Friday, November 23, 2012

Red Velvet Cream Cheese Cupcake


Assalamualaikum... Salam sayang buat teman-teman semua. CT harap teman-teman semua sihat walafiat ye. Nampaknya minggu ni seperti minggu kek untuk dapur CT ni sebab hari ni pun CT kongsikan resepi kek juga. Rasanya agak lama juga CT tak kongsikan resipi kuih-muih pulak. Sebab belum jumpa resepi baru untuk di cuba lagi. kalau kongsikan resepi ulang tayang tak bestlah kan hehehe. Kelmarin pun CT ada juga buat donat kentang yang CT rasa pernah juga CT kongsikan resepinya di sini dulu tapi yang ni resipinya dari blog Nor Secubit garam. Tapi tak sempat pun nak ambik gambarnya sebab CT buat cuma 1 adunan saja, sekali ngadap aje dek kami 6 beranak habis terus hehehe.


Kali ini CT berkenan pula nak mencuba satu resipi iaitu Black Bottom Cupcake yang telah CT olahnya kepada Red Velvet Cream Cheese Cupcake. Menurut kata yang empunya resipi dari Italy ni, resipi ni tidak begitu manis tapi sedap dimakan ketika masih hangat. CT pun cubalah buat sebab ingin tahu rasanya, melihat dari adunannya yang dilapis-lapis dengan cream cheese pasti sedap agaknya. Sesekali mencuba sesuatu resipi yang berlainan dan baru bagus jugakan, jadi kita tahu bagaimana rasanya.


Mula-mulanya CT buat dalam cawan kek yang bersaiz kecil, banyak jugalah dapatnya dalam 20 biji gitu. Bila CT buat lagi dalam acuan muffin yang besar, CT dapat dalam 14 biji. Waktu pembakaran tu mula-mula CT bakar selama 25 minit, jadi macam perang sedikit cream cheese atas tu. Untuk yang kali keduanya, CT kurangkan masa pembakaran kepada 20 minit, cantik molek kejadiannya. Tapi itupun bergantung pada oven masing-masing jugalah ya.


Macam biasa bila dah siap dibakar CT minta anak CT yang bongsu Haqim tu rasa dulu tapi banyak sangat pulak songelnya. Jadinya CT mintak pendapat anak-anak yang lain dan Suami pula. Dan jawapan dari anak-anak dan Suami... Sedaplahhh! hehehe. Suami CT suka sangat-sangat dan bertambah makannya, Alhamdulillah. Memang sedap cukcake ni, teksturnya lembut dan jika dimakan semasa masih hangat lebih sedap lagi rasanya pada CT.  Untuk adunan filling cream cheese tu, adunan asal untuk gula kastor hanya menggunakan 2 sudu besar, tapi CT tambah kepada 4 sudu besar sebab CT rasakan 2 sudu besar terlalu sedikit untuk jumlah adunan yang digunakan. Dan untuk batter pula, adunan asal menggunakan sour cream sebanyak 3 sudu besar tapi CT gantikannya dengan 4 sudu besar buttermilk.


Penyediaan resepi ini sangat ringkas dengan hanya mengunakan whisk saja, tak payah gunakan mixer jadi sangat mudah dan cepat. Tapi kalau nak guna mixer juga pun apa salahnya ye tak. Sekiranya ada teman-teman yang tertarik untuk mencuba atau teringin merasa kesedapan cupcake ini sendiri, silalah semak resipi kat bawah tu ye. Resepi asalnya adalah dalam bahasa Italy, tapi CT dah translate kan kepada bahasa melayu.


Seperti yang CT beritahu pada hari Isnin lepas, hujung minggu ni CT akan bercuti-cuti Malaysia sekejap iaitu dari Ahad hingga Selasa, jadi Dapur CT akan ditutup buat sementara waktu sepanjang minggu tu rasanya, sebab bila dah balik bercuti pasti penat dan banyak kerja menunggu kan. Jadi CT ambik masa untuk berehat lagi. Tapi seminggu selepas tu nanti kita berjumpa lagi ye. Sampai jumpa lagi, salam manisss dari CT. Daaa....


