Wednesday, January 23, 2013

Ikan Tongkol Bakar Bersama Sambal Mangga Muda


Assalamualaikum ... Salam pagi dan semoga ceria teman-teman CT semuanya hendaknya. Terima kasih buat semua teman-teman yang sudi bertandang dan meninggalkan komen di blog Dapur CT. Selain itu, CT juga ingin minta maaf kerana ada ketikanya CT lambat untuk membalas semua komen-komen yang diberi. Kebelakangan ini CT kadang-kadang terkejar-kejar dengan masa. Tapi InsyaAllah di setiap kesempatan yang terluang, CT akan cuba membalas serta membuat kunjungan balas ye.


Hari ini CT kongsikan menu yang memang menggugat selera lapar yang terlampau. Selera CT lah tu, selera teman-teman tak tahulah pula hehehe. Waktu menaip ni pun, bila terlihat gambar ikan bakar dan sambal mangga yang dah habis disantap ni pun masih juga 4-5 kali CT tertelan air liur hahahaha. Sesekali makan begini bersama kuah asam dan ikan bakar memang menyelerakan. Ditambah pula dengan sambal belacan yang rasanya sedikit masin, manis tetapi pedas menyengat, dan itulah yang membuat rasa sambal belacan ni sangat sedap. Baunya jangan cakaplah. Dah habis makan setelah tangan disabun pun baunya ditangan masih tak hilang, memang kuat betul penangan belacan ni kan.  Lepas tu, selagi tak hilang baunya, asyik dicium-cium ajelah tangan tu ke sana sini hehehe. Lepas CT lumur tangan dengan kulit limau nipis barulah hilang sikit, itu pun masih ada bau sikit-sikit lagi kat hujung-hujung kuku hehehe.


Di rumah CT ni jarang juga buat sambal belacan sebenarnya, kecuali bila masak sayur bening atau masak lemak pucuk ubi atau lemak pucuk paku barulah nampak belacan atas meja. Nak tambah sedap lagi, lawankan pula dengan telur dadar dan ulam-ulaman, memang bertambah-tambah lah nasi di pinggan. Tapi anak-anak CT hanya 2 orang aje yang suka belacan. Si bujang yang besar dengan yang bongsu tu memang tak sentuh pun sambal belacan ni. Tapi kalau anak dara yang sulong dan anak bujang yang nombor tiga tu, memang hantu belacan hehehe.


Entah dari mana asal-usul belacan ni ye, tapi rasanya sambal belacan ni dah terkenal serata pelusuk rantau Asia sebagai sambal pencecah. Daripada Laksa Johor hinggalah kepada nasi ayam penyet, kalau tak ada sambal belacan tak sah kan. Selain itu, Belacan juga adalah penyedap dalam masakan seharian dan digunakan sebagai bahan asas bersama-sama dengan cili, bawang dan bawang putih untuk menghasilkan sambal. Pendek kata memang ia dah terbukti sebagai bahan pembuka selera. Jika tiada belacan, berkuranglah sedikit selera untuk menikmati sesuatu makanan tu, betul tak.


Kata orang tua-tua dulu, buah mangga jangan dibuat sambal belacan. Sebab bila dah buat sambal belacan, seluruh buah mangga yang dihasilkan oleh pokok tu nanti akan rosak berulat. Tapi tak tahulah pula betul atau tidak. Sebab pokok buah mangga yang ditanam didepan rumah CT yang CT ambil buahnya untuk dibuat sambal belacan semakin lebat pulak berbuahnya. Mungkin itu cuma alasan orang dulu-dulu untuk mengelakkan jirannya yang kerap meminta percuma buah mangga untuk dibuat sambal belacan setiap hari kot hehehe.


Okeylah, CT berhenti di sini dulu. Kalau bercerita panjang lagi takut ada yang meleleh air liur pulak. Jadi sebelum basah keyboard tu, CT berhenti dululah ya. Dan sekali lagi, terima kasih CT ucapkan untuk teman-teman yang meninggalkan komen-komen yang manis. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam sayang dari CT. Daaa....


