Tuesday, January 7, 2014

Daging Sapi Gongso


Assalamualaikum dan salam paling manis buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT. Semoga kita semua diberi kesihatan yang baik dan sentiasa berbahagia di samping insan dan keluarga yang tersayang. Untuk teman-teman yang bekerja sebagai pengurus besar jabatan rumah-tangga seperti CT, pastinya sudah mula sibuk diwaktu-waktu begini, memerah idea memikirkan menu apakah yang hendak disediakan untuk hidangan waktu makan tengahari nanti. Betul tak... Tapi untuk ibu-ibu dan isteri yang bekerja pula, apa kurangnya juga kan.. kadangkala tetap juga sibuk mencari idea untuk menu makan malam, jika berkesempatan untuk menyibukkan diri di dapur setelah pulang dari bekerja.


Untuk resepi hari ini, CT ingin kongsikan resepi berasaskan daging yang di inspirasikan dari negara seberang tapi CT sesuaikan mengikut citarasa kita di sini, resepi yang di beri nama Daging Sapi Gongso. Bagi yang sudah biasa dengan cara masakan negara jiran kita iaitu Indonesia yang CT cuba resepinya ini pasti tahu yang cara penyediaan masakan mereka amat mudah dan ringkas. Tidak terkecuali resepi yang CT kongsikan ini juga. Jadi untuk teman-teman yang terkejar-kejar dengan masa tetapi pada masa yang sama ingin menyediakan menu yang sedap dan berkhasiat, bolehlah mencuba resepi yang CT kongsikan ini ye.


Tapi ada sesetengah orang kurang gemar dengan daging lembu dan ada juga yang turut alah dengan daging lembu. Oleh itu, jika kurang gemar atau elergi dengan daging lembu, boleh saja digantikan dengan daging yang lain, kambing contohnya atau boleh juga digantikan dengan daging ayam yang dipotong kecil. Yang penting, diri sendiri dan insan-insan yang tersayang suka.. betul tak.


Tanpa membuang masa teman-teman dengan CT berceloteh lebih lama lagi, CT mohon berundur diri sampai di sini dulu ye. Bagi yang berminat untuk mencuba resepi yang ringkas tetapi sedap ini, bolehlah semak resepi di bawah tu dan bookmark dulu untuk dicuba nanti ye. Dah cuba nanti, bolehlah beri maklum-balas kepada CT nanti. 


Okeylah, semoga kita berjumpa lagi nanti untuk resepi yang lain pula nanti, salam sayang dari CT dan selamat mencuba ye!... daaaaaa..


DAGING SAPI GONGSO

Bahan-bahan:
600 gram daging batang pinang – dipotong kecil
1 helai daun salam
2 cm halia – diketuk
2 helai daun limau purut – disiat dan buang tulangnya
1 sudu teh gula merah
½ sudu teh serbuk perencah maggi
1 sudu besar kicap manis
Garam – secukup rasa

Bahan Tumbuk Kasar:
8 batang lada merah
3 biji cili padi merah
2 ulas bawang putih
1 sudu teh belacan serbuk


Cara-cara membuatnya:
  1. Panaskan sedikit minyak, tumis bahan tumbuk kasar hingga harum dan sedikit layu.
  2. Masukkan air, daging dan kesemua bahan-bahan yang lain. Kacau rata dan masak hingga kuah sedikit meresap.
  3. Akhir sekali, masukkan kicap manis dan garam secukup rasa. Biarkan sekejap dan angkat.

Thursday, January 2, 2014

Kuih Getuk Ubi


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua teman-teman tersayang dan semua pengunjung setia Dapur CT. Apa khabar teman-teman semua? CT harap semuanya berada dalam keadaan yang terbaik ye. Masih tidak terlambat untuk CT mengucapkan Selamat Tahun Baru 2014 untuk semua kan. Semoga tahun baru ini membawa bersama semangat baru untuk kita mengharungi hari-hari mendatang sepanjang tahun 2014 ini dengan jayanya.


Setiap menjelang tahun baru, perkataan atau soalan yang kerap diajukan kepada kebanyakan dari kita ialah apa AZAM baru. Teman-teman semua ada azam baru tak untuk tahun 2014 ni? CT pulak, tak ada azam banyak sangat, tapi salah satu darinya ialah untuk lebih merajinkan diri mengupdate blog Dapur CT ni yang dah kian berhabuk sebab selalu sangat ditinggalkan lama tidak berupdate hehehe. Semoga CT diberikan semangat baru dan lebih rajin dari dulu. Doakan semoga azam CT tu tercapai ye.. hehehe


Cukuplah kita bercerita tentang azam, kita pergi kepada resepi pula ye. Resepi yang CT kongsikan kali ini adalah salah satu resepi kuih tradisional yang CT berikan rupa dan penampilan yang baru. Kuih Getuk Ubi ni kalau mengikut rupa lamanya memanglah tidak menarik dan mungkin disebabkan itu ianya kurang popular dan semakin dilupai, terutama oleh anak-anak kita. Disebabkan itulah kadang-kala kita kena berinovasi sedikit memberikan penampilan baru kepada rupanya supaya dapat menarik selera golongan anak-anak untuk menikmatinya.


Kuih Getuk Ubi ni sangat ringkas dan mudah penyediaannya dan untuk yang CT tampilkan di sini, CT tumbuk ubi tersebut hingga halus dan lumat bersama air gula dan sedikit pewarna dan CT bentukkannya seperti di dalam gambar menggunakan piping bag. Dan sebagai pelengkap sajian pula, CT taburkan kelapa parut di atasnya berbeza dengan cara penyediaan tradisional dimana kelapa parut dan gula pasir dicampurkan sekali bersama ubi ketika dilumatkan dan kemudian dikepal bulat untuk sajian. Bila rupanya dah di modenkan begini, pasti ramai yang tak tahu yang ini sebenarnya adalah getuk ubi kecuali setelah merasanya kan?


Okeylah CT berhenti sampai di sini dulu ye. Pada yang berminat untuk mengetahui keenakan Kuih Tradisional yang telah di inovasikan ini bolehlah mencubanya nanti ye. Sampai kita berjumpa lagi nanti dengan resepi CT yang lain, sekali lagi CT ucapkan Selamat Tahun Baru 2014 untuk semua! Daaaaa...


KUIH GETUK UBI

Bahan-bahan:
1 kg ubi kayu – kupas kulitnya
½ biji kelapa – parut putih dan kukus 10minit
200 gram gula pasir
½ sudu teh esen vanila
100 ml air
Sedikit pewarna makanan

Cara-cara membuatnya:
  1. Campurkan gula, air, esen vanilla dan pewarna makanan dan masak sehingga pekat. Ketepikan hingga sejuk.
  2. Kukus ubi kayu hingga empuk.
  3. Setelah ubi masak, keluarkan dan tumbuk ubi tersebut ketika masih panas sambil dituangkan campuran air dan gula keatasnya sehingga lumat.
  4. Akhir sekali, tuang kedalam acuan atau bentukkan mengikut selera.
  5. Hidangkan bersama kelapa parut atau keju parut.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...