Red Velvet Cream Cheese Cupcake
Resepi olahan Che CT

Bahan-bahan (batter) :
1 cawan + 2 sudu besar tepung gandum
2 sudu teh serbuk koko
1/2 sudu teh baking soda
1/4 sudu teh garam
1/2 cawan minyak sayuran / minyak jagung
2/3 cawan gula kastor
1 sudu teh cuka masakan
1 biji telur gred A
1 sudu besar pewarna merah
3/4 sudu teh esen vanila
4 sudu besar buttermilk /sour cream

Filling (cream chese) :
125 gram cream cheese - dilembutkan
4 sudu besar gula kastor
2 sudu besar telur - pukul lembut dan bahagikan
1/4 sudu teh esen vanila

Cara-cara :
1. Panaskan oven 175' C. Susun muffin cup dalam loyang dan ketepikan.
2.  Pukul cream cheese dan gula dengan whisk hingga licin (smooth). Masukkan telur dan esen vanila dan pukul lagi hingga sebati. Ketepikan.
3. Kacau minyak sayuran/jagung, gula kastor, cuka, telur, pewarna merah, buttermilk/sour cream dan esen vanila dengan whisk sehingga sebati.
4. Tambahkan tepung dan kacau lagi sehingga sebati saja. Jangan overmix.
5. Sudukan adunan merah anggaran 1 1/2 sudu besar kedalam acuan muffin. Tambah pula 1 sudu besar adunan cream cheese atasnya. Kemudian sudukan 1 sudu besar adunan merah lagi. Dan tambah lagi 1/2 sudu besar adunan cream chese lagi atasnya.
6. Ulang hingga semua adunan habis. Bakar kira-kira 20 - 22 minit atau hingga masak. Biarkan dalam loyang muffin selama 5 minit dan sejukkan atas rak dawai sepenuhnya. Enak juga dihidang semasa hangat bersama secawan kopi.


Wednesday, November 21, 2012

Yogurt Cheese Cake With Blueberry Topping


Assalamualaikum.... Salam manis buat semua teman-teman dan pengunjung setia yang bertamu menceriakan Dapur CT. Sekejap saja rasanya kita sudah melepasi pertengahan bulan November, maknanya sudah dua minggu juga anak-anak bercuti. Memang tidak terasa masa yang berlalu bila sehari-suntuk mengadap pelbagai kerenah anak-anak dirumah. Dalam keriuhan anak-anak yang bercuti ni, aktiviti yang terlebih buat dari hari biasa adalah aktiviti memasak. Maklumlah anak-anak ni bukannya reti mulut tu nak duduk diam. Ada aje yang dimintanya jadi mamanya pun turut sama lah kena tempiasnya. Cuma kadang-kadang tu hasil yang di masak tak sempat nak di posing masuk blog dah habis di makan anak-anak hehehe.


Tanpa bercerita lebih panjang, kita berbalik kepada resipi yang CT kongsikan hari ini iaitu hasil perkongsian dari geng masak-masak yang menetap di Jepun kerana tugasan suami. Begitulah pengorbanan murni seorang Isteri dan juga ibu yang tidak berbelah bagi demi kebahagiaan suami dan anak-anak yang tercinta. Apapun CT ucapkan terima kasih buat Ros Jintanmanis untuk perkongsian resipi yang sedap ini.


Bercerita bab kek cheese ni, CT memang dah lama juga nak membuatnya sebab suami CT memang suka dengan cheese cake tak kira cheese cake macamanapun. Ditambah lagi kalau dapat buat Cotton Soft Japanese Cheesecake tu lagilah sedap. Tapi selalunya bila dah beli cream cheese tu, hasilnya jadi ke lain pulak. Tapi untuk resepi ni, kebetulan ada lebihan cream cheese dalam peti sejuk tu, jadi CT habiskan lah semuanya untuk resepi ini. Dalam resipi asal mengunakan 100 gram cream cheese saja, tapi oleh kerana CT sayang nak tinggalkan lebihan tu, CT masukkan kesemuanya 125 gram tu. Untuk bahannya pula, CT gantikan tepung gandum kepada tepung kek. Untuk loyangnya pula, jika tidak ada loyang springfoam, boleh juga gunakan loyang biasa.


