Saturday, December 19, 2009

Mee Hoon Goreng




Smileeee......hehehehe. Salam siaran terus dari Dapur Ct. Selamat tahun baru dan salam Maal Hijrah 1431 juga buat kawan2 semua. Semoga semua nya sihat dan sejahtera sentiasa ya. Pagi ni macam biasa anak2 dan my laling awal dah bangun walaupun hari cuti. Lapar nak sarapan agaknya kot hehe. Tapi awal2 lagi dah plan nak buat mee hoon goreng untuk sarapan pagi sabtu ni. Lepas bersiap2 terus berperang kat dapur, lama gak tak buat mee hoon goreng. Tengok jer lah deko kat mee goreng tu, ada sepasang mata dan senyum lagi hahaha. Saje jer suka suki nak mendeko pagi2 kan. Okeylah asal kenyang perut syukur alhamdulillah. Resepi dah ada dalam senarai resepi, so ini kiranya ulang tayanglah ni ye hehe. Yok kita makan duluuuuu.....


MEE HOON GORENG
Resepi Original CT

Bahan-bahan:
300 gram bihun (rendam hingga lembut)
3 sudu besar minyak masak utk menumis
2 sudu besar tomato Sos
3 sudu besar cili sos
2 sudu besar sos tiram
3 sudu besar kicap manis
sedikit garam
sedikit gula
6 keping Fishcakes
15 biji Fishball
3 keping Tauhu (digoreng)
250 gm Daging (direbus dan simpan airnya)
sawi (sedikit)

Bahan utk dikisar:
10 gm Ikan bilis
10 gm Udang kering
3 biji Bawang merah
2 ulas Bawang putih
10 tangkai Lada Kering
1/2 inci Kunyit hidup

Cara membuatnya:
1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga naik bau.
2. Masukkan air rebusan daging berserta tomato sos, cili sos, sos tiram, kicap manis. Kacau hingga mendidih.
3. Selepas mendidih masukkan pula fishcake, fishball, tauhu, hirisan daging dan sawi. Kacau lagi hingga mendidih.
4. Kemudian masukkan garam, gula dan gaul rata.
5. Akhir sekali, masukkan bihun dan kacau rata hingga masak.

Thursday, December 17, 2009

Ayam Bakar Mayonis




Menu ayam bakar mayonis ni aku buat sebelum balik kampong hari tu. Jadinya menu tertunggak nak updatelah ni yek hehehe. Dah habis pun, jangan tanya ada lagi ker tak ehh ngeeee.... Ayam bakar ni ada sedikit garing cuma belum nak rentung jer tu hahaha. Tu hari gi dapur Hana ternampak resepi ayam bakar ni, tu yg aku nak cuba tu. Buat pun tak banyak mana cuma 1/4 ayam jer (bahagian peha tu). Jadi ler kan cuma nak merasa dan nak clearkan stok dalam peti ais tu sebelum balik kampung hehehe. Resepi asal dari Cik Ros yang dok kat Tokyo tu hehehe. Terima kasih ya Ros dan juga Hana, memang sedap ayam ni. Aku perap 5 jam baru grill, yang ni mintak izin CnP resepi dari dapor Hana jer ya :-)


Ayam Bakar Mayonis
Resepi dari Ros - Tokyo

Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam (bersihkan dan cucuk dengan garpu)
1 sudu kecil blackpaper
2 cm halia (agak-agak je)
2 biji bawang putih
1/4 biji bawang besar
1 sudu besar madu
1 sudu besar gula
1 sudu kecil kicap manis
1/2 sudu kecil garam
2 sudu besar mayonis
sedikit lada sulah

Cara-cara:
1. Blender bawang besar, halia, bawang putih dengan sedikit air sehingga hancur, kemudian curah di dalam bekas dan campur gula, lada sulah, garam, madu dan lada hitam.
2. Masukkan ayam dan akhir sekali letakkan mayonis, gaul sebati dan perap di dalam peti ais selama 2 atau 3 jam, bakar pada suhu 190 darjah selama 40 minit, sedia untuk dihidangkan, Selamat Mencuba. ( kalau perap lagi lama lagi sedap ayam bakar ni, dan bakar biar perang sikit permukaan ayam tu).