Ikan Tongkol Bakar Bersama Sambal Mangga Muda
Resipi : Che CT

Bahan-bahan :
2 ekor ikan tongkol - saiz kecil
1 biji mangga muda saiz sederhana - buang kulit dan sagat kasar
5 biji cili padi - sesuaikan rasa pedas ikut masing-masing
3 batang cili kering - celur air panas
1 inci belacan bakar
1 sudu kecil gula melaka
2 biji tomato sedang - potong dadu
Limau kasturi - perah ambil jusnya
Garam dan gula secukup rasa
Daun pisang - untuk balut ikan

Cara-cara :
1. Ikan tongkol dibelah perutnya dan dibersihkan. Lumur ikan dengan jus limau dan perap sekejap. Kemudian balut dengan daun pisang dan bakar atas dapur dengan api perlahan. Balik-balik ikan agar masak sama rata. Ketepikan.
2. Satukan semua bahan kecuali mangga muda dan jus limau kasturi. Tumbuk hingga lumat dan perasakan dengan sedikit gula dan garam. Biar ada rasa sedikit masin, manis dan pedas.
3. Sudukan bahan ditumbuk dalam mangkuk bersih dan letak mangga muda dan gaul sebati. Perahkan jus limau kasturi diatasnya dan gaul rata. Hidangkan bersama ikan tongkol bakar dan nasi hangat.


Monday, January 21, 2013

Kek Kukus Lapis Coklat Keju


Assalamualaikum... Apa khabar, moga teman-teman sentiasa sihat dan sentiasa berada didalam rahmat Allah.. Aminnn. Lama juga Dapur CT tidak di update, ke mana saja Puan Dapur ni bersembunyi agaknya hehehe. Sebenarnya CT saje merehatkan diri sambil mencuba resipi yang baru. Selain dapat melayan selera tekak ni, dapat juga idea dan bahan baru untuk di kongsikan nanti agar yang singgah ke sini tidak jemu kan.


Untuk resepi hari ini, CT kongsikan resepi Kek Kukus Lapis Coklat Keju yang CT tertarik setelah melihatnya di blog Just Try & Taste setelah meronda-ronda di Google. Melihat pada adunan dan bahan-bahannya yang mudah untuk disediakan, terus CT simpan dulu resipinya. Esoknya dengan gigih CT mencuba dan hasilnya seperti yang CT kongsikan di sini.


Resipi asalnya mengunakan loaf pan 20 x 10 x 8 cm, tapi CT membuat 2 adunan dari resipi dibawah dan CT gunakan loyang 4 persegi 6 x 6 x 3 inci. Adunan tersebut CT bahagi kepada dua, kemudian setiap satu adunan tu CT bahagikan lagi kepada 2 bahagian. Tu yang jadi 4 lapisan. Tapi kalau teman-teman rajin, nak buat lebih dari 4 lapis pun boleh.


Tips bila nak buat kek yang dikukus begini, kawalan apinya mestilah dijaga. Apinya jangan terlalu besar sebab jika api nya besar, adunan kek akan berombak-ombak dan menyebabkan bentuk kejadiannya jadi tidak rata. Untuk mengelakkan kek kita dari berombak begitu, gunakan api yang kecil. Dan pastikan air dalam kukusan sentiasa penuh. Selalunya jika CT nak buat kek kukus, CT dah bersedia dengan air yang di didih dalam cerek. Bilamana air kukusan berkurangan, CT terus aje tambahkan dalam kukusan tu. cepat dan cekap kan. Maklumlah, kukusan CT tak besar, jadi kenalah berinovasi sedikit untuk memudahkan tugas.


Okeylah, CT berhenti sampai di sini dulu ye. Terima kasih CT ucapkan pada penyumbang resipi asal kek ini yang dapat pula CT kongsikan resepi kek ini di Dapur CT pula hari ini. Pada yang berminat untuk mencuba, bolehlah semak terus resipi dibawah ya. Dan terima kasih juga sebab sudi singgah DDCT dan meninggalkan komen juga. Sampai jumpa lagi, salam manisss dari CT. Daaa....


