
Assalamualaikum... Salam manis, salam ceria dan selamat pagi semuanya. Bagaimana pagi ni, sihat hendaknya ya. Alhamdulillah itulah yang sering CT doakan untuk semua teman-teman CT tak kira walau dimana pun berada. Pagi ni CT ingin kongsikan menu yang pernah CT buat sebelum ni tapi sudah agak terlalu lama dulu. Masa CT buat kuih bingka tu di SINI ialah pada tahun 2009 dulu. lama dahhhh kan... dan masa buat kuih ni dulu, CT ambil gambarnya mengunakan kamera digital compact NIKON yang dah rosak tu. Untuk yang kali ni dah nampak lain sebab gambarnya dah diambil guna kamera DSLR pulak. Kiranya ni resepi lama yang penampilannya sudah dinaik taraf lah ni hehehe.

Untuk resipi yang dulu tu CT buat ikut resepi dari MyResipi. Tapi yang ini pula CT ambil dari blog DTS Mat Gebu, hanya CT tambahkan sukatan jagung cream didalamnya. Emm... sedap manis jagung dan lemak santan serta labu tu memang terasa. Kalau ada teman-teman yang dah pernah mencuba resipi dari Mat Gebu ni mesti tahu akan kelembutan dan kesedapan kuih bingka ni. Tapi Labunya CT letak sikit aje sebab dah tak banyak yang tinggal dalam stok, jadi CT letak sekadar berapa yang ada ajelah, tapi menjadi juga kuih bingka ni... Alhamdulillah.

Kalau nak diikutkan CT sekeluarga memang suka pada kuih-kuih bingka macam ni. teringat masa duduk dikampung, bila arwah Mak tengah bakar kuih bingka CT akan tunggu mengadap kuih tu sampai sejuk. Dan selepas tu CT akan siat bahagian kerak kat belah dalam tu dulu hehehe. Sebab kalau di kampung dulu arwah Mak CT akan bakar atas dapur, bukan guna oven, jadi kerak tu pastilah tebal, itu yang sedap dan harum aje baunya.

Sekarang ni mana dah nak cari orang 'rajin' membakar bingka atas dapur. Masing-masing nak cepat dan bakar dalam oven aje, termasuklah CT juga hehehe. Nanti nak cuba jugalah bakar atas dapur mesti sedap. Tapi sebelum nak buat macam tu kena pastikan ada alas loyang untuk diletak atas api tu ya, alahhh... alas yang ada lubang kat tengah-tengah yang selari dengan acuan kuih yang lubang tengah tu. Kalau teman-teman ada yang tahu dan ada simpan alas kuih bakar tu bolehlah kongsi pada teman-teman yang ingin melihatnya ya. CT dulu ada tapi tak tahu mana dah CT letak. Tapi kalau tak ada pun tak apa boleh juga tenggek atas dapur tu guna api sederhana aje. CT balik kampung nanti CT nak ambik. Rasanya memang ada tersimpan elok-elok kat kampung tu. Sayang nak buang benda lama-lama macam ni sebab ada kemungkinan suatu hari nanti kita akan cari sebab nak guna balik, betul tak... betulll. Macam pinggan dan teko lama juga, sekarang dah susah nak jumpa. Kalau ada pun, dah mahal harganya. Tapi kalau dah cari tapi tak jumpa juga, bolehlah bertandang ke Sedenak ke rumah Mat Gebu. Bolehlah kecek kat Mat Gebu mintak beli satu hehehe.

Okey panjang lebar dah ni, CT ucapkan terima kasih pada Mat Gebu yang berkongsi resipi ni pada kita semua. Semoga sentiasa dimurahkan rezeki Mat Gebu... Aminnn. Jika ada yang ingin mencuba resipi Kuih Bingka Labu Berjagung ni, silakan ya. Sampai jumpa lagi, salam manis dari CT. Daaa....

Bingka Labu Berjagung
Resipi : Mat Gebu
Di Olah : Che CT
Bahan-bahan :
380 gram labu manis - kukus hingga lembut dan lecek hingga hancur
500 ml santan
4 biji telur gred B
200 gram tepung gandum
150 gram gula halus
1 camca teh esen vanilla
1/2 camca teh garam
3 sudu besar jagung cream dalam tin
Bijan secukupnya
Cara-cara :
1. Panaskan oven pada suhu 200 C, lenser tin berukuran 8 inci bulat dengan mentega, alas dengan aluminium foil, biar lebih sedikit supaya senang dikeluarkan nanti. Ketepikan.
2. Dalam satu bekas, satukan semua bahan di atas kecuali labu lecek, bijan dan esen vanilla, kacau rata dengan whisk hingga gula hancur, tapis adunan tadi.
3. Masukkan labu lecek, jagung cream dan esen vanilla, kacau rata.
4. Tuang dalam loyang dan taburkan bijan rata-rata. Bakar selama 45 - 50 minit atau hingga permukaan kelihatan sedikit berkerak.
5. Bila kuih sudah masak, keluarkan dari oven dan biarkan sebentar. Kemudian boleh tarik keluar dari loyang. Sejukkan dahulu sebelum dipotong.





































































