT nak bertemu dengan Ita. Dan akhirnya terdengar suara serak-serak basah dihujung talian sebelah sana. Setelah menetapkan tempat berjanji-temu, akhirnya ketemu juga dengan rakan sealiran food bloggie yang selama ini ikatan persahabatan cuma sekadar di alam cyber saja. Dan yang lebih mengujakan lagi setelah kami berbual panjang, rupanya kami berdua ini bersaudara dan sejauh yang CT dapat ingat, kami juga berkongsi memori sebagai teman sepermainan semasa zaman kanak-kanak dulu. Itulah yang dikatakan jodoh pertemuan. Walaupun masa dan jarak memisahkan dan memudarkan kenangan silam, tapi disebabkan hobi dan minat yang sama, akhirnya kami dipertemukan oleh Food Blogging. Siapa sangkakan.. Subhanallah.

Selepas pertemuan ini pastinya ada rentetan yang lebih panjang lagi. Namun yang pasti, CT dan My laling CM amat berbesar hati sebab Ita dan family sudi meluangkan masa untuk pertemuan tersebut. Dan tak lupa juga CT nak ucapkan terima-kasih untuk Kek pemberian dari Ita tu yang CT bawak balik ke KL. Nasib agak baik juga sebab sepanjang perjalanan balik tu cuaca hujan dan sejuk jadi terselamatlah kek tu dari mencair... hehehe. Tapi CT agak terkilan sikit sebab tak sempat sediakan apa-apa untuk Ita. Maklumlah, pertemuan terkejut tidak dirancang.



Di kesempatan ini CT nak mohon maaf pada Ita, suami dan anak-anak sekiranya disepanjang pertemuan tu, ada gurauan CT yang menyentuh hati atau CT terkasar atau tersilap kata. Maklumlah bila dah jumpa excited macam tu, mulut kita ni jadi riuh sikit dan kurang terkawal, sampai hubby tegur suruh slowkan berbual dulu sebab makanan yang terhidang tu dah nak sejuk... hehehe. Apapun, CT sangat terharu di atas pertemuan tersebut kerana daripada hanya pertemuan biasa yang tidak dirancang pada mulanya, ia jadi seperti pertemuan jejak kasih pulak. Hanya CT dan Ita aje lah yang tahu hehe.

CT abadikan kek pemberian dari air tangan Ita tu dalam Dapur CT untuk kenangan dalam blog dapur CT ni... Alhamdulillah sedap sangat-sangat. Akhir kata, Terima kasih sekali lagi dan serangkap pantun untuk Ita :)

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kami menumpang mandi
Kalau ada umur ku panjang
Pasti kita berjumpa lagi


Friday, March 9, 2012

Prata Bungkus Berinti Daging



Assalamualaikum... Salam manis dan salam ceria di pagi Jumaat yang mulia. Alhamdulillah... Dapat juga CT update resipi dalam Dapur CT cukup untuk seminggu ni. Walaupun terkejar-kejar dengan masa kerana dalam masa yang sama terpaksa menyiapkan kerja-kerja rumah seharian, tapi dah kerana minat CT pada memasak, jadi dapatlah juga CT menyisipkan sedikit masa untuk update blog dapur CT ni. Bagi CT, Blog Dapur CT ini ajelah tempat yang dapat CT kongsikan segala cerita dan berita tentang resepi dan kisah seharian yang lainnya. Ini semuanya untuk dibuat kenangan bila CT dah bersara dari food blogging ni nanti. Bila ketikanya dah sampai nanti, sesekali bolehlah juga CT baca kembali semua komen-komen dari semua teman-teman dan pengunjung yang telah banyak memberi inspirasi dan teman-teman food blogging lainnya yang telah berkongsi resipi yang telah CT cuba setiap satunya. Itulah gunanya berkawan walaupun cuma di alam maya, namun terasa seolah persahabatan ini sangat dekat dihati.



Berbalik pada menu CT pagi ni Prata Kentang berintikan daging, kentang dan keledek semuanya ada... hehehe. Tapi oleh sebab panjang sangat namanya kalau nak letak semua bahan yang digunakan, CT letak ajelah namanya Prata Bungkus Berinti Daging. Mula-mula tak tahu apa nak buat dengan prata yang tinggal sebungkus dalam peti ais tu. Hasil pencarian resipi terjumpa pulak resepi dalam blog Ros Jintanmanis yang boleh diguna-pakai. Tapi Ros letak inti tuna, CT pulak buat inti sendiri aje kentang dan daging lagi sedap... hehehe. Sebab anak CT ada sorang yang alah pada ikan sardin ni. Nanti kalau buat kesian pulak dia seorang aje yang tak makan. Jadinya buat inti macam ini semua boleh makan dan puas hati betul tak. Kalau nak lihat macamana nak melipat kulit prata tu boleh lihat kat blog Ros lah ya.



