Assalamualaikum.... Salam manis buat semua teman-teman dan pengunjung setia yang bertamu menceriakan Dapur CT. Sekejap saja rasanya kita sudah melepasi pertengahan bulan November, maknanya sudah dua minggu juga anak-anak bercuti. Memang tidak terasa masa yang berlalu bila sehari-suntuk mengadap pelbagai kerenah anak-anak dirumah. Dalam keriuhan anak-anak yang bercuti ni, aktiviti yang terlebih buat dari hari biasa adalah aktiviti memasak. Maklumlah anak-anak ni bukannya reti mulut tu nak duduk diam. Ada aje yang dimintanya jadi mamanya pun turut sama lah kena tempiasnya. Cuma kadang-kadang tu hasil yang di masak tak sempat nak di posing masuk blog dah habis di makan anak-anak hehehe.
Tanpa bercerita lebih panjang, kita berbalik kepada resipi yang CT kongsikan hari ini iaitu hasil perkongsian dari geng masak-masak yang menetap di Jepun kerana tugasan suami. Begitulah pengorbanan murni seorang Isteri dan juga ibu yang tidak berbelah bagi demi kebahagiaan suami dan anak-anak yang tercinta. Apapun CT ucapkan terima kasih buat
Ros Jintanmanis untuk perkongsian resipi yang sedap ini.
Bercerita bab kek cheese ni, CT memang dah lama juga nak membuatnya sebab suami CT memang suka dengan cheese cake tak kira cheese cake macamanapun. Ditambah lagi kalau dapat buat Cotton Soft Japanese Cheesecake tu lagilah sedap. Tapi selalunya bila dah beli cream cheese tu, hasilnya jadi ke lain pulak. Tapi untuk resepi ni, kebetulan ada lebihan cream cheese dalam peti sejuk tu, jadi CT habiskan lah semuanya untuk resepi ini. Dalam resipi asal mengunakan 100 gram cream cheese saja, tapi oleh kerana CT sayang nak tinggalkan lebihan tu, CT masukkan kesemuanya 125 gram tu. Untuk bahannya pula, CT gantikan tepung gandum kepada tepung kek. Untuk loyangnya pula, jika tidak ada loyang springfoam, boleh juga gunakan loyang biasa.
Dalam resipi asal, Ros ada buat lorekan coklat di atas adunan kek tu, tapi CT tidak buat. Sebab plan asal memang nak letak Blueberry Topping. Jadinya CT gantikan lorekan coklat tu dengan blueberry topping. Tapi kalau ada yang nak buat cara Ros boleh juga, klik saja link Ros kat atas tu ye. Selalunya kek yang melibatkan cream cheese ni lebih sedap dimakan setelah disimpan dingin dalam peti sejuk terlebih dahulu. Sejuk aje terasa cheese tu masuk ke tekak wallahhhh! memang sedap hehehe.
Bagi penggemar cheese kek, jangan tunggu lama-lama ya. Kalau nak mencuba, sila semak resipi yang CT kongsikan dibawah ni ye.Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT. Daaa............
Yogurt Cheese Cake With Blueberry Topping
Resepi olahan Che CT
Bahan A :
125 gram cream cheese
30 gram mentega
20 gram gula kastor
3 biji kuning telur gred A
2 sudu besar plain yogurt
Bahan B :
40 gram tepung jagung
20 gram tepung kek
20 gram susu tepung /skim milk
Bahan meringue :
3 biji putih telur gred A
40 gram gula kastor
1 penutup esen vanila
Topping :
Blueberry topping
Cara-cara :
1. Alas dasar loyang springform 18 cm dengan baking sheet dan sapukan mentega di keliling loyang dan bakar guna kaedah water bath. Letakkan air pada loyang yang besar sedikit dan panaskan pada suhu 160 - 170' C. Bergantung pada oven masing-masing.
2. Bahan A : Putar cream cheese bersama gula kastor dan mentega hingga lembut. Masukkan pula kuning telur dan pukul hingga agak kembang, selepas itu masukkan plain yogurt dan sebatikan dalam adunan.
3. Satukan semua bahan B dan kacau menggunakan sudu, pastikan sebati. Masukkan adunan tepung ke dalam Bahan A dan kacau sebati, ketepikan.
2. Untuk meringue: pukul putih telur hingga berbuih, baru masukkan gula sedikit-sedikit. Pukul hingga betul-betul kental dan menjadi meringue, cara nak tau putih telur tu dah betul kembang, bila kita terbalikkan bekas adunan, putih telur tu elok terletak dan tidak jatuh.
3. Bahagi adunan meringue pada 3 bahagian dan masukkan ke dalam adunan tepung tadi sedikit demi sedikit dengan menggunakan kaedah kaup balik. Jangan terlalu lama mengacau meringue, takut overmix. Pastikan meringue betul-betul sebati dalam adunan kek dan jangan gunakan mixer, gunakan senduk kayu atau spatula. Akhir sekali masukkan esen vanila dan sebatikan dalam adunan.
4. Tuang adunan dalam loyang kek springfoam. Balut bahagian bawah loyang hingga separuh ketinggan loyang dengan alumunium foil supaya air tidak termasuk dalam loyang.
5. Bakar selama 40 ke 45 minit atau sehingga permukaan kek menjadi perang. Sejukkan atas rak dawai dan sapukan dengan topping blueberry, setelah sejuk baru masukkan ke dalam peti ais selama 2 hingga 4 jam baru dipotong. Hidangkan sejuk baru sedap dimakan.