Assalamualaikum... Salam manis, salam ceria buat teman-teman yang dekat mahu pun jauh. Semoga sentiasa beroleh kesejahteraan selalu hendaknya. Disini CT ingin mengucapkan rasa syukur padaNYA kerana memberikan kesihatan yang baik disepanjang cuti sekolah anak-anak. Jadi dapatlah CT bersibuk-sibuk didapur menyediakan juadah dan hidangan untuk keluarga tersayang. Cuti sekolah ini, CT tak dapat membawa anak-anak bercuti kemana-mana disebabkan komitmen kerja suami CT. Walaupun sudah ada perancangan untuk bawa anak-anak balik kampung dan juga berjalan-jalan cuti-cuti Malaysia, namun nampaknya segala perancangan tidak dapat ditunaikan seperti yang dirancang. Itulah yang dikatakan, kita hanya dapat merancang, namun Allah yang menentukan. Insy'aAllah... jika tiada halangan, rasanya nak juga balik kampung sebelum bulan puasa nanti. Tak dapat lama, satu dua hari pun jadilah.
Berbalik pada menu CT hari ini, Peanut Butter Cake resipi dari satu buku masakan Lovely Butter Cake oleh Chef Amy Wong. Buku resipi ni CT beli masa berjumpa dengan
NINA tempohari. Pantang betul bila singgah kedai-kedai yang ada jual buku masakan atau majalah masakan ni, pasti nak singgah tengok. Beli tak beli tu belakang kira, janji nak tengok dulu baru puas hati bila dah belek-belek hehehe. Lepas tengok-tengok, kalau berkenan teruslah sambar. Kalau tak beli banyak, dapat beli 1 atau 2, jadilah kannn hehehe. Banyak juga resipi kek yang menarik dalam buku Chef Amy Wong ni. Tapi kena belek pelan-pelan. Sebab bila buat kek kat rumah CT ni payah sikit nak habisnya. Anak-anak CT macam dah slow sikit dengan kek-kek ni sekarang. Nampaknya selera diaorang lebih kepada kuih muih atau puding sekarang ni. Sebab itulah kalau nak buat kek CT akan buat 1/2 adunan saja dari resipi asal.
Dalam resipi Chef Amy Wong ni ada mengunakan canned peanut yang ditoskan. Tapi CT gantikan bahan itu dengan Coklat Cadburry yang kecil-kecil yang dipatahkan dua dan CT campurkan juga sedikit kismis hitam. Pada mulanya CT ingat hasilnya kurang mendapat sambutan. Tapi wow.. anak-anak CT suka pulak rupanya. Mungkin disebabkan oleh peanut butter dalam bahan kek tu yang memang menjadi kegemaran anak-anak CT. Ditambah pula kek ni CT hidangkan bersama coklat ganache, emm.. lagi lajulah anak-anak menikmatinya. Macam tu, bolehlah diulang buat lagi jawabnya. Tapi bukan esok atau lusa, tapi tunggu sebulan dulu kot. Tunggu jemu makan kek tu hilang dulu hehehe.
Kek ni ternyata sedap, dengan aroma peanut butternya naik semasa dibakar, segar baunya memenuhi ruang dapur. Untuk resepi ni, CT gunakan peanut butter yang kasar iaitu crunchy peanut butter, tapi kalau nak guna yang creamy pun boleh juga. Ikut selera masing-masinglah. Dan kalau dilebihkan sedikit peanut butter tu lebih bertambah rasa lemak-lemaknya dan lebih sedap jadinya kot. Selain tu, CT tambahkan buah cerry kat dalam tu tapi tak berapa nampak pulak, dia dok tengelam kedalam, seganlah tu kot hehehe.
Minggu cuti sekolah dah hampir berakhir, jadi keriuhan suara anak-anak akan berkurangan dirumah. Sebab anak-anak lelaki CT yang bujang-bujang ni bila dah berkumpul asik nak bergusti aje kerjanya hehehe. Walaupun bergaduh-gaduh manja tapi bisingnya mengalahkan suara macam kat padang bola, mulalah mama dia ni jadi tarzan perempuan asyik nak jerit manja aje kat rumah hehehe. Bila semua dah naik sekolah semula kuranglah sikit riuhnya. Anak dara CT yang bercuti semester 2 bulan pun dah nak balik semula ke UITM Jengka hari Ahad ni. Tapi keriuhan suara anak-anak ni lah penyeri rumahtangga sebenarnya.
Okeylah, panjang sangat CT berceloteh hari ni, jadi jika ada yang berkenan dengan resipi dari Chef Amy Wong ni, bolehlah mencuba ye. Dan jika ingin mencuba lebih banyak lagi resepi beliau, bolehlah cari buku resepi Lovely Butter Cake tu di kedai-kedai buku ya. Sampai jumpa lagi, salam manisss dari CT. Daaa....
Peanut Butter Cake
Resipi : Chef Amy Wong - Buku Resepi Lovely Butter Cake
Di Olah : Che CT
Bahan-bahan :
250 gm butter - suhu bilik
200 gm gula kastor - (asal 220 gm)
1/2 sudu kecil esen vanila
230 gm tepung naik sendiri - ayak
3 biji telur A
1 biji kuning telur
150 gm crunchy peanut butter
100 gm kepingan coklat cadburry - perasa blueberry yang kecil-kecil
20 gm kismis hitam - jika suka
Cara-cara :
1. Gris loyang bulat 8 inci dengan butter dan alas bawahnya dengan kertas minyak. Atau guna silicone mould jika ada.
2. Pukul gula dan mentega hingga kembang dengan kelajuan sederhana tinggi selama 2-3 minit, tambah esen vanila, putar rata.
3. Tambah telur dan kuning telur satu demi satu putar lagi. Tambah mentega kacang dan pukul sebentar.
4. Masukan tepung dan gaul rata. Akhir sekali masukkan coklat cadburry yang dipatahkan dua dan kismis yang telah diayak dahulu dengan sedikit tepung dan kacau rata.
5. Tuang ke dalam acuan pembakar. Bakar pada suhu 175 C selama 55-60 minit atau hingga masak. Uji dengan lidi jika keluar bersih kek dah masak.
NOTA : Jika guna acuan kecil kurangkan masa pembakaran kepada 25-30 minit.