Thursday, May 31, 2012

Ayam Goreng Lemon


Assalamualaikum... Salam manis, salam ceria dari CT buat semua teman-teman yang tak jemu-jemu berkunjung ke Dapur CT. Hari ni CT tak update kuih muih seperti biasa ye. Untuk resepi hari ni, CT nak berkongsi menu lauk-pauk pulak iaitu resepi Ayam Goreng Lemon. Sebenarnya menu ni CT buat, juga atas permintaan seseorang sama seperti menu semalam, jadi jangan mintak ye, sebab dah lama habis dah hehehe. Apa pun, menu ni memang sesuai untuk hidangan makan tengahari atau pun makan malam. Resepi menu ni amat mudah penyediaannya dan tidak banyak ramuan seperti lauk-pauk berempah yang lain dan tak susah untuk mencari bahan-bahannya. Kebanyakan bahan-bahan yang digunakan memang dah sedia ada didalam peti sejuk kita setiap masa. Asal saja ada ayamnya memang boleh jadi terus, tapi kalau tak ada tu, ehem ehem dah tak reti ke nak membelinya dulu hehehe. Untuk CT pulak, stok ayam tu memang sentiasa ada aje dalam peti sejuk tu. Sebab setiap minggu CT akan beli sekurang-kurangnya 2 ekor ayam sebab ayam adalah menu wajib anak-anak bujang CT. Kalau tak ada ayam, memang tak berseleralah anak-anak CT tu nak makan. CT dan suami hanya menumpang makan sikit-sikit ajelah hehehe.


Menu Ayam Goreng Lemon ni, resipi asalnya adalah Ayam Kasturi yang CT ambil dari fotopages Kak Hanieliza. Tapi telah CT tukar resepi Ayam Kasturi tu kepada Ayam Goreng Lemon dan CT tambah sedikit bahan lain dalam resipi ni. Maaf ya kak Liza sebab mengubah resepi mengikut selera CT jadi kenalah tambah sikit-sikit mana yang patut hehehe. Resipi asal Kak Liza mengunakan isi ayam, manakala CT pula menggunakan ayam yang dipotong kecil-kecil. CT perap ayamnya dahulu sebelum digoreng setengah masak dan diperahkan dengan jus lemon. Walahhh... sangat-sangat sedap sampai suami pun puji sedap juga. Terima kasih Kak Liza kerana berkongsi resipi yang sedap ni. CT akan ulang buat lagi dilain kali kerana permintaan amat tinggi dari anak-anak dan suami. Ada 3 rasa dalam hidangan CT ni, masam dari jus lemon sedikit rasa manis dari gula dan pedas dari cili padi tu. Memang sedap, teman-teman harus cuba resipi ni OKEY hehehe. CT cadangkan hidangkan menu ni ketika ia masih panas dan digandingkan dengan sayur-sayuran goreng atau sayur pilihan yang lain.


Sebenarnya CT dah sedikit jemu nak makan ayam. Apa tak nya, sebab hampir setiap hari CT masak ayam aje. Anak-anak CT ni kalau tak ada menu ayam, tak kiralah dimasak apa pun payah sikit diaorang nak makan. Kiranya waktu makan tu selera berkurang sikit kalau tak ada ayam berbanding kalau ada menu ayam. Bila ada menu ayam aje, nasi tu mesti penuh dalam pinggan. Tapi kalau tak ada ayam, leper aje nasi tu dalam pinggan hehehe. Entah kenapalah agaknya anak-anak CT tak gemar makan ikan berbanding ayam, padahal ikan adalah sumber protein yang banyak dan tinggi.


Menurut apa yang CT pernah terbaca, kalau dalam menu harian kita selalu menghidangkan ikan, maka kita memberikan sumbangan yang tinggi pada jaringan tubuh kita. Kadar serapan protein ikan juga lebih tinggi berbanding daging lembu, ayam dan lain-lain. Malah ikan sering disebut sebagai sumber makanan untuk kecerdasan otak. Apa pun, oleh kerana anak-anak CT lebih sukakan ayam maka terpaksalah CT turutkan. Asalkan anak-anak CT berselara nak makan apa yang diaorang suka, CT ikutkan ajelah. Kalau tak diturut nanti, kurus meledinglah anak CT tak cukup makan hehehe.


Tapi kannnn... nak cakap jugalah CT pun memilih juga bila makan ikan tau. Contohnya, ikan sungai atau juga dipanggil ikan air tawar atau ikan darat. Ikan-ikan tu CT tak makan tau. Dan ada sesetengah ikan laut pun CT tak makan juga. Entah kenapa ikan-ikan sungai tu tak boleh masuk dalam mulut langsung, rasanya sebab dari dulu masa bersama arwah Mak CT, memang Mak tak suka makan ikan sungai jadinya CT pun terikut-ikut jugalah tak suka makan sampai sekarang kot hehehe. Bila nak makan menu ikan kat luar tu, CT akan tanya dululah kat peniaga tu ikan apa, kalau macam pelik aje memang CT tak akan ambillah hehehe. Pasal tu lah agaknya anak-anak CT langsung tak suka makan ikan apa pun. Menurun dari mama dia agaknya. Oppsss! Okey dah jauh melalut dari resipi Ayam Goreng Lemon ke ikan pulak dahhh hehehe. Jika ada yang ingin mencuba resipi ni atau nak lihat resipi asal dari Chef Hanieliza boleh tengok di Fotopages Kak Liza ya. Sampai jumpa lagi, salam manis dari CT senyum-senyum selalu. Daaa....


Ayam Goreng Lemon
Resipi : Chef Hanieliza
Di Olah : Che CT

Bahan-bahan :
1/2 ekor ayam - dibersihkan dan potong kecil-kecil
1 biji lemon - ambil jusnya
1/2 cawan air
Kunyit serbuk
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
4 biji tomato - belah 4
Minyak untuk menumis
Secubit garam dan gula

Bahan tumbuk kasar :
5 biji cili merah
3 biji cili hijau
8 biji cili api
1 labu bawang besar
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara-cara :
1. Cuci bersih ayam dan gaulkan dengan serbuk kunyit, serbuk lada hitam dan garam, perap sebentar kira-kira 10 minit. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng ayam 1/2 masak dan toskan minyak dan ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumiskan bahan tumbuk kasar atau lebih mudah masukkan dalam food processor dan blend sekejap.
3. Bila dah layu dan wangi masukkan ayam dan air. Kacau rata, biar ayam lembut dan serap rempah.
4. Bila ayam telah lembut masukkan jus lemon, tomato dan gaulkan rata.
5. Perasakan dengan garam jika perlu dan sedikit gula kacau rata dan matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat.


