Assalamualaikum... Bertemu lagi di pagi Jumaat yang mulia ini semoga kita semua mendapat keberkatan sepanjang hari dan segala urusan harian dan pekerjaan yang kita lakukan berjalan lancar dengan jayanya.. amin.
Hari ini lengkaplah sudah kesemua resepi yang ingin CT kongsikan iaitu resepi terakhir dari lima resepi yang telah disiarkan dalam Majalah RASA keluaran bulan April 2013. Resepi Daging Gulai Darat ini adalah salah satu dari resepi yang istimewa berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang. Rasanya yang seimbang ada masam, manis, masin dan sedikit pedas, bersesuaian dengan citarasa CT dan kami sekeluarga. Pertama kali CT mencubanya, terus CT jatuh hati dan pastinya CT akan membuatnya lagi berulang-ulang kali nanti untuk hidangan keluarga tersayang.
Resepi ini CT ambil dari salah satu buku masakan dalam simpanan CT iaitu dari majalah SAJI keluaran tahun 1997. Sudah agak lama majalah tu dan disebabkan selalu dirujuk berulang-ulang kali, sampai dah hampir berkecai segala muka surat buku tu hehehe. Resepi Daging Gulai Darat ini dikongsikan oleh Chef de Partie, Amran Mohd Nor dari Hotel Perdana Kota Baharu, Kelantan. Tak tahulah samada Chef Amran tu masih disana atau sudah bersara, atau hotel tu pun masih ada. Maklumlah dah lebih 15 tahun resepi ni dikongsikan. Tapi walau sudah tidak jadi chef di sana lagi, pasti masih lagi menjadi chef di rumah untuk isteri dan anak-anaknya kan. hehehe.
Sebelum ni CT pernah juga terpandang lauk macam ni di salah satu warung orang Kelantan yang berdekatan menjual lauk pauk dari pantai timur. Tapi CT tak terfikir pun untuk membelinya sebab CT sangkakan ia lauk kari. Kini setelah CT cuba resepi ni dan berpuashati dengan citarasanya, nampaknya bolehlah CT mengulangnya lagi dan di lain kali, nak cuba ganti dengan daging yang lemaknya lebih sikit tu pulak. Orang Johor panggil daging macam tu, daging tetel. CT agak, rasanya pasti lebih sedap. Pada warga Kelantan di luar sana, jika ada yang mencuba resepi CT ni nanti bolehlah kongsikan pendapat tentang resepi yang CT kongsikan ini nanti ye.
Nampaknya, minggu depan anak-anak sekolah bakal bercuti selama seminggu. Tak tahulah samada CT pun ingin turut sama bercuti dari berkongsi resepi untuk seminggu juga. Maklumlah, sekolah cuti, puan dapur pun terasa macam nak bercuti juga hehehe. Kita tengoklah nanti ye. Apa pun, kalau CT tak bersiaran, selak-selaklah mana-mana yang telah dikongsikan dalam entri yang telah lepas, kot-kot terjumpa resepi yang ingin dicuba masa dok selongkar tu kan.
Apa pun, izinkan CT mengundur diri dulu. Dan sehingga kita bertemu lagi nanti, salam manisss buat semua
teman-teman yang sudi singgah menceriakan Dapur CT. Sampai jumpa lagi
nanti, salam sayang dari CT..daaa....
Daging Gulai Darat
Bahan-bahan :
300 gm daging lembut - bersihkan dan dipotong kiub
1 sudu kecil pes asam jawa
2 1/2 cawan santan - dari 1 biji kelapa
1 sudu besar ketumbar biji - disangrai dan tumbuk halus
1 sudu besar cili kisar
2 biji kentang - potong dadu besar
3 tangkai cili hijau/merah - dibelah dua
1 sudu besar gula merah
garam secukup rasa
Bahan Kisar Halus:
8 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/4 cm kunyit hidup
1/4 cm lengkuas
Cara-cara :
1. Campurkan bahan kisar halus bersama daging, santan, cili kisar dan pes asam jawa dalam kuali. Dan masak sehingga mendidih.
2. Masukkan kentang, ketumbar tumbuk, garam dan gula merah kacau rata dan biarkan hingga kentang dan daging empuk dengan api sederhana.
3. Sebelum diangkat perasakan dan masukkan cili hijau/merah kacau rata dan angkat. Hidangkan bersama nasi hangat.