Monday, July 30, 2012

CT bersama MIDI


Assalamualaikum dan salam ceria buat semua teman-teman dan pengunjung Dapur CT yang tersayang. Sekejap saja dah 10 hari rupanya kita berpuasa ye. Tinggal 19 atau 20 hari saja lagi Syawal bakal menjelma. Sejak tiga empat hari kebelakangan ni, bahang cuaca panas di siang hari sangat mencabar. Tak tahulah di tempat teman-teman tapi di Kuala Lumpur ni bahang panasnya memang menduga kesabaran terutamanya kepada kita umat Islam yang berpuasa. Semalam dan kelmarin, CT berjalan-jalan mencuci mata sambil mengambil kesempatan untuk membeli apa yang berkenan di mata di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India. Sememangnya Jalan Tuanku Abdul Rahman sangat sinonim dengan sambutan hari raya. Bagi CT pulak, terasa tak lengkap musim hari raya kalau tak berkunjung ke bazar jualan di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Tapi, dengan bahang panas matahari yang tegak di atas kepala beserta kesesakan manusia yang berasak-asak mencari keperluan hari-raya, nak meredah lautan manusia tu CT terasa macam nak pitam aje. Tapi disebabkan kedegilan hati yang hendak juga melangkah kaki membawa badan ke sana, jadi bertahan dan sabar ajelah. Astaghfirullah. Dugaan. Sabar.


Berbalik kepada tajuk entri CT hari ni, gambar yang paling atas sekali tu ialah gambar kulit hadapan majalah MIDI keluaran 1 Ogos 2012 di mana 5 buah resepi CT telah di siarkan. Selain daripada CT, tiga orang teman blogger yang lain iaitu Ros Jintanmanis, Ibundo dan Aziejaya telah juga terpilih untuk menyerikan ruangan resepi air tangan blogger tersebut. Apapun, CT ingin mengucapkan ribuan terima-kasih kepada Siti Mariam Elias, wartawan dari majalah MIDI yang telah menghubungi CT dan memberikan ruang kepada resepi dari Dapur CT untuk muncul dalam majalah MIDI. Terima kasih sekali lagi CT ucapkan.


Sebelum CT menutup bicara, CT ingin mengkhabarkan sesuatu kepada teman-teman dan pembaca-pembaca setia blog Dapur CT di bumi Singapura. CT telah menerima banyak email dan mesej FB dari teman-teman di seberang tambak yang bertanyakan tentang bagaimana untuk mendapatkan buku resepi CT "Istimewa Pemanis Mulut" dan samada buku tersebut ada dipasarkan di bumi Singapura. Wallahu a'lam CT pun tak tahu samada buku tersebut ada dipasarkan disana atau tidak. Apa pun, CT nak bagitahu yang CT akan balik bercuti ke Johor Bahru pada cuti Hari Raya nanti dan mungkin akan berada di sana sekitar 7-8 hari bermula dari 16 Ogos nanti. Oleh yang demikian CT telah mengasingkan sekitar 20 buah buku untuk CT bawa balik untuk diberikan kepada teman-teman diseberang tambak bila CT balik ke JB nanti. Tapi, bersyarat. Syaratnya ialah, kene menyeberang tambak dan ambil dari tangan CT sendiri. Sanggup tak? Kalau sanggup, nanti kita rancangkan bagaimana untuk kita berjumpa di suatu tempat ye. Untuk lebih memudahkan urusan, mungkin teman dari seberang tambak mahu mengaturkan seorang wakil saja untuk mengambil bagi pihak semua. Macam tu pun CT okey aje. Bagaimana? OK tak? Kalau OK nanti bagitau CT ye, jadi kita boleh rancangkan apa yang patut.

Okeylah, rasanya CT berhenti setakat di sini dahulu. InsyaAllah, kita berjumpa lagi nanti ye. Salam sayang dari CT. Daaaa.



Thursday, July 26, 2012

Biskut Kelapa

 

Assalamualaikum... Salam manis dan salam mesra buat teman-teman yang selalu dekat di hati CT. Semoga semuanya didalam keadaan yang sihat sepanjang menjalani ibadah puasa pada tahun ini. Buat diri CT, begitulah juga. Sentiasa berdoa dan meminta supaya sentiasa diberikan kesihatan yang baik, berlebih-lebih lagi dibulan Ramadhan yang mulia ini. Agar dapat menjalani ibadah ini dengan sebaik-baiknya, supaya dapat juga menyediakan hidangan berbuka yang terbaik untuk insan-insan tersayang di rumah. 


Untuk resepi hari ini, CT kongsikan resepi biskut yang jika ada yang berminat boleh juga dijadikan sebagai tambahan kepada senarai biskut yang sudah berderet di meja untuk tetamu yang datang berkunjung pada hari raya tu nanti. InsyaAllah, CT juga rasa nak buat Biskut Kelapa ini lagi untuk lebaran nanti. Sebenarnya, biskut ini adalah hasil untuk projek biskut yang CT buat semasa CT bercuti dari berblog tempohari. 