Thursday, December 10, 2009

Serimuka Pelangi




Kuih Serimuka Pelangi. Menu pagi merangkap kepetang. Kekadang aku takde idea nak buat kuih apa untuk anak2 dan my laling kat rumah ni. Walau pun dorang semua tak kisah, apa yang aku buat semua dorang makan, tapi nak jugak aku buat kuih yang sedap dan enak untuk keluarga. Akhirnya aku cari buku2 resepi yang dah lama dalam simpanan. Jumpa resepi kuih serimuka pelangi ni dari satu buku masakan. Kebetulan bahan nak membuatnya iaitu beras pulut ada, jadi bolelah terus buat. Cuma bila dah siap, aku tengok belang kuih ni dah rupa macam lampu trafik light lak hehehe. Suka tengok berkale2 ingat nak buat lagi tinggi kale2 tu. Kang anak2 dok belek2 lak time nak makan nanti hehehe. Okeylah. layan terus resepi ni ya. Jap lagi nak berkemas baju utk balik kampong pulak, sebab anak sedara nak kawin. Kali ni tak dapat nak CnP tapi kena taiplah pulak,nasib baik tengah datang angin rajin... hehehe.


Serimuka Pelangi
Sumber dari Buku "Koleksi Aneka Talam & Kuih Lapis"

Bahan lapisan bawah:
2 1/2 cawan santan cair
2 cawan beras pulut - cuci dan rendamkan 3 jam
1 sudu teh garam

Bahan lapisan pelangi:
2 cawan santan pekat
1/2 cawan tepung kastard
1/2 cawan tepung gandum
1 biji telur
3 sudu makan gula pasir
Sedikit garam
Pewarna, kuning, hijau dan merah (ikut suka)

Cara membuatnya:
1. panaskan periuk kukus hingga air mendidih.
2. Masukkan semua lapisan bawah dalam loyang dan kukuskan.
3. Apabila telah masak tekankan dalam loyang sehingga mampat. (CT alas loyang dengan plastik, agar senang nak keluarkan nanti).
4. Bancuhkan semua bahan lapisan pelangi kecuali pewarna dan tapiskan.
5. Bahagikan adunan lapisan pelangi kepada 3 mangkuk.
6. Masukkan setiap mangkuk dengan satu warna.
7. Kukus semula pulut yang telah dimampatkan.
8. Lapiskan dengan warna merah dan kukus selama 10 minit. Buat lapisan seterus nya hingga habis.
9. Apabila telah habis semua adunan kukus selama 30 minit. Sejukkan betul2 baru dipotong.
10. Hidang kan untuk minum pagi atau petang. Selamat mencuba.


Popia Goreng




Ini menu untuk minum petang semalam, permintaan dari anak bujangku Haqim. "Nak makan apa untuk petang ni ek mama?"... terus teringatkan popia dari K.Ummi. Haaa... apa lagi, jalankan projek di dapur hehehe. Mood tangah rajin jangan bior dia malap balik, terus duk kat dapor main baling2 kuali hahaha. Oleh kerana datang rajin, buat bentuk segi tiga. Aku lebihkan sedikit resepi dibawah, maklum ler mulut kat rumah ni banyak, kang tak cukup nak makan hehehe. Tu pun sekali ngadap je dah habis. Resepi ni aku CnP dari MyResepi.com, terima kasih untuk Erna dari MyResepi.


Popia Goreng
Sumber dari MyResepi

Bahan-bahan: (utk 14 ketul kuih)
14 keping kulit popia
1 cawan sayur campur
1 cawan isi ayam
1/2 bawang besar dipotong dadu
1/2 kiub ayam
minyak untuk menumis dan menggoreng
sedikit air
1/2 sudu kecil serbuk lada sulah

Cara-cara:
1. Hiris isi ayam nipis-nipis
2. Panaskan minyak dan tumis bawang sehingga naik bau
3. Masukkan isi ayam dan goreng sehingga masak
4. Masukkan sedikit air
5. Kemudian masukkan kiub ayam
6. Masukkan serbuk lada sulah
7. Masukkan sayur campur
8. Goreng lagi dalam 2-3 minit atau sehingga air kering
9. Ambik sekeping kulit popia. Letakkan inti yang dah siap tadi. Kemudian bungkus. Letakkan sedikit air di hujung sebagai gam. Buat sampai habis
10. Kemudian goreng dalam minyak penuh sehingga kekuningan.


Tuesday, December 8, 2009

Rendang Ayam



Inilah hidangan yang membuka selera untuk penggemar rendang. Tak kiralah rendang apa pun, bila memasak tu, bau aroma rempahnya saje dah cukup untuk mengembangkan lobang hidung ku hehehehe. Aku masak rendang ni bukan kira nak raya, tak raya pun aku masak gak... sabor jer ler hehehe. Bila masak rendang ayam ni, leh gak makan ngan nasi impit ker, pulut kuning atau pun roti jala. Ini gara2 nampak kat blog Nor67 ler ada roti jala, lama gak tak menebar jala. Bole ler buat untuk sarapan pagi esok hehehe. Nak makan ngan kuah kari, cik tipah tak makan kari jadinya ganti ler ngan rendang ni hehehe. Resepi asal dari mat gebu tapi aku CnP jer dari dapur Hana. Terima kasih pada CMG dan Hana. Yuhuuuu.... jom kita merendang!