Wednesday, May 30, 2012

Milky Peach Pudding


Assalamualaikum... Salam penuh keceriaan dan salam manis semanis madu dari CT buat teman-teman semua. Tapi bukan madu 3 ya, yang tu memang kena elak jauh-lauh. lagi jauh lagi baik rasanya hehehe. Kalau madu yang betul tu, kalau jumpa janganlah pulak dielak. Pandang keliling tak ada orang nampak, ambik cepat-cepat kemudian jalanlah terus laju-laju hehehe. Tapi kalau terjumpa madu yang masih kat atas pokok tu, janganlah pulak dijolok suka-suka ya. Nanti sang lebah mengamuk kena sengat dengan lebah CT tak dapat nak tolong tau, pandai pandailah lari cari sungai dan terjunnn hehehe. Amboiii... Berseloroh pulak Che CT di pagi hari, alahhh saja nak menceriakan suasana hehehe.


Apa khabar teman-teman CT pagi ni ye, CT harap sihat sentiasalah ya. Kena banyakkan minum air sebab cuaca sekarang ni panas sesangat kan. Cuaca yang panas membahang macam sekarang ni kalau dihidang dengan dessert yang sejuk pasti sedap aje rasanya. Memang sesuailah pun kalau buat dessert dalam keadaan cuaca yang panas. Untuk itu, CT sharekan resepi desert yang bersesuaian dengan cuaca panas membahang sekarang ni iaitu Milky Peach Pudding.


Sebenarnya resepi ni CT pernah buat tahun lepas dan ini kali kedua CT membuatnya lagi dan CT ulang membuatnya kali ini kerana permintaan seseorang. Jadi, jangan mintak tau sebab puding ni dah licin dah habis... hehehe. Resipi asal desert ni ialah dari Cek De Sam iaitu Strawberry Milky Pudding. Tapi masa CT nak buat dulu strawberry tak ada, jadi CT gantilah dengan buah peach dan jadilah resepi Milky Peach Pudding ni. Tak sangka pulak ada yang berkenan kat resepi ni.


Resipi ni sangat mudah dan cepat untuk disiapkan. Lagipun nak buat dessert macam ni memang cepat aje siapnya. Desert penyejuk tekak macam ni memang menjadi kegemaran seisi keluarga CT. Bukan keluarga CT aje, rasanya semua orang suka dengan dessert yang dingin sejuk macam ni kan. Hasil kejadian dessert tu pelbagai rupa tapi tujuannya sama aje iaitu bila lalu kat tekak, sejuk dingin dan sedap aje ye tak. Ada tu yang CT tengok aje gambarnya boleh tergoda iman, macam nak buat tang tu juga. Tapi bila tengok bahan-bahan dalam resipi ada yang tak cukup, malas pulak nak keluar membelinya. Jadi buat mengikut apa bahan yang sedia ada ajelah dulu, jadi tak payah nak redah panas terik diluar tu. CT pun bukan tahan sangat nak redah panas terik sangat. Walaupun pun berpayung tapi bila cuaca panasnya melampau macam sekarang ni, boleh berdenyut-denyut sakit kepala jadinya. Kalau buat hujung minggu bolehlah suami tolong hantarkan untuk membeli bahannya tapi kalau waktu suami kerja ni, memang bercintalah kalau CT nak kekedai tu berjalan kaki. Nak bawak kereta, CT tak ada lesen memandu, nak jalan kaki pulak malas. Hai sabar ajelah kan. hehehe.


Seperti biasa jika ada yang berminat nak mencuba bolehlah terus pada resepi dibawah ni ye. Dan kalau nak lihat resipi asalnya dari Cek De sam, klik kat link di bawah tu iaitu resepi CT sebelum ni yang CT letakkan resepi asalnya. Kalau nak ganti buah peach tu dengan buah-buahan yang lain pun boleh juga. Ikutlah kesesuaian dan kegemaran masing-masing nak letak apa kat pudding tu. Okeylah CT pun ada kerja nak buat selepas ni, bila senang dah ada waktu terluang CT akan kunjung balas blog teman-teman semua, Insya'Allah. Sampai jumpa lagi, salam manis dari CT. Daaa.....



Milky Peach Pudding (Puding Pic Bersusu)
Sumber : FP Cek De Sam
Di Olah : Che CT

Bahan-bahan :
1 pek agar-agar serbuk - 13 gm
500 ml air
500 ml susu sejat
3/4 cawan gula pasir
1 sudu kecil esen vanila
1 1/2 sudu besar tepung jagung + 2 sudu besar air - kacau rata
Beberapa titik pewarna kuning (optional)
Buah peach dalam tin

Cara-cara :
1. Basahkan acuan atau loyang dan susun buah peach didalamnya. Ketepikan.
2. Didihkan air, gula pasir dan serbuk agar-agar dalam periuk dengan api sederhana hingga mendidih.
3. Bila sudah mendidih masukkan susu cair, esen vanila dan sedikit pewarna kuning. Didihkan lagi sambil dikacau perlahan. Masukkan tepung jagung dan kacau sebentar hingga agak mendidih sedikit, tutup api dan angkat.
4. Tuang adunan agar-agar kedalam acuan atau loyang dengan perlahan-lahan diatas buah peach.
5. Bila wap panas sudah hilang bolehlah disejukkan agar-agar tadi ke dalam peti sejuk.


Monday, May 28, 2012

Kuih Seri Muka Pelangi


Assalamualaikum... Salam manis dan salam ceria buat semua teman-teman CT yang jauh dan dekat. Alhamdulillah, CT panjatkan rasa syukur kerana hari ini CT dapat bersiaran dan mengupdate resepi seperti biasa dalam Dapur CT ini. Sememangnya kalau tak menjengah satu hari blog kesayangan CT ni macam tak lengkap aje rasanya hari-hari CT tauuuu hehehe. Terima kasih juga buat teman-teman CT yang tak pernah jemu singgah Dapur CT ni juga, sayang kamu ketat-ketat hehehe.


