Wednesday, June 6, 2012

Ice Cream Yam Pudding


Assalamualaikum... Salam manis, salam ceria untuk semua pengunjung setia Dapur CT. Semoga kita semua terus diberi kesihatan yang baik hendaknya. Hari ni CT nak tayang menu kesukaan seisi keluarga, iaitu pudinggg! Haa... Maaf nak cakap dulu, pudding ni dah habis ya. Sebab buat masa cuti sekolah ni jangan haraplah nak ada baki-baki dalam peti sejuk tu, lebih-lebih lagi bila cuaca panas macam sekarang ni. dah memang gerenti cepat aje habisnya. Resepi ni adalah hasil dari misi menyelongkar lemari seorang geng masak masak yang CT kagumi akan resipi yang dikongsikan diblog beliau. Kalau masuk je blog beliau, memang lambatlah nak ketempat lain sebab sibuk menyelongkar buku resepinya hehehe. Banyak juga resipi yang telah CT cuba, baik dari kek, lauk pauk sehinggalah ke dessert juga. Kalau nak mencari idea tu memang tak rugi singgah ke blog beliau. Yang CT maksudkan ialah Kak Ida 1001 resepi. Resepi hari ni, Ice Cream Yam Pudding ni CT cuba resepi dari blog beliau lah ni.


Resipi Ice Cream Yam Pudding ni memang lain sedikit dari mana-mana puding yang pernah CT buat sebelum-sebelum ni. Ini adalah yang pertama kali CT buat puding yang dimakan bersama ais krim. Banyak syok makan dengan ais krim. Lebih-lebih lagi kalau digandingkan dengan ais krim kegemaran kita. Ditambah lagi dengan keadaan cuaca yang panas macam ni sekarang ni kan. Anak-anak CT pun suap kemulut tu dok laju ajeee... ais krim nya cair pun ikut lajuuu juga hehehe. Kalau diperhatikan dari gambar tu, ais krim tu dok mencair cepat betul, maklumlah masa amik gambar ni cuaca diluar memang panas. Jadi kena cepat-cepatlah klik-klik tu. Lagi lambat, lagi cepat cairnya macam larva gunung berapi je turun cairnya tu hahahaha. Tulah lain kali kalau nak buat photoshoot untuk menu macam ni, kena shoot kat dalam dan bukak air-cond kuat-kuat sikit supaya taklah mencair cepat sangat. Tapi kalau nak shoot dalam rumah, kenalah cari spot yang sesuai dengan cahaya yang cukup ya.


Puding ni CT tambahkan dengan buah-buahan campuran dan buah peach didalamnya. Ada sedikit berbaki buah peach dalam peti sejuk, jadi sebelum rosak baik CT campurkan dalam puding tu. Untuk bahan ais krim nya pula, terpulanglah pada selera masing-masing ye. Oleh kerana puding ni Puding Yam, seeloknya gunalah ais krim berperisa Yam. Tapi kalau nak letak ais krim perisa apapun tak kisahlah. Janji sedap kat tekak kita dan anak-anak kita. Tapi kalau guna perisa lain, kenalah ubah nama puding tu ikut perisa ais krim yang kita guna hehe.


Resipi asal puding ni menggunakan agar-agar bertali tapi CT gantikan dengan agar-agar serbuk. Selain tu disarankan untuk letak gula jika perlu. CT cuma letak 1/2 cawan aje, dan lupa pulak nak merasa masa tu sebab CT ingatkan dah cukup manisnya sebab ada ais krim dalam tu. Tapi bila dah siap dan makan, rasa tawar sedikit puding ni. Maknanya kalau nak buat lagi lain kali, kena rasa kemanisannya dulu dan letak gula secukupnya. Tapi nasib baiklah ada penyelamatnya sebab CT hidangkan puding ni bersama dengan ais krim, jadi sedap juga rasanya.


Buat Kak Ida terima kasih banyak-banyak diatas perkongsian resipi yang sedap ini, izinkan CT panjangkan resepi ni dalam senarai Dapur CT untuk rujukan teman-teman dan CT juga. Kalau ada yang berminat untuk mencuba, silakan rujuk terus pada resipi dibawah ya. Dan kalau nak lihat resipi asal, boleh singgah ke blog Kak Ida juga. Salam manis dari CT, sampai jumpa lagi. Daaa....


