Showing posts with label Kek. Show all posts
Showing posts with label Kek. Show all posts

Monday, March 17, 2014

Kek Pisang Lembab | PIBF 2014


Assalamualaikum... Salam manis dan salam rindu buat semua pengunjung setia Dapur CT dan teman-teman CT semuanya. CT doakan semoga kita semua beroleh kesejahteraan di setiap masa. Sebelum CT bercakap lebih panjang, terlebih dulu CT ingin mengambil kesempatan memohon maaf sekiranya CT membuatkan teman-teman semua tertanya-tanya ke mana menghilangnya CT meninggalkan blog ini tidak berupdate. Sebenarnya CT agak sibuk sedikit disebabkan kekangan masa. Dan, banner di atas tu adalah salah satu juga penyebabnya. CT akan berada di Book Fair tersebut untuk pelancaran buku resepi CT bersama pihak MPH pada hari Ahad hujung minggu ini, 23 March 2014, daripada pukul 6 hingga 7 malam. Pada yang berkesempatan, bolehlah kita bersua muka disamping memberi sokongan moral untuk CT di sana nanti ye. InsyaAllah.


Berbalik pada apa yang ingin CT kongsikan kali ini. Resipi Kek Pisang Lembab atau nama omputehnya Banana Bread yang CT mengexplorasinya dari website allrecipe.com dan CT ubahnye mengikut citarasa CT. Gambar resepi yang CT kongsikan di sini adalah percubaan CT yang kedua kalinya dalam masa seminggu. Jika sudah diulang buat dua kali dalam seminggu maknanya memang menambat citarasa kami sekeluarga lah tu. Ditambah pula memang CT menggemari kek yang ber asaskan pisang. Agak banyak juga resipi kek pisang yang CT simpan dan telah di cuba tetapi resepi yang ini adalah antara resepi kek pisang yang paling CT gemari.


Kek pisang ni memang sedang-sedang aje manisnya, bertepatan dengan selera CT yang memang tidak suka pada kek yang terlalu manis. Dan tekstur kek ini kekal lembut walaupun setelah dibiarkan semalaman didalam bekas yang bertutup rapat. Walaubagaimanapun, pastikan kek betul-betul sejuk dulu, barulah disimpan di dalam bekas ye. CT tambahkan Choc Chips dalam resepi kek ini sebagai penambat selera buat anak-anak untuk lebih menikmati kek pisang ini. 


Dalam resipi asal tidak menggunakan serbuk koko serta esen pisang. Untuk resepi yang CT eksplorasi ini, CT telah mengurangkan 2 sudu besar tepung gandum dari jumlah adunan tepung gandumnya dan menggantikannya dengan 2 sudu besar serbuk koko. Esen pisang pula CT tambahkan sebagai penambah aroma pada kek pisang ini. Bagaimanapun, terpulanglah pada teman-teman jika mahu mengikut resepi asal atau mengikut cara CT. Bagaimanapun, pastikan sukatan gula perang tu padat semasa kita menyukatnya di dalam cawan ya.


Okeylah, rasanya cukuplah CT berhenti sampai di sini dulu. Buat teman-teman yang bertanyakan resipi kek ini semasa CT postkan di Instagram dan facebook sebelum ini, CT dah kongsikan diblog kesayangan CT ini ye. Cuma CT minta maaf sebab terlambat sikit untuk CT kongsikannya. Maklumlah, sibuk kan. hehehe.


Sampai kita berjumpa lagi nanti dan InsyaAllah pada yang berkesempatan untuk bertemu CT di Putrajaya International Book Fair, hujung minggu ini nanti, CT ucapkan selamat mencuba dan sampai kita berjumpa lagi nanti ye. Salam manisss teramat manisss dari CT buat semua. Daaa...


