Assalamualaikum ... Apa khabar semua teman-teman Che CT? CT doakan semoga semuanya didalam rahmat dan lindungan Allah sentiasa hendaknya. Sudah agak lama CT menyepi diri dari berkongsi resepi seperti kebiasaannya di blog ini kan. Sebenarnya bukan sengaja CT menyepikan diri tapi sekadar berehat buat seketika kerana berkabung untuk kakak CT yang kehilangan suami beliau yang tercinta pada 10 April yang lepas. Hari ini CT kembali semula menemui semua teman-teman CT seperti biasa ye.
Alhamdulillah, untuk resepi hari ini, CT ingin kongsikan resipi yang senang dan mudah cara pembuatannya. Sebenarnya, ini kali kedua CT menggodek kek ini untuk dipublish di blog. Kali yang pertama tu, CT hanya buat separuh adunan sahaja dari resipi asal untuk santapan keluarga tersayang dirumah. Bila CT post kan di Facebook ada pulak yang berminat dan mintak resipinya. Memandangkan CT tak shoot gambar kek adunan yang pertama tu dengan sempurna untuk dikongsikan di blog, jadi sebagai memenuhi permintaan tersebut, CT baking sekali lagi dan kongsikan di sini khas untuk semua teman-teman CT diluar sana pula.
Resipi kek ini pernah CT buat sedikit masa dulu tetapi CT dah modify dan olah resepi tersebut menjadi Kek Kukus Lapis Biskut Merry (resepinya di SINI). Resipi asalnya pula adalah Kek Kukus Velvet Hawflakes yang dikongsikan oleh Fida Myresipi. Untuk resepi yang CT kongsikan hari ini pula, CT olahnya pula menjadi Kek Kukus Warna Warni pula. Suka pulak CT bermain dengan warna untuk adunan kek ini, seolah melakar warna ke atas kanvas lukisan pulak jadinya hehehe.
Bagi yang pernah mencuba resipi dari Fida ni, pasti pernah merasa kelembutan kek yang dikukus ni. Anak-anak CT makan pun berulang-ulang hingga tak sedar habis kek yang dihidang dipinggan. Terasa seronok bila makanan yang kita buat habis dinikmati oleh insan-insan tersayang kan. Rasa sangat dihargai dan terbayar penat lelah terutamanya sewaktu membaking kek ni memang bermandi keringat disebabkan oleh cuaca yang panas membahang ditambah lagi dengan kepanasan dapur.
Bagi yang ingin mencuba, bolehlah semak resipi ydi bawah tu ye. Sukatan gulanya telah CT kurangkan kepada 200 gram, sukatan asalnya ialah 225 gram. Selain dari itu, jika nak buat 1/2 adunan boleh guna loaf pan ukuran 9 x 5 x 3 inci. Jika buat adunan penuh boleh guna loyang berukuran persegi 8 x 8 x 3 inci.
Okeylah CT mohon berundur diri dulu ye. Buat teman-teman yang sudi singgah dan meninggalkan komen yang manis sepanjang ketiadaan CT seminggu yang telah lepas tu, CT ucapkan ribuan terima-kasih. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT. Daaa....
Kek Kukus Warna Warni
Bahan-bahan :
5 biji telur grade A - dari peti ais
200 gram gula kastor
220 gram tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1 sudu besar ovalette
150 ml susu cair
1/2 sudu kecil garam
100 ml minyak jagung / masak
1 sudu kecil esen vanilla
pewarna makanan yang digemari
Cara-cara :
1. Panaskan air dalam periuk kukusan hingga mendidih. Alas loyang persegi dengan kertas minyak. Atau guna silicone mould jika ada.
2. Ayak tepung dan baking powder kemudian campur kesemua bahan-bahan ke dalam mangkuk besar kecuali minyak dan pewarna masakan.
3. Pukul adunan dengan kelajuan tinggi selama 5 - 6 minit hingga sebati dan gebu. Masukkan minyak jagung / masak dan digaul dengan spatula hingga sebati.
4. Sudukan adunan berselang seli warna secara bertompok-tompok dan lorek dengan dengan lidi sate dan kukus selama 5 - 7 minit dengan api perlahan.
5. Buat hingga habis lapisan seterusnya dan kukus lagi. Untuk lapisan yang akhir kukus selama 20 minit dan tutup penutup kukusan dengan kain bersih.
6. Setelah kek masak biarkan di dalam loyang selama 10 minit. Kemudian dibalikkan di atas redai kek supaya kek sejuk sepenuhnya.