Resepi biskut ini adalah hasil pencarian CT dari satu laman ke satu laman web yang lain dalam mencari resepi biskut yang berkenan di hati CT. Akhirnya terjumpalah resepi biskut ni dari satu laman web. Tapi adunan dalam resepi tu tidak diletakkan kelapa kering untuk ditaburkan sebagai hiasan diatas biskut tu. Yang itu CT tambah untuk menampakkan lebih seri pada biskut kelapa ni. Biasalah kalau tidak menderhaka sedikit pada resepi, bukan geng masak-masak lah tu namanya hehehe.


Resipi yang CT kongsikan dibawah ini adalah 1/2 adunan dari adunan yang asal. Tapi itu pun banyak jugalah CT dapat, dalam satu balang plastik tu penuh juga. Jika hendakkan hasil yang lebih banyak, gandakan saja sukatan tu kepada mengikut banyak mana nak dapat hasilnya ye. Dan kalau rasa adunan tu bila dibuat nanti terasa sedikit lembik, tambahkan sedikit tepung untuk mendapatkan kepejalan adunan yang diinginkan. Tapi jangan pula ditambah terlalu banyak,  nanti bila dah siap dibakar, biskut jadi terlalu keras pulak.


Okeylah, kalau ada yang ingin menambah koleksi biskut dipagi raya nanti, bolehlah mencuba dan copy resipi yang telah CT letakkan dibawah ni ya. Sampai jumpa lagi, salam manisss dari CT. Daaa....


Biskut Kelapa
Sumber: Che CT

Bahan A :
90gm butter - suhu bilik
40 gm gula aising
1/4 sudu teh kelapa kering

Bahan B :
50 gm tepung gandum
75 gm tepung kentang
15 gm kelapa kering
15 gm santan serbuk segera

Kuning telur + sedikit saja air - untuk sapu atas biskut

Hiasan :
Kelapa kering secukupnya - untuk tabur
Sedikit pewarna hijau

Gaul mesra hingga rata


Cara-cara :
1. Masukkan adunan A dalam mangkuk adunan dan pukul sehingga putih. Masukkan bahan B yang telah diayak dan uli hingga menjadi doh yang lembut. Jika adunan lembik sedikit. Tambahkan sedikit tepung dan uli rata.
2. Tabur tepung atas meja dan gelek adunan setebal 1/4 inci dan terap dengan acuan pilihan.
3. Griskan dulang dengan sedikit butter atau alas dengan kertas minyak dan susun adunan biskut diatasnya. Jarakkan sedikit adunan.
4. Sapu atas biskut dengan kuning telur dan taburkan dengan kelapa kering yang telah diwarnakan.
5. Bakar suhu 170 C selama 15-20 minit atau hingga perang keemasan. Sejukan atas rak dawai sepenuhnya dan simpan dalam bekas kedap udara.



Tuesday, July 24, 2012

Ayam Masak Beriani


As'salamualaikum... Selamat berpuasa dan salam manis serta salam ceria dari CT untuk teman-teman semua. Ini entri pertama dalam bulan Ramadhan untuk Dapur CT. Alhamdulillah, dah masuk hari ke 4 kita berpuasa. Dan yang paling nampak ketara sekali perubahannya bila tiba bulan puasa ni adalah anak-anak kecil. Maklumlah dalam setahun cuma sebulan aje kita berpuasa. Yang sebelas bulan  lagi tu tak ada kawalan untuk makan atau minum sesuka rasa. Bila tiba bulan Ramadhan ni pastilah muka dan seluruh anggota badan tu layu macam pokok tak dapat air. Di sinilah pentingnya kita yang dewasa ni menerapkan mesej pengajaran kepada anak-anak tentang maksud tersirat disebalik ibadah yang dilakukan. Paling penting supaya anak-anak kita memahami kepayahan menahan lapar dan dahaga kerana berpuasa ni hanya sekelumit dan sementara saja jika dibandingkan dengan orang fakir miskin yang sentiasa berlapar dahaga setiap masa, tidak mewah makanan macam kita ini. Dengan itu dapatlah anak-anak belajar erti bersyukur dengan apa yang dia dapat, dan belajar menghargai nikmat dan keseronokan menjamah rezeki bilamana tiba waktu berbuka. Bila dah waktu nak berbuka tu, gelas airlah yang dipegang dahulu, betul tak? hehehe. Tapi CT tetap hulurkan buah kurma dahulu kepada anak-anak CT sebagai hidangan pertama sebelum menjamah nasi atau kuih. Cakap pasal air ni, teringat pulak air katira kat JB tu. Kat KL ni manalah nak cari air katira. aduihaiii... Azlita tolong bungkuskan 2 air katira abu bakar untuk CT dan Che Mat ya hehehe.


