Monday, November 4, 2013

Ikan Tongkol Masak Lemak Selasih


Assalamualaikum dan salam rindu buat teman-teman semua... Alhamdulillah kerana hari ini CT dapat mengupdate blog CT yg sudah seminggu lebih ditinggalkan ni dengan menu yang simple tapi sedap untuk perkongsian semua. Tapi terlebih dulu, apa khabar teman-teman diluar sana ye. Doa CT semoga teman-teman semuanya didalam keadaan yang sihat walafiat sentiasa hendaknya... Aamiin


Walaupun sekarang CT jarang dapat berkongsi masa di blog Dapur CT ini, namun sebenarnya CT ada juga menjengah blog teman-teman. Membaca coretan yang dititipkan, melihat resipi yang dikongsikan. Ada kalanya tidak terkawal rasa melihat perkongsian resepi yang nampak sangat menarik dan menyelerakan untuk dicuba.


Berbalik kepada perkongsian CT hari ini, resipi diberi nama Ikan Tongkol Masak Lemak Selasih, menu yang simple dan sangat mudah dan cepat untuk disediakan. CT mencuba dan mengeksplorasi resepi ini yang diinspirasikan dari masakan Manado yang ringkas tanpa penggunaan bahan-bahan yang banyak. Resepi asal menggunakan ikan kembong tetapi resepi versi CT ini menggunakan ikan tongkol berserta tempe. Santannya pula CT gunakan santan pekat berbanding santan cair jika diikut resepi asal dan CT tambahkan hirisan lada merah sebagai penambat selera.


Kepada penggemar ikan, bolehlah mencuba resepi yang CT kongsikan ini ye. Kalau kurang menggemari ikan tongkol, boleh juga diganti dengan ikan lain seperti tenggiri atau boleh juga gunakan ikan kembong seperti resepi asal. Untuk menu yang kuahnya pekat sebegini, memang enak jika dinikmati bersama nasi yang dihidang ketika panas berasap. Mak mentua lalu kat sebelah pun tak perasan tau hehehe. 


Okeylah. CT berhenti sampai di sini dulu ye. Jika ada kelapangan nanti, CT akan update lagi. Mudah-mudahan diberi kelapangan nanti, Insya Allah. Sampai kita berjumpa lagi nanti dengan resepi yang lain pula, salam Maal-hijrah untuk semua teman-teman CT yang beragama islam dan salam manisss dari CT. Daaa....


Ikan Tongkol Masak Lemak Selasih

Bahan-bahan:
1 ekor ikan tongkol (saiz sederhana besar)
2 bungkus tempe – dipotong serong
2 cm lengkuas – diketuk
1 batang serai – diketuk
2 helai daun limau purut – disiat dan buang uratnya
1 batang cili merah – dibuang biji dan hiris memanjang
3 tangkai daun selasih
2 cawan air
200 ml santan pekat
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis

Bahan Kisar:
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih 2 cm halia
2 cm kunyit hidup
3 biji buah keras

Cara-cara:
1 Lumur ikan bersama kunyit serbuk dan sedikit garam. Goreng sehingga masak, toskan minyak dan ketepikan.
2. Gaulkan tempe dengan sedikit garam dan goreng. Toskan minyak dan ketepikan.
3. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar, serai, lengkuas dan daun limau purut sehingga terbit bau kemudian masukkan cili merah dan kacau rata sehingga cili sedikit layu.
4. Masukkan air, santan pekat, daun selasih , ikan dan tempe yang telah digoreng tadi. Kacau sentiasa dengan api sederhana sehingga mendidih. 
5. Tambahkan garam dan gula secukup rasa. Sedia dihidang.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...