Tuesday, January 31, 2012

Puding Sum-sum Pandan




Assalamualaikum... Salam ceria dan selamat pagi. Macamana pagi ni letih tak bangun dari tidur. Maklumlah hujan dari tengah malam, rasanya payah juga nak tinggalkan selimut tu diawal-awal pagikan. CT pagi ni keletihan sebab semalam tidur lambat hampir 1.30 pagi, sebab kawasan rumah CT ni kaum-kaum Cina dok main mercun dah macam nak berperang jer lakunya. Biasalah hidup berjiran ni kenalah bersabar banyak-banyakkan. Nak tak nak kena tahan jugalah lubang telinga tu... hehehe. Semalam CT tayang Puding Kastard. Hari ni CT nak tayang Puding Sum-sum pulak. Walaupun seperti terlalu awal nak letak menu dessert yang menyejukkan tekak macam ni di waktu pagi-pagi ni kan. Tapi tak kisahlah ye. Bukan disuruh makan pagi-pagi. Saje je tayang waktu pagi, jadi kalau terasa nak mencuba, petang nanti sempatlah mencari bahannya kalau nak buat, ye tak... hehehe.



Puding Som Som ni dah sering kali CT buat. Dan sudah semestinya dibuat bila ada permintaan dari insan-insan tersayang dirumahlah kan. Kalau tidak, memang malas juga nak membuatnya. Maklumlah cuaca tengah panas sekarang ni dan Che CT ni malas sikit nak menggodak buat puding macam ni bila cuaca panas. Kali ni CT terlebih rajin buat puding ni gunakan acuan bunga kecik-kecik. Nampak cantik dipandang dan senang nak masuk mulut. Biasanya buat dalam loyang, nak kena potong bagai lecehlah sedikit. Kalau macam ni mudah dan cepat jer nak makan ya tak... (Padahal sama je. Saja buat alasan nak menyedapkan hati... hehehe).




Resipi Puding Som Som ni CT cuba dari Blog Lina PG yang resipi asalnya dari Fida MyResipi. Tapi kali ini CT buat 1/2 adunan jer dari resipi asal. Untuk itu CT tak nak berceloteh panjang pagi-pagi ni ya, kita terus pada resipi dibawah. Daaa...

Puding Sum-sum Pandan
Sumber : Lina_PG
Di Olah : Che CT


Bahan-bahan Puding :
1/2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung jagung
800 ml santan
1 cawan susu cair
1 sudu kecil garam atau secukup rasa
sedikit pewarna hijau
sedikit pandan emulcho

Bahan Sirap Gula Melaka :
sekeping gula melaka
1 cawan air
2 helai daun pandan - disimpul

Cara-cara
1. Masak sirap gula hingga gula larut dan tapis. Ketepikan.
2. Satukan kesemua bahan-bahan puding dalam periuk dan gaul rata. Tapiskan adunan dan masak hingga pekat dan kilat. Kacau sentiasa hingga adunan meletup-letup.
3. Tuang adunan ke dalam loyang atau acuan yang dibasahkan dahulu dan sejukkan.
4. Sajikan bersama sirap gula melaka.





P/S - Kamera Klasik ke-14 kepunyaan my laling yang CT interframekan sebagai props bersama resepi kali ini ialah Rollei 35T.

Monday, January 30, 2012

Puding Kastard




Assalamualaikum... Salam penuh keceriaan dan selamat pagi Isnin buat semua. Sekali sekala CT nak tayang menu dessert dipagi hari. Cuaca di KL ni dah mula panas membahang sekarang ni, jadi memang sesuailah menu yang menyejukkan tekak macam ni. Tapi dalam panas tu, kadang-kadang hujan turun mencurah dan lebat secara tiba-tiba, memang tak dapat nak dijangka cuaca ni kan. Kadang-kadang tu, masa tengah masak tiba-tiba hujan turun, kelam kabut CT berlari mengangkat kain baju yang dijemur di balkoni, padahal cuaca nampak cerah masa tu.



Puding kastard ini salah satu menu dessert kegemaran CT sekeluarga, tambah lagi bila dihidang sejuk-sejuk masa baru dikeluarkan dari peti sejuk, memang tak terasa suap-suap tau-tau dah habis. Kalau buat puding kastard ni walaupun buat dalam jumlah yang banyak tak payah nak tunggu 2-3 hari, sekejap aje dah habis. Anak-anak CT memang 'hantu' dengan dessert macam ni. Dari satu bekas kesatu bekas tak berhenti bila mengadap. kadang-kadang CT marah juga sebab dorang ulang-ulang bukak katup pintu peti sejuk tu... hehehe. Bukan marah apa, dah makan tu bekas-bekas puding tu dok letak jer dalam sink tak dibasuh. Dah kena bising barulah dia bergerak nak membasuhnya. Tapi memang patut ditegur dan di ajar begitu ye tak, walaupun kadang2 terpaksa 'bising' sikit kalau terpaksa.




Menu ni memang simple dan mudah sangat nak membuatnya, jadi kalau ada yang nak mencuba tu silakanlah ye. Yang pastinya sesuai sangat dimakan sejuk, selamat menjamu selera. Daaa....

Puding Kastard
Resipi : Che CT

Bahan untuk Puding:
1 cawan tepung kastard
4 cawan air
1/2 cawan gula pasir

Cara-cara membuat pudingnya:
1. Larutkan gula pasir bersama air dalam periuk dan kemudian masukkan tepung kastard.
2. Masak di atas api yang sederhana dan kacau sehingga menjadi pekat dan berkilat.
3. Tuang ke dalam bekas acuan atau pun loyang yang telah dibasahkan terlebih dahulu (supaya mudah untuk mengeluarkan puding itu nanti).
4. Biarkan hingga sejuk sedikit kemudian simpan dalam peti sejuk.