Rendang Ayam
Resepi dari Hana

Bahan-bahan:
1 kg ayam, potong ikut suka
400 ml pati santan (dari sebiji kelapa)
3 helai daun kunyit, dihiris halus
1 kiub pati ayam "Maggi" (CT tak letak)
2 camca besar kerisik
3 - 5 camca besar cili kisar
2 camca besar rempah kari daging
Garam dan gula secukup rasa
1 keping asam gelugor
10 biji bawang merah*
5 ulas bawang putih*
2 inci lengkuas*
4 inci halia*
5 batang serai, dihiris*
1 camca besar ketumbar biji*
1 camca teh jintan manis*
1 camca teh jintan halus*

Cara-cara:
1. Ayam dicuci bersih dan toskan. Kisar semua bahan2 bertanda (*) hingga lumat, jika menggunakan cili padi, kisar sekali dengan bahan tadi. Satukan bahan2 dengan rempah kari dan cili kisar (jika gunakan cili kisar). Kacau rata dan ketepikan.
2. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bahan no 1 hingga harum dan terbit minyak. Masukkan ayam dan masak hingga ayam kecut. Gunakan api sederhana.
3. Masuk pati santan, asam gelugor dan kerisik. Kacau rata dan masak hingga pekat dan tambah garam, kiub ayam dan gula secukup rasa (mat guna gula melaka - hana pong sama). Tambah hirisan daun kunyit, kacau perlahan hingga mesra.
4. Masak hingga kering tapi masih lembap dan ayam empuk. Kacau sekali sekala untuk mengelakkan bahagian bawah rendang hangus. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama makanan kegemaran anda.


Sunday, December 6, 2009

Asam Pedas Ayam



Salam buat semua..... Dah hampir2 berhabuk dan bersawang Dapur CT ni. Ada yang terbatuk2 agaknya bila masuk ke sini erk ngeeee.... Maaf ler lama sangat bior dapur ni tak berasap dan tak update sebab mood nak jengah ke Dapur CT tak done hehehe. Maklum ler anak2 semuanya ada kat rumah cuti sekolah kan. Jadinya lebihkan masa untuk mereka sambil2 buat kuih2 dan membaking utk dorang. Jangan tidak, kata orang ye tak, cuma tak amik gambo dan malas nak update jer. Jadinya bila dah rindu kat Dapur CT ni, ini ler hasilnya utk hari ini hehehe. Masak yang simple jer iaitu Asam Pedas Ayam untuk menu hari ni. Kesukaan anak2 dan mak pak dia jugak ni. Resepi macam biasa dari CMG ler, mana lagi kannnn. Terima kasih pada kawan2 yang tak jemu2 singgah ke Dapur CT ni ya. Nanti senang2 aku akan singgah dan sambil klik2 nuffnang kawan2 semua nya.... rindu dah ni lama tak duduk lama2 kat depan laptop hehehe. Jom layan asam pedas yok :-)


Asam Pedas Ayam
Resepi dari CMG

Bahan-bahannya:
600 gm daging ayam
5 kelopak sawi jeruk, dicuci dan perah (ct ganti buah tomato)
1 camca besar asam jawa + 1/2 cawan air, ramas dan tapis jusnya
700 ml air (atau mengikut keperluan)
1 cawan cili kisar
1 ikat daun kesum
Bunga kantan
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan dikisar halus:
7 ulas bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
2 inci halia
1 inci kunyit hidup
1/2 camca teh lada hitam biji
1/2 inci belacan
3 biji buah keras

Cara membuatnya:
1- Ayam dicuci bersih dan perap dengan asam jawa dan garam 10 minit, cuci kembali dan toskan. Potong sawi jeruk sederhana besar. Ketepikan.

2- Panaskan 1/2 cawan minyak dalam periuk dan tumis bahan2 kisar hingga wangi, masukkan cili kisar dan terus menumis hingga terbit minyak. Gunakan api sederhana. Masukkan ayam dan gaul hingga rata. Kecutkan ayam dgn rempah2 selama 5 minit.

3- Tuang air dan biar mendidih dan masukkan jus asam jawa dan perasakan dgn garam dan gula. Masukkan buah tomato, bunga kantan dan daun kesum. Biar mendidih hingga ayam empuk dan elok rasanya.