Dalam resipi asal, Ros ada buat lorekan coklat di atas adunan kek tu, tapi CT tidak buat. Sebab plan asal memang nak letak Blueberry Topping. Jadinya CT gantikan lorekan coklat tu dengan blueberry topping. Tapi kalau ada yang nak buat cara Ros boleh juga, klik saja link Ros kat atas tu ye. Selalunya kek yang melibatkan cream cheese ni lebih sedap dimakan setelah disimpan dingin dalam peti sejuk terlebih dahulu. Sejuk aje terasa cheese tu masuk ke tekak wallahhhh! memang sedap hehehe. 


Bagi penggemar cheese kek, jangan tunggu lama-lama ya. Kalau nak mencuba, sila semak resipi yang CT kongsikan dibawah ni ye.Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT. Daaa............

Yogurt Cheese Cake With Blueberry Topping
Resepi olahan Che CT

Bahan A :
125 gram cream cheese
30 gram mentega
20 gram gula kastor
3 biji kuning telur gred A
2 sudu besar plain yogurt

Bahan B :
40 gram tepung jagung
20 gram tepung kek
20 gram susu tepung /skim milk

Bahan meringue :
3 biji putih telur gred A
40 gram gula kastor

1 penutup esen vanila

Topping :
Blueberry topping

Cara-cara :
1. Alas dasar loyang springform 18 cm dengan baking sheet dan sapukan mentega di keliling loyang dan bakar guna kaedah water bath. Letakkan air pada loyang yang besar sedikit dan panaskan pada suhu 160 - 170' C. Bergantung pada oven masing-masing.

2. Bahan A : Putar cream cheese bersama gula kastor dan mentega hingga lembut. Masukkan pula kuning telur dan pukul hingga agak kembang, selepas itu masukkan plain yogurt dan sebatikan dalam adunan.

3. Satukan semua bahan B dan kacau menggunakan sudu, pastikan sebati. Masukkan adunan tepung ke dalam Bahan A dan kacau sebati, ketepikan.

2. Untuk meringue:  pukul putih telur hingga berbuih, baru masukkan gula sedikit-sedikit. Pukul hingga betul-betul kental dan menjadi meringue, cara nak tau putih telur tu dah betul kembang, bila kita terbalikkan bekas adunan, putih telur tu elok terletak dan tidak jatuh.

3. Bahagi adunan meringue pada 3 bahagian dan masukkan ke dalam adunan tepung tadi sedikit demi sedikit dengan menggunakan kaedah kaup balik. Jangan terlalu lama mengacau meringue, takut overmix.  Pastikan meringue betul-betul sebati dalam adunan kek dan jangan gunakan mixer, gunakan senduk kayu atau spatula. Akhir sekali masukkan esen vanila dan sebatikan dalam adunan.

4. Tuang adunan dalam loyang kek springfoam. Balut bahagian bawah loyang hingga separuh ketinggan loyang dengan alumunium foil supaya air tidak termasuk dalam loyang.

5. Bakar selama 40 ke 45 minit atau sehingga permukaan kek menjadi perang. Sejukkan atas rak dawai dan sapukan dengan topping blueberry, setelah sejuk baru masukkan ke dalam peti ais selama 2 hingga 4 jam baru dipotong.  Hidangkan sejuk baru sedap dimakan.