Bahan Untuk Kuah:
1 tin susu cair
1 tin besar mix fruits cocktail
1 1/2 tin air masak
4 sudu besar gula pasir
1 sudu teh esen vanila (optional)

Cara-cara membuat kuahnya:
1. Campurkan semua bahan kedalam periuk.
2. Kacau sebentar dengan api yang kecil untuk melarutkan gula (tak perlu hingga mendidih).
3. Tutup api dan setelah sejuk masukkan dalam peti sejuk.
4. Hidangkan puding dalam keadaan sejuk.






P/S - Kamera Klasik ke-13 kepunyaan my laling yang CT interframekan sebagai props bersama resepi kali ini ialah Agfa Super Silette L.

Friday, January 27, 2012

Ayam Mentega Rangup




Assalamualaikum. Salam sayang buat semua teman-teman CT dan pengunjung setia Dapur CT. Sekejap aje dah hari Jumaat. Dan rasanya esok pasti ramai yang mengambil cuti panjang balik ke kampung sempena cuti CNY akan mula kembali semula ke rumah masing-masing. Jika ada yang balik awal sebelum esok dan lusa, mungkin masih selamat dari terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas. Tapi bagi yang balik Sabtu dan Ahad, rasanya pasti akan menempuh kesesakan lalu lintas yang teruk. CT pulak, selamat dari menempuh itu semua sebab raya CNY tahun ni, CT tak balik kampung... hehehe. Bukan tak nak balik, tapi disebabkan 2 orang anak CT yang bersekolah darjah 3 dan 6, Haqim dan Daniel, sekolah dorang tak ambik cuti sempena CNY. Cuma cuti setakat isnin dan selasa tu aje. Jadi tak dapatlah CT nak balik kampung, raya kat sini aje... hehehe.




Berbalik kepada resepi hari ini iaitu Ayam Mentega Rangup dari Diana@MellyMay. CT tengok ada kawan-kawan yang dah mencuba resepi ni, tapi baru sekarang giliran CT nak mencubanya. Emm... memang sedap ayam ni jika dimakan bersama nasi panas-panas. Hasilnya memuaskan hati sebab anak-anak CT pun gemar dan CT gantikan gula kepada 1 sudu besar madu. Okeylah, tanpa bercoleteh panjang lagi, CT panjangkan resepi ini di Dapur CT pula. Terima kasih pada Diana kerana berkongsi resipi yang sedap ini. Untuk yang ingin mencuba, jom kita semak resepinya ye. Daaa....


Ayam Mentega Rangup
Resipi: Diana@MellyMay
Sumber : Nor@secubitgaram & Izahdaut
Di Olah : Che CT


Bahan-bahan :
2 keping dada ayam - dihiris
2 tangkai daun kari - dihiris
4 biji cili padi - dicincang halus
1 batang lada merah - dihiris halus
60 gm mentega ( Boleh di tambah lagi untuk salutan kuah yang lebih banyak)
1 biji bawang besar - dicincang
Tepung jagung secukupnya - untuk salut ayam
Minyak untuk menggoreng
1 sudu besar madu (atau sedikit gula)

Bahan-bahan Perap :
1/2 sudu kecil perencah pati ayam Tumix
2 sudu kecil gula
1 biji telur
1 sudu besar tepung jagung
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
1/2 sudu kecil serbuk lada putih
Garam secukup rasa

Cara-cara :
1. Ayam di gaul bersama bahan2 perap dan perap selama 20 minit.
2. Panaskan minyak dalam kuali. Salut ayam tadi dengan tepung jagung dan goreng terendam dengan minyak agar ayam masak sekata. Setelah ayam masak, angkat dan ketepikan.
3. Cairkan mentega dan masukkan bawang besar, daun kari dan cili padi serta cili merah. Tumis sehingga naik baunya.
4. Kemudian masukkan ayam yang telah digoreng tadi dan madu. Gaul sebati. Angkat dan hidang.




Thursday, January 26, 2012

Kek Gula Hangus




Assalamualaikum... Salam ceria dan selamat pagi buat semua teman2 Che CT. Hari ni CT nak bercerita sedikit tentang resepi hari ini iaitu Kek Gula Hangus @ kek Sarang Lebah. Kek ni ada banyak nama dan bermacam2 gelaran juga yang diberi. Sebenarnya Kek Gula Hangus ni juga adalah kek yang pertama sekali CT cuba buat dan masa tu umur CT baru je 19 tahun. Ada seorang kakak kat tempat kerja CT kat JB tu yang ajar CT cara2 nak buat kek gula hangus yang cantik. Lepas dia ajar tu, CT konfiden bole buat dan terus berazam bila balik rumah nanti nak mencuba terus. Lepas aje beli bahan2, tak tunggu lama2 terus aje CT buat. Memang suka yang teramat sangat sebab percubaan kali pertama itu walaupun tanpa melihat bagaimana cara membuatnya, tapi CT berjaya mendapatkan kek sarang lebah @ kek gula hangus yang cantik... hehehe. Tapi itu cerita dulu, masa CT belum lagi pandai membaking. Sekarang ni bila dah rajin membaking, CT dah lupa pulak cara-caranya macamana dulu CT buat kek gula hangus tu cantik. Beberapa kali CT cuba lagi sebelum ni tapi tak dapat hasil yang CT nak macam dulu2 tu... kecewa juga. Resipinya pun dah hilang entah kemana.

