Assalamualaikum ... Salam pagi dan semoga ceria teman-teman CT semuanya hendaknya. Terima kasih buat semua teman-teman yang sudi bertandang dan meninggalkan komen di blog Dapur CT. Selain itu, CT juga ingin minta maaf kerana ada ketikanya CT lambat untuk membalas semua komen-komen yang diberi. Kebelakangan ini CT kadang-kadang terkejar-kejar dengan masa. Tapi InsyaAllah di setiap kesempatan yang terluang, CT akan cuba membalas serta membuat kunjungan balas ye.
Hari ini CT kongsikan menu yang memang menggugat selera lapar yang terlampau. Selera CT lah tu, selera teman-teman tak tahulah pula hehehe. Waktu menaip ni pun, bila terlihat gambar ikan bakar dan sambal mangga yang dah habis disantap ni pun masih juga 4-5 kali CT tertelan air liur hahahaha. Sesekali makan begini bersama kuah asam dan ikan bakar memang menyelerakan. Ditambah pula dengan sambal belacan yang rasanya sedikit masin, manis tetapi pedas menyengat, dan itulah yang membuat rasa sambal belacan ni sangat sedap. Baunya jangan cakaplah. Dah habis makan setelah tangan disabun pun baunya ditangan masih tak hilang, memang kuat betul penangan belacan ni kan. Lepas tu, selagi tak hilang baunya, asyik dicium-cium ajelah tangan tu ke sana sini hehehe. Lepas CT lumur tangan dengan kulit limau nipis barulah hilang sikit, itu pun masih ada bau sikit-sikit lagi kat hujung-hujung kuku hehehe.
Di rumah CT ni jarang juga buat sambal belacan sebenarnya, kecuali bila masak sayur bening atau masak lemak pucuk ubi atau lemak pucuk paku barulah nampak belacan atas meja. Nak tambah sedap lagi, lawankan pula dengan telur dadar dan ulam-ulaman, memang bertambah-tambah lah nasi di pinggan. Tapi anak-anak CT hanya 2 orang aje yang suka belacan. Si bujang yang besar dengan yang bongsu tu memang tak sentuh pun sambal belacan ni. Tapi kalau anak dara yang sulong dan anak bujang yang nombor tiga tu, memang hantu belacan hehehe.
Entah dari mana asal-usul belacan ni ye, tapi rasanya sambal belacan ni dah terkenal serata pelusuk rantau Asia sebagai sambal pencecah. Daripada Laksa Johor hinggalah kepada nasi ayam penyet, kalau tak ada sambal belacan tak sah kan. Selain itu, Belacan juga adalah penyedap dalam masakan seharian dan digunakan sebagai bahan asas bersama-sama dengan cili, bawang dan bawang putih untuk menghasilkan sambal. Pendek kata memang ia dah terbukti sebagai bahan pembuka selera. Jika tiada belacan, berkuranglah sedikit selera untuk menikmati sesuatu makanan tu, betul tak.
Kata orang tua-tua dulu, buah mangga jangan dibuat sambal belacan. Sebab bila dah buat sambal belacan, seluruh buah mangga yang dihasilkan oleh pokok tu nanti akan rosak berulat. Tapi tak tahulah pula betul atau tidak. Sebab pokok buah mangga yang ditanam didepan rumah CT yang CT ambil buahnya untuk dibuat sambal belacan semakin lebat pulak berbuahnya. Mungkin itu cuma alasan orang dulu-dulu untuk mengelakkan jirannya yang kerap meminta percuma buah mangga untuk dibuat sambal belacan setiap hari kot hehehe.
Okeylah, CT berhenti di sini dulu. Kalau bercerita panjang lagi takut ada yang meleleh air liur pulak. Jadi sebelum basah keyboard tu, CT berhenti dululah ya. Dan sekali lagi, terima kasih CT ucapkan untuk teman-teman yang meninggalkan komen-komen yang manis. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam sayang dari CT. Daaa....
Ikan Tongkol Bakar Bersama Sambal Mangga Muda
Resipi : Che CT
Bahan-bahan :
2 ekor ikan tongkol - saiz kecil
1 biji mangga muda saiz sederhana - buang kulit dan sagat kasar
5 biji cili padi - sesuaikan rasa pedas ikut masing-masing
3 batang cili kering - celur air panas
1 inci belacan bakar
1 sudu kecil gula melaka
2 biji tomato sedang - potong dadu
Limau kasturi - perah ambil jusnya
Garam dan gula secukup rasa
Daun pisang - untuk balut ikan
Cara-cara :
1. Ikan tongkol dibelah perutnya dan dibersihkan. Lumur ikan dengan jus limau dan perap sekejap. Kemudian balut dengan daun pisang dan bakar atas dapur dengan api perlahan. Balik-balik ikan agar masak sama rata. Ketepikan.
2. Satukan semua bahan kecuali mangga muda dan jus limau kasturi. Tumbuk hingga lumat dan perasakan dengan sedikit gula dan garam. Biar ada rasa sedikit masin, manis dan pedas.
3. Sudukan bahan ditumbuk dalam mangkuk bersih dan letak mangga muda dan gaul sebati. Perahkan jus limau kasturi diatasnya dan gaul rata. Hidangkan bersama ikan tongkol bakar dan nasi hangat.