Kek Kukus Lapis Coklat Keju
Di Olah : Che CT

Bahan-bahan:
4 biji telur
1/2 sudu teh emulsifier /ovelatte
125 gram gula kastar
60 gram tepung gandum
15 gram tepung jagung
4 keping keju Kraft

Bahan I:
35 gram mentega #
50 gram coklat masakan # - Cairkan cara double boiler dan sejukkan

Bahan II:
35 gram margarin - dicairkan
50 gram keju cheddar - diparut

Cara-cara :
1. Sediakan loyang dan gris dengan mentega hingga rata, alas dasarnya dengan kertas minyak dan lebihkan dibahagian tepi agar mudah untuk keluarkan kek nanti. Dan gris lagi atasnya dan tabur sedikit tepung pada permukanya. Ketepikan.
2. Didihkan air kukusan dengan dengan api sederhana. Tutup penutup kukusan dengan kain bersih yang menyerap air. Tutup rapat.
3. Sediakan mangkuk adunan, masukkan telur, gula kastor dan emulsifier/ovelatte, pukul dengan kelajuan rendah agar sebati.  Kemudian naikkan kelajuan tinggi dan pukul hingga kembang dan gebu lebih kurang 5 minit. Matikan mixer.
4. Masukkan tepung gandum dan tepung jagung yang diayak kedalam adunan telur. Kaup bailk menggunakan spatula getah sehingga tercampur rata.
5. Bagi adunan kepada dua bahagian sama banyak. Satu bahagian dicampur dengan coklat cair, gaul rata. Dan satu bahagian lagi dicampur mentega cair gaul rata kemudian masukkan keju cheddar dan gaul rata lagi.
6. Tuang adunan putih dalam loyang dan kukus adunan 20 minit dengan api sedang hingga masak. Keluarkan loyang dari kukusan.
7. Menggunakan penekan kek yang disapu sedikit mentega, ratakan permukaan kek. Susun keju Kraf diatasnya, kemudian tuangkan adunan coklat ratakan. Pastikan air dalam kukusan sentiasa cukup, jika kurang tambahkan lagi dengan air panas sebelum meneruskan kukusan.
8. Masukkan loyang dalam kukusan, kukus semula kek selama 20 minit atau hingga masak, uji dengan mencucuk dengan lidi, jika keluar bersih kek dah masak.
9. Keluarkan kek dari kukusan dan sejukkan sebentar sebelum kek dikeluarkan dari loyang. Jika kek sedikit melekat, sisir tepi loyang dengan pisau agar mudah untuk dikeluarkan. Tunggu kek hingga sejuk baru dipotong.


Monday, January 14, 2013

Blueberry Raisin Carrot Muffin with Cream Cheese Glaze


Assalamualaikum dan salam ceria buat semua. Hari ni CT tak bercerita panjang tapi terus kepada resepi yang ingin CT kongsikan ye. Sebenarnya resepi ini dan satu lagi resepi yang akan CT publish nanti adalah resepi yang telah CT kongsikan kepada Majalah Open Kitchen Italy keluaran bulan Disember 2012 yang lepas.


Blueberry Raisin Carrot Muffin with Cream Cheese Glaze yang CT buat ni sedikit berbeza dengan muffin-muffin lain yang pernah CT buat dulu sebab konsep resepi untuk bulan Disember tersebut berkisar kepada resepi menu sihat jadi setelah CT godek sana-godek sini inilah resepi hasil dari yang dapat CT olah.

Okeylah CT tak dapat bercerita panjang lagi, CT berhenti setakat di sini dulu. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam sayang dari CT... daaaaa..




Blueberry Raisin Carrot Muffin with Cream Cheese Glaze

Ingredients:
1/2 cup raisins
3/4 cup fresh blueberries
1/2 cup All Purp Flour
1 cup white rice flour
2 tsp baking powder
1/2 tsp baking soda
1/2 tsp ground cinnamon
1/4 cup  caster sugar
1/2 tsp salt
1 cup fresh milk
1/4 cup canola oil
1 tsp vanilla extract
1 cup shredded carrots

Preparation Method:
1. Preheat oven to 200 C. Spray muffin pan with nonstick spray or cupcake liner measuring 5cm in diameter by 3cm in height.
2. Using a wooden spoon in a mixing bowl, combine the flours, baking powder, baking soda, cinnamon, sugar and salt.
3. In another bowl, combine the milk, oil, and vanilla.
4. Fold the wet ingredients into the dry until just blended (and lumpy).
5. Add blueberries, raisins, and carrots. Gently fold again until mixed well.
6. Fill each muffin tin 3/4 full. Bake 20 minutes until a toothpick comes out clean. Let them cool.