Untuk menu Kek Gula Hangus kali ni, CT cuba resipi dari Kak Anim yang menurut kata beliau dia dapat dari kawannya yang bernama kak Anna. CT tengok resipi ni pun dah dicuba oleh Mas Duniaku , Izah IML dan Anna Qawina. Boleh dikatakan CT gembira jugalah dengan hasilnya walaupun sarang lebah kat kek ni macam tak berapa nampak. Sebenarnya ini percubaan CT yang kedua. Cubaan yang pertama dulu kerana CT sekadar nak mencuba dan buat 1/2 adunan je, jadi dapatnya sikit sangatlah pulak. Dan kali ni CT buat mengikut sukatan yang diberi. Tapi CT kurangkan sedikit sukatan susu kepada 1/2 tin aje sebab CT rasa terlalu manis kalau letak 3/4 tin tu. Selain tu, CT kurangkan juga sukatan soda bikarbonat tu kepada 1 1/2 sudu kecil.

Terima kasih pada Kak Anim yang sudi berkongsi resipi Kek Gula Hangus ni. Harap Kak Anim tak kisah CT panjangkan pula dalam Blog Dapur CT juga ya. Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan oleh semua dan semoga kehidupan Kak Anim sentiasa mendapat keberkatan didunia dan akhirat... A-minnn. Jom kita lihat resipinya kot-kot ada juga yang ingin mencubanya pula. Daaa....




Kek Gula Hangus
Resipi : Kak Anymz - MyKitchen
Di olah : Che CT


Bahan gula hangus :
1 cawan gula pasir
1 cawan air panas

Cara membuatnya :
1 cawan gula pasir dijadikan gula hangus dengan api kecil. Bila gula cair sepenuhnya barulah masukkan 1 cawan air panas kedalam gula hangus tadi bermula dari tepi periuk. Hati2 dengan gula yang panas sewaktu masukkan air kerana gula akan meletup2 dan terpercik.

Bahan Kek :
1/2 cawan susu pekat manis
1 cawan tepung gandum
4 biji telur
3 sudu besar butter
1 1/2 sudu kecil soda bikarbonat

Cara membuatnya :
1. Alas loyang atau acuan dengan kertas minyak dan glis dengan butter - ketepikan.
2. Pukul butter dengan telur hingga sebati. Tak perlu pukul hingga kembang, cukup dipukul hingga adunan sebati saja.
3. Masukkan susu pekat manis dan masukkan juga gula hangus tadi. kacau hingga sebati.
4. Akhir sekali masukkan tepung gandum dan soda bikarbonat yang telah diayak bersama. Dan kacau lagi hingga adunan rata. Perapkan sebentar dalam 10 minit.
5. Tuang dalam loyang dan bakar pada suhu 170'C selama lebih kurang 45minit hingga 1 jam atau boleh uji kek dengan mencucuk lidi sate, bila ditarik keluar lidinya bersih tandanya kek sudah masak.

Wednesday, January 25, 2012

Nasi Hujan Panas




Assalamualaikum... Salam ceria dan selamat pagi buat teman2 tersayang Dapur CT. Bagaimana cuaca pagi ni, cerah atau mendung... cuba jeling2 luar tingkap sekejap, hujan ke panas? Yang pasti, hujan ke, panas ke, menu ni tetap sesuai... iaitu nasi hujan panas. Tapi kena bagitau dulu, jangan di mintak sebab nasi ni dah habis dah.. hehehe. Sebelum2 ni banyak kali juga CT buat menu ni, tapi tak sempat nak amik gambar. Kali ni CT sempatkan untuk dipublishkan di dapur CT.

Merata-rata CT tengok resipi ni mengunakan beras basmathi, CT pulak tak ada simpan beras basmati kat rumah, sebab jarang sangat2 masak nasi mengunakan beras basmathi. Jadi CT masak nasi ni mengunakan beras wangi jer, dan hasilnya masih tetap lembut dan sedap juga. Tambah sedap pula digandingkan bersama lauk Ayam Merah Tomato resipi dari Kak Ummi dan CT buatkan lagi acar mentah. Memang sedap makan, sambil melayan anak2 yang ada dirumah sempena cuti sekolah CNY. Tak membuang masa lagi, jom kita semak resipi kat bawah ye. Kalau ada yang teringin nak mencuba silakan ye, semoga hidangan ini menjadi kegemaran ahli keluarga tersayang. Daaa.....





Nasi Hujan Panas
Resipi : Che CT

Bahan-bahan :
4 cawan beras wangi
Air secukupnya (sukatan air mengikut jenis beras yg diguna)
2 sudu besar mentega
1 sudu besar minyak masak / minyak jagung
1 biji bawang besar - dimayang halus
3 ulas bawang putih - dimayang halus
1/2 inci halia - dimayang halus
Sedikit garam
1 kiub ayam
Rempah 4 beradik
2 helai daun pandan - disimpul
Pewarna hijau, kuning dan merah

Cara-cara :
1. Basuh beras dan toskan beras.
2. Cairkan mentega bersama sedikit minyak dalam periuk rice cooker.
3. Masukkan rempah 4 beradik bersama bawang besar, bawang putih, halia yang dimayang bersama daun pandan, goreng sehingga wangi. Kemudian masukkan kiub ayam kacau rata sebentar.
4. Kemudian masukkan beras dan secubit garam dan kacau lagi.
5. Masukkan air secukupnya dan masak nasi macam biasa.
6. Bila nasi hampir kering buat beberapa lubang dan titiskan pewarna. (jangan lupa tutup balik periuk rice cooker ya).
7. Tunggu sehingga nasi betul2 masak dan gemburkan dengan garfu sebelum dihidangkan.