Buat inti daging ni sengaja CT buat lebih-lebih sebab inti macam ni boleh dibuat macam-macam kan. Kalau rajin nanti adalah projek lagi... hehehe. Rasanya buat sebungkus ni macam tak cukup ajelah, sebab kecik-kecik masuk mulut 2 kali ngappp! aje dah habis... hehehe. Anak-anak dan My laling CM pun suka makan. Ditambah pulak letak inti tu lebih sikit nampaklah gebu isinya. Tapi lain kali CT nak cuba buat guna kulit puff pulak, tentu lebih rapuh dan sedap. Itu untuk resepi akan datang pulaklah ye.



Oh ya sebelum CT terlupa, hari ini anak-anak dah last exam jadinya minggu depan dah bermula cuti persekolahan. Di kesempatan ini CT ingin memohon maaf kerana Dapur CT terpaksalah berehat sekejap dan tak dapat menyinggah blog teman-teman seperti biasa kerana CT sekeluarga akan balik ke kampung CT dan suami di Johor Bahru selama 3-4 hari. Bila CT balik semula nanti sudah semestinya banyak kerja-kerja rumah yang sedia menanti, mendobi, mengemas rumah dan macam-macam lagi. Jadi walaupun dah balik dari kampung nanti pun pastinya masih sibuk, jadi kalau CT tidak berkesempatan untuk menjawab mesej dan menjengah blog teman-teman, CT mintak maaf dulu lah ye.



Bagi yang ingin sama balik kampung tu hati-hati semasa memandu dan jadikan diri kita pemandu yang berhemah bila di jalan raya, semoga perjalanan kita akan di permudahkan. Sampai berjumpa lagi bila CT dah kembali semula dari kampung nanti. Jika ada kesempatan dan terasa ingin mencuba resipi dibawah tu, silakan lah mencuba ya. Salam manis dan salam rindu untuk semua teman-teman CT, jumpa lagi. Daaa....


Prata Bungkus Berinti Daging
Resipi : Che CT

Bahan-bahan :
1 paket roti prata segera
1 biji kuning telur - pukul sekejap dengan garfu + sedikit pewarna kuning

Bahan untuk Inti :
300 gm daging cincang
4 ulas bawang merah *
2 ulas bawang putih *
sehiris halia *
3 sudu besar rempah kari daging – larutkan dengan sedikit air
2 sudu besar cili kisar
4 biji kentang – potong kiub
2 biji keledek sederhana - potong kiub
1 biji bawang besar – potong kiub
Daun sup - hiris kasar
Garam dan gula secukup rasa.

Cara-cara membuat inti :
1. Blend bahan yang bertanda *.
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan masukkan bahan yang diblend dan goreng hingga kekuningan.
3. Masukkan cili kisar dan rempah kari. Masak dengan api kecil hingga agak garing.
4. Masukkan daging cincang, goreng sebentar. Kemudian masukkan keledek dan kentang, gaul rata. Masukkan air separas bahan-bahan tadi. Masak hingga keledek dan kentang empuk.
5. Bila dah hampir pekat masukkan garam dan sedikit gula. Kemudian masukkan pula bawang cincang dan masak hingga pekat.
6. Akhir sekali, masukkan daun sup. Gaul rata, angkat dan sejukkan.



Cara-cara membuat dan melipat prata :
1. Ambil sekeping roti prata segera dan potong 4 bahagian - ikut saiz yang dikehendaki.
2. Letakkan satu sudu besar inti di tengah-tengah roti prata dan lipat kemas, seakan bentuk puff segi tiga, kemudian susun di atas dulang pembakar yang dialas kertas minyak. Pastikan bahagian yang di lipat diletakkan di bahagian bawah dan gunting sedikit kulit prata, gliss kan di bahagian atas dengan sedikit telur. Ulang langkah tadi sehingga roti prata dan inti habis digunakan. (boleh lihat cara-cara melipat kulit puff dalam blog ROS-Jintanmanis)
3. Akhir sekali bakar prata yang siap dibungkus tadi di dalam oven pada suhu 180 darjah, selama 25 hingga 30 minit ataupun sehingga perang keemasan. Sedap dimakan panas-panas. Selamat Mencuba.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...