Cream Cheese Glaze (Topping)

Ingredients :
125 gm cream cheese, softened
1 tablespoon fresh lemon juice
1/4 teaspoon vanilla extract
1 1/2 cups sifted powdered sugar

Preparation Method:
Beat cream cheese at medium speed with an electric mixer until creamy. Add fresh lemon juice and vanilla extract and beat again until smooth. Gradually add powdered sugar, beating until smooth.


Friday, January 11, 2013

CT bersama MIDI - Jan 2013


Assalamualaikum dan salam ceria buat semua teman-teman dan pengunjung Dapur CT. Hari ni CT sekadar ingin berkongsi kisah 4 resepi yang telah CT kongsikan sedikit masa dulu dan kini di siarkan pula untuk dikongsikan kepada pembaca-pembaca Majalah MIDI keluaran 1 Januari 2013. Yang sebenarnya CT ingin publish pada 1 haribulan hari tu tapi disebabkan CT terlalu sibuk, baru semalam CT berkesempatan untuk ambik betul-betul gambar kulit majalah dan halaman yang menyiarkan resepi tersebut.


Menurut kata editornya, resepi dari CT ini merupakan paparan pembuka tirai yang pertama bagi merasmikan ruangan terbaru dalam majalah MIDI iaitu ruangan Resepi Blogger. CT harap selepas ini rakan-rakan blogger masakan yang lain akan turut menyusul pula ye. Dan CT memang bersetuju dengan teks editornya, Siti Mariam Elias bahawa sekarang ini golongan pembaca media cetak kini turut sama mengaplikasikan media internet sebagai bahan bacaan teras disamping menggunakannya untuk media sosial. 

Pada pendapat CT, perkembangan ini adalah suatu perkembangan yang sihat kerana secara tidak langsung perkongsian yang seperti ini dapat memberi manfaat kepada golongan sasar yang sangat besar. Pendek kata, zaman kian berubah dan semoga perubahan ini dapat dimanfaatkan untuk tujuan yang baik oleh semua golongan.

Okeylah rasanya CT dah terlebih celoteh pulak ni. Bagi yang berminat nak semak kembali resepi CT yang diterbitkan dalam majalah tersebut, bolehlah klik link INI, INI, INI dan INI ye. CT mohon berundur diri dulu, kita jumpa lagi minggu depan ye. Salam sayang dari CT untuk semua. daaaa....

Wednesday, January 9, 2013

Telur Gulai Pedas


Assalamualaikum... Salam ceria buat teman-teman semua. Jangan ditanya kenapa CT tayang lauk pulak pagi-pagi hari bukan kuih atau kek seperti biasa hehehe. Tapi bolehlah dibuat idea lauk apa untuk dimasak untuk makan tengahari atau malam nanti. Ye lah, kot-kot ada yang teringin mencuba resepi lauk ni tengahari nanti bolehlah semak resepi dibawah tu nanti ye.


Sebelum CT berceloteh lebih panjang, terlebih dulu CT nak ingatkan jangan diminta lauk ni sebab semalam lagi dah habis dah hehe. CT teringin untuk mencuba resepi ni sebab nampak lain sikit. Tambah lagi lauk yang berasaskan telur memang dah lama juga CT tak masak. Dan kebetulan pula stok telur ada berlebih, jadi terus aje CT cuba dan olah sedikit mana-mana bahan yang dirasakan perlu. Kiranya CT masak ni simple-simple aje sebab dah petang baru nak memasak hehehe. Alhamdulillah, ianya mendapat sambutan kami sekeluarga.


Resipi asal lauk ini adalah Telur Kari Pedas dari SajianSedap dan telah dicuba oleh Ummu Fatimah - Simply Cooking and Baking. Dan untuk yang CT kongsikan di sini, CT telah olah nya mengikut selera CT. Macam biasalah kan kalau memasak ni kadang-kadang kita ubah mana-mana yang kita rasa perlu mengikut citarasa kita. Apa pun CT ucapkan terima kasih buat kedua-dua penyumbang resipi ini, semoga diberi keberkatan di atas perkongsian tersebut. CT panjangkan lagi resipi ini disini untuk rujukan semua dan diri CT juga di lain kali.