Acar Mentah
Resipi : Che CT

Bahan-bahan :
1 batang timun segar - potong memanjang
1 batang carrot - potong memanjang
1 biji nenas masak - potong dadu kecil
1 batang lada merah - belah dua dan buang bijinya
2 sudu besar cuka / boleh ganti dengan jus limau nipis
3 sudu besar gula pasir
sedikit garam

Cara-cara :
Satukan semua bahan2 dan kacau rata2 semuanya. Masukkan dalam bekas sesuai, tutup dan masukkan dalam peti sejuk lebihkan 1/2 jam sebelum dihidangkan. Selamat mencuba :)




Ayam Merah Tomato
Resepi: Ummi @ HomeSweetHome

Bahan-bahan :
1 ekor ayam - dipotong 12/14 - bersihkan
2 biji tomato - didadu kecil
5 sudu besar sos tomato
3 sudu besar sos cili
3 sudu besar pes tomato
2 sudu besar cuka makan
2 sudu besar cili kisar
4 sudu besar gula
1/4 cawan air
garam secukup rasa
minyak secukupnya

Bahan Kisar :
2 labu bawang besar
5 ulas bawang putih
3 cm halia

Bahan Tumis :
2 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum cengkih

Cara Memasak:
1. Ayam digaul dengan serbuk kunyit dan garam secukupnya. Perap 20 minit dan goreng separuh masak. Angkat dan ketepikan.
2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan tumis hingga naik bau dan masukkan bahan kisar, cili kisar serta tomato dadu. Kacau sekejap.
3. Masukkan semua sos, cuka dan air. Masak mendidih sebentar.
4. Masukkan ayam dan gaul balik biar sos rata pada ayam.
5. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
6. Masak hingga agak pekat dan tutup api. Hidangkan dengan nasi tomato atau nasi minyak ikut citarasa.

Saturday, January 21, 2012

Masak Lemak Pucuk Ubi & Sambal Tempe




Assalamualaikum... Salam mesra dan selamat berhari Sabtu untuk semua. Sangat jarang CT bersiaran pada hari cuti macam ni kan. Tapi hari ni CT bersiaran sebab masak lebih sikit, maklumlah, tinggal 2 hari lagi nak raya kan (raya tahun baru cina) hahaha. Dan untuk hari cuti ni, CT bersiaran dengan menu yang berat yang pasti membuka selera. Hidangan ala2 kampung ni sentiasa mendapat tempat, tambah2 lagi kalau dihidang dengan menu2 sampingan seperti sambal belacan serta ulam2 dan mangga hiris tu. Pengsannnn... kalau makan harus bertambah juga nasinya. Jarang kalau yang makan ada lauk2 macam ni nak menolak untuk ditambah nasinya. Tak tahulah kalau ada yang diet2 tu kan... hehehe. CT ni bukan jenis yang suka berdiet, apa yang terhidang CT makan jer. Cuma makan tak banyaklah, CT akan makan berulang2 gitu. Kalau My laling CM dah semestinya mintak ditambah nasinya. Memang kena dengan selera laling CM ada pulak sambal belacan dan ikan goreng itu pun dah cukup katanya. Anak2 bujang CT makan sikit jer, sebab tak berapa gemar sangat lauk2 macam ni. CT gorengkan telur dadar untuk anak2 mengantikan ikan goreng. Tapi kalau anak dara CT yang sulong tu harus macam Ayah dia jugalah bertambah nasi sebab ada sambal belacan... hehehe.

Kalau duduk dikampung senang tak payah nak beli pucuk ubi ni, semua main petik2 jer kat belakang rumah atau tepi2 rumah mesti banyakkan. Semuanya segar dan fresh dari 'ladang' sendiri... hehehe. Kita yang duduk dibandar ni manalah nak cari pucuk2 ubi segala. Semuanya beli kat pasar tani atau kedai2 jerlah. Seikat pun sekarang dah RM1, tu pun seikat sikit jer bila direbus cuma segenggam jer yang dapat. Bagi kita2 ni yang duduk dikota yang dah pesat membangun jangan harap nak jumpa kecuali kalau rajin masuk ke kawasan berhutan sikit. Tapi tak kan nak masuk hutan semata2 nak petik pucuk ubi ya tak... hahaha.

Okeylah jika ada yang dah lama tak masak lemak pucuk ubi ni, kalau teringin tu pegilah beli ya. Kang ada yang kata mengidam, CT tak dapat nak tolong masak... hehehe. Resipi ni senang jer, anak bujang CT pun dah pandai juga sekarang suka kacau2 Mama dia masak kat dapur... hehehe. Untuk itu CT letak jugalah resipi kat Dapur CT, kot2 ada orang 'Bujang' yang nak mencuba masak nanti ya tak. Sampai jumpa nanti. Daaa.....




Masak Lemak Pucuk Ubi
Resipi : Che CT

Bahan-bahan :
2 cekak pucuk ubi
2 batang serai - dititik
600 ml santan cair
200 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
2 biji bawang merah - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
1 biji lada merah dan hijau - potong serong
1 camca besar ikan bilis - rendam, tos dan tumbuk kasar

Cara-cara :
1. Pucuk ubi dipisahkan dari tangkainya, cuci dan toskan. Rebus hingga lembut dengan sedikit garam. Tos dan perah kemudian dikerat2.
2. Masukkan ke dalam periuk bersama2 serai, bawang merah, bawang putih, ikan bilis tumbuk dan santan cair. Kacau dan masak hingga bahan lembut.
3. Tuang pati santan dan tambah garam dan gula secukup rasa. Masak sekejap sambil dikacau sentiasa. Perasakan dan jika sesuai rasa boleh matikan api.
4. Hidangkan bersama nasi hangat, sambal belacan serta ulam2, ikan goreng, sambal tempeh dan mangga hiris halus. Selamat menjamu selera :)




Sambal Belacan
Resipi : Che CT

Bahan-bahan :
3 biji lada merah - belah dua dan buang biji
6 biji cili padi - (kalau suka pedas lebihkan)
Sepotong belacan - yang dibakar dahulu
1 biji tomato sedang - dadu kecil
3 biji limau kasturi - buang biji dan ambil jusnya
Sedikit garam dan gula