Kek Pisang Lembab (Banana Bread)
Resepi diolah daripada: allrecipes.com

Bahan-bahan :
2 cawan tepung gandum - (kurangkan sebanyak 2 sudu besar)
2 sudu besar serbuk koko
1 sudu teh baking soda
¼ sudu teh garam
½ cawan mentega - suhu bilik
¾ cawan gula perang
2 biji telur gred A - dipukul perlahan
½ cawan pisang masak - dilecek kasar
1 sudu teh esen pisang - jika suka
sedikit chocolate chips - untuk hiasan

Cara-cara membuatnya :
  1. Panaskan oven pada suhu 175°C. Gris loyang loaf pan ukuran 9" x 5" dan lapik dasar loyang dengan kertas minyak. Ketepikan.
  2. Dalam mangkuk besar, ayakkan tepung, baking soda, garam dan serbuk koko. Kacau rata dengan whisk dan ketepikan.
  3. Dalam mangkuk yang berasingan, pukul mentega bersama gula perang sehingga berkrim (anggaran 2 minit) kemudian masukkan telur yang telah dipukul bersama pisang lecek, kacau rata.
  4. Masukkan adunan telur dan pisang kedalam campuran tepung dan kacau rata (setakat untuk sebati sahaja, tidak perlu lama).
  5. Tuang adunan ke dalam loyang, kemudian taburkan choc chips diatasnya. Kemudian angkat loyang sedikit dan hentaknya jatuh sebanyak dua kali. Tujuannya supaya gelembong udara dapat dikeluarkan.
  6. Bakar selama 60 minit atau sehingga masak (uji dengan mencucukkan lidi)
  7. Setelah kek masak, keluarkan kek dari oven dan biar didalam loyang selama 10 minit sebelum dikeluarkan kek sejuk sepenuhnya atas rak dawai.

Monday, October 7, 2013

Kek Lapis Kukus Cream Cheese


Assalamualaikum... Salam ceria dan salam penuh kerinduan buat semua teman-teman tersayang dan pengunjung setia Dapur CT. Alhamdulillah, bertemu kita kembali setelah CT tidak bersiaran mengupdate blog selama seminggu. Asyik tenggelam timbul aje CT ni ye. Okeylah kan daripada CT tak timbul-timbul langsung, seminggu sekali pun jadilah ye hehehe. Sebenarnya minggu ni, minggu terakhir untuk projek yang CT usahakan tu siap. Jadi bermula minggu depan, merdekalah CT sekejap. Lama atau sekejapnya CT dapat berehat bergantung samada kerja untuk projek yang baru tu bermula segera atau dilewatkan sedikit. Tapi walau apapun, CT tetap akan cuba meluangkan masa bersama teman-teman di Dapur CT ini ye. 


Okeylah, kita bercerita tentang resepi pula ye. Resipi yang CT kongsikan pada hari ini memang sudah agak lama juga CT ingin mencubanya. Tapi baru sekarang CT dapat menunaikannya setelah kerajinan tu datang semula bila anak dara CT tu dah kembali semula ke kampus. Masa anak dara CT bercuti 6 bulan hari tu, kerja-kerja memasak dia yang kongker. CT hanya tunjuk-tunjuk dan tegur dari jauh aje hehehe. Ye lah, waktu bercuti lama macam tu lah kalau nak ambil peluang belajar memasak. Bila dah pandai, diri sendiri juga yang senangkan. Alhamdulillah sekarang anak dara CT tu dah boleh buat semuanya tanpa perlu bergantung tunjuk ajar dari mama dia lagi. 


Berbalik pada menu Kek Lapis Kukus Cream Cheese ni, ini salah satu kek yang rasanya super kebaboom. Serius CT cakap memang sedap kek ni dan setahu CT memang dah ramai juga yang telah mencubanya. Hanya CT aje yang ketinggalan hehehe. Untuk resepi yang CT kongsikan di sini, CT ambil resipinya dari blog Yatie. Terima kasih Yatie, suami dan anak-anak CT suka sangat-sangat dan memuji akan kesedapan kek ni. Insya Allah pasti akan diulang buat dilain kali nanti. Tambahan pula, anak dara CT dikampus tu pun dah mula menempah untuk di bawa balik ke kampusnya bila balik bercuti hujung minggu nanti hehehe.


Okeylah, CT berhenti dan minta undur diri sampai di sini dulu ye. Insya Allah jika diizinkan pasti akan ada entri seterusnya nanti ye. Sesibuk manapun CT nanti, CT akan cuba berkongsi masa dan resepi untuk teman-teman di sini ye. CT doakan semoga kita semua dipermudahkan dalam segala urusan pekerjaan kita, Amiinnnn. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam sayang dari CT... daaaa



Kek Lapis Kukus Cream Cheese

Bahan A:
250 gram cream cheese
60 gram gula halus
1 biji telur
1 sudu besar air
1 sudu besar tepung gandum

Cara penyediaan :
1. Pukul cream cheese bersama dngn gula hingga sebati.
2. Masukkan telur diikuti dengan air dan tepung gandum. Pukul lagi dan gaul sebati.
3. Biarkan sebentar.