Satu kebiasaan CT bila memasak telur yang di rebus, CT akan membuat kelar 4 pada permukaan telur tu kemudian baru digoreng berkulit supaya bila masaknya nanti rempahnya akan meresap dalam telur tu. Perlu diingatkan, bila digoreng janganlah goreng telur tu terlalu lama. Jangan sampai garing, goreng lembab-lembab aje gitu. Kalau masak telur kicap berempah pun CT akan buat cara yang sama. Tapi kalau masak kicap, CT tambah pulak dengan tauhu yang digoreng berserta su'hun. Hmmm bertambah lagi sedapnya hehe.


CT rasa lauk macam ni sedap dimakan stail bujang iaitu cukup sekadar dengan nasi putih aje. Walau bagaimanapun, kalau CT nak ulang masak lagi lauk ni pada masa depan, CT nak buat kuahnya jadi lebih pekat dan bahannya pula CT nak gunakan ikan atau ayam pula. Bila dah cuba nanti, CT kongsikan resipinya di sini nanti ye, InsyaAllah.


Okeylah, CT berundur sampai di sini dulu. Jika ada yang berminat untuk mencuba resepi ni, silakan semak resepi di bawah tu ye. Sampai berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT. Daaa....


Telur Gulai Pedas
Resepi Olahan Che CT

Bahan-bahan:
8 biji telur rebus - goreng berkulit
2 ulas bawang putih - iris halus
1/2 biji bawang besar - iris kasar
1 batang serai - diketuk
2 cm lengkuas - diketuk
2 helai daun limau purut - buang tulangnya
1 sudu besar cili kisar
1 sudu besar gula merah atau gula pasir
2 batang lada merah - belah dua tak putus
2 batang lada hijau - belah dua tak putus
3 cawan air
100 ml santan pekat KARA
4 biji tomato - potong dua
garam secukup rasa
minyak untuk menumis

Bahan rempah :
1 batang kayu manis
2 biji buah pala - diketuk
1 sudu teh ketumbar biji - ditumbuk kasar
1/2 sudu teh kunyit serbuk

Cara-cara :
1. Panaskan minyak, tumis bawang putih, bawang besar, serai, lengkuas, daun limau purut, serta bahan rempah hingga harum.
2. Tambah cili kisar dan kacau rata biarkan naik minyak kemudian masukkan gula merah dan kunyit serbuk kacau rata.
3. Masukkan telur yang telah digoreng dan kacau rata hingga bersalut rempah. Tambahkan air dan santan serta lada merah dan hijau. Masak hingga mendidih. Tambah tomato dan perasakan dengan garam. Angkat dan hidang bersama nasi hangat.

Monday, January 7, 2013

Talam Tepung Beras


Assalamualaikum... Salam tahun baru dari CT buat teman-teman semua. Walaupun hari ini sudah masuk hari yg ketujuh, namun CT harap masih tidak terlambat lagi untuk CT membuat ucapan ye. Semoga Semoga tahun baru ini kita diberi kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan sentiasa bahagia bersama insan-insan tersayang, InsyaAllah... Amin Ya Rabbal Alamin. Agak terlewat sedikit untuk mengupdate resipi diawal tahun 2013 hehehe. Banyak kerja yang CT harus selesaikan demi memenuhi permintaan yang bertambah-tambah. Namun Syukur Alhamdulillah jika kita lakukan dengan tenang dan sabar, pasti ianya akan berakhir dengan baik.


Untuk tirai pertama diawal tahun ni, CT mencuba satu resipi kuih tradisional lagi. Kalau cerita bab kuih-kuih talam ni, memang menjadi kegemaran suami CT lah. Memang suami suka sangat-sangat kuih jenis talam-talam ni, cuma CT aje yang tak menang tangan nak membuatnya hehehe. Kalau search di Google tu macam-macam kuih ada dan berbagai nama yang diberi. Nak buat dengan tidak aje, apa lagi terus klik resipi Kuih Talam Tepung Beras. Ingin mencuba dan belum pernah buat lagi sebelum ni. Dan, Percaya atau tidak, memang CT belum pernah makan pun kuih talam tepung beras ni hehehe. Kiranya, ini yang pertama kalinya CT membuatnya. Hasil kejadiannya, adunan putih tu kurang sikit rasa lemak garamnya. Tapi okey lah jaga kesihatan kalau dah termasin lagi tak dapat makan betul tak. Lagi satu, CT dah kacau pelan-pelan adunan tu tapi masih ada juga lubang-lubang pada kuih ni, kenapa agaknya ye. Itu tandanya kena cuba lagilah tu, betul tak Mat Gebu hehehe.