Okeylah berbalik kepada resepi hari ini. Untuk menu kali ini CT hidangkan hasil intai-intai CT dari blog Mat Gebu. Sebelum ni, CT pernah tunjuk menu daging beriani ni di FB. Tapi yang itu daging, yang ini CT tukarkan kepada ayam pulak. Resepi asal menu ini adalah dari Chef Hanieliza tapi untuk yang CT kongsikan disini, CT ambil resepinya dari blog Mat aje. Terima kasih untuk kedua-dua sifu masak-memasak yang murah hati berkongsi resepi yang sedap ini ya. Memang sedap sangat-sangat. Cuma, oleh kerana CT inginkan lauk ini lebih berkuah jadi CT lebihkan jumlah airnya dan jadilah lebih sedikit kuahnya. Tapi tidaklah terlalu basah atau terlalu kering sangat, sedang-sedang aje hehehe.


Lauk Ayam Beriani ni CT gandingkan dengan nasi ketumbar. Memang agak lama juga CT tak masak nasi ketumbar ni. Jadi bila digandingkan dengan ayam beriani ni memang gandingan yang agak sesuai juga. Sesekali bila masak lauk macam ni apatah lagi bila di masak untuk hidangan berbuka, memang laku menu ni. Kalau nak lagi sedap dan kalau rajin tu lebih sedikit, boleh gandingkan dengan nasi beriani. Tapi kalau yang rajinnya tu kurang sikit macam CT ni, boleh aje kalau nak gandingkan dengan nasi yang tak berapa beriani macam nasi ketumbar ni ye hehehe.


Bulan puasa ni tak boleh nak cakap banyak sangat, letih dan banyak kerja nak buat. Ingatkan bila di bulan puasa bolehlah rehat lebih-lebih sikit. Rupanya lagi banyak benda nak buat kan hehehe. Apa pun daripada mulut ni mengeluh penat, lebih baik melayan penat tu dengan sambil kita masak sambil kita berzikir. Dapat juga pahala masuk kan? Dan masakan kita pun jadi lebih sedap dan keluarga kita yang menikmati hidangan yang kita masak tu pun laju aje makannya... Alhamdulilah.


Okeylah dah panjang kiranya celoteh CT kali ini. Kalau nak mencuba resepi yang enak untuk hidangan berbuka, ini salah satu menu yang patut dicuba. Sampai jumpa nanti, salam manissss dari CT. Daaa....


Ayam Masak Beriani
Sumber : Mat Gebu
Di Olah : Che CT

Bahan-bahan :
1 ekor ayam - potong 12
4 sudu besar rempah beriani - bancuh dengan sedikit air
1 cawan yogurt
3 sudu besar tomato puree
3 biji kentang - potong kecil
3 biji tomato buah ranum - mesinkan dengan 2 cawan air
8 biji buah tomato ceri
3 biji cili merah
2 biji cili hijau
2 labu bawang besar - belah 4
1 pokok daun ketumbar - hiris kasar
garam secukup rasa

Bahan kisar:
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
3 cm halia

Bahan tumis:
2 cm kulit kayu manis
5 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
1 tangkai daun kari
minyak

Cara-cara :
1. Ayam dibersihkan dan tos airnya. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumis sehingga wangi.
3. Masukkan bahan tumbuk dan rempah berani yang  dibancuh dengan sedikit air serta ayam tadi. Kacau rata dan biarkan sehingga naik minyak.
4. Masukkan buah tomato yang telah dimesin dengan air dan juga tomato puree. Biarkan sehingga ayam lembut.
5. Masukkan kentang dan yogurt. Masak sehingga kuah pekat dan naik minyak.
6. Masukkan buah tomato ceri, cili merah dan cili hijau, bawang besar dan juga daun ketumbar. Rasakan garamnya.
7. Bila dah nampak layu boleh tutup api dan hidangkan dengan nasi beriani atau nasi kegemaran yang lain.



Friday, July 20, 2012

Istimewa Pemanis Mulut Siti Delima

 
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sayang untuk semua teman setia dan pengunjung setia Dapur CT yang CT kasihi. Sebelum CT berbicara lebih lanjut, terlebih dahulu CT ingin merakamkan jutaan ucapan terima-kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua teman-teman yang sentiasa menyokong kehadiran CT dalam arena food blogging ini. Tanpa sokongan teman-teman dan juga pengikut-pengikut setia Dapur CT yang tidak putus-putus memberi kata-kata semangat, dorongan dan juga komen-komen yang membina untuk setiap resepi yang CT kongsikan, tidak mungkin CT akan terus bertahan dan melangkah sejauh ini dalam food blogging. Tidak terkecuali, pastinya kredit juga harus CT berikan kepada semua penyumbang-penyumbang resepi yang telah CT cuba resepi-resepi mereka dan seterusnya CT kongsikan pula di blog ini untuk manfaat yang lainnya.