Bahan B (KEK):
2 biji telur
1 cawan gula halus
1 sudu kecil esen vanilla
sedikit garam
1/2 cawan air panas didih
1/2 cawan susu segar / cair
1/2 cawan minyak jagung / masak
1 cawan tepung gandum *
3 sudu besar sebuk koko *
1 sudu kecil baking soda *
1/2 sudu kecil baking powder *
Nota: bahan bertanda* perlu diayak dulu

Cara penyediaan :
1. Pukul telur didalam bekas lain bersama gula sehingga kembang. Setelah kembang masukkan esen vanilla dan garam.
2. Masukkan air panas, susu dan minyak.
3. Setelah itu masukkan tepung gandum, baking soda, baking powder dan serbuk koko yang telah diayak dan gaul sebati.
4. Biarkan sebentar dan bahagi adunan pada 2 bahagian sama rata. 

CARA-CARA MEMBUATNYA :
1. Panaskan kukusan dan balut tutup kukusan dengan kain bersih. Gunakan api sederhana.
2. Sapukan sedikit minyak / mentega di sekeliling loyang berukuran 8x8x3 inci dan alas dengan kertas minyak.
3. Tuang adunan coklat, tutup loyang dengan aluminium foil dan kukus selama 15-20 minit.
4. Buka aluminium foil dan tuang adunan cream cheese diatasnya ratakan, tutup semula guna aluminium foil dan kukus selama 15 minit.
5. Setelah itu tuang lagi adunan coklat selebihnya, tutup lagi guna aluminium foil dan kukus lagi selama 20 minit atau hingga masak.
6. Setelah kek betul-betul sejuk, boleh dipotong dan hidangkan.

Monday, September 30, 2013

Snow Cheese Cake


Assalamualaikum... salam sayang dan salam rindu buat semua. Apa khabar teman-teman CT semuanya ye. CT harap semoga semuanya sihat sejahtera dan sentiasa ceria setiap masa... Aamiin. Alhamdulillah, setelah 2 bulan meninggalkan blog CT tidak berupdate, hari ini CT dapat menjenguk sebentar dapur CT ni dengan resepi Snow Cheese Cake. Sesetengah teman rapat tahu sebab sebenar CT tidak dapat menyisihkan masa untuk dapur CT ni buat masa ini tapi cukuplah CT mengatakan yang CT agak terlalu sibuk buat masa ini dengan projek yang sedang CT usahakan. Bagaimanapun jika ada sedikit masa terluang, CT akan cuba luangkan masa untuk berkongsi resepi di sini dengan teman-teman semua ye.


Resepi yang CT kongsikan hari ini bukanlah resepi yang asing malah CT pasti ada antara teman-teman yang terlebih awal sudah mencubanya. Untuk CT pulak, setelah lama diperap keinginan untuk mencubanya tu, akhirnya datang juga kerajinan untuk CT membuatnya pula kali ini. CT dengar sudah ramai yang mencuba resepi kek ini malah yang mengambil pesanan untuk perniagaan mereka pula mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Ucapan terima-kasih tidak terhingga harus dipanjangkan kepada pemilik asal resepi ini yang telah sudi berkongsikannya kepada kita semua. Semoga perkongsian ikhlas tersebut dibalas dengan kebaikan berlipat ganda baik di dunia mahupun di akhirat.


Snow Cheese Cake atau nama melayunya Kek Keju Bersalji. Memang meletop-letop kek yang mewah dengan cheese yang akan membuatkan penggemar cheese tidak akan berhenti dari menyorong piring untuk mintak ditambah lagi hehehe. Tidak terkecuali anak-anak serta diri CT sendiri. Wallahhh! memang sangat-sangat sedap, cuma takut bila dinikmati berlebih-lebihan nanti terasa badan seperti akan dipam-pam, jadi CT berhenti setakat 2 potong aje. Takut nanti badan tak maintain kecik lagi hehehe.