Untuk resepi hari ni, CT kongsikan resepi kuih tradisional yang CT ubah-suaikan sedikit mengikut peredaran zaman iaitu Kuih Seri Muka Pelangi. Kadang-kadang tu kita perlu menginovasikan sedikit resepi kuih-kuih lama ni untuk menarik perhatian anak-anak kita untuk menyukai kuih-kuih melayu seperti ini. Tidaklah nanti diaorang asyik dihadapkan dengan muffin, kek dan kuih barat lainnya tapi tak meminati kuih-kuih melayu tradisi lama kita. Kalau tidak kita yang mempromosikannya siapa lagi betul tak. Lagipun, proses pembelajaran untuk apa pun tajuknya adalah bermula dari rumah. hehehe... dah macam cikgu pulak Che CT ni.


Okeylah, berbalik pada menu CT hari ini, Kuih Seri Muka Pelangi, agak-agaknya semalam ada hujan tak...? hehehe. Takde angin takde hujan, tup-tup pagi ni pelangi keluar pulak kat Dapur CT ni kan hehehe. Sebenarnya CT nak buat kuih Seri Muka Pelangi ni kepada 4 lapisan jadi CT bahagikan adunan tu kepada 4 bahagian. Tapi entah macamana terlebih tuang 3 lapisan yang sebelumnya atau loyang tu yang rendah sangat agaknya, jadinya adunan ke 4 tu tak dapat CT nak tuang, adusss... kecewa jugalah sebab dah plan baik aje nak buat 4 lapis. Jadinya, hanya 3 lapisan ajelah yang dapat dilapis kuih ni. Lain kali kalau nak buat lagi kena guna loyang yang tinggi sedikit. Jadi eloklah nanti kejadiannya, sambil makan sambil tenung dan renung kaler yang cantik macam pelangi tu kan hehehe. Untuk lapisan pulut tu CT memang buat nipis sedikit sebab CT alah kalau makan pulut banyak sangat, nanti mulalah berangin satu badan. Untuk teman-teman yang ingin mencuba pulak, ikutlah selera masing-masing ye, nak tebal ke atau nipis ke pulut tu ya.



Pada yang meminati kuih-kuih lama tapi dibaharukan ini bolehlah mencuba jika teringin nak merasa atau dah lama tak buat. CT buat adunan pelangi tu dari resipi kuih lapis 1 Malaysia yang CT tambah sedikit adunan nya. CT suka buat berlapis sebab anak bungsu CT suka kopek kuih tu selapis demi selapis, serupa macam Mama dia hehehe. Okeylah kita terus pada resipi dibawah ya. Sampai jumpa lagi, Insya'Allah. Salam manis dari CT. Daaa....


Kuih Sri Muka Pelangi
Resipi : Che CT

Bahan lapisan bawah:
2 cawan santan cair
1 1/2 cawan beras pulut - cuci dan rendamkan 3 jam
1 sudu teh garam

Bahan lapisan pelangi:
2 cawan tepung gandum
1/4 cawan tepung beras
1/4 cawan tepung jagung
1/2 cawan gula pasir (boleh tambah lagi jika suka lebih manis)
3 1/2 cawan santan (boleh tambah lagi jika perlu)
1 camca teh garam
Pewarna  Merah, Oren dan kuning.

Cara-cara :
1. Panaskan periuk kukus hingga air mendidih.
2. Satukan bahan lapisan bawah dan masukkan semua dalam loyang dan kukuskan.
3. Apabila pulut telah masak tekankan dalam loyang sehingga mampat - boleh juga alas loyang dengan plastik, agar senang nak keluarkan kuih nanti.
4. Satukan semua bahan lapisan pelangi kecuali pewarna, blender halus dan tapiskan.
5. Bahagikan adunan lapisan pelangi kepada 3 bahagian sama banyak.
6. Masukkan setiap bahagian dengan satu warna kacau rata.
7. Kukus semula pulut yang telah dimampatkan.
8. Tuangkan lapisan dengan warna merah dan kukus selama 8 minit. Buat lapisan kedua kukus lagi dan seterusnya hingga habis.
9. Apabila telah habis semua lapisan, kukus semula selama 20-25 minit dan tutup dengan  tuala bersih pada tutup kukusan agar tiada air menitis atas kuih nanti. Sejukkan betul-betul baru dipotong kuih dengan pisau plastik.
10. Sesuai untuk minum pagi atau petang.


Friday, May 25, 2012

Kek Span Marble Mudah


Assalamualaikum... Salam pagi, salam manis dari CT buat teman-teman yang sering singgah ke Dapur CT. Hari ini CT ingin kongsikan satu resipi yang memang mudah, amat cepat dan ringkas aje penyediaan nya. Kalau dah tak ada idea nak buat kek apa untuk menu minum petang, bolehlah buat menu ni yang menggunakan tepung segera. Sebenarnya dah lama juga CT beli tepung segera ni. Jadi sebelum sampai tarikh tamatnya baiklah digunakan cepat. Tepung segera ni penyelamat kalau nak buat hidangan yang cepat untuk disiapkan. Dan untuk resepi hari ini, CT gunakan tepung segera atau Sponge Cake Mix vanilla flavour ni untuk menu dalam Dapur CT hari ini. Hanya perlu ditambahkan telur, butter cair dan air. Memang amat mudah. Tak perlu timbang tepung, cuma tambahkan bahan yang lain tu mengikut sukatan, putarrrr dan masuk dalam acuan, lepas tu terus bakar. Senang sangat-sangat kan. Dapur pun tak lah berselerak dengan adunan yang bersepah-sepah sana sini hehehe. Jadi, tak ada sebab untuk jadi malas okehhh hehehe.


Sebenarnya plan asal CT nak buat kek ni untuk merasmikan acuan SM (Silicone Mould) yang pertama sekali suami CT belikan masa mula-mula tu tapi tak terbuat-buat juga. Sebaliknya, CT rasmikan SM yang CT dapat kemudian dari tu iaitu untuk resepi kek Lemon Pound Kek yang CT publish hari Isnin lepas. Jadi untuk kek ni, CT cubalah membuatnya mengunakan tepung segera dan jadilah acara memecahkan 'dara' untuk silicone mould CT untuk kali yang kedua pula hehehe. CT tak sempat nak ambil gambar kek ni sebuku masa belum dipotong sebab masa buat kek ni hari dah senja sangat, jadi bila siap bakar je langit dah gelap dah. Jadi nak ambil gambar memanglah tak sesuai. Kemudian seawal pagi dah dipotong-potong untuk sarapan anak-anak dan suami terchenta. Jadi CT tayanglah kejadian kek yang dah siap dipotong tinggal nak ngappp! aje ya hehehe. Memang lembut kejadian kek span ni, anak-anak bertambah makan. Lagi pun lama juga rasanya CT tak membaking kek ni.