Wednesday, November 18, 2009

Sup Ayam



Hari ni hari pertama anak aku Lily exam. Keresahan dalam diri aku kuranglah sikit berbanding hari sebelum2 ni. Cuma risaukan batuk dia tak baik2 lagi. Ubat dah makan, dan dah abis pun. Ikut gak petua orang tua2 minum air campur madu. Aku bimbang sangat2 takut batuk dia tu akan menganggu dia masa nak jawab paper nanti. Mesti kena bawak pegi jumpa doktor lagi malam ni. Risau gak dengar dia batuk tak berenti jer malam2, tambah2 cuaca sejuk skrg ni kan, kesian pulak kat anak tu.

Menu untuk hari ni masak sup ayam mat gebu jer. Sebab lily suka sup ni, jadi aku pun buatkanlah. Tapi bila dah masak, tak mahu lak dia makan. Takut mengantuk kat sekolah bila kekenyangan nanti dia kata. Ada2 jer anak2 ni kan, nak masak yang berminyak2 sangat, dia tengah batuk. Nak masak yang berlemak kang kolestrol naik pulak. Nak masak bening2.. tengah musim hujan, alamat tak laku pulak kat rumah ni kang hehehe. Resepi ni aku CnP jer dari blog mat... mintak keizinan ya mat, dah banyak kali buat sup pakai resepi mat ni, sedappppp!!. Di jamin mesti habis punya :-)

Sup Ayam
Resepi dari Mat Gebu

Bahan-bahan:
1 ekor ayam, potong 20 (ikut saiz ayam)
4 - 5 biji kentang
1 camca besar bawang goreng
1 pokok daun sup, dipotong kasar
1 kiub ayam "Maggi"
Air secukupnya
Hirisan daun sup/daun bawang*
Bawang goreng secukupnya*
(Bahan bertanda * - untuk hiasan)


A (Dikisar halus)
1 biji bawang besar
2 1/2 inci halia
4 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup @ 1/2 camca teh serbk kunyit
1/2 - 1 camca besar lada hitam biji
1 1/2 camca besar ketumbar biji
1 camca teh jintan manis
1/2 camca teh jintan halus
3 biji buah keras

B (Ditumis)
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih

Cara-cara:
1. Ayam dibuang kulit, cuci bersih dan toskan. Kentang dikupas, belah 4 setiap biji dan rendam dalam air.
2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan "B" hingga harum, masukkan bahan "A" dan tumis hingga wangi dan terbit minyak. Masukkan ayam dan kentang, gaul rata dan masak sekejap hingga ayam kecut.
3. Tuang air secukupnya (anggaran 1500 ml) dan masak dengan api kuat hingga mendidih. Masukkan 1 camca besar bawang goreng dan daun sup yang dipotong kasar tadi. Perlahankan api dan renihkan.
4. Tambah kiub pati ayam dan garam secukup rasa. Masak hingga kentang empuk. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun sup/daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan. Sertakan sekali lada kicap, jika suka...

Tuesday, November 10, 2009

Kuih Lapis




Hai.. Berhabuk dah Dapur CT ni sebab lama tak dibersihkan hehehe. Tak der ker yang rajin nak tolong vacuum kan kat sini ngeeee.... Memasak memang dah jadi kewajipan. Kadang2 buat kuih, kadang2 kek, muffin pun ada gak. Tapi nak mengupdate kat Dapur CT ni adui le malasnye hehe. Lagipun, memang sengaja aku kurangkan sikit aktiviti duduk di depan lappy ni, sebab anak dara aku nak exam SPM 18hb Nov ni, tinggal berapa hari jer lagi kan. kerisauan memanglah dirasai oleh semua mak pak dan anak tu sendiri. Jadi, minta maaflah kalau aku jarang nak jalan2 ke blog kawan2 semua. Harap dapatlah kawan2 semua mendoakan untuk anak aku dan juga anak2 yang lain yang akan menduduki exam SPM tahun ni. Okey2... dah lari tajuklah ni, kita citer pasal kuih pulaklah ya hehehe. Kuih lapis ni memang senang sangat nak buat, request dari my laling, buat lepas magrib kelmarin. Walau pun senang, aku nak kongsikan resepi di Dapur CT ni juga. Resepi kuih lapis ni, aku amik di MyResepi.com dari tulip77. Terima kasih ya sebab berkongsi resepi yang sedap ni.