Ketika CT mula-mula memberikan perhatian yang serius kepada blog ini, suami CT memberikan cabaran supaya CT bersungguh-sungguh dan memberikan yang terbaik untuk setiap resepi yang ingin CT kongsikan kepada umum. Selain dari itu, suami juga meminta supaya CT sentiasa berpandangan jauh kehadapan dan menanamkan matlamat supaya apa yang CT kongsikan di blog ini bukan setakat dapat diterbitkan dalam majalah sekali-sekala tetap juga dapat di abadikan didalam buku masakan sendiri pada suatu hari nanti.

Alhamdulillah ternyata doa CT akhirnya terjawab juga. Hati mana yang tidak berbunga apabila hasil penat-lelah perkongsian resepi di dalam blog CT selama ini akhirnya mencuri hati penerbit buku masakan apabila beliau menawarkan untuk menerbitkan sebuah buku masakan khas daripada gabungan resepi kek, muffin, apam dan juga kuih-muih yang telah dipaparkan dalam blog ini. Dan impian ini tidak mungkin akan menjadi kenyataan jika tidak kerana seseorang yang telah mencadangkan nama CT dan membuka laluan tersebut kepada CT. Individu yang CT maksudkan tersebut adalah Siti Dimiati iaitu editor kepada Majalah AROMA yang telah berhubungan secara langsung dengan CT dan tidak pernah mengeluh penat walaupun terpaksa berulang-alik ke rumah CT beberapa kali semasa proses pengumpulan bahan untuk dimuatkan ke dalam buku masakan tersebut. Selain daripada buku masakan "Istimewa Pemanis Mulut" solo ini, ada resepi perkongsian CT yang lain yang turut dimuatkan di dalam 2 buah buku masakan yang berasingan bertajuk "Agar-agar dan Puding" dan "Variasi Koleksi Biskut Raya" dimana resepi-resepi yang dimuatkan didalam buku tersebut adalah gabungan resepi daripada 5 orang blogger. Untuk kedua-dua buku kompilasi tersebut, resepi CT telah menjadi penghias kulit muka depan. CT ingin mengucapkan ribuan terima-kasih kepada Siti Dimiati. Tanpa kamu, impian CT masih tetap kekal sebagai impian.


Bersempena Ramadhan yang akan menjelang tinggal sehari saja lagi, CT ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada semua teman-teman dan juga pengunjung setia Dapur CT yang beragama Islam tidak kira jauh atau dekat. Semoga Ramadhan kali ini membawa bersamanya barakah dan raudhah dan semoga kita semua akan dapat menjalani ibadah puasa ini dengan sebaik-baiknya dan beroleh kemenangan dan keredhaan Allah didunia dan akhirat.

Sebelum CT menutup bicara, CT ingin meminta maaf sekiranya selama CT berblog ini, CT ada menyinggung atau mengguris hati teman-teman samada dengan gurauan, komen-komen atau penulisan yang menyentuh perkara yang tidak disenangi. Selain itu, CT minta dihalalkan juga untuk semua resepi teman-teman yang dikongsikan di blog, FB dan media lainnya dan kemudiannya telah CT cuba dan olah mengikut cara dan citarasa CT dan CT kongsikan pula untuk manfaat pembaca dan pengunjung blog Dapur CT ini. CT berdoa semoga apa yang telah dikongsikan oleh teman-teman tersebut akan mendapat imbalan yang terbaik dari Allah. Akhirkata, salam sayang dari CT dan semoga CT akan terus diberi kesihatan yang baik supaya CT akan dapat terus mengemudikan blog Dapur CT ini yang matlamat asalnya sejak mula-mula CT berblog lagi malah masih tetap matlamat yang sama hingga ke hari ini iaitu supaya hasil usaha perkongsian CT ini dapat memberikan manfaat kepada semua, InsyaAllah.



Kompilasi resepi bersama 4 rakan blogger

Kompilasi resepi bersama 3 rakan blogger

Wednesday, July 18, 2012

Biskut Peanut Butter


Assalamualaikum... Salam manis dan salam ceria buat pengunjung setia Dapur CT. Moga dihari ini semua teman-teman CT didalam keadaan sihat walafiat dan ceria disamping tugasan seharian dan keluarga terchenta... Aminnn. Jika dilihat pada cuaca dua tiga hari ni macam tak menentu kan. Kekadang tu panas dipagi hari tiba-tiba hujan turun selebat-lebatnya. Tapi syukurlah kan ada panas dan ada hujan berselang-seli macam tu, tapi kalau ada 4 musim lagiiiiilah seronok kan. Bestnya kalau Malaysia ada salji seronoknyaaa. Dalam mimpi ajelah.. hehehe