Monday, November 19, 2012

Rainbow Steamed Cake


Assalamualaikum... Salam manis dan salam rindu buat teman-teman semua. Mungkin ada yang tertanya-tanya, ke mana menghilang Che CT seminggu lamanya blog sunyi senyap tidak berupdate. Jawapannya ialah cuti sekolah hehehe. Maklumlah, walaupun yang bercuti adalah anak-anak, tapi bila anak-anak bercuti, mama dia pun turut terikut sama dijangkiti mood bercuti hehehe.


Bila cakap pasal cuti persekolahan, CT pasti ada di antara teman-teman semua yang sudah pun berjalan-jalan cuti-cuti dengan famili semua. CT pulak masih lagi belum ke mana-mana. Hujung minggu ni baru nak bawak anak-anak ke destinasi cuti-cuti Malaysia. Itupun tak cuti panjang, cuma 3 hari 2 malam aje. Tapi sebelum tu, minggu lepas CT sekeluarga pergi ke Hutan Lipur Kanching untuk mendapatkan mood bercuti sambil merehatkan minda sebab khabarnya kat sana air terjunnya sangat menarik dengan kedamaian rimba yang terpelihara. Lagipun anak-anak CT tak pernah lagi pergi ke tempat macam tu (termasuklah CT juga) jadinya Suami bawaklah kami kesana supaya anak-anak tahu macamana keadaannya air terjun yang mengalir turun ke sungai dalam suasana rimba yang hijau dan bebas. Ternyata suasananya memang mendamaikan cuma sedikit terganggu dengan 'tetamu diatas pokok' yang sering mengendap dan ada ketika dengan beraninya merampas makanan dari tangan pengunjung. Insiden paling lucu ialah bila seekor monyet mencuri sebungkus kerepek pedas dari salah seorang pengunjung dan dibawa lari ke atas pokok untuk dimakan tapi kemudiannya si monyet kepedasan dan berlari turun semula kesungai mencari air hehehe.


Okeylah, balik cerita kepada resepi yang CT kongsikan hari ini. Alhamdulillah... Sebenarnya CT dah lama ingin belajar membuat kek lapis kukus. Kiranya, ini kali pertama CT mencuba dan hasilnya masih kurang kemas dan ketebalannnya nampak tak sekata.  Mungkin juga lapisannya jadi kurang kemas disebabkan api dapur CT sekejap besar sekejap kecil sebab ditiup angin kot. Maklumlah CT buat kek ni guna dapur belakang dan masa buat kek ni pun cuaca hujan dengan angin yang kuat. Jadi susahlah nak kawal api yang kejap besar kejap kecik hehehe. Apapun, nampaknya harus belajar dan mencuba lagi sampai jadi.


Rainbow Steamed Cake ini diilhamkan oleh Bolu Kukus Mambo dari Bunda Fatmah Bahalwan. Bagaimanapun, resepi bolu kukus tersebut hanya 4 lapis saja tapi resepi yang CT buat ni CT olahnya menjadi 7 lapisan. Maklumlah CT ni kan suka melihat warna pelangi. Kebetulan pula anak dara CT teringin sangat nak makan Rainbow Cake. Haa... kebetulanlah kan, CT pun experiment lah resipi Bolu Kukus Mambo ini menjadi Rainbow Steamed Cake hehehe. Apapun resipinya masih seperti resepi asal cuma namanya CT ubah untuk disesuaikan dengan penampilannya. Terima kasih CT ucapkan kepada Bunda Fatmah di atas perkongsian resepi ini yang CT ambil resipinya dari blog Dapur Solia (Shirley Theresia).


Pada pendapat CT, kek kukus ni lebih sedap dimakan jika dibiarkan dulu semalaman. Kelembutannya terasa dan kemanisanya juga sedang-sedang bagi CT. Cuma CT kena berlatih banyak kali lagi untuk mengelokkan lagi rupa penampilannya. Maklumlah tangan masih keras lagi jadi kalau nak dapatkan hasil yang cantik kenalah berlatih banyak kali hehehe. Resepi yang CT buat ni, CT kukusnya menggunakan loyang berukuran 6 x 6 x 4 inci sebab loyang yang disyorkan dalam resepi asal tu CT tak ada.