Cara-cara :
1. Tumbuk lada merah, belacan dan cili padi hingga lumat dalam lesung batu. (tumbuk guna lesung batu lagi kaw2 rasanya berbanding yang diblender)
2. Masukkan tomato yang didadu tadi lenyek2 hingga halus. Letak sedikit saje garam, gula secukup rasa dan tambahkan jus limau kasturi dan gaul sebati. Perasakan.
3. Keluarkan sambal belacan dan bubuh di dalam bekas sesuai. Sajikan bersama ulam2 dan juga buah mangga muda yang dihiris halus2. Selamat mencuba :)




Sambal Tempe + Ikan Bilis
Resipi : Che CT

Bahan-bahan :
4 keping tempe - CT guna tempe yang berbalut daun
1 genggam ikan bilis, cuci dan toskan
1 cawan cili kisar
2 ulas bawang putih
1/4 cawan jus asam jawa
Sedikit garam
Gula secukup rasa

Cara-cara :
1. Tempe dihiris nipis, gaul dengan sedikit garam dan goreng hingga garing. Angkat dan toskan sebentar. Ikan bilis digoreng garing. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak mengoreng tadi dalam kuali, tumis bawang putih hingga wangi, masukkan cili kisar dan tumis hingga cili kisar garing. Tuang air asam jawa tambah sedikit garam dan gula secukup rasa.
3. Bila dah pekat masukkan tempe, ikan bilis gaul hingga rata. Biar kering sebentar dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat. Selamat mencuba!



Friday, January 20, 2012

Pengat Kacang Hijau bersama Durian




Assalamualaikum... Salam pagi Jumaat dan selamat pagi buat semua yang menyinggah ke halaman Dapur CT. Alhamdulillah... Subuh tadi seawal 5 pagi, hujan sekejap walau pun tak lama terasa sejuk macam nak tarik selimut aje rasanya. Bila kenangkan anak2 dan suami gagahkan juga badan untuk bangun hehe. Okeylah, terus kepada resepi hari ni, Pengat kacang hijau durian yang dah selamat kami santap. Oleh kerana tak tahan dengan bau durian yang begitu menyengat lubang hidung CT, cepat2 CT buat bubur atau pengat durian ni. Anak2 CT semua suka durian kecuali yang bongsu Haqim jer yang memang tak gemar langsung dengan durian ni. CT dan My laling CM pun tak "berapa" suka juga makan buah durian ni. Agaknya dulu2 dah puas makan durian kot, sebab tu sekarang macam dah tak boleh terima dah... Tapi kalau dibuat bubur atau pengat boleh pulak masuk mulut... hehehe. Tapi tak banyaklah cukup buat rasa2 jer buat hilangkan gian merasa RAJA segala buah ni.




Selalunya CT memang suka makan pengat durian ni dicecah dengan roti jer. Kalau ratah2 gitu macam kurang kick pulak. Kalau MIL pulak dia suka buat serawa durian dan dimakan bersama biskut lemak atau disapu pada roti. Lama juga CT tak makan sejak berhijrah ke KL ni. Nak buat sendiri... MALAS yang amat... hehehe. Nak yang MIL buat sebab sedap sangat macam terbayang2 pulak ada depan mata serawa durian ni... hehehe. "MAK... buatkan saya serawa durian boleh tak...!" hehehe. Harap2 MIL dengar rintihan menantu dia ni kan, dapat juga merasa atau bawak balik ke KL nanti... hahaha.

Amboiiii... Dah panjang pulak celoteh pagi2 ni. Nak memasak pengat ni mudah dan senang sangat. Semua pun dah pandai buat agaknya. Tapi CT letak jugalah kot2 ada yang tak pernah lagi mencuba dan tergerak nak buat. Maklumlah musim durian masih bersisa lagi kan. Okey... kita terus pada resipi udahlah ya. Daaa...


Pengat Kacang Hijau bersama Durian
Resipi : Che CT

Bahan-bahan :
1 cawan kacang hijau
6 ulas durian
200 ml santan pekat
6 cawan air
1/2 cawan gula merah
1/2 cawan gula pasir
2 helai daun pandan - disimpul
Sedikit garam

Cara-cara :
1. Bersihkan kacang hijau dan rendamkan di dalam air selama 1/2 jam.( Untuk mempercepatkan proses merebus kacang hijau agar cepat empuk)
2. Kemudian masak kacang hijau dengan air secukupnya hingga separuh masak. Tambah kan air jika perlu dan tuangkan santan, gula merah, gula pasir dan daun pandan yang telah disimpul.
3. Guna api sederhana saja. Gaulkan hingga gula larut.
4. Selepas itu, masukkan durian. Kacau sentiasa supaya santan tidak pecah dan didihkan pada api sederhana.
5. Bila sudah mendidih tutup api. Angkat dan sedia dihidangkan. Boleh juga makan bersama roti putih yang dipotong2. Selamat mencuba :)





Thursday, January 19, 2012

Cekodok@Jemput-Jemput Pisang




Assalamualaikum... Salam penuh keceriaan dan selamat pagi semuanya. Hari ni CT letak resepi paling senang dalam dunia. Menu yang simple dan cepat dimasak cepat habisnya... hehehe. Amat mudah nak menyediakan nya, tak perlu bersilat bagai didapur. Nak tambah2 sukatan atau bahan sampingan pun tak kisahlah, cuma bila dijemput adunan tu akan terjadi berbagai bentuk itu jer... hehehe. CT pulak bab nak buat bolat2 ni memang kureng sikitlah. Tapi ada jugalah bolat2 nya tu, nasib baik jadi bolat dari jadi leper semuanya haru... hehehe. Masa mula2 pandai buat jemput2 ni bertanya juga dalam hati, kenapa kuih ni dipanggil jemput jemput. Agaknya sebab adunan ni kita jemput guna tangan dan bubuh dalam kuali kot...? Akhirnya terjawab sudah, sendiri tanya sendiri jawab sebab nak puaskan hati sendiri kan... hehehe.