Pada yang belum pernah mencuba, CT sarankan agar cubalah nanti ye. Serius memang sedap hingga kawan-kawan anak CT yang di UiTM Shah Alam tu pun sampai mintak resipi nak mencubanya sendiri. CT cakap kat diorang, tunggu CT senang nanti akan CT buat lagi dan bawa ke UiTM sana, boleh kongsi merasa lebih sikit pada semua kawan-kawan dia. Kalau nak order lebih nanti pun boleh juga, tapi tunggulah mama CT ni free dulu ye.. hehehe.


Untuk kek yang CT kongsikan ini, resipinya CT ambil dari blog Mas Duniaku yang mana resipi asalnya adalah dari Sherry mz MyResipi, Alhamdulilah terima kasih banyak-banyak buat tuan punya resipi kerana berkongsikan resepi kek yang sangat sedap ini. Saranan CT, kalau nak makan kek ni sebaiknya dinikmati ketika kek tu sejuk, baru terasa umphhh nya! Dan lebih halus parutan kejunya, lebih nikmat lagi rasanya hingga terasa nak tambah lagi, lagi dan lagi... *wink*


Okeylah, CT mohon berundur sampai di sini dulu ye. Jika ada yang ingin mencuba, bolehlah semak resipi yang CT sertakan di bawah. Cuma pesan CT, bila berjaya membuatnya nanti, titipkan kredit pada penyumbang resepi yang asal ye, semoga segala perkongsian yang dipanjangkan sesama kita memberi berkat untuk kebaikan semua. Sehingga berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT..muahs! Daaa...


Snow Cheese Cake

Bahan-bahan :
6 biji telur - buang putihnya dari 2 biji
100 gram gula kastor
100 gram tepung hong kong / self raising flour / tepung gandum
60 gram tepung jagung (maizena)
50 gram air sejuk - dari peti ais
1 sudu teh baking powder
2 sudu besarn ovalette
75 gram mentega - dicairkan

Krim Cheese :
1 kotak cream cheese philadelphia
1/2 tin susu pekat manis -
Cara: satukan kedua-dua bahan dan putar sehingga adunan licin tidak berketul.

Untuk Topping :
1/2 kotak cheddar cheese KRAFT - diparut

Cara-cara :
1. Masukkan semua bahan-bahan kecuali mentega cair. Putar dengan kelajuan sederhana sehingga pekat dan putih. Kemudian masukkan mentega cair dan putar lagi sehingga sebati dan pekat.
2. Sediakan loyang bulat 8 inci yang telah dialas dengan kertas minyak atau yang telah disapu dengan sedikit butter.
3. Bakar dengan menggunakan api atas dan bawah selama 45 minit atau hingga masak, dengan kepanasan 150' C.
4. Bila kek sudah masak biarkan sejuk. Bila dah sejuk, ambil pisau kek dan potong di tengah-tengah kek supaya menjadi dua bahagian.
5. Sapukan krim cheese di atas bahagian kek yang bawah, kemudian tenggekkan bahagian kek yang atas tadi di atasnya.
6. Sapukan lebihan krim cheese sehingga menutupi seluruh kek.
7. Akhir sekali taburkan cheese kraf yang telah diparut tadi keseluruh kek sebagai toppingnya.
8. Masukkan dalam peti sejuk selama 1-2 jam sebelum dipotong dan dihidangkan.

Monday, April 22, 2013

Kek Kukus Warna Warni


Assalamualaikum ... Apa khabar semua teman-teman Che CT? CT doakan semoga semuanya didalam rahmat dan lindungan Allah sentiasa hendaknya. Sudah agak lama CT menyepi diri dari berkongsi resepi seperti kebiasaannya di blog ini kan. Sebenarnya bukan sengaja CT menyepikan diri tapi sekadar berehat buat seketika kerana berkabung untuk kakak CT yang kehilangan suami beliau yang tercinta pada 10 April yang lepas. Hari ini CT kembali semula menemui semua teman-teman CT seperti biasa ye.


Alhamdulillah, untuk resepi hari ini, CT ingin kongsikan resipi yang senang dan mudah cara pembuatannya. Sebenarnya, ini kali kedua CT menggodek kek ini untuk dipublish di blog. Kali yang pertama tu, CT hanya buat separuh adunan sahaja dari resipi asal untuk santapan keluarga tersayang dirumah. Bila CT post kan di Facebook ada pulak yang berminat dan mintak resipinya. Memandangkan CT tak shoot gambar kek adunan yang pertama tu dengan sempurna untuk dikongsikan di blog, jadi sebagai memenuhi permintaan tersebut, CT baking sekali lagi dan kongsikan di sini khas untuk semua teman-teman CT diluar sana pula.