Ice Cream Yam Pudding
Resipi : kak Ida 1001 resepi
Di Olah : Che CT

Bahan-bahan :
1 pek agar-agar serbuk plain - jenama NONA
800 ml / 1 liter air
800 ml ais krim - perisa Yam (boleh juga diganti perisa lain)
1 cawan gula pasir
1/2 cawan buah-buahan campuran (jika perlu)

Cara-cara :
1. Basahkan acuan pilihan dahulu kemudian ketepikan. Supaya mudah untuk dikeluarkan nanti.
2. Masukan air, gula pasir dan agar-agar dalam periuk dan masak hingga mendidih dengan api sederhana dan kacau perlahan-lahan.
3. Angkat dari api dan tuangkan ais krim kedalam agar-agar dan kacau pelahan hingga ais krim mencair sepenuhnya.
4. Letak buah-buahan campuran sama banyak kedalam acuan dan tuangkan agar-agar perlahan-lahan.
5. Biarkan hingga hilang wap panas dan sejukkan dalam peti sejuk sepenuhnya. Selamat mencuba.

Monday, June 4, 2012

Apple Soft Pound cake


Assalamualaikum... Salam manis, salam mesra dari CT buat semua teman-teman dan pengunjung Dapur CT. Apa khabar hari ini, semoga semuanya sihat-sihat sentiasa hendaknya ya. Beberapa hari ni cuaca di Kuala Lumpur ni panas sangat-sangat. Nak berlama-lama didapur untuk tugasan  memasak pun rasa malassss yang tersangat-sangat. Dengan keadaan yang membahang sesiapa pun kalau duduk didapur akan menyingsing lengan baju ler jawabnya. CT bukan setakat menyingsing lengan baju aje, tapi rasa macam nak pakai seluar pendek dan bersinglet aje bila kat rumah ni kalau dah panas sangat hehehe. Moga-moga akan diberi hujan sementara agar kurang sedikit bahang panas ni. Dalam cuaca panas seperti sekarang ni, nak tidur malam pun tak selesa, melengas aje rasanya.  Kadang-kadang tu bila tak tahan sangat, malam hari pun kena mandi berulang. Kalau rumah CT ada kolam renang, agaknya CT dok berendam aje lah kalau cuaca panas macam ni hehehe.


Okey berbalik pada menu CT hari ini. Kek Pound Epal @ Apple Soft Pound Cake yang resipinya CT ambil dari blog Anncoo. CT memang jarang buat kek-kek dari buah-buahan ni sebenarnya. Mungkin juga ini yang pertama kali CT mencuba kek yang diletak buah di dalamya. Dalam melayan rasa boring dan tak tahu nak buat apa dalam keadaan cuaca panas seperti sekarang ni, jadinya CT search lah blog-blog masakan mencari resipi yang sesuai untuk di cuba. Dan akhirnya CT berkenan satu resipi kek ni yang CT lihat memang nampak mudah cara penyediaannya dan nampak sesuai dengan selera CT. Setelah siap mencuba, ternyata kek ni memang sedap dan lembut dengan aroma kulit lemon dan jus lemon juga. Tapi 2 orang anak CT pulak berbeza pendapat dan kurang gemar pulak kerana ada rasa buah epal. Kesimpulan CT, mungkin kerana tak pernah makan kek yang sebegitu jadi mungkin macam jakun gitu kot hehehe. Itu pun CT dah racik halus buah epal tu dan gantikan guna epal merah, bukan epal hijau seperti dalam resipi. Dan kalau ikut resipi asalnya, epal tu kena potong dadu tapi CT racik halus-halus. Kalau dipotong dadu, ada juga nanti yang dok korek-korek isi dalam kek tu letak kat tepi piring. Lain kali nak buat kek-kek yang ada buah-buah ni kena buat 1/2 aduan aje. Jadi tak membazir gitu, ini pun masih ada sedikit baki dalam peti sejuk tu, nampaknya CT lah kena habiskan, larat kerrr hehehe.


Kek epal ni kalau nak potong tu kena tunggu kek tu betul-betul sejuk dan guna pisau yang bergerigi jadi masa nak potong tu kita geseklah sedikit supaya potongannya kemas, kalau kita guna pisau biasa nanti kek tu berderai sikit gitu sebab kejadian kek ni memang lembut dan sedikit gebu.


CT ayakkan sedikit gula icing atas kek ni supaya nampak lebih sedap konon-kononnya. Tapi bila dah makan memang sedap juga rupanya hehehe. Mula-mula buat tu tak cakap pun dengan anak-anak ada epal dalamnya sebab nanti ada yang tak jadi nak makan. Bila seorang anak bujang CT dah makan, dia cakap, kek mama ni macam ada rasa epal lah, sedappp! Dia tambah makan 2 potong lagi, bermakna memang sedaplah tuuu... kan hehehe. Alhamdulillah... tapi lain kali kalau CT nak ulang buat lagi kek ni CT nak blender halus epal tu supaya anak CT yg 2 orang tu tak perasan ada buah epal kat dalam tu hehehe.