Kuih Lapis
Sumber dari MyResepi

Bahan-bahan: (Guna loyang besar anggaran untuk 40 potongan kuih)
1 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
1 cawan gula (boleh kurangkan kalau tak suka manis sangat)
1 sudu teh garam
2 paket santan serbuk (CT guna santan kotak)
1 sudu teh minyak masak
3 - 4 titik sirap merah perasa ros atau pewarna kuning / hijau etc.
4 cawan air

Cara-cara:
1. Dalam blender, masukkan gula, santan, tepung beras, tepung gandum, minyak, garam dan 2 cawan air. Blend hingga semua bahan bersatu dan tak berketul. Panaskan air dalam kukusan.
2. Keluarkan adunan dari blender dan isi dalam bekas. Tambah lagi 2 cawan air, kacau rata.
3. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian. Letakkan satu bahagian pewarna kuning dan satu lagi dengan pewarna hijau. Kacau biar warna sekata.
4. Untuk memudahkan kuih ni dikeluarkan, sapu loyang dengan sedikit minyak dan letak plastik cling. Masukkan 2 cawan adunan warna kuning dan kukus selama 5 minit.
5. Lepas 5 minit, masukkan pula 1 cawan adunan warna hijau dan kukus selama 2 minit. Kemudian selang seli warna hijau dan kuning hingga adunan habis.
6. Lapis yang terakhir warna hijau dikukus selama 20 minit. Bila dah masak alih keluar dari kukusan dan tunggu hingga kuih ni sejuk.
7. Dengan hati2 tarik keluar plastik cling bersama kuih lapis tadi. Untuk lebih kemas, kuih ini boleh dipotong dengan benang dan setiap lapisan kuih ini boleh dibuka :-)
8. * Jika guna loyang non stick, tak perlu letak plastik cling, hanya sapu sekeliling dengan minyak.

Saturday, October 31, 2009

Tart Buah a.k.a. Fruit Tartlet




Hari tu masa pegi Carrefour Wangsamaju, ternampak la Fruit Tartlet kat Deli' France confectionery outlet tu. My laling suka sangat makan tart buah. Tu yg semalam aku merajinkan diri utk membuatnya tu. Nak buat tart ni leceh sikit tapi hasilnya bak kata Amy Search, berbaloi-baloi!! Aku penah buat sekali tart ni dulu. Tapi utk memudahkan sesapa yg nak mencubanya kali ini, aku C&P resepinya kat sini lagi.


FRUIT TARTLET
Kredit utk Chef Alex Goh & RinnChan
Resepi dari Kak Zai


Bahan-bahan utk Kulit Tat:
(A) 200g mentega
100g gula ising
1/4 sudu kecil esen vanila

(B) 1 biji telur

(C) 420g tepung
1 sudu besar susu tepung

Cara membuat Kulit Tat:
1. Putar (A) hingga lembut. Masukkan (B) dan terus memutar hingga gebu.
2. Masukkan (C) dan gaul hingga doh yang lembut dan licin terbentuk.
3. Ambil sedikit doh dan tekankan ke dalam acuan tat. Potong lebihan di tepi-tepi acuan dengan pisau.
4. Cucukkan dasar tat dengan garfu. Bakar selama 12 minit atau hingga perang keemasan. Keluarkan dari acuan dan biarkan sejuk. Simpan di dalam bekas kedap udara.


Bahan-bahan utk inti Custard:
2 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung kastad* atau tepung jagung
8 sudu besar gula
2 cawan (500ml) susu segar
2 biji telur
2 sudu besar mentega
*(CT guna tepung kastard)

Cara membuat inti Custard:
1. Campurkan tepung gandum, tepung castard/tepung jagung dan gula ke dalam periuk. Campurkan 2 sudu besar susu dan kacau rata.
2. Masukkan telur dan kacau rata.
3. Tuangkan lebihan susu ke dalam bancuhan.
4. Masak di atas api perlahan dan kacau selalu agar bancuhan tidak berketul.
5. Bila bancuhan menjadi pekat dan bersinar, padamkan api dan biarkan sejuk.


Kaedah penyediaan Fruit Tartlet:
Masukkan inti custard dalam piping bag, picit kedalam kulit tat dan hiaskan dengan buah-buahan kegemaran.