Resipi kek ini pernah CT buat sedikit masa dulu tetapi CT dah modify dan olah resepi tersebut menjadi Kek Kukus Lapis Biskut Merry (resepinya di SINI). Resipi asalnya pula adalah Kek Kukus Velvet Hawflakes yang dikongsikan oleh Fida Myresipi. Untuk resepi yang CT kongsikan hari ini pula, CT olahnya pula menjadi Kek Kukus Warna Warni pula. Suka pulak CT bermain dengan warna untuk adunan kek ini, seolah melakar warna ke atas kanvas lukisan pulak jadinya hehehe.


Bagi yang pernah mencuba resipi dari Fida ni, pasti pernah merasa kelembutan kek yang dikukus ni. Anak-anak CT makan pun berulang-ulang hingga tak sedar habis kek yang dihidang dipinggan. Terasa seronok bila makanan yang kita buat habis dinikmati oleh insan-insan tersayang kan. Rasa sangat dihargai dan terbayar penat lelah terutamanya sewaktu membaking kek ni memang bermandi keringat disebabkan oleh cuaca yang panas membahang ditambah lagi dengan kepanasan dapur.


Bagi yang ingin mencuba, bolehlah semak resipi ydi bawah tu ye. Sukatan gulanya telah CT kurangkan kepada 200 gram, sukatan asalnya ialah 225 gram. Selain dari itu, jika nak buat 1/2 adunan boleh guna loaf pan ukuran 9 x 5 x 3 inci. Jika buat adunan penuh boleh guna loyang berukuran persegi 8 x 8 x 3 inci.


Okeylah CT mohon berundur diri dulu ye. Buat teman-teman yang sudi singgah dan meninggalkan komen yang manis sepanjang ketiadaan CT seminggu yang telah lepas tu, CT ucapkan ribuan terima-kasih. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT. Daaa....



Kek Kukus Warna Warni

Bahan-bahan :
5 biji telur grade A - dari peti ais
200 gram gula kastor
220 gram tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1 sudu besar ovalette
150 ml susu cair
1/2 sudu kecil garam
100 ml minyak jagung / masak
1 sudu kecil esen vanilla
pewarna makanan yang digemari

Cara-cara :
1. Panaskan air dalam periuk kukusan hingga mendidih.  Alas loyang persegi dengan kertas minyak. Atau guna silicone mould jika ada.
2. Ayak tepung dan baking powder kemudian campur kesemua bahan-bahan ke dalam mangkuk besar kecuali minyak dan pewarna masakan.
3. Pukul adunan dengan kelajuan tinggi selama 5 - 6 minit hingga sebati dan gebu. Masukkan minyak jagung / masak dan digaul dengan spatula hingga sebati.
4. Sudukan adunan berselang seli warna secara bertompok-tompok dan lorek dengan dengan lidi sate dan kukus selama 5 - 7 minit dengan api perlahan.
5. Buat hingga habis lapisan seterusnya dan kukus lagi. Untuk lapisan yang akhir kukus selama 20 minit  dan tutup penutup kukusan dengan kain bersih.
6. Setelah kek masak biarkan di dalam loyang selama 10 minit. Kemudian dibalikkan di atas redai kek supaya kek sejuk sepenuhnya.

Wednesday, April 10, 2013

Moist Fruit Cake


Assalamualaikum... Bersua lagi di hari rabu ini, semoga teman-teman diluar sana sentiasa ceria dan bahagia berpanjangan hendaknya. Untuk CT pulak, sejak semalam kena sakit kepala. Alah sakit kepala orang perempuan yang datang sebulan sekali tu hehe. Selalunya dalam sehari je esoknya dah hilang. Tapi kali ni dah semalaman masih tak hilang lagi. Agaknya di sebabkan oleh cuaca berbahang yang masih tak berkurangan, sakit kepala pun lambat juga nak berkurangnya.