Berbalik pada menu yang CT kongsikan pada hari ini iaitu Biskut Peanut Butter. Tapi maaflah sebab awal-awal pagi dah menayang biskut RAYA ni sedangkan anak bulan pun belum menampakkan diri lagi hehehe. Sebenarnya ini adalah salah satu resepi untuk projek yang telah CT buat tempoh hari. Entri tertungak ni jadi jangan ditanya masih ada atau dah habis. Dah tentu jawapannya habissss! sebab CT buat sikit aje tu, cukup-cukup untuk ambil gambar aje, lepas aje ambik gambar, terus ngap masuk mulut hehehe. Ya lah kalau nak buat banyak, masih terlalu awal, kalau disimpan sehingga raya terus biskut tu lemau dan tengit. Ini kira macam nak buat kudap-kudap depan tv aje lah ni.


CT tak ingat dari mana CT ambil resipi ni sebab dah lama CT simpan resepi ni, tapi kalau tak silap CT dari salah satu website yang CT explore lama dulu, tak berapa pasti. Apa pun CT ucapkan terima kasih banyak-banyak pada tuan punya resepi ni ya. Jika dia perasan yang resipi ni kepunyaan beliau, harap dia halalkan segalanya. CT tak sempat nak salin nama laman web penyumbang resipi ni sebab lepas salin resipi tu tertutup pulak website tu, lepas tu terus terlupa. Sukatan yang CT buat untuk resepi ni CT buat cuma separuh dari sukatan resepi asal. Jadi jika nak buat banyak, bolehlah gandakan aje dari sukatan yang CT buat tu ye.


Biskut Peanut Butter ni memang sedap. Masa CT bakar tu, harummm sangat bau kacang menusuk ke hidung. Nasib baik bukan bulan puasa, kalau tidak emm... berkurang dah pahala CT sebab dok cium-cium aje biskut tu hehehe. Anak bujang CT yang sulong Azree, dia suka benar dengan biskut ni, tak berhenti asik bukak tutup bukak tutup balang tu aje, sedap katanya. Dah peminat tegar peanut butter mestilah dia suka hehehe. Rasanya pada raya tahun lepas pun CT ada juga buat biskut mengunakan peanut butter. Dan seingat CT memang cepat aje habisnya. Nampaknya macam ada permintaan yang tinggi pada biskut ni, Insya'Allah CT akan buat untuk anak-anak sebagai salah satu hidangan biskut penghias meja pada Aidilfitri nanti.


Okeylah tak mahu cakap lebih panjang lebar lagi walau pun dah penuh satu kertas kajang online dah ni kan hehehe. Nanti CT akan cuba cari balik siapa yang empunya resipi ni, dan bila CT dah jumpa CT akan linkkan alamat laman webnya di sini ya. Sampai jumpa lagi, salam manisss dari CT. Daaa....


Biskut Peanut Butter
Sumber : Che CT

Bahan-bahan :
125 gm butter - suhu bilik
1/2 cawan gula kastor
1/2 cawan gula perang
1/2 sudu teh esen vanila
1 biji telur A - pukul sebentar
1/2 cawan mentega kacang
 2 cawan tepung gandum - tambah jika perlu
1 sudu teh baking soda
1/2 sudu teh garam halus
1 biji kuning telur - sapu atas biskut

Hiasan :
kacang bergaram - secukupnya

Cara-cara :
1. Panaskan oven suhu 180 C. Guna api bawah sahaja
2. Putar butter, gula kastor, gula perang dan esen vanila hingga berkrim.
3. Tambahkan telur dan pukul lagi. Masukkan mentega kacang putar rata.
4. Masukkan tepung, baking soda dan garam yang diayak kedalam adunan butter tadi. Gaul sebati hingga jadi doh yang lembut.
5. Ambil doh dan bentukkan ikut pilihan. Susun dalam loyang yang dialas kertas minyak dan jarakkan antara satu 1 1/2 inci.
6. Sapu kuning telur atasnya dan letak sebelah saja kacang bergaram. Sapu lagi kuning telur diatasnya. Buat hingga habis.
7. Bakar selama 12-15 minit hingga perang kemasan. Ikut oven masing-masing. Sejukan 2 minit atas loyang dan sejukkan sepenuhnya atas rak dawai. Simpan dalam bekas kedap udara.



Monday, July 16, 2012

Baulu Kukus Pulut Hitam


Assalamualaikum... Salam manis dan salam penuh kemesraan dari CT untuk semua tak kira walau dimana berada. Tak lupa untuk CT ucapkan ribuan terima-kasih untuk semua pembaca setia dan teman-teman yang tetap setia berkunjung ke Dapur CT. Walaupun mungkin sibuk dengan urusan seharian tetapi tetap menitipkan sedikit masa membaca dan meninggalkan komen yang membina untuk CT. Terima kasih tak terhingga CT ucapkan.