Okeylah cukup sampai disini coretan CT. Kalau ada yang ingin mencuba bolehlah lihat resipi dibawah ya. Ini CT dah melayukan resipinya, kalau nak lihat resipi asal tu bolehlah klik kat link yang telah CT letak tu ya. Terima kasih pada Anncoo Journal diatas resipi yang sedap ni. Banyak juga resipi yang CT berkenan di situ dan pasti akan dicuba juga nanti. Sampai jumpa lagi, dan salam manissss dari CT. Daaa....


Apple Soft Pound Cake
Resipi : Anncoo
Di Olah : Che CT

Bahan-bahan:
220 gm butter - suhu bilik
150 gm gula kastor (170 gm)
3 biji kuning telur A
3 biji putih telur A
1 sudu kecil esen vanila
180 gm tepung gandum #
30 gm tepung jagung #
5 gm baking powder # - ayak bersama
250 gm epal - kupas dan potong dadu + 1 1/2 sudu besar jus lemon
1 biji parutan kulit lemon

Cara-cara :
1. Gliskan loyang 8 inci bulat dengan butter dan taburkan sedikit tepung dan ketuk lebihan tepung tadi dan boleh juga gunakan silicone mould jika ada.
2. Dalam mangkuk adunan, masukkan butter, gula dan putar sehingga putih dan berkrim dengan kelajuan sederhana tinggi selama 2-3 minit. Kemudian masukan esen vanila dan putar lagi.
3. Turunkan kelajuan mixer masukkan telur kuning satu persatu dan terus putar lagi. Masukkan telur putih sedikit-sedikit dan putar dalam 1 minit dan berhentikan mixer.
4. Masukkan tepung sambil dikaup balik rata dengan spatula atau senduk kayu dan masukan buah epal dadu yang dicampur jus lemon dan parutan kulit lemon gaul rata.
5. Tuang adunan dalam loyang dan ratakan atasnya dengan spatula. Bakar dalam suhu 180C selama 40 minit atau uji dengan lidi sate keluar bersih kek sudah masak.
6. Keluarkan kek dan biarkan dalam loyang 30 minit dan kemudian terbalikkan kek atas rak dawai sehingga sejuk. Biar kek betul-betul sejuk baru dipotong dengan pisau bergerigi.


Friday, June 1, 2012

ETERNITY June 2012 - Sempena Hari Bapa


Assalamualaikum w..b.t. Selamat pagi dan salam sayang buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT. Alhamdulillah, hari ini dah hari Jumaat dan juga hari yang pertama untuk bulan Jun. Kalau dalam bulan Mei kita menyambut hari ibu, untuk bulan Jun pulak, kita menyambut hari bapa. Dan sempena hari bapa juga, Dapur CT telah diberikan penghargaan oleh pihak Media Glam Sdn Bhd untuk menampilkan 4 buah resepi daripada Blog Dapur CT untuk dipaparkan dalam majalah online ETERNITY edisi June 2012.

Bila pihak Media Glam meminta 4 buah resepi dari CT untuk diterbitkan sempena hari bapa, CT terus tanya kat suami CT, dalam banyak-banyak masakan yang pernah CT buat dan resepinya CT kongsikan dalam blog dapur CT ni, yang mana empat daripadanya yang betul-betul menambat hati dia. Suami CT jawab "emmm... lecehlah nak tengok satu-satu nak pilih, sebab tak ingat. Rasanya semua sedap kot. Jadi apakata mintak pihak majalah tu tengok dan lepas tu pilih sendiri". Itu yang suami CT jawab. Hahahaha.. sabor ajelah my laling oi. Itu mesti kes malas nak membelek-belek entri Dapur CT yang lepas-lepas. Maklumlah, orang lelaki kan. Bila di suruh pilih resepi yang kita mintak, ada aje alasanya nak mengelak. Cuba kalau kita suruh dia tolong pilihkan kamera mana yang dia minat untuk kita belikan, hmmm rasanya pasti laju aje dia surf untuk memilih. Ye tak? hehehehe.

Okeylah, sebelum CT menutup bicara, CT ingin mengucapkan ribuan terima-kasih kepada pihak Media Glam Sdn Bhd terutamanya kepada Cik Tina yang mewakili majalah ETERNITY kerana memberi peluang kepada Dapur CT untuk menampilkan 4 buah resepi sempena hari bapa. Dan semestinya juga penghargaan yang tidak terhingga bersekali ucapan Selamat Hari Bapa khas untuk suami CT yang tersayang yang sentiasa menyokong minat CT dalam arena food blogging ini. Juga tidak terkecuali untuk semua teman-teman dan penyumbang asal resepi yang mana ada antara resepinya telah CT cuba dan akhirnya diketengahkan untuk dikongsikan kepada umum dan pastinya juga kepada semua pengunjung setia Dapur CT, terima-kasih tidak terhingga dan salam sayang untuk semua. Sampai berjumpa lagi minggu depan, salam manis dari CT.. daaa..




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...