Untuk resepi hari ini, CT kongsikan resepi kek buah. Rasanya, ini yang pertama kali CT mencuba kek buah selain kek-kek yang lain yang pernah CT buat sebelum ini. Kek buah adalah antara kek yang popular pada sambutan hari raya dan sudah pastinya salah satu antara kek yang menjadi kegemaran CT. Kakak CT di JB pandai buat kek buah kukus dan CT berani cakap yang kek yang dia buat yang paling sedap pernah CT rasa. Disebabkan kepakarannya tu, setiap kali dia buat pasti semua adik-beradik akan buat pesanan. Kalau dia buat bukan sebiji dua, tapi sampai 5 - 6 biji sekali kukus. Memang banyak, maklumlah adik beradik CT ramai. Tu yang dia buat banyak-banyak untuk semua adik-beradik merasa untuk di bawa balik ke rumah masing-masing 1/2 buku seorang hehehe.


Kalau nak cerita sejarah lama CT dengan kek kukus buah ni rasanya tak cukup sehari nak bercerita disini hehehe. Disingkatkan cerita memang dulu CT tak suka tolong kakak buat kek buah ni sebab takut terkena gula hangus tu kat tangan. Satu lagi sebabnya adalah nak elakkan diri dari kena jaga air dalam periuk kukusan yang biasanya ambil masa lebih 4 jam. Menurut kakak CT, lebih lama kek tu di kukus, lebih lama kek tu tahan untuk disimpan dan lebih lembab dan sedap rasanya.


Berbalik pada resipi Kek Buah Sedap yang CT kongsikan di sini, resepinya adalah bersumber dari blog JO Ayee yang menurutnya resipi asalnya ialah dari Jun Yummylicious. Kak Ummi juga pernah buat kek ni dan hasilnya memang terbaik dan sangat sedap. Biasanya untuk resepi yang CT cuba pada pertama kali, CT akan buat 1/2 adunan sahaja. Takut tak menjadi atau risau jika tidak mendapat sambutan dari anak-anak dan suami. Tapi nampaknya sambutan untuk kek ni boleh tahan juga. Jadi lepas ni bolehlah CT buat adunan penuh.


Oleh kerana percubaan ini berjaya, nampaknya raya tahun ni bolehlah CT buat nanti untuk di bawa balik ke kampung sebagai buah tangan untuk IBU mertua dan kakak-kakak CT di JB pada hari raya nanti, Insya Allah. Mungkin hasil air tangan CT tidak sehebat air tangan kakak CT yang pakar dalam membuat kek buah kukus. Maklumlah kek buah dikukus dibandingkan dengan kek buah yang dibakar pasti ada sedikit perbezaan rasanya kan. Mungkin juga yang dikukus tu lebih lembut berbanding yang dibakar dalam oven.  Tapi dari komen suami CT, kek yang CT buat ni tak kurang lembab dan lembutnya. Jadi nampaknya resepi ni menjadilah kan hehehe.


Oh ya sebelum CT terlupa, resipi asal kek ini mengunakan jus orange tapi CT gantikannya dengan jus mangga. Jika teman-teman ingin mencuba bolehlah semak resepi di bawah tu ye. Memang sedap kek ini untuk hidangan buat keluarga tersayang. CT berundur sampai di sini dulu. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT. Daaa.....

Moist Fruit Cake (Kek Kukus Sedap)

Bahan-bahan :
380 gram susu pekat manis *
400 gram mixed fruits *
250 gram mentega *
1 cawan air * - 250 ml
2 biji kuning telur

3 cawan tepung gandum ( 380 gram)
1 sudu kecil baking soda ( 5 gram )
1/2 cawan jus pati mangga (boleh juga guna jus orange)

Cara-cara :
1.  Masukkan bahan yang bertanda * dalam periuk. Masak atas api sederhana sambil dikacau sehingga mentega dan susu larut. Angkat. Bila sudah suam, masukkan dalam peti sejuk lebih kurang 3 - 4 jam.
2. Panaskan oven 170' C. Gris loyang 8 x 8 inci dan alas dengan kertas minyak. Ketepikan.
3. Keluarkan adunan susu pekat tadi dari peti sejuk campurkan dengan telur kuning. kacau rata.
4. Masukkan sedikit-sedikit tepung dan baking soda yang telah diayak kedalam adunan buah berselang seli dengan jus orange dan diakhiri dengan tepung. Kacau rata mengunakan spatula.
5. Bakar lebih kurang 50 - 1 jam.  Jangan overcook nanti kek kering. Simpan dalam bekas kedap udara.
Nota: Lebih lama disimpan, kek buah lebih lembab dan sedap.