Okeylah kita terus pada resipi ya, jika ada yang berminat untuk mencuba bolehlah semak resipi dibawah. Sampai berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT. Daaa...


Rainbow Steamed Cake
Resipi olahan Che CT

Bahan-bahan:
6 biji telur
2 biji kuning telur
250 gram gula kastor
½ sudu teh esen vanila
½ sudu teh garam
1 sudu teh ovalette
175 ml santan KARA - ditambah dengan sedikit air
200 gram tepung kek

Pewarna:
Ungu, biru gelap, biru laut, hijau, kuning, orange, merah.

Loyang 22 x 22 x 8 cm yang digris dengan mentega dan alas dengan kertas minyak dan gris lagi. Taburkan dengan sedikit tepung nipis-nipis.
Panaskan periuk kukusan hingga air mendidih.

Cara-cara :
1. Pukul telur, kuning telur, gula kastor, garam, ovelette dan esen vanila hingga kembang dan gebu kira-kira 5-6 minit. Masukkan tepung kek sambil diayak secara sedikit-sedikit dan kacau rata.
2. Tuang santan sedikit demi sedikit sambil dikacau rata.
3. Bahagikan adunan menjadi 7 bahagian. Dan setiap bahagian lebih kurang 130gm dan diletak pewarna yang berbeza. 
4. Tuang adunan pertama warna ungu ke dalam loyang, dengan api perlahan kukus selama 10 minit. Tuang adunan kedua warna biru gelap kukus selama 10 minit. Buat hingga adunan seterusnya dan kukus yang akhir selama 20 minit hingga masak. Angkat.
5. Sejukkan sepenuhnya sebelum dipotong dan dihidang.


Thursday, November 8, 2012

Wafer Cubes Brownies With Raisin


As'salamualaikum... Salam manis dan salam sayang buat semua pengunjung setia Dapur CT. Walau pun puan dapur ni jarang bersiaran di dapurnya sejak kebelakangan ni, namun masih ada juga yang sudi singgah bertamu dan meninggalkan komen yang membina untuk CT. Terima kasih juga CT ucapkan kepada yang telah sudi mencuba resipi yang CT kongsikan, Alhamdulillah semoga apa yang telah CT kongsikan memberi manfaat kepada sesiapa juga yang telah mencubanya.


Sebenarnya dua tiga hari ni, badan CT rasa tak berapa sihat sangat. Bukan tak sihat apa. Cuma CT kena selsema yang agak teruk sikit. Hidung ni asyik sok sek sok sek dan rasa nak bersin aje. Mungkin disebabkan oleh cuaca yang agak basah dan sejuk kebelakangan ni agaknya. Maklumlah sekarang musim tengkujuh dah bermula. Disebabkan selsema itulah CT rasa tak selesa sangat dan mood untuk ber"gangnam" di dapur pun tak datang. Harapnya supaya selsema ni hilang cepatlah hendaknya.


Hari ini CT kongsikan resepi Brownies yang CT beri nama Wafer Cubes Brownies With Raisin yang CT olah dan ubahsuai dari resepi asalnya yang bernama Peanut Butter Snickers Brownies. Brownies ni boleh tahan juga sedapnya, ditambah pula dengan kerak-kerak diatas brownies tu yang menjadikan rasanya lebih istimewa. Asalnya resipi ni mengunakan coklat snickers, tapi CT gantikannya dengan Muzic Wafer Cubes berperisa Chocolate Hazelnut sebab wafer ni memang sedap rasanya dan disukai oleh kesemua anak-anak CT.