Friday, October 23, 2009

Sotong Masak hitam




Salam untuk semua... maaf ya rasanya lama dah tak update kat Dapur CT ni. Mood nak mulakan mengupdate ni dah macam siput, malas sangat2. Walau pun selalu masak, tapi nak masukkan entri tu yang tak der mood hehehe. Rasanya hari ni mood nak update tu datang sebab K.Ummi dah tolong tiup kan angin rajin kot hahaha. Menu hari ni aku masak lauk yang simple dan senang nak sediakan, sotong masak hitam. Tapi kalau ada yang tak suka hitam buang jer lah ya. Sebenarnya lauk ni kalau kita masak kasi pedas sikit barulah terasa kicknya. Tapi bagi yang tak suka pedas2 tu kurangkan lah cili api ya :-)


Sotong Masak Hitam
Resepi original CT

Bahan-bahan:
1 Kg sotong yang sederhana besar
Sedikit garam
Sedikit kunyit serbuk
1 biji bawang besar - dihiris
2 biji lada hijau - dihiris serong
15 batang kacang boncis - dipotong2

Bahan ditumbuk halus:
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
10 biji cili padi kg
2 cm halia


Cara-cara:
1. Sotong dibersihkan dan jangan dibuang dakwat hitamnya. Gaul dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Toskan sebentar.
2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bahan2 tumbuk dan bahan2 hiris hingga naik bau. Masukkan sedikit air jika perlu (bagi yang tak nak berkuah tak perlu masukkan air sebab sotong secara semulajadinya bila dimasak akan mengeluarkan air).
3. Kemudian masukkan sotong dan dakwatnya sekali. Masak atas api sederhana selama 20 minit. Kemudian masukkan kacang buncis, dan gaul sekejap. Perasakan, dan tambahkan sedikit lagi garam jika kurang masin. Gaul rata dan tutup api dan bolehlah dihidang.


Monday, October 5, 2009

Kek Mentega Pelangi




Memang gebu dan lembuttt jer kek ni. Buat dah 2 hari lepas untuk makan2 dengan anak2 serta my laling terchenta kat rumah. Tak sempat nak masukkan entri memasak raya2 ni hehehe. Maklum ler lepas berpuasa ni kena jaga sikit kesihatan ya puan2. Ni pun aku tak pi check lagi HB aku ni, tapi makan ubat sentiasa ikut waktu. Doa2 lah aku akan sentiasa sihat ya, biasalah raya2 ni sana sini buat open house. Rata2 makanan nya pun yang bersantan dan berminyak segala kan. Tu yang kena jaga kesihatan selalu. Berbalik pada kek mentega pelangi ni, resepi dari Noraini (resepinoraini). Saje dok belek2 terjumpa plak resepi kek ni, terus jer dok membaking kat dapur. Boleh gak buat minum petang dengan kopi O panas hehehe. Jom layan resepi.... CnP jer dari blog Kak Noraini, mekasih ya kak :-)

Kek Mentega Pelangi
Resepi Noraini Zakaria

Bahan-bahan:
250 gm mentega
220 gm gula kastor
220 gm tepung kek
4 biji telur A
1 sudu teh serbuk penaik
50 ml susu cair
1 sudu teh esen vanila
sedikit pewarna merah, hijau dan kuning

Cara-cara:
1. Griskan tin pembakar bulat dan lapik kertas serap minyak.
2. Satukan mentega dan gula lalu dipukul hingga gebu dan putih.
3. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan pukul hingga sebati.
4. Ayak tepung dan serbuk penaik. Masukkan dalam adunan mentega berselang-seli dengan susu cair.
5. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian dan warnakan merah, hijau dan kuning.
6. Mula-mula masukkan 1 senduk warna hijau ditengah-tengah tin. Kemudian tuangkan 1 senduk warna kuning diatas hijau tadi dan kemudian warna merah.Ulangi proses hingga habis adunan digunakan. Ratakan adunan agar memenuhi tin.
7. Masukkan ke dalam ketuhar yang telah dipanaskan ke suhu 180 darjah celcius selama 15 minit.
8. Bakar kek selama sejam hingga masak.

Thursday, October 1, 2009

Chocolate Chip Muffin




Salam semua..... rasanya lama dah tak buat muffin. Sekali2 layan tekak dengan muffin pun sedap gak. Nak makan biskut raya taim macam ni cam dah jelak pulak hehe. Lagipun, dah makin merosot biskut tu dimakan masa kawan-kawan anak2 aku datang beraya hari tu. My laling pun ada bawak kat opis dia tadi bagi kawan2 tempat keja dia merasa. Sekurang2 nya habislah juga biskut tu dirayakan ek, berbaloilah aku buat masa bulan posa tu hehehe. Syukur alhamdulillah rezeki tu tak terbuang begitu saja. Berbalik pada muffin ni, saje jer nak ubah selera tekak aku ni. Hari tu buat kek, hari ni buat muffin lak, memang sesuaiii.... Sumber dari Nigella Lawson tapi amik dari blog K.Jun Yummylicious yang rajin memasak tu. Jom kalau ada sape2 yang suka makan muffin ni, meh menggodak tepung kat dapor tu ya, senang sangat2 resepi ni :-D