Kek ni CT bagi nama Kek Span Marble Mudah. Dalam resipi ni CT tambahkan esen vanila, serbuk koko dan coklat emulco. Tidaklah nampak plain aje warna putih gitu macam tak ceria aje rasanya kan. Bila dah dimarblekan nampaklah sedikit kelainannya dan nak makan pun berselera lah sikit. Okey sebelum mula nak merapu, kita terus pada resipi mudah nak disediakan ni. Tak perlu buang masa terus pada resipi dibawahlah ya. Sampai jumpa lagi, salam manis dari CT. Daaa....


Kek Span Marble Mudah
Resipi : Che CT

Bahan-bahan :
400 gm sponge cake mix - di ayak (CT guna jenama NONA perasa vanila)
5 biji telur gred A - suhu bilik
80 ml air
1 sudu kecil esen vanila
80 ml butter - dicairkan
2 sudu besar serbuk koko - diayak
1 sudu kecil coklat emulco

Cara-cara :
1. Sediakan acuan bulat 9 inci yang digris butter dan dialas dengan kertas minyak. Ketepikan.
2. Masukkan tepung adunan pek segera yang diayak dalam mangkuk adunan. Tambahkan air dan masukkan telur satu persatu dalam adunan tepung sambil diputar dengan kelajuan sederhana selama 4 minit hingga kembang dan gebu.
3. Telur dimasukkan sebiji-sebiji ya. Setiap sebiji telur diputar dalam 20 saat baru dimasukkan lagi sebiji.
4. Bila adunan dah kembang dan gebu, masukkan esen vanila dan butter cair perlahan-lahan sambil diputar dengan kelajuan rendah selama 1 minit sehingga ringan dan kembang.
5. Ambil anggaran 2 senduk adunan tadi dan dimasukkan dalam mangkuk lain dan ditambahkan dengan serbuk koko dan coklat emulco. Kacau rata.
6. Masukkan adunan plain berselang seli dengan adunan koko dalam loyang. Ambil pisau plastik atau lidi sate dan corakkan bentuk marble.
7. Bakar pada suhu 180C selama 45 - 50 minit atau sehingga masak. Suhu bergantung pada oven masing-masing. Uji kek dengan mencucuk lidi sate bila lidi keluar bersih kek dah masak. Sejukkan kek atas redai kek dahulu baru dipotong.


Wednesday, May 23, 2012

Puding Peach Nata De Coco


Assalamualaikum... Salam manis dan salam mesra buat teman-teman CT semuanya dan senyum-senyumlah selalu ye sebab senyuman yang manis boleh mengubat penyakit tau. Tapi jangan lah pulak senyum tak kena masa dan tak kena orang, nanti jadi kes naya pulak hehehe. Teman-teman semua apa khabar hari ni? CT harap semoga semuanya didalam keadaan yang sihat dan gembira disamping keluarga tersayang. Senang dan tenang rasa hati bila semua ahli keluarga kita sihat setiap masa. Kalau ada salah seorang yang kurang sihat, pasti hati kita tak tenang kan. Kalau ada yang tak sihat tu cepat-cepatlah jumpa doktor agar tidak melarat sakit tu kan. CT ni paling tak suka jumpa doktor. Kalau sakit yang CT rasa cuma sakit biasa-biasa tu, CT bantai makan ubat sendiri sebab malas nak jumpa doktor. Kalau dah rasa teruk sangat barulah gigihkan juga untuk pergi klinik. Bukan takut makan ubat atau apa, tapi memang macam tu, tak tahulah kenapa. Ada masa tu bila CT demam agak teruk juga dan suami ajak pegi klinik, CT akan cuba mengelak dan buat perbagai alasan hehehe. Tapi kalau suami dan anak-anak sakit aje, CT lah orang pertama yang paksa suruh jumpa doktor dan ambil ubat. Jadi jangan ikut macam CT tau hehehe.


Berbalik pada menu CT untuk hari ini Puding Peach Nata De Coco. Sesuai dengan keadaan cuaca sekarang ni yang memang susah nak diramal. Dari awal 8 pagi aje suhu dah mencecah 30c, memang panaslah tu kan. Kadang-kadang dah sampai malam pun suhu menjejak hingga 34c huhuhu. CT dok cari tempat sejuk ajelah. Nak duduk kat dapur tu pun rasa macam kena pasang kipas aje rasanya. Apa tak nya, bila kita masak memang bertambahlah lagi panasnya kan. Peluh tu jangan cakaplah. Bila cuaca panas macam ni, memang tak boleh tidur malam kalau tak pasang aircond. Setakat pasang kipas aje memang tak berkesan punya. Itu baru dugaan didunia, kat SANA nanti, macam manalah agaknya ye... Allah saja yang tahu.


Berbalik pada resipi Puding Peach Nata de Coco ni, CT ambil resepinya dari satu blog minah saleh yang CT ubah dan ditambah sana situ sikit. Lepas CT tambah sana tambah sini akhirnya adunan dia yang sikit tu jadi banyak pulak tambahannya hehehe. CT translatekan resepi tu kepada bahasa melayu supaya mudah untuk difahami oleh anak-anak dan cucu-cucu CT dikemudian hari. Ehh... bukan ke anak-anak zaman akan datang lagi pandai berbahasa inggeris dari nenek dia ni hahaha.


Resipi asal puding ni menggunakan buah-buahan segar strawberry, mangga dan kiwi. Tapi CT cuma ada stok buah peach dalam tin dan buah-buahan dalam tin, jadinya CT ubahlah mengikut apa yang ada di ceruk Dapur CT tu aje kan. Dan akhirnya terjadilah resipi dari CT ni, Puding Peach Nata De Coco olahan CT ni yang emm... sedap juga rasanya. Lupa pulak CT nak buatkan sos kastardnya, sebab dah tak tahan duk lelama kat dapur tu panassss. Tapi tak buat sos pun, habis jugalah dimakan insan-insan tersayang dirumah. Sesuai sangat-sangat dihidang dalam keadaan cuaca yang panas dan tak berapa panas juga hehehe. Kalau ada yang nak letak sos kastard pun boleh juga, ikut sesuai rasa dan pemintaan insan-insan tersayang jugalah ya.


Jika nak sedap lagi resipi ni, bolehlah ditukarkan buah-buahan dalam tin seperti yang CT guna ni kepada buah-buahan segar ye. Pasti lebih sedap dan fresh rasanya kan. Insya'Allah nanti CT akan cuba lagi, dan menu ini amat sesuai kalau dibuat untuk menyambut tetamu juga. Sebab mudah dan cepat untuk disediakan. Jika ada yang sudi untuk mencuba, silakan lihat resipi dibawah ya. CT kongsikan bersama untuk teman-teman tersayang. Sampai jumpa nanti, salam manis dari CT. Daaa....