Resepi yang CT kongsikan pada hari ini, CT teringin untuk mencubanya setelah ternampak resepi ini yang ditayang oleh Ayin manismanis di FB nya. Selepas menyalin resepinya, dari sehari ke sehari tapi masih lagi tak datang seru untuk membuatnya sehinggalah bila ternampak Mat Gebu pula mencuba dan menayangnya di FB beliau. Selepas pada tu, teruslah berombak hati ni nak membuatnya juga. Tak tunggu lama terus CT ke kedai beli tepung pulut hitam 2 bungkus. Saja beli lebih buat stok manalah tahu nanti ada resepi lain yang nak dicuba yang juga menggunakan bahan yang sama, jadi tak perlulah berulang ke kedai semula.


Untuk resepi yang CT publish ini, CT gunakan resipi dari perkongsian Mat Gebu. CT juga tambahkan ovallate dalam bahannya macam Mat Gebu juga. Cuma CT tak gunakan santan sebab stok dah habis, jadinya CT tukarkan kepada susu cair 8O ml dan gantikan gula castor. Hasilnya memang lembut dan tidak terlalu manis, sedang-sedang aje manisnya. Untuk yang tidak suka rasa yang terlalu manis macam CTmemang sesuailah. Tapi dalam tak berapa suka terlalu manis tu, CT ayakkan gula aising sedikit ke atas baulu tu masa nak makan, saje aje nak bagi cantik kat mata sikit hehe.


Sebenarnya dah lama juga CT nak mencuba resepi kuih yang dikukus seperti ini yang dipanggil "Boulu Kukus Ketan Hitam" oleh orang Indonesia. Untuk orang kita, namanya dipanggil "Baulu Kukus Pulut Hitam". Bila CT singgah diblog teman-teman di seberang, pasti ada resipi boulu ketan hitam ni. Resepi kuih yang hitam ni, walau pun ia HITAM, tapi bukan sebarang hitam ni. Bila dah masuk mulut sedap tau rasanya. Tapi kalau nak tahu sendiri, kenalah cuba ye hehehe.


Terima kasih pada kedua teman CT,  Ayin dan juga Mat Gebu yang baik hati yang telah berkongsi resepi yang sedap ini yang dapat pula CT mencubanya untuk hidangan keluarga CT. Izinkan CT panjangkan lagi resepi ini didalam senarai Dapur CT juga untuk manfaat teman-teman lain yang ingin mencubanya pula. Mungkin juga CT akan buat lagi dan divariasikan bahannya pula nanti, siapa tahu kan.


Okeylah, jika ada yang berminat, jangan tunggu lama-lama ya. Salin resipi tu dan pergi cari bahannya, lepas tu buat. Baulu ni kalau dimakan semasa hangat lagi sedap. CT buat 2 adunan sekali gus dan CT gunakan acuan silicone tu dapat 12 biji. Lepas tu CT makan sekali 2 ketul gitu hehehe.  Okeylah, sampai jumpa lagi ye, salam manisss dari CT. Daaa.....


Baulu Kukus Pulut Hitam
Sumber : Ayin-manismanis
Di Olah : Che CT

Bahan-bahan :
2 biji telur gred A
70 gram gula kastar
1 camca teh ovallate
1/2 camca teh baking powder
120 gram tepung pulut hitam
50 ml minyak jagung
80 ml susu cair
Secubit garam
3/4 camca teh esen vanilla

Cara-cara :
1. Panaskan kukusan, lenser acuan-acuan kecil dengan mentega, tabur sedikit tepung dalam acuan tadi dan ketuk keluar lebihan tepung. Boleh juga guna acuan silicone jika ada. Ketepikan.
2. Ayak tepung pulut hitam dalam mangkuk sederhana dan ketepikan.
3. Putar gula dengan ovallate pada kelajuan sederhana hingga rata dalam 1 minit. Masukkan baking powder, garam dan telur, putar pada kelajuan tinggi hingga adunan kembang dan pekat dalam 3 minit.
4. Masukkan tepung pulut hitam ke dalam adunan telur dan gaul dengan kaedah kaup balik dengan spatula hingga rata. Masukkan esen vanilla, santan dan minyak jagung, gaul hingga rata dan sebati.
5. Isi dalam acuan anggaran 3/4 penuh, kemudian kukus dengan api sederhana selama 10 - 12 minit. Keluarkan baulu dari kukusan dan biarkan suam dan boleh keluarkan dari acuan. Ayakkkan gula aising ke atas baulu sebelum dihidangkan jika suka.


Friday, July 13, 2012

Banana Chocolate Cake


Assalamualaikum... Salam ceria buat teman-teman semua. Apa khabar hari ini, Semoga semuanya sentiasa didalam keadaan yang sihat sejahtera hendaknya dan semoga dipanjangkan usia agar kita dapat sama-sama melaksanakan segala tuntutan agama dengan baik... Insya'Allah.