Monday, April 8, 2013

Milk Cupcake


Assalamualaikum... Salam mesra dan salam rindu buat semua pengunjung setia Dapur CT. Dua minggu CT menghilang, ke mana CT menyorok agaknya ye.. hehe. Sebenarnya seperti yang CT katakan sebelum ni, CT hanya mengambil kesempatan untuk merehatkan badan sempena seminggu cuti persekolahan anak-anak. Tup-tup tak sedar dah masuk minggu ke dua CT bercuti dari mengupdate blog rupanya.. hehe. Apa pun, hari ini CT kembali bersiaran seperti biasa ye. Rindu pada blog CT ni :)


Untuk entri hari ini iaitu entri pertama setelah CT bercuti panjang, CT kongsikan resepi Milk Cupcake yang seakan-akan muffin juga rupanya ni. Tak tahu nak panggil cupcake atau muffin. Tapi yang penting, teksturnya memang sangat lembut dan gebu. Pada asalnya, resepi yang CT olah hingga menjadi Milk Cupcake ni adalah resepi sponge cake. Tapi kemudian CT olahnya hingga menjadi seperti yang CT kongsikan ini. 


Kadang-kadang tu memang ada masanya kita terasa ingin bereksplorasi dengan sesuatu resepi yang ingin kita cuba mengikut citarasa kita. Alhamdulillah percubaan ini menjadi. Dan untuk menepati lagi citarasa CT, mulanya CT ingin tambahkan cip coklat, tapi kehabisan stok pulak. Sebagai gantinya, CT tambahkan aje sedikit kismis di dalam adunannya. Pendekkata, capai ajelah apa stok yang ada dalam tangan. Tapi sedap juga jadinya hehehe.


Milk Cupcake ni memang lembut kejadiannya dan tanpa sedar dalamasa CT shoot gambarnya tu rupanya habis juga 3 ketul CT makan hehehe. Teringat yang CT buat tak banyak, terus CT berhenti makan. Nasib baik CT tersedar. Kalau terus aje CT layan mengunyah, pastinya anak-anak tak merasa nanti hehehe.


Pada teman-teman yang berminat nak mencuba resepi ni, buatlah cepat-cepat tau. Jangan jadi macam CT. Dah lama resepi ni disalin untuk dicuba, tapi baru sekarang CT membuatnya. CT jamin resepi ni pasti menepati selera teman-teman yang sukakan cupcake/muffin yang gebu dan lembut. Untuk adunan yang CT kongsikan di bawah tu boleh dapat dalam 12 biji. Jadi kalau nak dapat jumlah yang lebih, gandakan aje bahan-bahannya tu ye.


Okeylah CT berhenti sampai di sini dulu, kita berjumpa lagi nanti untuk resepi yang lain pula ye. Terima kasih buat teman-teman yang sering memberi komen yang manisss buat CT. Sampai jumpa nanti, enjoy this ultra soft and fluffy cupcake.. daaa.....

Milk Cupcake

Bahan-bahan :
2 biji telur gred A
1/4 sudu kecil cream of tartar
1/2 sudu kecil esen vanila
75 gram gula kastor

80 gram tepung gandum
15 gram tepung jagung
1/2 sudu teh baking powder

30 ml mentega cair
80 ml susu - suhu bilik
1 sudu besar kismis - jika perlu

Cara-cara :
1. Panaskan oven pada suhu 160 -170' C. Susun cawan muffin dalam loyang muffin ketepikan.
2. Pukul telur sehingga ringan dan gebu. Masukkan cream of tartar dan esen vanila, pukul lagi. Kemudian masukkan gula kastor sedikit-sedikit dan pukul lagi sehingga sebati dalam 2 minit.
3. Masukkan adunan tepung, kacau mengunakan whisk, tambah mentega cair dan susu. Buat berselang seli dan diakhiri dengan tepung. Kacau sempurna tak perlu lama.
4. Sendukkan dalam cawan muffin 3/4 penuh dan taburkan kismis diatasnya. Buat hingga habis.
5. Bakar selama 15 minit atau hingga perang kemasan. Sejukkan diatas redai sepenuhnya. Ayakkan gula aising ketika menghidang.