Puding Peach Nata De Coco
Resepi olahan : Che CT

Bahan-bahan :
8 gm agar-agar serbuk plain
800 ml susu cair
100 gm gula pasir
5 sudu besar susu pekat manis
100 gm yogurt perasa peach - boleh ganti perasa buah-buahan campuran
150 gm buah peach dalam tin - tapis jusnya dan blender halus
5 sudu besar Nata de coco
Sedikit potongan buah peach - potong dadu

Cara-cara :
1. Basahkan dahulu acuan pilihan dan susun dalam dulang dan ketepikan.
2. Campurkan semua bahan diatas kedalam periuk kecuali Nata de coco dan potongan buah peach. Kacau rata.
3. Masak diatas api sederhana kecil sambil dikacau hingga mendidih dan matikan api. angkat dan ketepikan sebentar.
4. Susun Nata de coco dan potongan buah peach dalam acuan dan tuangkan adunan puding tadi perlahan-lahan. Bila dah hilang wap panas bolehlah dimasukan kedalam peti sejuk.
5. Hidang puding semasa sejuk dan boleh juga dihidang bersama sos kastard jika mahu.


Monday, May 21, 2012

Lemon Pound Cake


Assalamualaikum... Salam ceria dan salam manis buat semua teman-teman CT. Rindu kat semua dan rindu juga kat blog kesayangan CT yang satu ni, Dari Dapur CT. Sebabnya? rasa macam lama sangat CT tak menjengah dan mengupdate masakan CT disini. Itulah jadinya kalau guna broadband disebabkan oleh kuota 5GB sebulan dah habis guna. Bila dah habis tu masih boleh online cuma speednya alahai sempuuuuut sangat, jadi lupakan ajelah kalau nak update blog sebab kalau nak upload gambar memang tak lepas le jawabnya. Selalunya CT guna sampai cukup sebulan pun okay lagi, tapi bulan ni baru setengah bulan je dah habis guna. Bila CT siasat, rupanya anak dara CT tu yang dok perabiskan. Dia dok download movie memanjang. Patut la pun abih! Lepas ni nak kawal ketat-ketat. Huh ! geram! hehehe.


Apa pun, CT nak mintak maaf pada semua teman-teman CT, sebab tak dapat nak singgah blog macam selalunya sepanjang seminggu yang lepas. Kalau dapat singgah pun 1-2 blog aje, itu pun kena tunggu 1-2 jam dan CT akan biarkan blog tu loading sampai habis dan CT siap bole buat kerja lain dulu lepas tu baru datang balik untuk CT baca dan komen hehehe. Ni dapat update blog pun sebab CT baru dapat tahu boleh guna booster plan untuk tambah data usage. Masuk kan RM10 dapat 1.5 GB, tapi itu pun cuma bole guna untuk 3 hari je. Lepas 3 hari akan slow semula. Kalau nak laju macam biasa, top-up lagi booster tu.


Untuk resepi pembukaan minggu ini, CT ingin kongsikan menu yang CT buat semalam iaitu resipi Lemon Pound Cake yang CT adaptasikan dari satu resepi minah saleh. Kalau dah namanya Lemon pastilah ada rasa masam. Kalau rasa lemon tu manis bukan lemonlah namanya tu betul tak. Resepi asal kek ini memang banyak mengunakan jus lemon, tapi CT dah olah sedikit untuk mengurangkan rasa masamnya. Maklumlah yang nak makan kek ni bukan CT sorang. Sudah semestinya resepinya mestilah mengikut kesesuaian pelanggan-pelanggan tetap CT iaitu anak-anak dan suami, jadinya penggunaan jus lemon tu kenalah dikurangkan sedikit. Tapi walaupun CT dah kurangkan sukatannya, tapi masih kuat lagi rasa masam lemonnya, tapi ditahap boleh diterima tekak dan yang penting, sedappp! kena puji diri sendiri sebelum orang lain puji hehehe.


Oh ye, perasan tak bentuk kek lemon ni? haaa... inilah dia salah satu acuan SM pemberian dari My laling CM untuk isteri terchenta dia hehehe. Ini pertama kali CT mengunakan acuan SM (silicone mould) ni, memang mudah, cantik dan berbentuk sikit kejadian kek tu, tidaklah bulat atau petak aje memanjang kejadian kek nya macam yang sebelum-sebelum ni kan. Dah macam jakun pulak maklumlah baru ni dapat mencubanya, sabor ajelah hehehe. Amboiii... jangan lupa daratan Che CT oii... dulu guna loyang pun menjadi juga kek awak tu hehehe. Tapi memang suka sangat-sangat sebab dah lama CT mengidam nakkan acuan SM ni tau. Bila lihat teman-teman dok tayang kek macam-macam bentuk adoiii... asiklah tenung renung sambil duduk diam-diam. Sambil tu pejam celik pejam celik aje mata ni hehehe. Tapi bila dah dapat apa yang kita hendak, rasanya hari-hari nak buat kek aje. Kak Ummi kata pada CT, acuan ni pun boleh juga diguna untuk buat bingka atau pudding. Okey jugak tu, tapi tunggu lain kalilah ya, CT akan buat juga nanti. Lagipun memang anak-anak CT memang tak berapa laju sangat dengan kek. Tapi kalau puding atau kuih bingka haa... yang tu laju banyak hehehe. Orang lain dah lama dok mengumpul SM ni, tapi CT baru nak mula. Tak apalah biar lambat asal adaaaa hahaha.


Berbalik pada menu CT hari ini iaitu resipi Lemon Pound Cake yang CT ambil resepinya dari blog minah saleh berbangsa Perancis. Resepi asalnya agak banyak sukatannya jadi CT dah tukar semuanya, dan telah dialih bahasa sekali. Terima kasih kepada En Google translate tu, senang sikit kerja untuk mengalih bahasa tu. Tapi ada juga masanya perkataan dan ayat yang google translate tu alihbahasakan tak tepat dan mengelirukan. Bila dah jadi macam tu, kenalah olah mengikut apa yang kita rasa betul dan pandai-pandai sendiri ajelah bila membuat mengikut resepi tersebut. Kebanyakan masa, resepi yang CT ikut tu menjadi dengan jayanya, Alhamdulillah. Inilah yang dikatakan berusaha jangan sampai putus asa, kelak kita pasti berjaya... yalah tuuu hehehe


Okey siapa yang nak mencuba, silakan. CT dah adjust sukatan semuanya supaya sedang-sedang sesuai,  tak berapa manis dan masam, tapi kalau rasa sukatan tu dirasakan boleh jadi terlalu masam, pandai-pandailah adjustkan lagi sukatan jus lemon dan gula tu ya. Lagi pun kreativiti dan sentuhan masak-masak ni bermula dari hati dan direalisasikan dihujung jari kita. Kalau rasa ada yang dirasakan tak perlu diletak, boleh dikurangkan atau tak payah diletak langsung. Okeylah, selamat mencuba ya teman-teman. Salam manis dari CT sampai jumpa lagi. Daaa....