Hari ini CT ingin kongsikan bersama teman-teman menu kek yang amat mudah untuk disediakan. Resipi ini CT ambil dari majalah Lovely Butter Cakes dari Chef Amy Wong. CT merasakan yang semua resipi didalam tu menarik, semuanya CT nak cuba. Tapi kalau di cuba semua, siapalah yang nak tolong perabiskan selepas siap masak tu nanti hehehe. Maklumlahkan CT pernah cakap sebelum-sebelum ni yang anak-anak CT agak kurang gemar dengan kek yang padat dan berat. CT dan suami pun bukannya boleh makan kek banyak sangat. Setakat makan 2-3 potong tu bolehlah. Maklumlah nak jaga badanlah katakan. Tu yang slim aje badan CT ni sebab tak kuat makan hehehe. Kalau nak makan lebih sikit, kenalah tunggu waktu petang-petang sket bilamana duduk kat balkoni tu melayan pandangan mata sambil tu bolehlah layan mulut ni mengunyah sikit. Tapi itupun kalau masih ada lagi. Kalau dah habis, gigit jari ajelah jawabnya hehehe.


Kek pisang coklat ni memang sedap dan lembut. Rasanya Kak Ummi pun  pernah cakap yang resipi kek pisang dari Chef Amy Wong memang sedap. Tapi CT tak pasti yang mana satu resipi yang dimaksudkan oleh Kak Ummi tu. Kalau resipi yang CT buat ni memang lembut aje, mungkin yang ini agaknya yang dimaksudkan tu. Sukatan dalam resipi ni memang sedang-sedang aje kalau bagi keluarga yang sederhana besar macam keluarga CT.


Resepi yang CT kongsikan ni, CT dah lebihkan dan tambah mana-mana yang CT rasa patut ditambah. Sukatan pisang lecek tu CT tambahkan lagi sebab ada berlebih stok jadi rasa sayang pulak nak buang, jadi CT guna semuanya yang ada dan CT letak sedikit esen pisang agar bertambah aroma wanginya bila dibakar. Begitu juga dengan chocolate rice tu CT lebihkan sedikit juga. CT suka adunannya nampak bercorak dan cantik sebab ada gabungan coklat dan pisang yang memang CT gemar. Dalam resipi asalnya pun tak ada serbuk badam, tapi CT tambahkan juga.


Okeylah Kita terus pada resipilah ya, tak mahu celoteh panjang-panjang sangat nanti bosan dan letih pulak nak membacanya kan. Jika ada yang sudi nak mencuba, boleh rujuk terus resipi dibawah ya. Sampai jumpa lagi, salam manisss dari CT. Daaa...


Banana Chocolate Cake
Resepi olahan : Che CT

Bahan A:
150 gm butter
150 gm gula kaster
3 biji telur A
100 gm susu segar
180 gm pisang lecek - asal 100 gm
1 sudu kecil esen pisang

Bahan B :
200 gm tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1/4 sudu kecil soda bikarbonat
30 gm serbuk badam

Bahan C :
50 gm cohocolate rice

Cara-cara :
1. Pukul butter dan gula kastor hingga putih dan gebu dalam 3 minit.
2. Tambah telur satu persatu, jarak sebiji telur dalam 20 saat dan pukul sebati. Kikis tepi mangkuk adunan agar adunan bergaul rata.
3. Masukkan adunan B yang diselang selikan dengan susu segar dan gaul rata.
4. Perlahan-lahan menambah pisang lecek dan chocolate rice gaul rata.
5. Masukkan kedalam loyang 8 inci yang dialas kertas minyak.
6. Bakar pada suhu 175C kira-kira 40-50 minit atau sehingga masak.



Wednesday, July 11, 2012

Bingka Roti Jagung Pandan


Assalamualaikum... Salam manis dan salam penuh keceriaan dari CT buat teman-teman diluar sana. Seiring dengan kesibukan menyiapkan tugasan seharian, CT tetap juga sibuk memikirkan tentang idea dan resepi-resepi yang baru untuk dicuba dan dihidangkan kepada insan-insan tersayang dirumah. Kadang-kadang tu sampai buntu juga fikiran sebab idea tak kunjung datang. Bila jadi macam tu, blog teman-teman food bloggerlah jadi penyelamatnya. Terima kasih buat teman-teman semua untuk segala perkongsian resipi selama ini ya. CT sayang kamu semua.


