Assalamualaikum... Salam kesejahteraan dan salam ceria buat pengunjung setia Dari Dapur CT. Nampaknya bersua kita kembali pada hari Isnin ini dengan menu kuih melayu pulak hari ni ya. Dah agak lama juga CT tidak berkongsi resipi kuih muih melayu buat tatapan teman-teman kan. Tambah lagi Suami CT juga memang dah lama mintak CT buatkan kuih muih tradisional jadi dengan rajinnya CT membuatnya dan dapatlah untuk dikongsikan resipi Kuih Cek Mek Molek dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini tetapi dengan inti yang CT ubahsuaikan dengan selera CT.
Sebenarnya sebelum membuatnya CT search terlebih dulu di Google untuk mendapatkan maklumat tentang kuih ni sebab CT tak pernah membuatnya lagi. Dan dari maklumat yang dipaparkan, kuih ini menggunakan gula pasir sebagai intinya. Tapi bila CT baca komen-komen yang dibuat oleh mereka yang pernah mencuba membuat kuih ini dulu, nampak macam payah pulak nak letak inti gula tu. Kalau tidak diletak betul-betul akan terkeluar gula tu bila kita menggorengnya. Jadi memandangkan CT ada menyimpan stok inti serunding, CT pun gantikan lah dengan inti serunding saja didalamnya, Alhamdulillah selamat akhirnya dan boleh tahan juga rasanya.
Sebelum ni CT dan family tak pernah cuba merasa lagi kuih ni. Tapi macam pernah ternampak orang menjualnya, tapi masa tu CT cuma pandang aje dan tak tahu pun nama kuih tu kuih Cek Mek Molek hehehe. Kiranya ini baru pertama kali CT membuat dan makan kuih ni, jakunnya kan hehehe. Hasil percubaan membuat kuih ini dengan menggunakan inti serunding, rasa kuih ni seakan-akan kuih cucur badak. Mungkin di lain kali CT akan cuba menggunakan inti yang asal iaitu gula. Tapi yang inti serunding ni pun boleh tahan sedap juga rasanya. Anak-anak dan suami pun suka juga akan rasanya... Alhamdulillah.
Nanti CT nak cuba cari resipi kuih muih tradisional dari negeri lain pulak, dan bila dah berhasil nanti bolehlah CT panjangkan pula resepinya di sini untuk manfaat teman-teman semua dan boleh juga digunakan untuk rujukan CT sendiri juga nanti. Dan mungkin juga anak-anak CT boleh turut sama mencubanya juga satu hari nanti.
Okeylah CT mohon berundur diri dulu, kita terus pada resipi Kuih Cek Mek Molek berinti Serunding di bawah ya. Sampai jumpa lagi nanti, InsyaAllah. Salam manisss dari CT. Daaa.....
Kuih Cek Mek Molek Berinti Serunding
Resepi Olahan Che CT
Bahan-bahan :
3 ketul keledek sederhana besar
1 ½ cawan tepung gandum (adjust sukatan jika perlu)
1 sudu kecil garam
Minyak untuk menggoreng
Cara-cara :
1. Bersihkan kulit keledek, cuci bersih dan potong 4 bahagian. Rebus dengan sedikit garam sehingga keledek empuk.
2. Bila dah empuk, toskan airnya. Lecek keledek semasa panas sehingga halus dan ketepikan.
3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil diuli sehingga mendapat kelembutan doh yang diinginkan.
4. Ambil adunan anggaran 40 gm dan bentukkan bulat. Kemudian leperkan sedikit dan bubuh inti serunding ditengahnya. Tutup adunan dengan kemas dan bentukkan bujur sedikit. Buat hingga habis adunan keledek tadi.
5. Goreng dengan api sederhana hingga masak dan perang keemasan. Angkat dan toskan minyaknya dengan napkin kertas (paper towel).
Serunding Kelapa
Bahan-bahan:
½ biji kelapa parut
sedikit garam
50 gm gula melaka
2 sudu besar gula pasir
sedikit air asam jawa
minyak untuk menumis
Bahan Kisar :
2 batang serai
2 sudu besar cili kisar
5 biji bawang merah
2 biji bawang putih
sedikit kunyit hidup, lengkuas dan halia
sedikit ketumbar, jintan putih dan jintan manis
2 susu besar udang kering atau ikan bilis
2 helai daun limau purut - buang urat tengah.
Cara-cara :
1. Goreng kelapa tanpa minyak sehingga kelapa kekuningan sedikit. Ini adalah supaya serunding tahan lama dan tidak basi.
2. Panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar hingga garing dan wangi.
3. Masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Jangan guna api besar, sederhana saje. Tunggu sehingga agak pekat sedikit.
4. Akhir sekali masukkan kelapa. kemudian terus dikacau sehingga kering sedikit.
5. Sesuaikan rasa kemudian bolehlah diangkat.