Lemon Pound Cake
Resipi : Che CT

Bahan-bahan :
1 1/2 cawan tepung kek
1 sudu kecil baking powder
180 gm mentega - suhu bilik
1 biji parutan kulit lemon
4 biji telur A
1 cawan gula kastor
1 sudu kecil esen vanila
1/4 cawan susu segar
1/4 cawan jus lemon

Bahan Glaze
3/4 cawan gula icing - ayak
1 sudu besar jus lemon

Cara-cara :
1. Panaskan oven suhu kepada 180C. Gris loyang bulat 8 inci x 3inci dengan butter dan alas dasarnya dengan kertas minyak dan ketepikan.
2. Ayak tepung dan baking powder dalam mangkuk dan ketepikan.
3. Pukul mentega, gula kastor dan parutan kulit lemon dengan kelajuan sederhana hingga warna adunan pucat dan kembang selama 2-3 minit. Kikis tepi mangkuk adunan agar rata semuanya.
4. Masukkan telur satu persatu dan pukul lagi hingga gebu. Masukkan esen vanila dan pukul lagi.
5. Dengan kelajuan rendah, masukkan adunan tepung bersilih ganti dengan susu dan lemon jus, diakhiri dengan tepung. Tak perlu putar terlalu lama.
6. Tuang adunan dalam loyang dan bakar selama 45-55 minit atau hingga masak. Uji dengan mencucukkan lidi, jika lidi keluar bersih tandanya kek sudah masak.
7. Sejukkan kek dalam loyang selama 15 minit, kemudian terlangkupkan kek atas redai kek dan biar kek sejuk sepenuhnya.
8. Sementara menunggu kek sejuk, pukul gula icing dan jus lemon dalam mangkuk kecil hingga licin dan tebal untuk membuat glazenya.
9. Renjis atau tuangkan glaze diatas kek. Hidangkan.


Friday, May 11, 2012

Apam Kuning Hijau


Assalamualaikum... Salam manis dan salam mesra untuk semua pengunjung setia blog Dari Dapur CT. Untuk hari terakhir persekolahan untuk minggu ini, CT sajikan kuih apam untuk sarapan anak-anak sebelum ke sekolah. CT ni rajin buat kuih muih bila anak-anak bersekolah aje. Bila hari cuti atau hujung minggu tu CT tak buat kuih untuk sarapan pun. Sebab dihari Sabtu dan Ahad, CT akan ke pasar tani membeli bahan memasak untuk seminggu, jadi biasanya CT akan beli sedikit kuih-muih atau nasi lemak dari sana untuk sarapan pagi anak-anak. Kalau tak beli dari situ, CT akan bungkuskan roti prata selepas CT singgah minum pagi kat restoran mamak berdekatan situ. Biasalah orang Malaysia ni kalau tak pekena roti prata bersama teh tarik sekali-sekala, tak sah rasanya kan, termasuklah diri CT sendiri. Tapi CT cecah roti prata dengan kuah dalca aje, sebab tekak CT memang tak boleh masuk kari hehehe.


Berbalik pada resipi CT hari ini, hidangan Apam hijau kuning ni CT ambil dari Fotopages RinnChan. Sudah agak lama Rinn menyepi dari dunia masak-masak. Mungkin sibuk atau ada urusan lain yang perlu diutamakan kot. Sebab itulah lama dah Rinn tak update fotopagesnya tu. Tapi CT tetap berkunjung ke Fotopages RinnChan sekali-sekala untuk mencari resipi yang ingin dicuba. Berbalik pada resipi Apam mudah ni, memang lembut dan sedap aje bila dimakan kuih apam ni. CT bab-bab apam ni memang suka sangat-sangat. Kiranya makan tak ada rasa jemulah senang cakap. Nak buatnya pun mudah dan cepat, cuma yang ni CT letak aje 2 pewarna iaitu Kuning dan Hijau. Resepi asal Rinn pula letak pewarna PINK, kaler kesukaan CT tu hehehe.


Untuk adunan ni, banyak jugalah dapatnya sebab CT letak dalam acuan kecil-kecil, mudah tak perlu nak dipotong-potong bila dah siap. Kalau nak letak dalam loyang pun boleh juga, senang sekali tuang aje adunannya. Ikut masing-masinglah ya, mana yang mudah pada kita, itulah yang kita akan buat ya tak. Tapi kalau nak letak dalam acuan kecil-kecil macam CT ni, sapu sedikit minyak masak nipis-nipis pada acuan tu dulu supaya senang nak dikeluarkan selepas apam keluar dari kukusan. Dan kebiasaannya, CT akan terus keluarkan apam dari acuan dan tak tunggu hingga apam ni sejuk sebab apam lebih senang dikeluarkan semasa masih panas. Bila mengunakan acuan kecil-kecil ni, macam itulah akan CT lakukan. Panas sekejap aje tahanlah sekejap ya hehehe.


Untuk yang ingin mencuba resipi apam ni bolehlah cuba ya. Tapi kalau ingin melihat step-by-step nya, bolehlah lihat di fotopages RinnChan. Okeylah sila jengah resipi dibawah jika ada yang sudi ingin mencuba. Sampai jumpa lagi teman-teman, salam manis dari CT. Daaa....