Chocolate Chip Muffin
Resepi dari K.Jun

Bahan-bahan:
250 gm tepung
2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh soda bikarbonat
2 sudu besar serbuk koko
175 gm gula
150 gm coklat chip
250 ml susu
90 ml minyak masak (CT guna corn oil)
1 biji telur A
1 sudu teh esen vanilla

Cara-cara:
Gaul sume bahan kering dalam mangkuk. Gaul semua bahan basah dalam mangkuk lain. masukkan bahan2 kering tadi. Gaul rata.Masukkan coklat chip, gaul sebati. Masukkan dalam cup, tabur coklat cip lagi jika suka. Bakar selama 20min. (ct bakar suhu 175C selama 25 min).

Tuesday, September 29, 2009

Biskut Raya CT




Haaaa.. yang kat bawah ni plak biskut2 raya yg aku buat tapi tak berkesempatan nak update entrinya masa bulan puasa hari tu. Walaupun tak dapat nak mengupdate resepinya, dapat mengupdate gambarnya pun jadilah ye tak. Boleh jugak buat cuci2 mata hehe. Selamat menjamu mata yer. Kalau nak merasa, jemputlah beraya ke rumah ngeh ngeh..


Tart Nenas Gulung


Tart Blueberry Gulung


Biskut Cornflakes


Almond London


Biskut Green Lace


Biskut Mazola

Marble Chocolate Cheese Cake




Dalam satu hari ni tekak nak makan yang macam2 jerrrrr... bukan apa, selepas berposa ni badan turun dalam 2kg. Jadi nak naikkan balik kenalah makan menda2 yang boleh menaikkan badan ni semula hehehe. Ada2 je kan. Ada tu yang nak kurus, ada pulak yang nak ber'isi', bukan berisi ada baby ya hua... hua... hua... Yang sebenarnya buat cheesecake ni sebab nak elakkan cream cheese yang akan expired 30hb ni. Sebelum ke TONG sampah lebih baik ke mulut dia masuk kan? Cream cheese ni mahal oiii... rugiii kalau masuk tong sampah hahaha. Ni tengah mood rajin nak memasak ni, manalah tau ada tetamu yang akan datang secara mengejut jer kat rumah malam ni, dapatlah juga dia orang merasa kek ni selain biskut2 raya. Jom masak2 lagi di Dapur CT yokkkk....


Marble Chocolate Cheese Cake
Resepi dari RinnChan

Bahan-bahan:
(A)
180 gm mentega 20 gm serbuk koko
1 sudu teh baking powder
120 gm tepung naik sendiri (Diayak bersama serbuk koko & baking powder)
170 gm gula castor 3 biji telur

Cara-cara:
1. Pukul butter dan gula hingga kembang. Masukkan telur sebiji demi sebiji, kacau sebati.
2. Masukkan campuran tepung + baking powder + serbuk koko. Gaul rata dan bahagi kepada dua bahagian.


Bahan-bahan: (B)
250 gm cream cheese
60 gm gula castor
1 biji telur
1 sudu teh esen vanilla

Cara-cara:
1. Pukul cream cheese sampai kembang.
2. Campurkan gula, telur dan esen vanilla. Pukul lagi sampai kembang dan rata.


Cara menyediakan kek:
1. Tuang satu bahagian bahan A ke dalam loyang. Ratakan. Tuang adunan cream cheese (bahan B) di atasnya dan ratakan.
2. Tuang sebahagian lagi bahan A dan ratakan.
3. Bakar pada suhu 165C selama 50 - 60 minit ikut oven masing-masing. Seeloknya dibiarkan sejuk dulu sebelum dipotong.

Rendang Ayam




SELAMAT HARI RAYA ...... Ini resepi pertama yang dapat di update kan di Dapur CT setelah lama bercuti. Lagi pun masih ada mood raya lagi ni, tu yang merajinkan diri buat rendang ayam ni. Masa balik beraya di kampung my laling tak berkesempatan nak makan rendang. Kebetulan MIL tak buat rendang, my sis pun tak buat gak. Pegi mana2 pun my laling tak jumpa rendang. Kesian pulak kalau dah mengidam ni kan hehehe.... tak apa isteri terchenta dia ni kan rajin nak 'memasak' jadi nya kena lah kerah tulang temulang ni yang lama dah dok rehat hehehe. Aku memang beli ayam lebih sikit dari biasa hari tu. Lagipun anak memang gemar makan ayam berbanding daging atau ikan. Sonang cerita beli ayam dan udang jer lah minggu ni. Resepi dari Cik Mat Gebu, tapi Mat punya rendang kering, aku pulak buat berkuah sedikit. Senang nak makan ngan ketupat segera NONA atau makan dengan nasi. Jomlah masak2 bersama di Dapur CT yea.....