Mulanya ingat tak payah letak resipi, cuma sekadar nak kongsi gambar je sebab rata2 dah tahu buat cekodok@jemput2 pisang ni. Tapi setiap resipi yang CT letak dalam Dapur CT bukan sekadar perkongsian tapi juga rujukan anak2 CT sendiri dan juga buat teman2 CT yang tak pernah mencuba resepi yang simple mimple begini. Manalah tahu kan resipi ini akan dicari oleh anak2 atau cucu2 kita dimasa akan datang. Macam kita2 juga sekarang ni, dulu masa muda remaja tak mahu belajar atau bertanya dari orang tua2 kita. Bila dah besar2 panjang ni baru menyesal bila teringat satu2 resepi yang kita pernah makan tapi tak tahu nak membuatnya langsung. Lagi satu, resepi orang lama2 ni bila dibuat tak perlu disukat2, main cepluk2 dalam mangkuk, godek2 dah siap. Zaman kita sekarang jer ni kena sukat bagai... hehehe. Yalah betul juga kenalah sukat2 sebab kang buat terlebih adunan tu, siapa pulak nak habiskan semuanya betul tak..? hehehe. Che CT dah melalut kelaut dah ni, sebelum dilambung ombak baik stop dulu... hehehe. Panjang lebar pulak dah, nak cerita pasal cekodok sejemput tu dah jadi cerita bab lain pulak ya... hehehe. Okeylah kita terus pada resipi lah ya. Daaa...




Cekodok@Jemput-Jemput Pisang
Resipi: Che CT

bahan-bahan:
3-4 biji pisang berangan masak ranum - lecek halus (apa2 pisang pun boleh juga)

1 biji telur - kacau sebentar
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat
1 cawan tepung gandum atau ikut kelembutan adunan.
Garam secukupnya
4 sudu besar gula kastor

Cara-cara :
1. Ayak tepung gandum, baking powder, soda bikarbonat dan garam, ketepikan.
2. Campurkan pisang lecek bersama gula secukupnya. Kacau rata.
3. Masukkan tepung yang telah diayak tadi sedikit2 dan kacau rata. (boleh juga kalau nak tambah air, tapi sedikit saje)
4. Panaskan minyak. Ambil sedikit adunan dengan sudu kecil atau jemputkan dengan hujung jari dan masukkan ke dalam minyak panas. Goreng hingga masak hingga kuning keemasan dan toskan atas paper tower. (Jika nak jemput dengan hujung jari, celupkan jari dalam bekas berisi air sebentar, jemput adunan tepung dan mudah jadinya) petua dari Hana. Selamat mencuba :)





Wednesday, January 18, 2012

Apam Polkadot - Part 3




Assalamualaikum... Salam ceria dan selamat pagi. Semoga semuanya sihat dan ceria sentiasa hendaknya. Sarapan apa kita pagi ni ye? CT semalam dok berpusing sekejap kepala ni. Bukan pusing apa, cuma pusing memikirkan apa menu nak buat untuk sarapan esok pagi. Dah puas berpusing satu dunia, 'ping!' haaa... nak buat apamlah! Macam tu lah kadang2 yang terjadi, menu untuk sarapan pun kadang2 boleh memeningkan kepala. Maklumlah, surirumah sepenuh masa macam CT yang duduk dirumah ni tak apalah. Tak kisahkan lambat sarapan pun takpe. Bila2 masa nak makan atau minum, buat aje ikut selera tekak kita bila2 hendak. Tapi untuk anak2 yang hendak ke sekolah dan suami yang nak pergi kerja tu, tak bolehlah buat macam tu, ye tak. Dah menjadi kebiasaan sejak CT mula2 berkahwin dan sampailah sekarang anak2 dah besar2 dah, sarapan adalah tajuk utama yang sangat penting untuk CT fikirkan, sebab semuanya mesti ambil sarapan sebelum keluar dari rumah.



Okeylah, cukup bab sarapan tu hehe. Menu pagi ni ialah Apam Polkadot yang dah agak lama CT tak buat. Sikit masa dulu, cukup fenomena kan apam polkadot ni. Meriah satu Malaya membuatnya sampai terkenal hingga jadi hantaran kahwin pun ada. Apam polkadot yang kali ni CT cuba resepi dari Rima yang sumber asalnya dari AlongRoz . Dalam resepi asal, Alogroz letak inti kelapa tapi yang CT buat ni CT gantikan dengan blueberry jem aje. Adunan apam ni lembut aje walaupun bila dah sejuk. Yang sebelum2 tu CT ada buat juga, macam tak berapa menjadi, mungkin CT pukul kurang kembang agaknya. Resipi ni CT buat 1/2 adunan aje, itu pun dah banyak juga dapatnya. Untuk itu mintak izin pada kedua2 teman CT ya untuk diletakkan juga resipi apam ni dalam Dapur CT. Kepada teman2 yang ingin mencuba, silakan ye. Daaa.....


Apam Polkadot
Resipi : Rima
Sumber : AlongRoz
Di olah : Che CT


Bahan-bahan :
3 biji telur sejuk - dari peti ais
250 gm Gula
284 gm Tepung Superfine
2 ½ sudu teh Baking Powder
1 sudu besar Ovalette
160 gm Santan Pekat
1 sudu teh esen vanila

Inti (dari resepi asal AlongRoz):
100 gm Kelapa Parut
3 sudu besar Gula Merah
2 sudu besar Gula
3 sudu besar Air
1 sudu teh Tepung Jagung
Kacau semua dalam periuk sehingga sebati. Sejukkan sebelum di gunakan.
(CT tak buat inti kelapa. CT ganti dengan jem blueberry)

Cara-cara:
1. Pukul kesemua bahan2 sekali gus. Dengan kuasa tinggi sehingga pekat & kembang (CT pukul anggaran 5 minit).
2. Paipkan adunan separuh penuh ke dalam kertas muffin.
3. Letakkan di tengah2 nya ½ sudu teh inti kelapa ( CT letak inti jem blueberry).
4. Tutup dengan adunan sehingga hampir penuh.
5. Kukus 15 minit dengan api sederhana. Jangan guna api besar takut apam merekah (CT balut penutup kukus dengan kain bersih, agar air tidak menitik atas apam).