Kebiasaannya brownies rasa agak manis kadang-kadang tu terlalu manis hingga rasa manisnya tu boleh rasa hingga ke akar gigi. Tapi resepi yang CT buat ni CT telah kurangkan sukatan gulanya supaya rasa manisnya tu sedang-sedang aje. Bersesuaianlah rasa manisnya tu dengan selera CT dan family yang tak berapa gemar rasa yang terlalu manis. Seperkara lagi, CT juga tambahkan kismis hitam didalamnya dan oleh kerana kismis yang CT beli agak besar saiznya, jadi CT potong-potongnya menjadi ketulan-ketulan yang kecil. Bila digigit brownies ni dan tergigit kismis didalam tu terasa kombinasi rasa yang sedap tauu!! This brownies touch crispy on the top but soft, chewy, and richly chocolaty when you bite them... hehehe.. promote dengan speaking london sikit hehehe. 


Okeylah jika ada yang berminat untuk merasa kesedapan brownies ni dan ingin mencubanya sendiri silalah semak resipi di bawah tu ya. Dan satu lagi, kalau nak gantikan wafer cubes tu dengan coklat snicker seperti resepi yang asal pun boleh juga. Pendek kata, tepuk mixer tanya selera hehehe. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT. Daaa....


Wafer Cubes Brownies With Raisin
Resepi olahan Che CT

Bahan-bahan :
125 gm coklat masakan tanpa gula - potong dadu kecil
3/4 cawan mentega
1 ½ cawan gula kastor
3 biji telur - dipukul perlahan
1 sudu teh vanila ekstrak
1 cawan all purpose flour / tepung gandum
50 gm kismis hitam
80 gm wafer cubes cohocolat hazelnut - kerat kepada 2

Cara-cara :
1. Panaskan oven kepada 180' C. Alas loyang 8 × 8 inci dengan kertas minyak dan ketepikan.
2. Cairkan coklat dan mentega dalam mangkuk besar dan kacau selama 3-4 minit atau sehingga mentega dan coklat cair.
3. Tambah gula kastor, telur dan vanila ekstrak dalam coklat dan kacau rata sehingga gula sebati. Secara beransur-ansur tambahkan tepung dan kismis hitam. Kacau sehingga rata.
4. Tuang ½ adunan ke dalam loyang dan taburkan wafer cube chocolate hazelnut dan tutup dengan ½ baki adunan brownies. Bakar selama 30-35 minit. Jangan terlebih bakar (OVERBAKE).
5. Pindahkan ke rak dawai dan biar sejuk sepenuhnya baru dipotong dan hidang.


Tuesday, November 6, 2012

Zebra Bundt Cake


Assalamualaikum... Salam manisss dan salam ceria buat buat semua teman-teman dan pengunjung Dapur CT. Semoga teman-teman semua didalam keadaan yang sihat walafiat hendaknya. Kita terus berkisah kepada resepi yang CT kongsikan hari ini ye. Sebenarnya dah agak lama juga CT simpan resipi ni yang CT ambil dari blog Zila Norzila @ zila4ever namun baru hari ni dapat CT kongsikannya. Maklumlah, ada masanya kita buat sesuatu tu dipengaruhi oleh mood. Bila datang mood rajin nak membaking, barulah datang seru nak membuatnya. Tapi bila mood tu tak datang, asyik keluar masuk je butter tu dari peti sejuk. Akhirnya memang tak buatlah tu  kalau dah 2-3 kali keluar masuk aje butter tu kan hehehe.


Bila tengok kejadian kek zebra @ kek 'kuda belang' diblog Zila tu cantik aje CT nampak jalur belang-belangnya. Tapi bila CT buat belangnya tak berapa menjadi pulak. Hasil kejadian jalurnya macam tak sekata walhal masa CT sukat masuk dalam acuan SM tu sukatannya sama banyak aje. Cuma sukatan gulanya CT dah kurangkan sikit. Masa baru siap dibakar, cantik molek kembangnya dan gebunya yang membukit. Tapi bila dah sejuk untuk dipotong, pancit sikit pulak jadinya hehehe. Agaknya lepas beberapa minit dikeluarkan dari oven kena keluarkan terus dari acuan kot? Jadi macam kena cuba buat lagilah nampak gayanya ni. Tapi hasil kejadian kek ni memang lembut je.