Rendang Ayam
Resepi dari Mat Gebu

Bahan-bahan:
1 ekor ayam, dipotong sederhana besar
600 ml santan cair
300 ml santan pekat
3 camca besar kerisik
3 helai daun kunyit, dimayang halus
1 camca besar gula melaka
1 keping asam gelugor
1/2 cawan cili kisar
2 camca besar rempah kari
Garam secukup rasa
10 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 inci halia*
1 inci lengkuas*
20 biji cili padi*
1/2 inci kunyit hidup*
5 batang serai, dihiris*
4 biji bawang merah, dihiris #
2 biji bawang putih, dihiris #
1 batang kayu manis #
1 kuntum bunga lawang #
4 kuntum bunga cengkih #
3 biji buah pelaga #
(bahan bertanda* - dikisar halus)
(bahan bertanda# - ditumis)

Cara-cara:
1. Bancuh bahan2 kisar halus bersama rempah kari. Panas minyak dalam kuali, tumis bahan tumis hingga harum, masukkan bahan kisar+rempah kari tadi. Kacau rata dan tambah cili kisar. Tumis hingga terbit minyak.
2. Masukkan ayam tadi dan gaul rata. Masak hingga ayam kecut dan tuang santan cair. Bila mendidih tambah santan pekat. Masukkan sedikit garam, kacau rata dan masak hingga kuah pekat.
3. Tambah kerisik, asam gelugor dan gula melaka. Masak dengan api sederhana sambil dikacau sekali sekala sehingga rendang kering. Masukkan hirisan daun kunyit. Kacau rata. Rasa dan jika ok boleh matikan api, alih ke dalam bekas sesuai.

CATATAN MAT GEBU :- Kalau nak sedap, masak guna ayam tua (ayam pencen)... cuma masa memasak lebih lama dan perlu ditambah air panas jika ayam masih belum lembut (kecuali memasak menggunakan periuk tekanan)... nak lagi sedap, guna ayam kampung....

Friday, September 11, 2009

Biskut Marble




Salam semua.... Pejam celik.. pejam celik.. dah tinggal berapa hari saja lagi kita nak menyambut Hari Raya kan. Jadi aku tambahlah resepi biskut kat Dapur CT ni. Kali ni buat biskut marble dari Suejoshua. Biskut ni banyak gunakan tepung gandum. Tapi aku gunakan separuh jer dari sukatan di bawah. Masa nak menguli tu pandai2 lah letak tepung gandum tu sedikit2 sambil diuli hingga jadi doh. Dan biskut ni juga tak banyak gunakan gula dan tak berapa manis, okeylah bagi aku yang memang tak suka manis2 sangat ni kan. Kalau ada yang nak cuba resepi biskut marble ni, mehlah cuba ya :-)


Biskut Marble
Resepi dari SueJoshua

Bahan-bahan:
300 gm butter
100 gm gula halus
400 gm tepung gandum - diayak
200 gm tepung jagung - diayak
1 biji kuning telur
1 sudu teh esen vanilla
2 sudu besar perasa dan pewarna coklat (emulco) **CT ganti dgn pewarna pink
Gula manik - sebagai hiasan

Cara-cara:
1. Pukul butter dan gula hingga putih, kemudian masukkan kuning telur, pukul hingga sebati.
2. Campurkan tepung gandum dan tepung jagung yang telah diayak terlebih dahulu tadi sedikit demi sedikit kedalam adunan butter tadi sambil digaul rata dan diuli hingga menjadi doh yang tidak keras dan tidak melekit.
3. Bahagikan adunan pada dua bahagian dan satu bahagian lagi diletakkan warna coklat dan satu bahagian lagi biarkan pada warna asal.
4. Uli doh warna coklat hingga betul2 rata.
5. Campurkan pula kedua-dua adunan warna asal dan warna coklat, uli campur-campurkan kedua-dua warna hingga menjadi marble.
6. Canaikan dan terap gunakan acuan yang disukai.
7. Letakkan gula manik ditengah-tengah biskut dan bakar didalam oven pada suhu 170c selama 10 minit atau hingga masak.
8. Sejukkan dijaringan sebelum dimasuk kedalam bekas kedap udara.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...