Apam Kuning Hijau
Resipi : Naz RinnChan Fotopages
Di Olah : Che CT

Bahan-bahan :
1/2 cawan air suam
1 1/2 sudu makan yis segera mauripan
1 camca teh gula pasir

2 1/2 cawan air
3 cawan tepung gandum
5 sudu makan tepung beras
3/4 cawan gula pasir
Sedikit pewarna kuning dan hijau

Cara-cara :
1. Bancuh air suam, yis dan gula pasir hingga larut . Biarkan selama 5 minit sehingga berbuih.
2. Sementara itu, masukkan semua tepung, air, gula pasir dan ke dalam pengisar. Kisar hingga semua larut.
3. Tuang bancuhan tepung ke dalam satu bekas besar. Masukkan juga bancuhan yis yang telah kembang. Gaul rata.
4. Tutup bekas dengan plastik atau kitchen towel yang bersih. Perap selama 1 jam atau sehingga kembang.
5. Panaskan kukusan. Lengser loyang bulat berukuran 10 inci dengan sedikit minyak masak atau guna acuan kecil yang disapu sedikit minyak masak. Boleh alas dasar loyang dengan plastik supaya mudah menanggalkan apam bila sudah siap dikukus nanti.
6. Bahagi adunan kepada dua bahagian sama banyak dan letak pewarna yang digemari. Atau boleh saja dituang adunan ke dalam loyang dan kukus apam selama 40 minit. Untuk acuan kecil-kecil kukus selama 10-15 minit dengan mengunakan api sederhana.
7. Biarkan apam sejuk dahulu sebelum dipotong.
8. Boleh dihidang dengan kelapa parut. Agar kelapa parut tahan lebih lama, kukus selama lima minit. Gaulkan dengan sedikit garam.

NOTA :  Kalau nak potong apam pastikan pisau betul-betul tajam. Potong seperti menyorong gergaji, jangan ditekan pisau supaya apam tidak mempat pada tempat potongannya.



Wednesday, May 9, 2012

Pulut Panggang


Assalamualaikum... Salam ceria, salam manis dan senyum-senyumlah selalu, semoga keceriaan ini akan kekal sepanjang hari, Insya'Allah. Berkisah pada menu CT pagi ni, Pulut Panggang. Ada yang dah lama tak makan pulut panggang, atau dah makan tapi nak buat lagi. CT terpandang sorang rakan blogger, Ika dok tayang pulut panggang. Itu yang CT macam teringin nak buat juga. Selalunya CT beli aje, RM2 dapat 5 biji. Tapi tak puas pulak makan sebab kecik-kecik dan nipis aje isi pulut disebalik daun pisang tu, lekat kat celah lidah aje rasanya... hehehe. Tengok daun pisang dah ada, apalagi, teruskan projek yang dah tergendala sekian lama. Tapi CT tak buat banyak sangat pun sebab anak-anak kurang gemar sedikit. Dan CT ni pun bukan boleh makan pulut lebih-lebih sangat, mulalah berangin satu badan nanti. Jadi buatlah sikit aje sekadar nak merasa hasil buatan sendiri, jangan sampai kempunan tak mencuba hehehe.


Keunikan masakan orang kita ni adalah masakannya yang berempah dan juga pedas. Begitulah juga sifatnya Pulut Panggang ni yang tidak sempurna kejadiannya jika tidak terasa sedikit kepedasan dan berempah dalam intinya. Inti dalam pulut tu mesti nak ada sedikit rasa pedas dan manisnya barulah sedap rasanya. Dan kalau kita gunakan intinya menggunakan serunding daging yang dimakan dengan ketupat dipagi raya tu bertambah sedap rasa pulut panggang ni agaknya ek. Tapi yang ini tidaklah CT buat macam tu sebab stok daging pun tak ada hehe. Untuk diserasikan rasa pulut panggang ni mengikut selera tekak CT, CT letakkan udang kering didalam bahan serundingnya. Hasilnya ialah Pulut Panggang yang cukup terasa pedasnya, manisnya dan masinnya dan sedap tak terkata, oppss! puji diri sendiri nampak hehehe


Pulut panggang ni kalau nak jadi lebih sedap kena panggang atas bara arang, tapi mana CT nak cekup arang nak buat bara dan panggang pulut tu. Lagipun kalau dikampung tu bolehlah main bakar-bakar arang tapi kita yang duduk di bandar ni mana boleh bakar arang ikut suka-suka kita. Nanti penuh asap siap masuk kat rumah jiran sebelah lagi hehehe. Jadi ringkasnya, CT panggang atas api dapur ajelah. Setelah siap, sedap jugalah rasanya cuma tak adalah rasa smoky seperti bila dipanggang atas bara arang tu kan. Dan bila panggang atas dapur, kejadiannya nampak cantik aje berbanding dipanggang guna arang yang kadang-kadang terhangus sampai kedalam. Dan tak adalah comot-comot dengan hitam arang tu hehehe.


Amboiii... Panjang lebar pulak CT berceloteh. Okeylah, kita ringkaskan aje, dan kita terus pada resipi dibawah. Sampai jumpa lagi dan salam manis dari CT. Daaa....

Pulut Panggang
Resipi : Che CT

Bahan-bahan Pulut:
2 cawan beras pulut - cuci dan rendam 3 jam
1 cawan santan cair
1/4 sudu kecil garam 
2 helai daun pandan - simpul
Daun pisang secukupnya
Lidi sate secukupnya

Cara-cara :
1. Didihkan air dalam periuk kukus dan kukus beras pulut anggaran 30 minit atau sehingga masak.
2. Campurkan sedikit garam dalam santan dan kacau rata. Tuangkan dalam beras pulut tadi dan biarkan pulut masak sepenuhnya. Angkat dan sejukkan.

Bahan Inti serunding:
1/2 biji kelapa parut putih
4 biji bawang merah #
2 ulas bawang putih #
1 batang serai - hiris nipis #
6 tangkai cili kering - rendam seketika dalam air panas  - toskan #
1/2 inci kunyit hidup #
1/4 cawan udang kering - rendam sekejap dan toskan #
(bahan bertanda # dikisar halus dengan sedikit air)
Garam dan sedikit gula secukupnya

Cara-cara :
1. Dalam kuali panaskan 1 1/2 sudu besar minyak masak dan masukkan semua bahan kisar dan kacau sebentar. 
2. Kemudian masukkan kelapa parut kacau lagi dan masak sehingga kering. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Sejukkan seketika.

Menyiapkan Pulut Panggang :
1. Kerat daun pisang anggaran lebar tapak tangan atau 1 1/2 inci yang telah dilaurkan dahulu. Sapu sedikit minyak pada sebelah permukaan daun pisang tadi.
2. Letakkan anggaran 2 sudu besar pulut dan ratakan sedikit. Letak inti serunding memanjang anggaran 1 sudu besar ditengah-tengah pulut. Gulung kemas dan padatkan sedikit.
3. Cucuk dihujung daun pisang tadi dengan lidi sate atau boleh juga di staplekan. Gunting lebihan daun pisang dihujungnya. Buat hingga habis pulut dan inti tadi.
4. Pulut boleh juga dipanggang atas api kecil dalam 10 minit dan boleh juga dibakar dalam oven jika mahu. Jika dipanggang atas api, terbalikkan pulut tadi selang beberapa minit supaya masaknya sekata. Selamat mencuba.