Satu lagi, CT tak taburkan kekacang atau almond dalam tu sebab anak-anak CT tak berapa gemar filling dalam kek macam tu. Lebih-lebih lagi anak CT yang bongsu. Kalau ditaburkan juga nanti penuhlah kekacang tu dikuis kat tepi piring. Jadi untuk membuatkan kek tu lebih laku, CT tak taburkan apa-apa. Selamat dari membazir tak gitu hehehe.


Oh ya lupa pulak nak bagi tahu, resipi asal kek ini ialah dari Chef Amy Heng - Secret Recipes Book. Dan dikongsikan untuk manfaat semua oleh Kakzu dan juga Zila Norzila. Terima kasih banyak-banyak diatas perkongsian resepi yang sedap ini. Dan CT panjangkan lagi resepi ini dalam senarai Dapur CT untuk manfaat yang lain juga yang berminat dan belum pernah mencuba resepi ini ye.


Okeylah CT mohon berundur diri dulu. Kalau diberi kesihatan yang baik Insya'Allah kita berjumpa lagi untuk perkongsian resepi yang lain pula nanti ye. Sampai jumpa lagi, salam manisss dari CT. Daaa....


Zebra Bundt Cake
Di Olah : Che CT

Bahan-bahan A :
250 gm telur putih - dalam peti sejuk (7 biji gred A)
50 ml air sejuk
150 gm gula kaster
1 1/2 sudu kecil ovelette
2 biji kuning telur gred A
200 gm tepung superfine - di ayak
3/4 sudu teh double action baking powder - di ayak
1 sudu teh esen vanilla

Bahan-bahan B :
170 gm mentega - cairkan
2 sudu besar susu pekat

Bahan-bahan C :
2 sudu besar serbuk koko
1 sudu kecil coklat emulco

Cara-cara :
1. Griskan loyang bulan 9 inci dengan sedikit butter dan ketepikan. CT guna silicone mould.
2. Putar kesemua bahan A hingga kembang dan gebu lebih kurang 6-7 minit.
3. Rendahkan kelajuan mixer dan masukkan bahan B dan putar kelajuan paling perlahan hingga rata.
4. Ambil 1/3 adunan dan masukkan serbuk koko dan coklat emulco, kacau rata.
5. Scop kan anggaran 2 sudu besar adunan plain ke dalam loyang dan scop kan 1 sudu besar adunan koko diatasnya. Ulang hingga habis adunan tadi.
6. Bakar pada suhu 180' C selama 50 minit atau uji dengan dicucuk dengan lidi sate jka keluar bersih kek sudah masak.

TIPS : jika kek seakan perang diatas nya tetapi kek masih belum masak, tutupkan bahagian atasnya dengan aluminium foil dan teruskan membakar hingga kek masak dengan sempurna.

Friday, November 2, 2012

Cornflakes Chocolate Chip Cookies


Assalamualaikum... Salam manisss dan salam penuh keceriaan buat semua teman-teman dan juga follower yang rajin singgah ke blog Dapur CT. Alhamdulillah hanya tinggal berapa hari saja lagi sekolah akan mula bercuti. Anak-anak pun sudah diberi surat cuti persekolahan dari pihak sekolah. Buat anak-anak yang akan menduduki peperiksaan SPM pula inilah masanya untuk membuktikan kepada ibu-bapa yang mereka semuanya BOLEH. Dan inilah juga penentu hala tuju untuk hidup mereka. Setelah berhempas pulas selama sebelas tahun belajar bermula dari darjah satu, keputusan SPM lah yang akan menentukan ke mana akan mereka tuju selepas ini. Che CT doakan semoga dipermudahkan segalanya dan dilapangkan fikiran buat anak-anak yang akan menduduki peperiksaan tersebut. Perbanyakkan berdoa dan memohon restu daripada kedua ibubapa agar ditenangkan hati dan dapat menjawab soalan dengan baik hendaknya... Aminnn.