Antara destinasi resepi yang CT suka selongkar ialah FP RinnChan. CT memang gemar masuk FP RinnChan ni, dari dulu sampailah sekarang. Banyak juga resipi yang CT kongsikan di dapur CT ni yang di inspirasikan dari FP RinnChan. CT suka resepi yang dikongsikan Rinn sebab lengkap dengan step-by-step nya, memang mudah untuk di ikut bila kita membuatnya pula. Maklumlah masa awal-awal pembabitan CT dalam food blogging ni, CT tak pandai sangat memasak hidangan dari resepi yang rumit jadi bila resepi tu lengkap dengan cara membuatnya mudahlah kita nak mengikutnya. Itulah sebab utama CT suka masuk FP RinnChan dulu. Tapi kemudian-kemudian tu, CT mula menjelajah blog teman-teman yang lain yang banyak juga yang telah CT mencubanya juga. Dan yang pasti semuanya memang membuka selera dan sedap-sedap belaka, Alhamdulillah. Jika tidak kerana perkongsian resipi dari semua teman-teman food blogger ni, tidaklah CT sampai sejauh ini kan. Dengan sokongan dari teman-teman semualah CT masih teguh berdiri untuk mengendalikan blog Dapur CT ini. 


Untuk resipi Bingka Roti Jagung Pandan yang CT kongsikan hari ini, CT ambil resepinya dari Fotopages RinnChan lagi. Sumber resipinya adalah dari Chef Azimah Mansor. Terima kasih daun keladi kepada kedua-duanya, semoga apa yang dikongsi mendapat balasan yang baik. Jika di ikut sukatan asal dalam resipi tu, memang banyak jugalah kuantitinya jadi CT kurangkan sedikit sukatannya untuk resepi yang CT kongsikan di bawah. Kalau nak melihat resipi asalnya bolehlah lihat di FP RinnChan. CT gunakan loyang chiffon saiz 23cm. Bila dibakar, memang naik tinggi juga adunan tu. Nasib baiklah CT dah kurangkan sukatannya. Kalau tidak, mahu membuak penuh sampai keatas lah jawabnya hehehe.


CT tak sempat untuk tangkap gambar bingka yang belum dipotong. Maklumlah masa CT membuat bingka ni dah agak senja. Bila dah siap masak, dah hampir malam. Jadi nak sibukkan diri untuk gambar tu dah tak sempat dah. Jadi CT ambil yang dah siap potong ajelah. Dalam adunan ni CT buatnya berlapis, kalau dilihat betul-betul boleh nampak lapisan pandan tu. Saja aje nak ubah sikit, jadi bila adunannya tu dah siap dibancuh, CT bahagikannya kepada dua bahagian. Lapisan yang pertama, CT bakar dalam 30 minit. Kemudian CT keluarkan dan tuang perlahan-lahan adunan kedua yang berperisa pandan dan bakar lagi selama 40 minit. Kalau nak kerakya jadi lebih tebal, bolehlah dibakar lebih lama lagi ya.


Anak-anak CT macam biasa, memang suka dengan bingka. Tambah lagi kerana CT mebakarnya agak lama juga jadi keraknya tu jadi agak garing. Emm... memanglah CT suka bab-bab kerak macam tu, lagi banyak kerak lagi lajulah CT ngappp! Masa ambil gambar tu pun, sambil menekan shutter button, sambil juga tangan ni menyuap masuk dalam mulut hehehe. Anak CT yang bongsu Haqim  je yang bila makan bingka jagung ni, jagungnya tu dikuis keluar dan disusun tepi piring. Pelik pulak CT menengoknya sebab kalau jagung rebus tu gemar pulak dia memakannya. Macam-macam hal aje anak-anak ni kan. Tapi tak kisahlah, asalkan bingka yang dimakan tu habis licin hehehe.


Resipi yang CT kongsikan dibawah ni telah CT kurangkan sukatannya daripada resepi yang asal. Jika ada yang ingin merujuk kepada resipi asal, bolehlah klik link Fotopages RinnChan di bawah tu ye. Selamat mencuba dan sampai jumpa lagi. Salam manisss dari CT. Daaa....


Bingka Roti Jagung Pandan
Sumber : Chef Azimah Mansor / RinnChan
Di Olah : Che CT

Bahan-bahan:
2 biji telur B
100 gm gula kaster
100 gm mentega - dicairkan
250 ml susu cair + 250 ml santan
1 sudu kecil pewarna hijau
1/2 sudu kecil pandan emulco
1/2 sudu kecil garam halus
150 gm tepung gandum
200 gm roti putih
100 gm jagung krim dalam tin

Cara-cara:
1. Pukul sebati telur dan gula. Masukkan mentega cair, diikuti santan dan susu cair, pewarna hijau, pandan emulco, tepung gandum dan garam halus yang diayak bersama. Kacau rata. 
2. Carik-carikkan roti dan masukkan dalam adunan tadi dan gaul rata. Rendam selama 15-20 minit. 
3. Masukkan jagung krim dan kacau sebati.
4. Sapukan mentega pada loyang bingka 23 cm dan boleh juga guna loyang biasa berukuran 9 inci alaskan dasarnya dengan kertas minyak.
5. Bakar dalam oven pada suhu 180 C selama 50 minit atau satu jam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...