Monday, May 7, 2012

Talam Kacang Merah Dan Cendol


Assalamualaikum... Salam manis dan salam ceria buat teman-teman CT semuanya. Diharap hari ni hari yang lebih menceriakan kita semua walau dimana saja kita berada. Untuk resepi pembukaan pada minggu ini, CT kongsikan resepi yang CT cuba dari sebuah buku masakan. Seperti kebiasaan bila ada masa terluang CT akan belek-belek semua buku resipi yang telah CT beli, yang baru mahupun yang lama. Agak banyak jugalah dalam simpanan CT sampai tak tahu mana dah nak letak buku resipi tu semua. Yang paling lama tahun 1993, iaitu resepi dari majalah wanita. Tapi CT simpan resipinya aje yang lain-lain tu CT buang hehehe. Kalau ditimbang dan dijual pada apek yang beli surat khabar lama tu mungkin cuma dapat dalam RM3 je kot hehehe. Jadi simpan ajelah sebab tak berbaloi rasanya kalau jual buku-buku resepi lama ni. Kita beli aje sekeping dah berapa, malah ada juga buku resipi yang CT beli harganya dalam RM50, nanti di ambik dek apek tu cuma dapat 5 sen je hehe. Jadi, baiklah simpan aje. Boleh guna untuk rujukan dikemudian hari resipi lama-lama ni, kemudian kita ubahlah mana-mana yang kita rasa perlu dan jadilah resipi terbaru kannnn... hehehe.


Berbalik pada resipi hari ni yang CT bagi nama Talam Kacang Merah Dan Cendol. Nama asalnya Sweetened Kidney Bean and Cendol Cake. Resipi asalnya ialah dari dari buku resipi AROMA KUIHS hasil terbitan Chef Amy Wong. CT beli buku ni di kedai buku POPULAR masa CT pergi ke IKEA dua bulan lepas, ingatkan lepas beli tu nak terus mencuba satu tapi baru kali ni dapat mencubanya. Untuk resepi ni, CT tengok pada aduanan yang tertulis dalam buku tu memang banyak. Jadi CT sukat jadi 1/2 adunan aje, hasilnya cukup-cukup buat kami sekeluarga. Kalau dilihat dalam buku resipi ni semuanya ingin dicuba, tapi satu-satulah dulu ya sebab dalam list banyak lagi yang nak CT cuba. CT akan cuba buat juga satu persatu jika ada kesempatan ye... Insya'Allah.


CT tak berapa puas hati sedikit pada kejadian kuih ni sebab cendol tu semuanya dok naik kat atas masa CT kukus tu. Hisss... kena cuba lagilah sampai berjaya ni kan baru ada rasa puas hati banyak sikit hehehe. Kemudian tu, kacang merah kat dalam kuih tu anak bongsu CT si Haqim tak berapa sukalah pulak, asik kuis-kuis aje kacang merah tu susun kat tepi piring hehehe. Payah betul nak suruh anak-anak ni suka pada sesuatu yang belum pernah dimakan. CT cuba paksa juga Haqim makan kacang merahnya tu tapi tetap ditolaknya ketepi, alahaiiii anakkk hehehe.


Pada pendapat CT, kuih ni tak selembut macam kuih talam keladi yang pernah CT cuba sebelum ni. Tak lembut tapi taklah juga keras. Agaknya memang begitulah kot kejadian kuih ni, supaya senang untuk dipotong bila dah masak. Tapi bila CT tanya pendapat My laling CM katanya "okeylah, sedap juga macam ni ..." hehehe. Resipi ni kalau dilihat bahan asalnya menggunakan tepung sago yang agak banyak iaitu 260gm. Untuk 1/2 adunan sepatutnya 130gm, tapi CT kurangkan jumlahnya jadi 110gm aje takut kuih tu jadi kenyal sangat.



Okeylah kalau ada sesiapa yang ingin mencuba atau sudah membeli buku resipi AROMA KUIHS dari Chef Amy Wong ni apa lagi ditunggu, jom kita buat sama-sama ya dan kongsikan bersama teman-teman yang lain juga okey. Di sini, CT letakkan resipi asalnya ya, kalau ada yang nak buat 1/2 adunan tu pandai-pandailah adjust sukatannya okey. Salam manis dari CT, sampai jumpa lagi. Daaa....

Talam Kacang Merah Dan Cendol
Resipi : Chef Amy Wong - AROMA KUIH
Di Olah : Che CT


Bahan :  A
150 gm kacang merah dalam tin
150 gm cendol
2-3 titik pewarna merah (CT ganti dengan pewarna pink)

Bahan : B (Mixed)
240 gm tepung beras
260 gm tepung sago
1/4 sudu kecil garam
300 ml santan
300 ml air

Bahan : C
320 gm gula pasir
700 ml air
4 lembar daun pandan - simpul

Cara - cara :
1. Didihkan air dalam periuk kukusan terlebih dahulu. Sapu sedikit minyak pada loyang dan alas dengan plastik bersih dan lebihkan sedikit agar mudah untuk mengeluarkan kuih nanti. Ketepikan.
2. Masak bahan C dalam periuk hingga mendidih dan gula larut sepenuhnya. Ketepikan.
3. Bila air gula dah sejuk campurkan kedalam bahan B tadi kacau rata, tapis dan bahagi kepada 2 bahagian sama banyak.
4. Satu adunan diletak sedikit pewarna merah/pink dan satu adunan lagi dibiar plain saja.
5. Masak adunan plain diatas api kecil hingga naik wap dan kacau sentiasa lebih kurang 1 minit. Taburkan kacang merah dalam loyang dan tuang adunan cendol dan kukus selama 15 minit dengan api sederhana.
6. Masak pula adunan pink hingga naik wap dan sentiasa kacau agar adunan tidak bergentel. Bila adunan cendol mula mengeras, bolehlah dituang adunan pink perlahan-lahan dan taburkan kacang merah diatasnya. Tutup loyang dengan aluminium foil agar air tidak menitis diatas kuih. Kukus lagi selama 20 minit.
7. Bila tinggal 2 minit masa terakhir buka tutup kukusan dan aluminium foil biarkan kuih sebentar diatas api. Angkat dan sejukkan dahulu barulah boleh dipotong.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...