Wednesday, March 6, 2013

Moist Banana Muffin


Assalamualaikum ... Salam mesra dan salam penuh keceriaan dari CT buat teman-teman semua. Mulakanlah hari kita dengan senyuman agar hari yang dilalui kekal ceria berpanjangan. Tak lupa juga ucapan syukur dan terima-kasih pada yang esa, semoga dilimpah rahmat kehidupan kita. Begitu juga, CT ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih diatas kesudian teman-teman yang setia berkunjung dan meninggalkan komen yang manis di blog Dapur CT, Alhamdulillah.


Rasanya sudah agak lama juga CT tidak berkongsi hidangan muffin di Dapur CT. Kebanyakan masa CT buat tak banyak jumlahnya. Dan bila CT membuatnya pada malam hari untuk sarapan esok pagi buat suami dan anak-anak, pastilah tak sempat untuk CT abadikan gambar-gambarnya untuk dikongsikan di sini sebab dah habis. Tapi kali ni, CT ulang buat dua kali jadi dapatlah banyak sikit hasilnya.


Muffin pisang yang CT kongsikan resepinya ini hasil yang dibakar kali keduanya. Yang pertama dibakar waktu petang mengikut resipi asal, dan yang kali keduanya pula CT bakar awal pagi setelah diolah sikit bahannya mengikut selera kami sekeluarga. Muffin pisang ni walaupun dibiarkan seharian tapi ianya tetap lembut. Bila CT tanyakan pada anak-anak tentang rasanya, komen anak-anak ringkas aje.. "sedap!". Maknanya betullah sedap tu.. hehehe.


Keinginan nak membuat muffin pisang ni mulanya kerana terpandang pisang kat dapur tu yang dibeli hujung minggu lepas yang kulitnya sudah mula bertukar gelap. Jadi sebelum ianya rosak, tu yang CT  terus cari resipi di Google dan terjumpa resipi banana cake. Tapi nak senangkan kerja, CT tukar jadi muffin. Senang sikit nak makan, tak payah nak dipotong-potong. Tapi kalau nak buat versi kek, gunakan loyang 6 inci dan bakar selama 40 minit.


Untuk resipi yang CT olah ni, CT tambah badam cincang, coklat masakan yang dipotong dadu besar serta 1 sudu besar madu didalam adunannya untuk menambahkan perisa. Untuk minyaknya pula, CT gunakan minyak jagung. Tapi kalau teman-teman nak gunakan minyak masak biasa pun boleh juga.


Kejadian muffin ni memang tidak menghampakan dan rasanya menepati selera kami sekeluarga. CT ucapkan terima kasih pada penyumbang asalnya, minah saleh yang sudi berbagi ilmu untuk CT mencubanya pula dan dipanjangkan lagi disenarai Dapur CT. Bagi yang mengemari hidangan yang berasaskan pisang bolehlah mencuba ya. CT mohon berundur diri dulu, sampai kita berjumpa lagi nanti. Salam manisss dari CT. Daaa....


Muffin Pisang Lembut / Moist Banana Muffin

Bahan basah :
1 biji telur gred A - suhu bilik
75 gram gula kastor
1 sudu besar madu
1 sudu besar susu segar
1 sudu kecil esen vanila / pisang
90 ml minyak jagung / minyak masak
3 biji pisang masak (150 gram) - dilecek halus

Bahan kering :
125 gram tepung gandum
1/2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh baking soda
1/2 sudu teh serbuk kayu manis
3 sudu besar badam cincang - dipanggang dalam oven 5 minit

30 gram coklat masakan - dadu besar

Cara-cara :
1. Panaskan oven pada suhu 175' C susun kertas muffin dalam loyang muffin dan ketepikan.
2. Pukul gula dan telur sehingga ringan dan berkrim dengan kelajuan sederhana. Masukkan bahan-bahan basah dan putar pada kelajuan perlahan hingga rata.
3. Tambah bahan-bahan kering yang telah diayak kedalam bahan basah dan kaup balik rata dengan spatula. Tidak perlu lama cukup sekadar sebati sahaja.
4. Scoopkan adunan 1/3 dalam kertas muffin masukkan coklat masakan ditengahnya dan scoopkan adunan lagi untuk menutupnya.
5. Bakar selama 25 minit atau sehingga diuji lidi keluar bersih. Biarkan sejuk diatas rak dawai sepenuhnya. Ayakkan gula aising sebelum dihidangkan.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...