Tuesday, January 17, 2012

Muffin Pisang




Assalamualaikum... salam sayang buat semua pengunjung dapur CT. Semoga kita semua sihat sejahtera dan dapat terus merempit di dapur untuk keluarga yang tersayang hehe. Untuk pagi ni, CT nak kongsikan resepi muffin pisang. CT suka sangat kek atau muffin yang menggunakan pisang sebagai bahan asasnya. Teringat dulu-dulu masa CT masih duduk kat Johor Bahru, CT suka sangat bila sedara sebelah my Laling datang dari KL sebab dorang akan bawak kek pisang sebagai buah tangan. Semenjak dari situlah CT terus suka dengan kek pisang. Sekarang ni bila dah pandai membaking dapatlah CT buat sendiri dan tak payah nak membeli yang dijual di luar tu. Hasil buatan sendiri lebih sedap, lebih terjamin kebersihannya dan lebih puashati betul tak hehe.




Berbalik kepada resepi pagi ni, CT nak ucapkan terima kasih pada Ros yang sudi berkongsi resipi muffin pisang ni. Mas Duniaku dan Izah IML juga dah buat resipi muffin pisang dari Ros juga. Seandainya ada yang terkurang atau terlebih tu harap maaflah ya. Resipi ni CT copy paste dari Blog Ros Jintanmanis, izinkan K.CT panjangkan lagi dalam Dapur CT ya Ros. Kepada yang gemarkan kek atau muffin berasaskan pisang bolehlah mencuba ya. Daaa....


Muffin Pisang
Sumber: Ros Jintanmanis
Di olah : Che CT


Bahan-bahan :
2 cawan tepung gandum
1 1/3 cawan gula
2 biji pisang yang ranum
1/2 cawan minyak masak
2 biji telur (CT guna telur gred A)
1/3 cawan susu segar
1 sudu kecil soda bikarbonat
1 1/2 sudu kecil baking powder
beberapa titik esen pisang
kepingan badam untuk hiasan

Cara-cara :
1. Hancurkan pisang dengan menggunakan gelas dan letakkan 1/2 sudu kecil garam.
2. Ayak tepung gandum bersama baking powder dan soda bikarbonat, kemudian pukul telur hingga berbuih (agak2 dalam 1 minit) baru masukkan gula, pukul lagi hingga kembang.
3. Selepas itu, masukkan pisang dan kacau sebati, kemudian masukkan minyak, dan tepung sedikit demi sedikit, titik kan beberapa esen vanila, akhir sekali masukkan susu segar, masa ni jangan guna mixer ye, guna spatula atau senduk kayu je.
4. Cedokkan adunan tadi didalam papercup muffin ( isikan 3/4 papercup) dan letakkan coklat di tengahnya, bakar pada suhu 170darjah selama 18 ke 20 minit, sejukkan atas redai dan tabur sedikit dengan sugar powder. Sedia untuk dihidangkan. Selamat Mencuba.

Nota : CT panaskan oven 200'C selama 15 minit. Bila dah masukkan adunan turunkan suhu 180'C dan CT bakar selama 30 minit (ikut ragam oven masing2 lah ya).




Monday, January 16, 2012

Pink Velvet Cake




Assalamualaikum... Salam penuh kecerian dan selamat pagi Isnin buat semua. Pagi ni kena up kan sikit mood ceria ye, maklumlah pagi isnin kan. Dah tu awal pagi ni CT bangun badan lemah semacam jer dan macam letihhh sangat. Agak2 kalau bancuh madu + telur untuk diminum, badan ni bertenaga sikit kot... hehehe. Tapi CT tak pernah lagi buat macam tu apalah rasanya kan, saje jer berseloroh. Selalunya kalau letih sangat badan ni, lepas anak2 ke sekolah dan Hubby dah ketempat kerja, CT akan lelapkan mata kejap dalam 1 1/2 jam, lepas tu bila bangun semula barulah rasa segar balik. Biasalah kita ni suri2 rumah tangga, bangun seawal 5.30 pagi dah mula buat kerja dan sampai malam pukul 11 malam baru masuk tidur balik. Memanglah letih, berapa jam jer badan ni dapat rehat. Tu yang bila hari cuti tu kadang-kadang, lepas solat subuh tu, haa... apalagi balas dendamlah bangun sampai matahari naik tinggi sikit... hehehe.



Cerita dah terpesong jauh dah ni, nak cerita pasal menu pagi ni ke matahari pulak sampainya kan. Sebenarnya, resepi hari ni pun ada kena mengena dengan matahari jugak. Semalam masa nak ambik gambar pink velvet cake ni, cahaya matahari dah malap sebab dah nak masuk maghrib dah. So gambar yang awal2 tu dapatlah sket cahaya matahari tapi lepas tu terpaksalah guna teknik cahaya buatan sebab dah gelap. Tapi bagus juga sebab dapat ubah selera tangkap gambar dengan suasana yang lain sket hehe.

Ini kali yang ketiga CT buat kek ni. Tapi yang dua sebelum ni adalah Red Velvet Cake. Yang kali ini CT buat Pink Velvet Cake sebab CT pun suka warna pink hehe. Okeylah, kita terus pada resepi ni yang CT ambil dari blog Hana yang dah selamat melahirkan cahaya mata yang baru pada hari Khamis yang lepas. Semoga kelahiran puteri yang baru akan menambahkan lagi sinar kebahagiaan dalam keluarga Hana. Aminnnn.