Cerita bab kuih talam ni, teringat masa CT duduk di Johor dulu. Bila bulan Ramadhan aje, kuih pertama yang akan CT dan suami cari adalah kuih talam. Tak kisahlah kuih talam apa semuanya bedal. Tapi sebab dulu CT tak pandai buat kuih talam, bila beli tu kena campur-campurlah jenis-jenisnya sebab nak merasa itu sikit ini sikit. Tapi kuih talam pertama yang CT dan suami beli waktu itu ialah kuih talam keladi dan kuih talam suji. Memang sedap sangat-sangat dan esoknya CT beli lagi sampailah CT dan suami rasa jemu hehehe. Tapi sekarang Alhamdulillah, sebab kalau nak mencubanya segalanya sudah ada dihujung jari hanya klik cari dan terus boleh mencuba. Dan pastinya rasa puas sebab dapat buat sendiri kannn.


Resipi kuih ini dah ramai juga yang membuatnya. Tapi CT ambil dari blog Mat Gebu aje sebagai rujukan kali ni. Kalau nak cuba buat kuih talam ni macam-macam ingin CT buat. Tapi memandangan anak-anak dan suami hanya makan waktu pagi sebagai sarapan, rasanya CT akan buat 1/2 adunan saja kot lain kali. Sebab bila anak-anak dah balik sekolah masing-masing akan makan nasi lepas tu dah kenyang. Kuih-kuih dah tak pandang pun hehehe. Kecuali bila CT buat time cuti atau hujung minggu baru boleh habis jika dibuat satu adunan. Bergantung juga pada kuihlah. Tapi Kuih tepung beras ni CT suka sebab ia lembut dan manisnya sedang-sedang aje.


Terima kasih pada semua teman-teman yang telah berkongsi resipi Kuih Talam Tepung Beras ni. Mintak maaf ya tuan punya resipi sebab CT ada tokok tambah sikit-sikit pada resipinya dan ubah mengikut selera CT. Izinkan CT memanjangkan lagi di Senarai Dapur CT semoga dapat dibuat rujukan untuk semua dimasa-masa akan datang. Sampai jumpa lagi, salam manisss dari CT. Daaa....


Talam Tepung Beras
Resepi Di Olah : Che CT

Bahan lapisan bawah:
150 gram tepung beras
250 ml santan pekat kotak KARA
400 ml air
1/2 sudu teh garam

Bahan lapisan atas:
250 ml air *
75 gram gula melaka, potong kecil *
10 gram gula pasir*
2 helai daun pandan - disimpul * - bahan diatas dimasak hingga gula larut, sejukkan dan tapis

250 ml santan
30 gram tepung beras
30 gram tepung gandum
2 biji telur gred A
1 sudu teh esen vanilla
1/2 sudu teh coklat emulco
Secubit garam

Cara-cara:
1. Panaskan air dalam kukusan hingga mendidih, balut tutup kukus dengan tuala bersih. Alas loyang bulat 8 inci dengan plastik bersih, sapu sedikit minyak pada permukaan plastik. Ketepikan.
2. Dalam satu bekas, satukan bahan untuk lapisan bawah kecuali garam, kacau rata dengan senduk kayu atau whisk, tambah garam secukup rasa dan tapis ke dalam bekas tahan panas. Masak atas air mendidih secara double boiler dan kacau sentiasa hingga bancuhan pekat sedikit. Tuang ke dalam loyang, ratakan dan kukus 20 minit dengan api sederhana.
3. Sementara itu, sediakan untuk lapisan atas pula. Satukan semua bahan lapisan atas kecuali telur dan garam dan kacau dengan senduk kayu hingga sebati. Masukkan telur dan kacau perlahan-lahan dengan garfu, jangan kacau laju-laju nanti akan menyebabkan atas kuih berlobang-lobang. Kemudian masukkan secubit garam, kacau perlahan-lahan lagi dan tapis.
4. Angkat kukus yang berisi loyang tadi, kemudian sendukkan lapisan atas perlahan-lahan, pastikan anda kacau dulu sebelum dituang. Kemudian kukus lagi selama 45 minit dengan api sederhana. Biar kuih betul-betul sejuk, baru dipotong dengan pisau plastik atau pisau yang dilapis dengan plastik cling. Hidangkan.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...