Berbalik cerita pada resipi CT kali ini Cornflakes Chocolate Chip Cookies. Biskut yang CT buat ni pastinya tidak akan bertahan lama. Rasanya cuma akan berada dalam balang biskut untuk 2-3 hari saja. Itu pun CT sorokkan sikit sebab kalau tak disorokkan sikit, satu hari saja nanti dah bersih dimakan anak-anak semuanya sebab biskut ni sedap sangat. Masa CT buat, bila aje biskut coklat ni mengeras 2-3 ketul terus masuk dalam mulut CT...  yummy !!. Kebetulan anak-anak pun ada dirumah ketika CT membuatnya jadi diaorang pun turut sama merasa juga. Bagus juga dapat mintak pendapat anak-anak untuk merasa terus samada biskut ni sedap atau pun sebaliknya. Seperti yang CT jangka, jawapan anak-anak.. "Sedap betulll... Mama buat banyak ker, nak lagi Mama..." alahai hehehe. Haa...CT tak tipu memang sedap, jadi teman-teman harus mencubanya juga okey.


Biskut ini penyediaannya amatlah mudah, tak perlu nak dibakar seperti biskut yang lain. CT memang suka mencuba sesuatu resipi yang mudah untuk dikongsikan bersama teman-teman diluar sana. Jadi apa tunggu lagi, silakan lah mencuba nanti ye. Tapi sebelum tu semak resipi yang telah CT berikan itu betul-betul ya, sebab kalau tak semak dengan teliti takut tersalah faham pula nanti dan tak menjadi seperti yang diharapkan.


Resipi asal biskut ini mengunakan Oatmeal sebagai bahan asasnya tapi yang CT buat ni CT olahnya dengan menggunakan Cornflakes sebab CT sukakan kerangupan Cornflakes yang CT rasa sesuai untuk bahan asas biskut. Dan satu lagi resepi asal juga menggunakan sukatan gula yang agak banyak iaitu 1.5 cawan jadi CT juga kurangkannya kepada 1 cawan saja, itupun CT terasa yang ia masih lagi manis. Ditambah lagi penggunaan susu pekat dalam resipi ni sudah semestinya lah bertambah maniskan. Jadi kepada teman-teman yang tak berapa suka manis bolehlah kurangkan lagi sukatan gulanya tu ya. Biskut ni mengeras selepas beberapa minit dan selepas tu terus simpan dalam bekas kedap udara dan CT simpan dalam peti sejuk untuk mengekalkan kerangupannya.


Buat teman-teman yang berminat mencuba, jangan tunggu lama-lama untuk mencuba resepi ini ye. Dan setelah mencubanya nanti, sila berikan komen pada CT nanti okey. Sampai kita berjumpa lagi nanti, Salam manisss dari CT. Daaa......

Cornflakes Chocolate Chip Cookies
Resipi Olahan Che CT

Bahan-bahan:
1/2 cawan mentega -  suhu bilik
1.5 cawan gula kaster - kurangkan jika perlu
3 sudu besar serbuk koko
140 gm susu pekat manis
4 cawan cornflakes - diramas sedikit
3 sudu besar mentega kacang - 'crunchy'

Cara-cara:
1. Alas dulang dengan kertas baking dan ketepikan.
2. Tuangkan cornflakes ke dalam mangkuk besar, tambah mentega kacang dan ketepikan.
3. Masukkan mentega, serbuk koko, susu pekat manis kedalam periuk kecil. Masak dengan api sederhana dan kacau sentiasa. Masak selama satu minit atau hingga butter dan gula mencair.
4. Matikan api dan angkat, tuangkan ke dalam mangkuk bijirin dan campurkan segala-galanya dengan rata.
5. Sudukan bijirin tadi keatas kertas baking dan buat hingga habis. Jika ingin dihias dengan coklat putih pun boleh atau dibiar begitu saja. Sejukkan sepenuhnya dan simpan dalam bekas kedap udara.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...