Pink Velvet Cake
Suber : Joy of Baking
Terjemahan : hanamemories.blogspot.com
Di olah : Che CT

Bahan Kek:
250 gm tepung kek *
1/2 sudu kecil garam * (bahan * ayak)
113 gm @ 1/2 cawan butter
160 gm gula kastor
2 biji telur gred A
1 sudu kecil esen vanila
240 ml @ 1 cawan buttermilk
Pewarna Merah
1 sudu kecil cuka
1 sudu kecil soda bikarbonat

Cream Cheese Frosting:
250 gm cream cheese
115 gm @ 1 cawan gula kastor
100 gm butter
2 sudu besar susu segar untuk frosting yang agak lembut

Cara-cara:
1. Cara penyediaan buttermilk - Satukan 1 cawan susu segar + 1 sudu makan cuka. Biarkan sebentar dalam 10-15 minit sehingga susu jadi agak pekat. Boleh gantikan cuka dengan jus lemon atau cream of tartar dengan sukatan yang sama.
2. Panaskan oven suhu 170 darjah celcius. Sapu loyang dengan butter.
3. Dalam mangkuk, satukan gula dan juga butter. Pukul hingga lembut lebih kurang 1 - 2 minit.
4. Masukkan telur satu persatu dan teruskan memutar hingga kembang dan gebu.
5. Dalam cawan buttermilk satukan dengan pewarna merah dan kacau sebati hingga pewarna tidak berketul2.
6. Kurangkan kelajuan mixer, masukkan tepung berselang seli dengan buttermilk sebanyak 3 kali. (tepung, buttermilk, tepung, buttermilk, tepung).
7. Dalam mangkuk kecil, satukan soda bikarbonat dan juga cuka hingga berbuih. Tuang cepat2 ke dalam adunan kek dan kaup balikkan hingga sebati.
8. Tuang ke dalam loyang dan bakar selama 30-40 minit atau sehingga masak. Cucuk lidi dahulu untuk memastikan kek masak. Jika bersih tandanya sudah masak.
9. Sejukkan di atas redai kemudian belah 3 atau 4 bahagian.
10. Sementera menunggu kek sejuk, sediakan cream cheese frosting. Satukan creamcheese dan butter dan putar sehingga lembut. Masukkan pula gula dan juga esen dan terus memukul hingga lembut lagi. Sapukan setiap lapisan kek dan hias ikut suka.
11. Sejukkan di dalam peti ais dahulu untuk kenikmatan yang berganda. Potong dan hidangkan.




Friday, January 13, 2012

Sticky Caramel Chicken Wings




Assalamualaikum... Salam ceria dan selamat pagi Jumaat buat teman2 Che CT. Alhamdulillah, sampai juga kita ke penghujung minggu. Untuk orang yang bekerja pasti tertunggu-tunggu hujung minggu macam ni kan. Sebab esok dah cuti jadi dapatlah melepaskan lelah dengan bermalas-malasan untuk dua hari cuti berikutnya. CT pulak, kalau hujung minggu macam ni kira dapatlah rehat juga sikit sebab anak-anak tak bersekolah dan suami pun tak bekerja jadi taklah terkejar-kejar dengan masa sangat. Dan hari cuti hujung minggu dapatlah bercuti dari memasak juga. Rehatkan dapur dan keluar pergi jalan-jalan cari makan ajelah senang... hehehe. Sebenarnya CT ingat nak publish mengenai 'kecurian' gambar masakan pagi ni. Tapi tak apalah... kita cakap macamana pun perkara macam itu pasti tetap akan berlaku juga. Peringatan bagi orang2 yang suka 'mengambil tanpa kebenaran' atau lebih tepatnya 'mencuri' gambar masakan dan publish di blog sendiri seolah-olah gambar tu dia yang punya, semoga si pencuri tu akan sedar perlakuannya yang salah tu. My laling CM pun dah hantar email bagi warning pun semalam. Lepas ni kepada mereka2 tu semoga faham2 sendirilah ya.

Okeylah, CT tak nak cerita pasal tu lagi. Jadi sebelum menutup bicara, CT nak share resepi untuk penutup minggu ini iaitu Sticky Caramel Chicken Wings yang CT cuba dari Mutiarazura dari MyResepi. Masuk ni dah dua kali CT mencubanya. Memang sedap tambah2 lagi bila dimakan bersama nasi hangat bersama lauk yang sesuai dengannya. Pasti anak2 juga mengemarinya, kalau nak diratah2 begitu pun boleh juga terpulang pada kitalah kan. Terima kasih pada tuan punya resipi mintak halal ya untuk segalanya. Untuk yang berminat nak mencuba juga silakan ya. Sampai jumpa lagi di minggu hadapan, Insya'Allah. Daaa...


Sticky Caramel Chicken Wings
Resipi : Mutiarazura MyR
Di olah : Che CT


Bahan-bahan:
12 keping kepak ayam
2 sudu besar minyak masak
3 ulas bawang putih - diketuk dengan kulitnya sekali (tak perlu kupas)
1 sudu besar halia dicincang
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar kicap
1 sudu besar sos cili
1/4 cawan (60ml) madu
1/2 sudu besar serbuk lada hitam - tumbuk kasar

Cara-cara :
1. Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan bawang putih, halia dan kepak ayam, kacau dan goreng selama 5 minit.
2. Masukkan semua sos dan madu, kacau sekejap, kemudian tutup kuali. Kacau sekali-sekala selama 15 minit atau sehingga semua kepak masak dan keperangan (bersalut dengan sos).

Nota: Bila dah masuk madu, sos akan berbuih. Jangan takut bila tengok sos seperti hangit dipenghujung tu. Bila sos dah agak kering dan bersalut pada kepak ia akan jadi sedikit melekit dan berkilat macam barbecue chicken. Sedap sangat!





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...